JalanTelawi [Beta] » Amin Ahmad

Majulah Singapura
Mari kita rakyat Singapura

Sama-sama menuju bahagia

Cita-cita kita yang mulia

Berjaya Singapura

Marilah kita bersatu

Dengan semangat yang baru

Semua kita berseru

Majulah Singapura

Majulah Singapura

Marilah kita bersatu

Dengan semangat yang baru

Semua kita berseru

Majulah Singapura

Majulah Singapura

~Majulah Singapura

Saya telah menghafal lagu rasmi negara Singapura yang digubah oleh Zubir Said ini ketika mengikuti latihan 25 hari di Outward Bound School, Lumut (kini Outward Bound Malaysia, Lumut). Dalam tempoh itu, hampir setiap pagi kami akan mendengar kakitangan Penerbangan Antarabangsa Singapura (SIA) menyanyikan lagu ini sebelum kami menyanyikan Negaraku.

Singapura bukanlah negara yang asing buat kebanyakan warga Malaysia. Setakat yang diingati, kali pertama saya mengenali negara Singapura ialah melalui Liga Bola Sepak Semi-Pro Malaysia. Waktu itu nama seperti Fandi Ahmad, V. Sundramoorthy, Malek Awab dan David Lee adalah antara nama yang cukup dikenali di kalangan peminat bola sepak di Malaysia. Lambang Singa yang sinonim dengan Singapura itu cukup dekat dengan lambang singa yang menjadi jolokan kepada pasukan bola sepak negeri Perlis, Singa Utara.

Lambang Singa ini sudah tentu berkaitan dengan nama negara Singapura yang menurut bahasa Sanskrit bermaksud “Kota Singa” dan dikatakan diambil melalui kisah haiwan yang ditemukan oleh Sang Nila Utama tatkala bersiar-siar di tepi pantai. Namun, dalam catatan C.M. Turnbull, A History of Singapore 1819-1988 menyebut bahawa ia adalah satu paradoks kerana singa tidak pernah terdapat di negara itu.

Selain itu, negara Singapura juga dikenali melalui sejumlah kisah rakyat dan sejarah misalnya Hang Nadim: Singapura Dilanggar Todak, sejarah pembukaan negeri Melaka di mana Parameswara melarikan diri dari negara itu ketika ia masih disebut Temasek dan tentulah lokasi kegemilangan filem Melayu satu ketika dulu: Studio Jalan Ampas.

Kemudian saya tahu bahawa Singapura bersama Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk sebuah negara dinamakan Malaysia pada 16 September 1963. Namun, penyatuan Singapura sebagai sebuah entiti yang membentuk Malaysia tidak lama. Persetujuan dicapai untuk memisahkan Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Ramai yang tidak tahu, bahkan mungkin saya juga salah memahami akan hal-hal yang telah mendorong Singapura bersama membentuk Malaysia sebelum memisahkan diri. Namun, sedikit sebanyak kesan daripada sejarah ini masih menghantui Malaysia (dan mungkin juga Singapura) sehingga kini.

Dari sejarahnya, Singapura juga gemilang sebagaimana Melaka, kerana berada di laluan strategik untuk perdagangan. Pada masa lalu, pelabuhan memainkan peranan yang cukup besar dalam memangkin urusan perdagangan. Jika di Pulau Pinang orang ramai mengenali nama Francis Light, di Singapura pula nama Stamford Raffles lebih dikenali. Beliaulah wakil kepada Syarikat Hindia Timur yang menandatangani perjanjian dengan Sultan Hussein Shah untuk British mula menduduki dan membangunkan sebahagian kawasan di Singapura. Ia menjadi titik mula British menakluki seluruh pulau itu kemudiannya melalui satu perjanjian lain di mana Singapura dijadikan sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat (selain Melaka dan Pulau Pinang).

Sebenarnya, pada abad ke-18 hingga abad ke-20, usaha meluaskan wilayah perdagangan rancak dilakukan oleh kuasa-kuasa besar dunia waktu itu. Syarikat Hindia Timur ini berpeluang untuk membuka laluannya ke China seawal tahun 1771, ketika Sultan Kedah mencari sokongan untuk melindungi wilayahnya. Sebagai cagaran, Pulau Pinang ditawarkan kepada syarikat ini. Semua ini berlaku sebelum British mengambil alih pelabuhan Melaka dan Singapura. Negeri-Negeri Selat ini, termasuk Singapura, ditadbir oleh Residen.

Singapura juga tidak terlepas daripada tempias persaingan kuasa-kuasa besar dulu. Pendudukan Jepun di Malaya pada awal 1940-an telah memudahkan kejatuhan Singapura sebagai kubu British kepada negara Matahari Terbit itu. Waktu itu Singapura dikenali sebagai Shonanto, yang bermaksud Pulau Selatan.

