April 2008
|
ESEI Tibet: India yang enggan menyinggung China Somini Sengupta Semenjak protes terhadap China oleh warga Tibet yang tinggal di India bermula, negara itu telah menggesa Dalai lama supaya tidak bercakap tentang politik dan meyakinkan Beijing bahawa obor Olimpik akan diarak dengan sempurna di sini. Pendirian itu telah mengecewakan sesetengah pihak, seperti Dalai Lama, yang telah menyelar India kerana terlalu ‘berhati-hati’. Bagaimanapun, ia hanyalah satu daripada banyak pendekatan India terhadap dunia – berhati-hati, sebahagian lagi menguatkan persaingan, dan kadang-kadang mengikut-ikut – dan ia sering menyedari gergasi yang telah bangkit di timur sempadannya. Isu Tibet adalah satu perkara. Namun satu lagi perkembangan yang kurang disedari di India baru-baru ini adalah kedatangan orang nombor dua junta Myanmar, Maung Aye, hanya enam bulan selepas penangkapan besar-besaran sami-sami Buddha. Bersama-sama mereka mengumumkan projek yang dibiayai India untuk membaik-pulih sebuah pelabuhan, sungai dan jalan-jalan raya di Myanmar, satu kerjasama yang membolehkan India menggunakan rezab tenaga yang besar di negara yang kini membekalkan banyak sumber-sumber kepada Beijing. India juga dijadualkan menjadi tuan rumah sidang kemuncak India-Afrika, yang bertujuan menggandakan perdagangan dengan Afrika yang kaya dengan mineral. Ini merupakan sebahagian daripada usaha India, seperti China, yang sedang meneroka planet ini untuk mencari sumber asli bagi menjana pertumbuhan mereka. Bagaimanapun, ketika dua gergasi Asia itu sedang melayani permainan mereka, agak sukar untuk New Delhi melarikan diri daripada hakikat bahawa padang permainan ini tidak sama rata yang menguntungkan China, lantas mewujudkan keperluan untuk mengambik sikap berhati-hati. Sidang kemuncak Afrika yang dirancang itu, sebagai contoh, hanya menunjukkan jurang luas antara cita-cita India dan China di benua itu. Jairam Ramesh, menteri perdagangan berkata, kredit sebanyak AS$640 juta untuk Ethiopia, merupakan pinjaman tunggal terbesar untuk sebuah negar Afrika, secara perbandingan, katanya China telah memberikan kredit AS$13 bilion kepada Angola yang kaya dengan minyak. “Kita langsung tidak boleh bersaing dengan mereka,” katanya. “Tidak guna. Mereka telah meninggalkan kita.” Ketidakseimbangan itu telah memaksa New Delhi berhati-hati dalam bersaing dengan China dan mencabarnya. “Ia satu hubungan baru yang sedang berkembang dan ia juga agak rapuh,” kata Tarun Das, ketua mentor Persekutuan Industri India, salah satu kumpulan perdagangan terbesar negara itu, dan sering menjadi wajah perniagaan India di dunia. “Kita perlu berhati-hati.” Malah, sejak akhir-akhir ini, kepentingan China dan India saling bertembung dan menyebabkan perpecahan. Daripada satu segi, China sedang dalam proses mengatasi Amerika Syarikat sebagai rakan dagang terbesar India. Walaupun India bimbang dengan ketidakseimbangan dagang itu – China membeli besi daripada India dan menjual banyak barangan pengguna dan alat-alat ganti automobil – jelas terdapat kepentingan komersial dalam hubungan dua hala itu. Pada masa yang sama, usaha India untuk memodenkan bidang tenteranya sudah jelas dilakukan kerana China. Pada tahun 1998, apabila India menguji bom hidrogen, ia dikatakan diperlukan sebagai penegahan nuklear buat China. Hari ini, New Delhi mempunyai jet pejuang, kemampuan mengisi minyak di udara dan kapal pengangkut yang meluaskan jangkauannya di seluruh Lautan Hindi. Walaupun pegawai-pegawai India menolak dakwaan bahawa negara itu dipikat