Mei 2008
|
ESEI Cinta di Arab Saudi Katherine Zoepf Parti tarian di ruang tamu Atheer Jassem al-Othman penuh meriah. Tetamu – yang terdiri daripada lebih 20 orang gadis lewat usia remaja telah tiba, dan Atheer serta ibunya sibuk menghidangkan teh manis dan buah kurma. Lebih separuh gadis itu sedang bergerak mengikut rentak muzik. Abaya yang meliputi hujung rambut hingga ke hujung kaki nampak seperti selonggok kain hitam di atas kerusi. Tiba-tiba muzik terhenti, dan Alia, 18, tiba-tiba muncul. “Saya mempunyai sesuatu untuk diberitahu,” kata Alia. Beliau terdiam sebentar dan kemudian berkata dengan pantas. “Saya sudah bertunang!” Pengumuman itu mendatangkan sorakan dan serta gadis-gadis lain mula menitiskan air mata. Atheer, ibu Alia tersenyum dan meninggalkan bilik itu, membiarkan gadis-gadis itu melayani emosi mereka. Kumpulan itu sudah berkawan semenjak selepas sekolah menengah dan Alia merupakan yang pertama di kalangan mereka untuk berkahwin. Gambar dalam telefon bimbit tunang Alia, seorang askar berusia 25 tahun bernama Badr, di tunjukkan kepada semua, dan rakan-rakannya bertanyakan tentang showfa, yang dilalui Alia. Showfa yang bermaksud secara literal pratonton, adalah sesi perkenalan dan biasanya berlangsung pada hari seorang gadis Saudi bertunang. Seorang lelaki yang apabila telah masuk meminang, mempunyai hak untuk melihat gadis itu tanpa abayanya. Dalam sesetengah keluarga mereka boleh saling berbual sambil dipantau anggota keluarga. Secara idealnya, ramai warga Saudi berkata, showfa, adalah satu-satunya saat dalam kehidupan seorang gadis untuk dilihat sebegini oleh seorang lelaki yang bukan anggota keluarganya. Pengasingan antara jantina di Arab Saudi sangat ekstrem dan sukar untuk ditokok tambah. Wanita Saudi tidak dibenarkan memandu dan mereka mesti memakai abaya hitam dan penutup kepala pada setiap masa. Mereka bersiar-siar di bandar dengan kereta bercermin gelap, memasuki sekolah untuk perempuan sahaja, begitu juga di universiti, dan hanya makan di seksyen keluarga di kafe dan restoran, yang diasingkan dengan teliti daripada bahagian yang digunakan oleh pelanggan lelaki bujang. Gimnasium untuk wanita sahaja, butik wanita dan agensi pelancongan, dan pusat membeli-belah wanita telah dibentuk di Riyadh sejak beberapa tahun lalu untuk memenuhi keperluan wanita yang sebelum ini tidak mempunyai cara untuk memasuki tempat sebegitu kecuali mereka ditemani saudara lelaki. Walaupun sangat ceria, gadis-gadis seperti Alia dan rakannya, sangat sedar tentang had kelakuan yang ditetapkan oleh masyarakat konservatif mereka. Dan kata mereka, had itu kebanyakannya tidak mereka persoalkan. Kebanyakan gadis itu berkata, kepercayaan mereka – tafsiran paling ketat Islam oleh kumpulan Wahabi di sini, sangat berakar dalam diri mereka. Namun mereka masih berdebat tentang persoalan tertentu – sama ada mereka boleh mempunyai kawan di Facebook, atau sama ada sepupu lelaki boleh melihat wajah mereka – dan mereka cuba menceritakan apa yang difikirkan dan dicakapkan oleh lelaki Saudi yang pernah mereka temui. Namun mereka memandang idea berbual dengan lelaki sebelum showfa, dan pertunangan sebagai sesuatu yang menakutkan. Apabila mereka bercakap gadis-gadis yang berbual dalam talian atau yang akhirnya bertunanga dengan pilihan sendiri, cerita-cerita ini biasanya mempunyai ciri-ciri urban legends: tidak jelas perinciannya, berkenaan kawan kepada seorang kawan, atau “seorang gadis dalam kelas kakak saya.” Gadis yang belum berkahwin selalunya terasing daripada lelaki dan apabila bercakap tentang mereka ia biasanya berbunyi seperti mereka sedang bercakap tentang satu spesies yang berbeza. Soalan-soalan untuk tunang Malam itu, sambil makan malam, Alia mendedahkan bahawa beliau dibenarkan untuk bercakap dengan tunangnya di telefon. Perbualan telefon pertama mereka dijadualkan pada keesokan harinya dan beliau sangat bimbang tentang apa yang akan dikatakan kepada Badr sehingga beliau membuat satu