Ramai tidak menyangka bahawa tentera British boleh dikalahkan oleh tentera Jepun. Ternyata kempen ‘Asia untuk orang Asia’ yang dipopularkan Jepun telah berhasil memberi mereka ruang untuk melebarkan pengaruh mereka di negara-negara Asia yang ditadbir oleh kuasa Barat seperti British. Namun, ia tidak kekal lama kerana kekalahan Jepun dalam Perang Dunia ke-2 dengan peristiwa ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki telah memaksa mereka menyerah kalah dan berundur.

Kembalinya British selepas itu tidak lagi sama. Di mana-mana terdapat pelbagai pihak mula melancarkan tunjuk perasaan menuntut pemerintahan sendiri. Persaingan kuasa besar yang tidak surut sepenuhnya pada waktu itu membuatkan British bimbang dengan kemungkinan meluasnya pengaruh fahaman sosialisme-komunisme di Singapura. Namun, British sangat sedar bahawa melengahkan tuntutan tersebut juga mempunyai kesannya tersendiri. Ia kemudian diterjemahkan pentadbiran sendiri dengan kuasa berkaitan pertahanan dan hubungan luar masih di bawah British.

Selepas itu kecenderungan British ialah menjadikan Singapura sebahagian daripada Malaysia, meliputi Sabah dan Sarawak. Ini keputusan penting yang dipersetujui oleh Lee Kuan Yew yang telah menjadi Perdana Menteri Singapura selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang dipimpin beliau menang dalam Pilihan Raya di negara itu pada Mei 1959. Sebagai sebuah negara kecil dengan segala keterbatasan sumber, di samping mengelakkan pelebaran penguasaan kumpulan pro-komunis yang bersaing hebat dengan PAP, keputusan tersebut dilihat sebagai bijaksana. Ini ditambah lagi dengan perkembangan populasi yang agak mendadak di negara tersebut. Pada sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, Hospital Kandang Kerbau di Singapura mencatatkan jumlah kelahiran yang cukup tinggi dengan 1966 dicatatkan dalam The Guiness Book of World Records sebagai tahun terbanyak kelahiran bayi, berjumlah 39,856 orang!

Sebenarnya, isu hubungan kaum telah mula difikirkan pada waktu itu. Bancian pada tahun 1960 menunjukkan populasi Melayu di Persekutuan Tanah Melayu ialah seramai 3.46 juta orang manakala Cina seramai 2.55 juta orang dan India pula seramai 700 ribu orang. Tetapi bancian di Singapura pula menunjukkan orang Melayu hanya seramai 232 ribu orang sementara orang Cina seramai 1.25 juta orang dan orang India seramai 140 ribu orang. Tunku berpendapat hal ini dapat diimbangkan dengan melibatkan Sabah dan Sarawak. Hasrat Tunku ini berhasil apabila dapatan Bangsa Bersatu menunjukkan bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak cenderung bersetuju untuk bersama membentuk Malaya. Kerana kajian inilah, 31 Ogos 1963 yang merupakan tarikh asal pembentukan Malaysia telah dianjak. Selama 15 hari kerajaan Singapura diisytiharkan merdeka dengan PAP menjadi pemegang amanah sehingga pembentukan Malaysia.

Sebagaimana Sabah dan Sarawak selepas pembentukan Malaysia, Singapura tidak membenarkan penglibatan UMNO dalam politik di sana. Namun, UMNO melanggar persetujuan tersebut dengan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri di Singapura pada tahun 1963. Meskipun UMNO gagal memenangi sebarang kerusi, hubungan UMNO dan PAP mula longgar. Kemudian PAP telah membuat keputusan menyertai Pilihan Raya Persekutuan dan memenangi satu kerusi di Parlimen Malaysia.

Pelbagai isu yang kemudian timbul. Daripada tindakan Konfrontasi oleh Indonesia yang melihat pembentukan Malaysia sebagai agenda pro-British – dan diterjemahkan kepada serangan fizikal melibatkan nyawa, harta benda dan pemutusan hubungan diplomatik, layanan kaum yang tidak saksama di empat wilayah bergabung ini, pertembungan pelbagai parti politik yang membawa kepada gabungan parti-parti yang berlawanan – Perikatan Kebangsaan Malaysia dipimpin oleh UMNO dan Konvensyen Perpaduan Malaysia dipimpin oleh PAP, dan akhirnya pertembungan kaum yang semakin tidak terkawal.

Seluruh peristiwa ini telah memakan korban nyawa dan harta benda yang tidak sedikit. Lebih daripada itu, ia kekal sebagai bayang-bayang kepada masa depan negara Singapura dan Malaysia yang kini membentuk dua negara berbeza.