oleh Washington sebagai penampan China, Amerika Syarikat telah membantu menaik taraf tentera India. Tahun ini, India bersetuju membeli setengah dozen pesawat kargo buatan Amerika bernilai kira-kira AS$1 bilion. Tahun lalu, Tentera Laut India membeli kapal perang Amerika yang mampu membawa 450 anggota ke lautan. Syarikat-syarikat Amerika sedang membida untuk menjual jet pejuang kepada India dengan nilai AS$10 bilion. “Permintaan memang didasarkan kepada kemampuan China dan bukan pihak lain,” kata Dipankar Banerjee, seorang major jeneral bersara Tentera Darat India dan kini pengarah Institut Kajian Keamanan dan Konflik di New Delhi. “Kami memang memikirkan faktor China.” Dengan India dan China cuba membina hubungan baru, mereka sedar tentang masa silam. Hubungan dua hala tergantung selama 26 tahun, selepas peperangan di sempadan pada tahun 1962, yang memaksa India berundur. Pertelingkahan sempada itu masih belum selesai dan kadang-kala menimbulkan gangguan. Hari ini, China bukan sahaja lebih berkuasa dari segi ekonomi dan ketenteraan, tetapi juga memegang kad penting diplomatik. Ia boleh mengekang usaha India untuk mendapatkan teknologi nuklear melalui Kumpulan Pembekal Nuklear dengan keanggotaan 45, menghalang cita-cita India menduduki kerusi Majlis Keselamatan PBB dan menguatkan musuhnya, Pakistan yang telah lama menikmati sokongan China. Parti pembangkang BJP telah menguatkan kritikan terhadap kerajaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan menuduhnya cuba menggembirakan China. Walaupun kerajaan berkata polisi kerajaan terhadap China masih sama, tidak syak lagi bahawa faktor China membentuk kedudukan India dalam krisis Tibet ini. Dalai Lama telah menetap di India sejak 1959, dan dibenarkan untuk mentadbir kerajaan dalam buangan dan menteri-menteri untuk lebih 100,000 pelarian Tibet di negara itu. India juga telah mengumumkan bahawa menteri luarnya, Pranab Mukherjee, telah bercakap kepada rakan sejawatannya di China dan menegaskan pendirian New Delhi: Ia menganggap Tibet sebagai sebahagian daripada China, melayan Dalai Lama sebagai pemimpin kerohanian dan mengharamkan warga Tibet daripada melakukan aktiviti anti-China di India. Sementara dalam hal Sukan Olimpik, Mukherjee menurut laman web Kementerian luar berkata, “kerajaan India akan mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan larian obor Olimpik dapat dijalankan dengan jayanya.” Seorang pemain bola sepak India, Bhaichung Bhutia, enggan membawa obor itu apabila ia tiba di ibu kota itu nanti. Pelakon Aamir Khan telah menyebut dalam blognya bahawa dia akan membawa obor itu sambil berdoa untuk Tibet. Persatuan Olimpik India berkata larian obor itu akan dipendekkan atas alasan keselamatan, lapor The Press Trust of India. Maklumat mengenai laluan juga belum diumumkan. Atas permintaan Beijing, pihak berkuasa telah meningkatkan keselamatan di sekitar kedutaan China di New Delhi, walaupun ia tidak cukup untuk menghalang penunjuk perasaan Tibet daripada memanjat dindingnya dan mengibarkan kain rentang di dalamnya. Dengan Sukan Olimpik pada Ogos ini yang masih berbulan tempohnya, peristiwa dalam beberapa minggu ini menyukarkan India. Pada hari Khamis di pusat bandar, warga Tibet dan Burma saling bertembung dan menyahut seruan protes masing-masing. “Kami mahukan demokrasi,” jerit warga Burma. Dan kemudian: “Hidup Dalai Lama.”
|
ARKIB -Adib Zalkapli -William C. Chittick LAGI>> |
||||
>>
----------
----------
---------- *tempahan/belian terus kepada penerbit akan diberikan diakaun 10% LAGI>>
|