Jun 2008

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ESEI

China dan politik Olimpik

Selepas berbulan-bulan memberikan amaran kepada negara-negara agar tidak mempolitikkan Sukan Olimpik, China kini dikritik Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa kerana bertindak sedemikian.

Dalam kecaman yang jarang dilakukan, jawatankuasa itu menghantar surat kepada penganjur olimpik Beijing dan memetik pemimpin Parti Komunis di Tibet, Zhang Qingli, yang mana beliau mengisytiharkan, “Bendera merah China dengan bintang berbucu lima akan terus berkibar tinggi melebihi tanah ini.”

Zhang kemudiannya mengutuk Dalai Lama, dan berkata, “Kami sudah tentu akan mengecam rancangan pemisah kumpulan Dalai Lama.”

Komen itu dibuat semasa majlis larian obor olimpik merentasi bandar Lhasa, Tibet.

Dalam kenyataan pendek menerangkan responnya, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa berkata ia kesal kerana kenyataan politik dibuat pada upacara penutup larian obor di Tibet. Ia menambah, ia telah menulis kepada anggota jawatankuasa penganjuran Olimpik Beijing untuk mengingatkan mereka supaya mengasingkan sukan dan politik dan untuk meminta sokongan mereka dalam memastikan keadaan seperti itu tidak berulang lagi.

Seorang jurucakap Kementerian Luar China, Liu Jianchao, berkata beliau tidak sedar tentang surat itu tetapi menolak kritikan itu. Sambil mempertahankan kenyataan pemimpin parti wilayah itu, Liu berkata, mereka tidak melakukan apa-apa yang bertentangan dengan komitmen China untuk mengelakkan daripada mempolitikkan sukan itu.

“Pandangan tegas China adalah menentang usaha mempolitikkan Sukan Olimpik terutamanya menggunakannya untuk masuk campur dalam urusan dalaman China,” kata Liu semasa satu sidang akhbar.

“Tindakan sesetengah pegawai mengatakan pandangan mereka tentang sesuatu isu bukanlah bermakna mempolitikkan Olimpik, tetapi hanyalah usaha untuk menstabilkan wilayah Tibet dan mencipta satu persekitaran yang harmoni dan stabil untuk Sukan Olimpik,” katanya.

Surat yang mengkritik China itu menunjukkan satu perubahan sikap yang besar. Jawatankuasa itu sebelum ini sering dikritik kerana berdiam diri dalam isu hak asasi manusia di China menjelang Olimpik.

Tibet menjadi fokus perhatian antarabangsa semenjak protes bermula pada awal Mac. Sebagai tindak balas kepada protes itu dan rusuhan di Lhasa, China menutup kawasan itu kepada orang luar sementara ia melancarkan operasi besar-besaran, penahanan, mengetatkan kawalan terhadap biara-biara Buddha di Tibet dan kempen pendidikan semula untuk menghapuskan pengaruh Dalai Lama.

Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa berkata mustahil untuk mengatakan dengan pasti berapa ramai yang mati dalam tempoh itu kerana pemerhati bebas dilarang memasuki Tibet. Kumpulan pelarian Tibet bulan lalu berkata lebih 200 orang mati sementara pihak berkuasa China mengakui hanya 19 kematian.

Jawatankuasa Olimpik secara konsisten menegaskan bahawa China sebagai tuan rumah akan membawa kepada kebaikan kepada masyarakatnya, termasuk dalam hal hak asasi manusia. Pegawai-pegawai olimpik juga telah bercakap tentang perlunya dialog dengan China.

Kumpulan hak asasi antarabangsa dan penentang dari dalam China sering menegaskan bahawa negara itu menggunakan Olimpik untuk membuat kenyataan politik dengan bermatlamat menaikkan imejnya.

Di dalam negara, sukan itu sedang dipromosikan sebagai misi nasional. Media berita China telah memfokuskan acara seperti larian obor, untuk mempromosikan sentimen nasionalis.

Sebagai tindak balas kepada tekanan antarabangsa, China telah mengambil bahagian dalam rundingan dengan wakil Dalai Lama, tetapi para pemerhati berkata, kemajuan untuk penyelesaian sangat terhad. Dalai Lama telah hidup dalam pelarian di India sejak melarikan diri dari China pada tahun 1959.

 

 


 

ARKIB

-Adib Zalkapli

-William C. Chittick

LAGI>>

>>

Jawapan Kepada Soalan : Apa Itu Pencerahan baru

Pengarang : Immanuel Kant Harga: RM 20.00

----------

Pembentukan Mazhab-Mazhab Awal dan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah baru

Pengarang : Fazlur Rahman Harga: RM 15.00

----------

Polemik Islam Dan Dasar pemerintahan Karya Ali Raziq baru

Pengarang : Mohamad Immarah

Harga: RM 30

----------

*tempahan/belian terus kepada penerbit akan diberikan diakaun 10%

LAGI>>

komen