Baru-baru ini saya dijemput hadir mengendalikan perbincangan berkaitan keputusan Pilihan Raya di Singapura yang dilangsungkan pada awal Mei 2011. Saya tidak dapat hadir pada saat akhir kerana diserang alergi. Namun, dalam perbualan lain dengan seorang rakan, saya ditanya apakah kesan keputusan Pilihan Raya Singapura kepada Malaysia. Untuk saya, ia tidak memberi banyak kesan kepada Malaysia sebaliknya keputusan Pilihan Raya di Malaysia-lah yang sedikit sebanyak menyumbang kepada keputusan Pilihan Raya di Singapura itu.

Saya berpandangan sedemikian kerana umumnya rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, tidak melihat Singapura sebagai satu kayu ukur kepada apa yang mahu dicapai oleh mereka. Ini mungkin disebabkan oleh sentimen yang lama dikobar oleh Dr. Mahathir dulu. Di kalangan orang Melayu, Singapura adalah model bagaimana masyarakat Melayu ditindas dan itu menjadi sebab kenapa UMNO dilihat sebagai wadah penting di samping DAP adalah cerminan PAP.

Dengan sentimen itu, orang Melayu tidak berminat untuk melihat bagaimana misalnya:

Singapura berkongsi tangga pertama dalam Indeks Persepsi Rasuah (bermaksud negara itu paling kurang rasuah berbanding negara-negara lain di dunia) bersama Denmark dan New Zealand.

Negara itu juga boleh dilihat sebagai contoh dalam perlindungan harta intelek di mana mereka telah diiktiraf sebagai negara terbaik dalam hal tersebut.

Karenak birokrasi di negara itu juga disenaraikan sebagai paling kurang.

Ekspatriat melihat negara itu sebagai pilihan utama di kalangan negara Asia jika mereka ingin bekerja. Kebebasan pekerjaan menjadikan ia negara terbaik untuk bakat luar masuk.

Meskipun berada di tangga ketujuh dalam senarai negara paling berinovasi, Singapura dianggap sebagai antara negara yang paling berdaya saing.

Banyak lagi yang boleh dipelajari daripada negara itu boleh disenaraikan. Sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber terbatas, pencapaian Singapura itu boleh dipuji.

Namun, ada yang menarik untuk dilihat selain daripada kekayaan ekonomi.

Semasa saya di Amerika Syarikat pada tahun 2008, Singapura menjadi satu subjek perbincangan menarik di kalangan peserta kursus musim panas yang saya ikuti. Sebelumnya saya agak terkejut kerana tidak ramai yang mengenali Malaysia berbanding Singapura. Mereka yang tahu mengenai Malaysia juga mempunyai gambaran terhad – mengetahui Mahathir, Anwar Ibrahim dan KLCC. Mereka lebih mengenali Singapura kerana kemakmuran ekonomi di negara itu.

Dalam kursus musim panas itu saya mendalami sedikit sebanyak falsafah, sejarah, perundangan dan ekonomi kebebasan. Dilema sering berlaku di kalangan pendokong kebebasan kerana realiti menunjukkan terdapat negara mempunyai kebebasan ekonomi yang baik tetapi tidak mempunyai kebebasan politik yang baik. Singapura adalah contoh yang sering dikutip. Meskipun ekonomi negara itu dilihat makmur, persekitaran politiknya dikategorikan sebagai hibrid rejim. Singapura ditempatkan pada kedudukan ke 82 dalam Indeks Demokrasi di mana Bangladesh berada di tempat ke 83 dan Bolivia serta Hong Kong berkongsi tempat ke 81.

Hakikat kesempitan ruang demokrasi di Singapura ini dapat saya rasakan semasa berkunjung ke sana. Ketika menaiki teksi untuk ke beberapa destinasi di negara itu, saya seringkali diajak oleh pemandu di sana berbual tentang politik. Kelihatan mereka mengikuti perkembangan politik di Malaysia. Menurut mereka, di Singapura sukar untuk berbual politik di tempat awam kerana ada ejen pemerintah berpakaian biasa yang boleh menangkap sesiapa saja dengan tuduhan subversif. Mendengar tentang itu, saya terkenangkan bagaimana ejen Nazi mengukuhkan kawalan Hitler terhadap rakyat mereka. Ia saling tidak tumpah sama. Saya tidak pasti akan kebenaran cerita pemandu teksi itu tetapi berpendapat itu sangat tidak wajar.