senarai. “Tanya sama ada dia sukakan kerjanya,” cadang seorang kawan. “Lelaki biasanya suka bercakap tentang kerja.” “Tanya dia telefon bimbit apa yang digunakannya dan kereta miliknya,” cadang seorang lagi. “Dengan cara ini kau akan caranya membelanjakan wang, sama ada dia seorang yang boros atau tamak.” Alia mengangguk perlahan. Beliau sangat panik semasa showfa, dan hampir menjatuhkan satu dulang jus yang diminta bapanya untuk dibawa kepada tunangnya, dan beliau tidak ingat apa yang telah dikatakan. Beliau perlu lebih mengenali tunangnya dalam perbualan mereka selepas ini. Menurut kira-kira 30 gadis Saudi berusia antara 15 dan 25, semuanya ditemu bual dalam bulan Disember, Januari dan Februari, perbualan telefon antara seorang gadis dengan tunangnya semakin diterima oleh masyarakat, walapun keluarga yang lebih konservatif menghalang sebarang komunikasi antara pasangan yang bertunang. Adalah memalukan untuk seseorang mengakui mempunyai perasaan terhadap tunangannya sebelum perkahwinan, sebarang bentuk komunikasi dengan lelaki memang ditegah. Malah gadis-gadis di sini kadang-kadang melakukan aktiviti rahsia untuk bertemu atau berbual dengan lelaki, atau sekadar untuk melihat dunia lelaki. Walaupun sangat berdekatan, seperti pejabat yang mereka lalui setiap pagi dalam perjalanan ke kolej, atau bilik keraian untuk bapa dan saudara lelaki mereka melayani tetamu, dunia lelaki tersangat asing sehingga sebahagian daripada gadis Saudi menyamar untuk memasukinya. Di Prince Sultan University, di mana Atheer Jassem al-Othman, 18 adalah seorang pelajar undang-undang tahun pertama, sepasang pelajar tahun kedua baru-baru ini menghabiskan waktu rehat pagi menunjukkan gambar-gambar mereka berpakaian seperti lelaki. Dalam gambar itu, gadis-gadis itu memakai jubah lelaki, dan memakai penutup kepala lelaki yang dikenali sebagai shmaghs. Salah seorang gadis itu menggunakan pensil untuk menunjukkan kesan cukuran di sekitar mulut mereka. Dipamerkan pada skrin kedua-dua telefon bimbit gadis itu, gambar-gambar itu menimbulkan sedikit rasa kagum di kalangan mereka semasa ditunjukkan. “Ramai gadis melakukannya,” kata Sara al-Tukhaifi, 18, yang menerangkan bahawa seorang gadis dan kawannya mungkin boleh menyamar, dengan secara sembunyi-sembunyi mengambil pakaian lelaki dan mencabar satu-sama lain untuk memasuki dunia lelaki Saudi dalam banyak cara, dengan berjalan ke kaunter khas lelaki di McDonalds, atau juga memandu. “Ia hanya satu permainan,” kata Sara, walaupun tidak mustahil untuk mereka ditahan oleh polis keagamaan. “Saya belum melakukannya, tetapi kedua-dua mereka memang cekap. Mereka masuk ke kedai dan berpura-pura memandang seorang gadis – gadis itu terpaksa berpaling.” Sambil tersenyum, Sara mengajuk-ajuk gaya gadis itu, sementara rakan sekelasya, Shaden tertawa. Terdapat juga laporan tentang pertentangan antara remaja dan polis keagamaan, peningkatan kadar hubungan sesama jantina di kalangan pemuda yang kecewa dengan pengasingan jantina yang melampau. Dan sudah tentu, amalan seperti mengejar kereta yang disyaki dinaiki wanita, dengan tujuan memberikan nombor telefon melalui Bluetooth, telah menjadi perkara biasa dalam kehidupan bandar Saudi. Berfoya-foya melalui telefon Seorang wanita yang mengaktifkan Bluetooth di tempat awam akan menerima puisi cinta dan gambar bunga serta kanak-kanak yang disimpan ramai lelaki Saudi dalam telefon untuk tujuan berfoya-foya. Dan tahun lalu, televisyen Al Arabiya melaporkan ramai pemuda Saudi telah membeli tali pinggang elektronik, yang menggunakan teknologi Bluetooth untuk secara rahsia menghantar nombor telefon pemakai dan alamat emel kepada wanita yang melintas. Sara dan Shaden mengenali gadis-gadis di sekolah mereka yang mempunyai hubungan rapat dan mungkin juga cinta sesama gadis lain, tetapi kata mereka, seperti berpakaian lelaki, ini juga satu permainan yang berpunca daripada kekecewaan dan akan berakhir apabila mereka bertunang. Dan mereka menganggap