Jun 2008

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ESEI

Kebangkitan yang Lain (I)
Fareed Zakaria

Warga Amerika sedang murung ketika ini. Memang betul-betul murung. Pada bulan April, satu tinjauan menunjukkan bahawa 81 peratus warga Amerika percaya negara itu berada di landasan yang salah. Dalam tempoh 25 tahun soalan ini ditanyakan, respon bulan April itu merupakan yang paling negatif. Memang terdapat sebab untuk menjadi pesimistik -  kekacauan kewangan dan kemelesetan ekonomi, perang Iraq yang seperti tidak berpenghujung dan ancaman keganasan. Bagaimanapun, hakikat sebenarnya – peningkatan jumlah pengangguran, kadar pelelongan, kematian akibat serangan pengganas – sebenarnya tidak cukup untuk menjelaskan keadaan pesimistik hari ini.

Kebimbangan Amerika sebenarnya berpunca daripada sesuatu yang sangat mendalam, perasaan bahawa satu kuasa yang besar dan mengganggu sedang bergerak di seluruh dunia. Dalam setiap industri, dalam setiap aspek kehidupan, rasanya corak masa silam sedang dikocak. “Whirl is king, having driven out Zeus,” tulis Aristophanes 2,400 tahun yang lalu. Dan untuk kali pertama dalam tempoh yang panjang, Amerika Syarikat tidak lagi kelihatan mendahului. Warga Amerika melihat dunia baru bakal muncul, tetapi bimbang kerana dibentuk di tempat yang jauh oleh orang-orang asing.

Lihatlah disekeliling. Bangunan tertinggi di dunia terletak di Taipei, dan tidak lama lagi di Dubai. Syarikat awamnya yang terbesar terletak di Beijing. Loji penapisan terbesar sedang dibina di India. Pesawat penumpang terbesarnya dibina di Eropah. Dana pelaburan terbesar di dunia berada di Abu Dhabi; industri perfileman terbesar adalah di Bollywood dan bukannya Hollywood. Roda feri terbesar berada di Singapura. Kasino terbesar di Macao, yang mendahului Las Vegas dari segi pendapatan perjudian pada tahun lalu. Amerika juga tidak lagi mendominasi aktiviti kegemarannya, membeli-belah. The Mall of America di Minnesota, satu ketika adalah yang terbesar di dunia, tetapi hari ini tidak menduduki tempat sepuluh terbesar. Dalam kedudukan terbaru, hanya dua warga Amerika yang menduduki senarai sepuluh orang terkaya. Senarai ini nampak rawak dan mungkin tidak tepat, tetapi bayangkan sepuluh tahun lalu, Amerika Syarikat akan menduduki tangga teratas untuk semua kategori.

Perkembangan terbaru ini menunjukkan anjakan seismik dalam kuasa dan sikap. Inilah yang saya rasakan apabila saya berjalan di seluruh dunia. Di Amerika, kita masih mendebatkan keadaan anti-Amerikanisme. Ada yang mengatakan masalahnya memang jelas dan membimbangkan dan perlunya dunia dipikat semula. Ada pula yang mengatakan inilah harga yang perlu dibayar untuk kuasa dan banyak negara yang cemburu, jadi rungutan mereka boleh sahaja tidak diendahkan. Bagaimanapun, sementara kita berdebat mengapa kita dibenci, mereka telah bergerak dan kini lebih berminat dengan tempat-tempat di dunia yang lebih dinamik. Dunia telah berganjak daripada anti-Amerikanisme kepada pasca-Amerikanisme.

Pada tahun 1980an, ketika saya melawat India – tempat saya membesar – kebanyakan warga India sangat mengagumi Amerika Syarikat. Minat mereka bagaimanapun bukanlah terhadap permainan kuasa di Washington atau intelektual yang hebat di Cambridge.