Bagi sesetengah kenalan semasa di Amerika Syarikat dulu, mereka juga percaya bahawa dengan kebebasan ekonomi, kebebasan politik akan diperolehi. Maksudnya, lebih baik ada kebebasan ekonomi berbanding kebebasan politik berbanding adanya kebebasan politik tanpa kebebasan ekonomi.

Saya fikir itu ada asasnya tersendiri.

Ia mengingatkan saya kepada pertembungan idea Nilai Asia yang dipegang oleh Dr. Mahathir dan Lee Kuan Yew dengan pandangan Kebangkitan Asia yang dipopularkan oleh Anwar Ibrahim. Sambil Nilai Asia tebal dengan pandangan skeptikal kepada demokrasi, Kebangkitan Asia pula mengangkat wacana demokrasi sebagai nilai yang sebenarnya ada dalam tradisi Asia.

Pertembungan ini masih belum berakhir. Ramai pemikir dan ahli ekonomi terus mencari jawapan kepada hubung-kait pertumbuhan ekonomi dan kebebasan politik. Saya fikir persoalan ini tidak harus dilihat sebagai permainan kalah mati tetapi mesti dilihat sebagai satu sinergi, sebagaimana cuba diterangkan oleh Amartya Sen melalui karyanya Freedom as Development.

Singapura telah menunjukkan kemampuannya dalam mendorong pertumbuhan ekonomi. Kuasa masih di tangan PAP dalam Pilihan Raya yang diadakan awal Mei lalu. Namun, hakikat bahawa 81 daripada 87 kerusi yang dimenangi itu tidak mencerminkan realiti perolehan sokongan dalam pengundian (di mana PAP hanya mendapat 60.14% undi) adalah sesuatu yang perlu difikirkan secara serius oleh semua yang menghargai erti hidup bernegara, di mana pun kita berada.

Sebagai seorang warga dunia yang melihat isu kemanusiaan, keadilan dan kebebasan melangkaui sempadan geografi, saya mendoakan kemajuan Singapura – tidak terbatas kepada pengertian ekonomi, tetapi mencakupi seluruh medium yang dapat mengangkat martabat manusia ke tahap lebih baik.

Amin Ahmad, 29 mahu memahami lebih lanjut dinamika ASEAN+3 sebagai wilayah berbudaya yang maju dalam segenap aspek.

Kiriman Berkaitan

Malaysia yang [Masih] Goyang Hasmi bin Hashim

Membina Negeri Ini Kembali Hasmi bin Hashim

Ogos untuk Tiga Negara Hasmi bin Hashim

Mardika, Merdeheka, Merdeka! Amin Ahmad

Sasterawan Wajar Berjiwa Besar Lee Ban Chen

Akar Pemikiran Hayek Al-Mustaqeem Mahmod Radhi

Tahun Kosong
Gambar seorang mangsa yang ditemui dalam salah satu bilik di S-21 semasa hari pengunduran rejim Khmer Rouge.

Lewat Februari hingga awal Mac lalu, saya memilih mengeluarkan belanja untuk hadir ke Program Pemimpin Muda Nahdah Asia siri ke-5 yang berlangsung di Kemboja. Sebagai alumni program tersebut, saya selalu cuba memahami beberapa isu setempat termasuk sejarahnya.

Intrik politik di Kemboja pasca kemerdekaan negara itu mungkin rumit disebabkan ia berlaku seiring dengan perkembangan Perang Vietnam. Pertembungan ideologi masih belum surut dan kekal bersemarak pasca Perang Dunia kedua.

Perlembagaan buatan kolonial Perancis membenarkan waris daripada dua keluarga – Sihanouk dan Sisowath. Dalam getir intrik yang berlaku, saya menemukan kenyataan kesal dalam kecaman Raja Sisowath Sirik Matak kepada Amerika lewat suratnya kepada duta rasmi negara itu di Kemboja. Waktu itu Amerika menawarkan perlindungan kepada beliau daripada terus ditahan lewat konfliknya dengan Sihanouk dan Perdana Menteri, Lon Nol. Katanya: “Saya memahami sikap Amerika untuk tidak campur tangan dalam urusan dalaman (Kemboja). Tetapi sekiranya Amerika terus memberi sokongan kepada rejim (Sihanouk) yang sedang memerintah, kami akan jatuh ke tangan Komunis. Anda memberi bantuan kepada seorang manusia (merujuk dirinya – penulis) yang mahu hidup secara bebas. Namun, apabila anda menyokong rejim yang tidak mendapat sokongan rakyat, anda sebenarnya sedang membantu Komunis.”