pengalaman dikejar oleh lelaki dalam kereta sesuatu yang menakutkan, dan menegaskan mereka tidak mengenali sesiapa yang menghubungi lelaki yang berkomunikasi melalui Bluetooth. “Jika keluarga anda mendapati anda berbual dengan seorang lelaki secara dalam talian, ia tidaklah seteruk bercakap melalui telefon,” kata Sara. “Dengan telefon, semua orang bersetuju ia haram, kerana Islam melarang seseorang asing mendengar suara anda. Dalam talian, hanya tulisan yang dilihat, jadi ia terbuka untuk penafsiran. “Jika anda malu untuk memberitahu keluarga anda mengenai sesuatu, jadi sudah tentu ia salah,” kata Sara. “Untuk sementara saya mempunyai kawan Facebook lelaki – saya tidak emel atau menghantar apa-apa, tetapi mereka menjemput saya berkawan jadi saya menerima. Kemudian saya fikirkan keluarga saya dan terus memadamkannya.” Sara dan Shaden kedua-duanya mengagumi polis keagamaan, yang mereka lihat sebagai pengawal nilai-nilai sosial Saudi, dan Shaden turut bercakap tentang abangnya, yang telah menjadi multazim, sangat mematuhi agamanya dan memastikan setiap anggota keluarga mengikutinya. “Dia menjadi multazim semasa dalam gred sembilan,” kata Shaden. “Saya masih ingat bagaimana beliau mula membela janggut, dan memakai jubah yang pendek.” Lelaki Saudi sering membela janggut panjang dan memakai jubah yang dipotong di atas buku lali sebagai tanda ketaatan. “Saya sering berjumpanya apabila mempunyai masalah,” kata Shaden yang seperti gadis Saudi lain yang ditemubual untuk artikel ini, bercakap dengan syarat nama keluarga mereka tidak disertakan. “Tetapi dia tidaklah terlalu tegas – dia masih mendengar muzik kadang-kadang. Saya bertanya kepadanya, mengapa dia masih mendengar muzik? Katanya, dia tahu muzik itu haram dan insyaallah satu har nanti dia akan dapat berhenti mendengar muzik.” Tambah beliau, “Saya memberitahunya bahawa saya mahu mendapat suami sepertinya.” Terpisah daripada sepupu Shaden tinggal di pinggir bandar Riyadh yang mewah; bapa saudaranya tinggal bersama keluarga mereka di rumah berasingan dalam kawasan yang sama dan keluarga itu berkongsi taman dan kolam renang. Shaden dan beberapa sepupu lelakinya membesar bersama-sama, bermain-main di kolam renang semasa musim panas dan turut sama bercuti. Kini, pada usia 17 tahun dia dikira sudah dewasa dan pergerakannya terbatas di ruang wanita, dan kadang-kadang dia merindui sepupunya. “Sehingga saya mencapai gred sembilan atau sepuluh, kami sering membentang permaidani di laman dan membawa susu panas dan duduk bersama-sama sepupu lelaki,” kenang Shaden di rumahnya. “Tetapi ibu saya berasa kurang selesa, jadi kami menghentikannya,” katanya. “Kini kadang-kadang kami berbual melalui MSN, atau telefon, tetapi mereka tidak dibenarkan melihat wajah kami.” “Kadang-kadang kami bertanya ibu, mengapa dia tidak menyusukan sepupu kami juga,” jelas Shaden. Beliau merujuk kepada amalan saudara susuan yang mendahului Islam dan masih menjadi amalan biasa di negara Teluk. Seorang wanita tidak perlu menutup wajahnya di depan lelaki yang disusukannya, begitu juga dengan anak-anak kandungnya. Mereka dianggap saudara susuan dan dilarang daripada berkahwin. “Jika ibu saya menyusukan sepupu saya, kami boleh duduk dengan mereka dan ia menjadi lebih mudah,” kata Shaden. Beliau memandang DVD dalam koleksinya dan memegang satu salinan Pride and Prejudice, versi lakonan Keira Knightley sebagai Elizabeth Bennet, sebuah filem yang telah ditontonnya berpuluh-puluh kali. “Ia seperti masyarakat kami, saya fikir,” kata Shaden mengenai England era Georgian. “Ia bermaruah, tetapi agak tegas. Tidakkah ia mengingatkan kamu tentang Arab Saudi? Ia filem kegemaran saya.” Shaden mengeluh. “Apabila Darcy datang kepada Elizabeth dan berkata, ‘saya sayangkan kamu’ – itulah jenis cinta yang saya mahukan.” – NYT
|
ARKIB -Adib Zalkapli -William C. Chittick LAGI>> |
||||
>>
----------
----------
---------- *tempahan/belian terus kepada penerbit akan diberikan diakaun 10% LAGI>>
|