Mereka sering bertanya kepada saya tentang Donald Trumo. Beliau adalah simbol Amerika Syarikat – menunjuk-nunjuk, kaya dan moden. Beliau menjadi simbol kepada perasaan bahawa jika anda mahukan sesuatu yang besar, pergilah ke Amerika. Hari ini, di luar bidang hiburan, tidak ada minat yang setara dalam personaliti Amerika. Jika anda tertanya-tanya mengapa, bacalah akhbar India atau tontonilah televisyen. Terdapat berpuluh-puluh peniaga India yang kini lebih kaya daripada Donald. Warga India terlalu obses dengan hartawan hartanah mereka. Dan minat mereka terhadap kisah sendiri sedang diikuti di kebanyakan tempat di seluruh dunia.

Berapa banyak? Bayangkan hakikat ini. Pada tahun 2006 dan 2007, 124 negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi melebihi empat peratus setahun. Ini termasuklah lebih 30 negara di Afrika. Sejak dua dekad lepas, tanah di luar negara Barat yang terindustri sedang berkembang pada kadar yang tidak difikirkan satu masa dahulu. Antoine van Agtmael, pengurus dana yang mencipta istilah emerging markets, telah mengenal pasti 25 syarikat yang berkemungkinan besar menjadi syarikat antarabangsa terbesar di dunia. Senarainya termasuklah empat syarikat dari Brazil, Mexico, Korea Selatan dan Taiwan; tiga dari India, dua dari China, dan masing-masing satu dari Argentina, Chile, Malaysia dan Afrika Selatan. Ini lebih besar daripada kebangkitan China atau Asia. Ini adalah kebangkitan seluruh dunia.

Kita sedang hidup dalam anjakan kuasa ketiga terbesar di dunia. Yang pertama adalah kebangkitan dunia Barat, sekitar abad ke-15. Ia menghasilkan dunia yang kita kenali hari ini – sains dan teknologi, perdagangan dan kapitalisme, revolusi industri dan pertanian. Ia juga membawa kepada dominasi politik yang berpanjangan negara-negara Barat. Anjakan kedua, yang berlaku pada penghujung abad ke-19, adalah kebangkitan Amerika Syarikat. Sebaik sahaja ia mengalami proses industrialisasi, ia menjadi negara paling berkuasa di dunia, lebih kuat daripada sebarang gabungan negara-negara. Untuk tempoh 20 tahun akan datang, status kuasa besar Amerika dalam setiap bidang tidak pernah dicabar – sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah, sekurang-kurangnya semenjak Empayar Roman menguasai dunia 2,000 tahun dahulu. Semasa Pax Americana, ekonomi global telah melonjak secara dramatik. Dan peluasan adalah pemangkin kepada anjakan kuasa ketiga dalam era moden – kebangkitan yang lain-lain.

Di peringkat ketenteraan dan politik, kita masih tinggal dalam dunia unipolar. Bagaimanapun, dalam dimensi lain – industri, kewangan, sosial, kebudayaan – pengagihan kuasa semakin berubah, menjauhi dominasi Amerika. Dari segi peperangan dan kedamaian, ini akan menghasilkan satu landskap yang berbeza daripada apa yang kita lihat selama ini – ia dibentuk dan ditentukan daripada banyak tempat dan lebih ramai orang.

 

 

 


 

ARKIB

-Adib Zalkapli

-William C. Chittick

LAGI>>

>>

Jawapan Kepada Soalan : Apa Itu Pencerahan baru

Pengarang : Immanuel Kant Harga: RM 20.00

----------

Pembentukan Mazhab-Mazhab Awal dan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah baru

Pengarang : Fazlur Rahman Harga: RM 15.00

----------

Polemik Islam Dan Dasar pemerintahan Karya Ali Raziq baru

Pengarang : Mohamad Immarah

Harga: RM 30

----------

*tempahan/belian terus kepada penerbit akan diberikan diakaun 10%

LAGI>>

komen