Persoalan berkaitan turut dibangkitkan dalam program tersebut. Dalam beberapa sesi  perbincangan, saya mengesan perasaan mendalam daripada pertanyaan seorang peserta dari Kemboja. Katanya: “Saya telah banyak kali mempertanyakan soalan ini kepada ramai orang tetapi saya tidak memperolehi jawapan yang memuaskan. Saya tertanya kenapakah masyarakat dunia tidak mengambil tindakan yang sepatutnya untuk campur tangan bagi mengelakkan tragedi ini?”. Soalan peserta ini merujuk kepada tragedi penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai di Padang Pembunuhan (the Killing Fields) dan Pusat Tahanan Tuol Sleng yang dikenali dengan panggilan S21. Daripada banyak sumber yang tercatat, jumlah kematian di era pemerintahan Khmer Rouge (1975-1979) pimpinan Pol Pot itu adalah seramai kira-kira 2 juta orang – satu perlima daripada jumlah penduduk di Kemboja pada waktu itu. Ini termasuk 35,000 warga asing dari pelbagai negara, khususnya Vietnam.

Saya tidak dapat menahan diri daripada mengunjungi kedua-dua tempat tersebut. Sukar untuk saya memahaminya. Untuk manusia normal, melihat kebenaran sejarah yang ditunjukkan di sana cukup mengganggu perasaan. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana mereka yang berdepan dengan realiti pahit tersebut. Fikiran menjadi keliru kerana sepanjang wisata saya ke negara itu, rakyatnya ternyata cukup berhemah. Namun, rakan dari Kemboja mengingatkan kecenderungan ekstrim rakyat di sana – yang baik boleh jadi sangat baik dan yang jahat boleh jadi sangat jahat.

Tidak banyak boleh saya dapatkan daripada cerita rakyat – atau lebih khusus pemandu Tuk Tuk yang saya ambil. Mereka sebolehnya tidak mahu mengingati peristiwa tersebut. Mereka sendiri tidak dapat memahami sepenuhnya kezaliman yang berlaku. Mereka percaya sebahagian pejuang revolusi Khmer Rouge itu baik tanpa menafikan penolakan terhadap kezaliman yang berlaku. Saya membeli beberapa bahan untuk ditonton dan dibaca bagi menambah kefahaman tentang apa yang berlaku.

Semuanya bermula pada April 1975. Waktu itu Perang Vietnam mulai berakhir dan Amerika Syarikat meninggalkan Saigon, ibu kota Selatan Vietnam sebelum diduduki oleh Tentera Rakyat Vietnam dan Barisan Pembebasan Kebangsaan, sekaligus memulakan era pemerintahan komunis di negara itu.

Kemboja tidak terlepas daripada menerima tempias pergolakan di Vietnam. Ketika negara jiran mereka bergolak, pertembungan dasar berlaku. Ramalan bahawa negara China tidak akan menguasai Indo-China telah menyebabkan Raja Norodom Sihanouk mula menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara tersebut termasuk Kesatuan Soviet Rusia. Pelabuhan di Sihanoukville telah dijadikan jalan pembekalan senjata kepada Vietnam. Tindakan itu telah menyebabkan Kemboja tidak lagi dilihat negara berkecuali. Sihanouk kehilangan kuasa melalui coup d’etat tentera yang dipimpin oleh Jeneral Lon Nol dengan bantuan Sirik Matak.

Sihanouk yang berada di luar negara ketika rampasan kuasa itu berlaku kemudiannya ‘bekerjasama’ –dari luar negara – dengan Pol Pot atau nama sebenarnya Saloth Sar, musuh politik lamanya untuk menentang pemerintahan baru tentera tersebut. Kehadiran ramai tentera dan tindakan pengeboman di kawasan Timur Cambodia yang menjadi tempat persinggahan rakyat dari Utara Vietnam telah membunuh ratusan ribu orang dan ketidakstabilan yang berlaku menjadikan populariti Pol Pot semakin meningkat. Dengan gerakan tersusun, Pol Pot merancang pengambil-alihan kuasa.

Tanggal 17 April 1975, Phnom Penh mula dikawal sepenuhnya oleh rejim komunis Khmer Rouge. Kebanyakan yang mengikutnya ialah remaja dan anak muda yang menyokong gerakan revolusi bersenjata. Kehadiran mereka disambut gembira oleh penduduk di Phnom Penh yang mula melihat masa depan lebih baik untuk negara mereka. Tidak ada lagi peperangan dan pemberontakan.

Namun, kegembiraan itu tidak lama. Hanya selepas beberapa jam, Phnom Penh mula dikosongkan dan penduduk dikerah bergerak ke pinggir bandar – berjalan kaki dan diiringi oleh gerila bersenjata. Rakyat asing mula meninggalkan negara tersebut. Bagi yang gagal berbuat demikian, nasib mereka tidak pernah diketahui dan kemudiannya dianggap mati, kecuali beberapa yang mayatnya dapat dikesan kemudian.

Pol Pot mula melancarkan apa yang disebut sebagai revolusi pertanian, meniru sebahagian Revolusi Budaya ala Mao Zedong di China di mana beliau pernah melihatnya sendiri dalam kunjungan ke negara itu. ‘Abang besar nombor 1’ itu mengatakan “sesiapa yang mempunyai beras mempunyai segala-galanya”. Ironinya, Parti Komunis Kemboja yang merupakan tulang belakang di sebalik rejim Khmer Rouge itu mengisytiharkan nama baru negara itu sebagai Republik Demokrasi Kemboja. Pol Pot  mengumumkan permulaan Tahun Kosong dengan agenda utamanya ialah penyucian pemikiran yang bercanggah dengan komunisme. Kesetiaan rakyat mesti ditumpahkan sepenuhnya kepada Angkar, nama lain bagi rejim Khmer Rouge – Parti Komunis Kemboja.

Rakyat Kemboja tidak dibenarkan ke luar negara – kecuali sebahagian yang sempat diselamatkan melalui penerbangan keluar duta dan rakyat asing. Mereka ini terdiri daripada rakyat Kemboja – dan ahli keluarga mereka – yang bekerja dengan kedutaan atau syarikat negara terbabit.

Bagi memastikan Tahun Kosong berlangsung sepenuhnya, generasi lama perlu dihapuskan kerana mereka dianggap sebagai kelompok yang telah tercemar pemikirannya. Waktu itu bergentayangan ungkapan ‘sesiapa yang merungut adalah pengkhianat, sesiapa yang melawan adalah mayat’.

Antara kelompok awal yang dibunuh ialah para profesional, bijak pandai, orang kaya dan bekas pegawai kerajaan terdahulu. Ia dibuat dengan pengumuman bahawa Angkar sangat memerlukan mereka untuk membantu usaha revolusi bagi memajukan negara. Tidak terhad kepada kelompok tersebut yang berada di dalam negara, mereka yang pulang dari luar negara juga dipanggil balik dengan alasan yang sama sebelum dibunuh. Mereka yang berlindung di kedutaan asing juga diseret keluar bersama keluarga masing-masing sebelum dibunuh. Kekuatan sosial yang lain seperti kelompok yang beragama Buddha dan selainnya juga menjadi mangsa pembunuhan kejam selain banyak tempat ibadat turut dimusnahkan. Etnik minoriti seperti Vietnam, Cina, Muslim Champa serta sejumlah etnik lain turut dikorbankan.

Tenaga rakyat yang diusir ke pinggir bandar dikerah sepenuhnya untuk pertanian. Ramai yang mati akibat beban kerja yang melampau di samping penyakit dan kelaparan akibat catuan makanan – hanya 180 gram nasi seorang untuk dua hari, berbeza dengan gerila yang dibenarkan menikmati makanan yang lebih baik. Dengan kawalan gerila, mereka – antara 10 hingga 15 keluarga – ditempatkan bersama dalam satu rumah. Mereka yang bermasalah akan diseksa dan lazimnya dibunuh. Untuk gerila ini, hidup atau mati mereka itu tidak signifikan. Menurut Dith Pran, rakyat Kemboja yang pernah menjadi hamba kepada rejim ini sebelum berjaya melarikan diri ke kem perlindungan pelarian di sempadan Thailand, sepanjang waktu itu “hanya mereka yang diam akan terus hidup” meskipun sebahagian yang diam juga boleh saja dibunuh sekiranya para gerila mahu berbuat demikian. Tidak ada sesiapa dibenarkan berhimpun lebih daripada dua orang tanpa pengawasan.

Selain daripada tapak Choeung Ek iaitu Padang Pembunuhan beramai-ramai yang masih ada (dan itu bukan satu-satunya), tempat yang masih dipelihara dan kekal dikunjungi ialah Tuol Sleng atau dikenali sebagai S-21. Sekolah yang ditukar menjadi pusat tahanan ini merupakan tempat di mana ‘penyiasatan’ dibuat.

Lakaran gambar yang dipamerkan di S-21 menunjukkan cara pembunuhan kanak-kanak kecil di Padang Pembunuhan.

Sebagaimana di tapak Padang Pembunuhan, masih ada bekas dan sisa terdahulu yang kekal. Jika di Padang Pembunuhan saya masih dapat melihat kesan darah kering pada pokok (yang digunakan untuk menghempas kanak-kanak dengan tujuan membunuhnya), gigi, tulang dan helaian baju yang terkambus di dalam tanah (selain yang dikumpul dan dipamerkan), di S-21 masih ada tinggalan katil, bekas makanan, alat-alat penyiksaan, besi yang diguna sebagai gari dan darah kering pada lantai. Melihat ‘pusat tahanan’ tersebut dengan segala gambar mangsa termasuk lukisan teknik penyiksaan yang berlaku membuatkan saya tertanya ‘apakah yang mendorong kesanggupan rejim Khmer Rouge ini berbuat begitu?’

Saya mungkin bertuah kerana dapat bertemu dengan Bou Meng, salah seorang mangsa tahanan di S-21 yang masih hidup. Saya membeli bukunya sebagai satu sumbangan kecil untuk perkongsian besar yang dibuatnya. Ditambah tontonan beberapa cakera padat yang dibeli, saya cuba mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran.

Bayangkan jika kita ditangkap tanpa mengetahui apa salah yang dibuat. Ketika ditanya, jawapan yang diterima cukup mengecewakan “Angkar tidak mungkin salah menangkap orang!”. Waktu itu, kita sentiasa berada di pihak yang salah kecuali mereka berpuas hati untuk mengatakan tidak – dan selalunya ini hampir tidak pernah berlaku.

Apakah kesalahan yang dimaksudkan? Mereka memberi pilihan “anda ini ejen siapa? CIA, KGB atau Vietnam?”. Cukup malang untuk orang yang hanya tahu Vietnam itu adalah negara jiran dan tidak sama sekali mengetahui apa itu CIA dan KGB. Namun, itulah pilihan jawapan yang dimahukan dan jawapan dengan mengatakan tidak terlibat dengan mana-mana daripada pilihan tersebut tidak tersenarai. Kesan daripadanya, anda mungkin ditampar, ditumbuk atau diterajang. Lebih buruk, anda akan dirotan dengan tali atau buluh, dihentak dengan kayu atau direjam dalam air. Ada juga yang kukunya dicabut, tubuh badan disiat dan ditaburkan garam serta yang dibaringkan sebelum dadanya dilompat-pijak berulang kali. Tidak hairanlah jika S-21 disebut sebagai konlaenh choul min dael chenh yang bermaksud ‘tempat di mana orang yang masuk ke sana tidak akan keluar’.

S-21 adalah neraka dunia. Sebaik sahaja masuk ke sana, ada 10 ‘peraturan keselamatan’ yang perlu diketahui oleh para tahanan.

Anda      mesti menjawab segala pertanyaan dan tidak boleh menolaknya.

Jangan      cuba melindungi fakta dengan membuat pre-teks itu dan ini. Anda tidak      boleh sama sekali mencabar penyoal.

Jangan      jadi bodoh mengatakan anda adalah seorang pemberani yang mahu menggagalkan      revolusi.

Anda      mesti terus menjawab soalan yang ditanya tanpa melengahkan masa untuk      mengingat.

Jangan      beritahu penyoal bahawa anda tidak bersalah atau anda turut sama berjuang      dalam revolusi.

Sekiranya      anda disebat atau dikenakan kejutan elektrik, anda tidak boleh meraung      atau menangis sama sekali.

Jangan      melakukan apa-apa. Duduk tegak dan tunggu arahan. Jika tiada arahan, diam.      Jika anda disuruh melakukan sesuatu, anda mesti terus melakukannya tanpa      soal.

Jangan      membuat pre-teks tentang Krom Kemboja (orang Khmer yang tinggal di kawasan      Sungai Mekong dan Selatan Vietnam – penulis) untuk menyembunyikan      pengkhianatan anda.

Jika      anda tidak patuh kepada semua peraturan di atas, anda akan disebat      berulang kali dengan wayar elektrik.

Jika      anda melanggar mana-mana peraturan, anda akan menerima sekurang-kurangnya      10 sebatan atau 5 kali kejutan elektrik.

Dengan penderaan yang dibuat, tahanan tidak punya banyak pilihan selain daripada mencipta kesalahan sendiri dan menyebut siapa saja nama yang dikenali mereka ketika ditanya tentang orang lain yang mempunyai jaringan perhubungan ini. Malangnya, nama-nama ini bukan sahaja tidak bersalah tetapi turut menjadi satu elemen pengesahan kepada dakwaan Angkar tentang kewujudan sejumlah besar pengkhianat di kalangan rakyat dalam negara.

Selain orang biasa, tahanan di S-21 juga terdiri daripada kader Angkar sendiri termasuk orang kanannya. Mereka dihukum kerana sikap paranoid Angkar terhadap elemen yang dianggap tidak cocok dengan mereka termasuk kerana mengatakan gerakan komunis di Kemboja wujud pada tahun 1951 di mana kenyataan itu secara tidak langsung mengiktiraf bantuan komunis Vietnam dalam menyusun gerakan komunisme di Kemboja dan bukan tahun 1960 iaitu ketika Pol Pot mula memimpin Jawatankuasa Pusat.

Ironi. Persaingan sesama negara komunis mempunyai dinamikanya sendiri. Vietnam yang lebih rapat dengan Kesatuan Soviet Rusia tidak mengambil mudah terhadap Kemboja yang dibantu oleh China.

Sasaran Angkar untuk menghasilkan beras sebanyak 3 tan satu hektar tidak tercapai. Mereka tidak mahu menggunakan teknologi dan mengerah semua rakyat yang dipindahkan ke pinggir bandar untuk mengusahakannya secara manual selama 12 jam sehari. Keadaan semakin buruk kerana jumlah besar daripada makanan yang dihasilkan dihabiskan oleh gerila dan kader Angkar.

Penulis di salah satu tapak penemuan tengkorak dan tulang mangsa pembunuhan beramai-ramai di Padang Pembunuhan.

Tentera Vietnam semakin mara dan menangkap sejumlah rakyat dan tentera Khmer Rouge di sempadan. Sebahagian tentera ini memilih untuk lari mendapatkan perlindungan Vietnam kerana mula merasakan situasi di Kemboja tidak lagi selamat, bahkan bertentangan dengan tujuan asal mereka menyertai revolusi. Salah seorang daripadanya ialah Leftenan Hun Sen, anak muda yang dilatih di kalangan mereka yang meninggalkan rejim Khmer Rouge untuk dijadikan pemimpin – dan beliau kini masih menjadi Perdana Menteri di Kemboja.

Krismas 1978 menyaksikan tentera Vietnam mara ke wilayah negara Kemboja untuk meluaskan sempadan selamatnya. 100,000 tentera yang masuk akhirnya menyedari bahawa rejim Khmer Rouge kian lemah dan Phnom Penh boleh ditawan dalam tempoh terdekat. Januari 1979, Pol Pot akhirnya berundur selepas menyedari bahawa rejim Khmer Rouge tidak lagi dapat bertahan.

Kini negara pasca pemerintahan kuku besi rejim Khmer Rouge diisytiharkan sebagai Republik Rakyat Kemboja. Namun, apa yang ditinggalkan oleh rejim Khmer Rouge ternyata lebih buruk daripada apa yang dapat dibayangkan oleh tentera Vietnam dan rakyat Kemboja yang bersama mereka. Vietnam hanya berundur dari Kemboja pada tahun 1989 dan Pol Pot yang tidak pernah mengaku kesalahannya kembali menggerakkan tentangan Khmer Rouge kepada kerajaan. Beliau sentiasa menyalahkan tentera Angkar yang didakwanya mendapat latihan tentera Vietnam. Beliau berdalih bahawa segala kezaliman bukanlah keinginannya tetapi tindakan sendiri tentera-tentera terbabit. Tentera-tentera ini, menurut Pol Pot, sentiasa memberikan khabar baik dalam laporan yang dibuat kepadanya.

Rundingan damai tidak berhasil. Pol Pot tidak pernah mengaku salah dan mengecam kerajaan yang ada sebagai bersekongkol dengan anasir luar. Kegagalan rundingan damai ini menyebabkan kerajaan Kemboja mengambil langkah mengumumkan pengampunan kepada mana-mana pengikut Khmer Rouge yang mahu menyerah dan kembali kepada kehidupan normal.

Pol Pot mengalami lumpuh pada pertengahan 1990-an. Namun, itu tidak menjadikan beliau lemah. Son Sen, orang kanan kepercayaannya telah diarah bunuh kerana cuba membuat rundingan damai dengan kerajaan. Pol Pot mati pada tahun 1998 sebelum sempat dibicarakan. Spekulasi mengatakan kematiannya mungkin disebabkan bunuh diri, berpunca daripada pengumuman di radio bahawa Khmer Rouge sedia untuk menghadapkan tokoh mereka itu kepada tribunal atas pertuduhan jenayah kemanusiaan.

Sukar untuk dipercayai namun itulah sebahagian sejarah pahit Kemboja. Mungkin kerana itu George Santayana menyebut kegagalan manusia mengingat sejarah akan menyebabkan mereka dikutuk kerana mengulanginya. Entah kenapa sejarah dikaitkan beliau dengan kutukan. Apakah memang sejarah buruk yang selalu berlaku justeru lebih banyak dikenang?

Kini ketua pusat tahanan S-21, Kaing Guek Eav (lebih dikenali sebagai Duch) berdepan tribunal. Beliau telah memeluk Kristian dan paderi yang membaptisnya mengatakan Duch pernah membuat pengakuan kesal akan dosa-dosa kepada rakyat. Dalam kenyataan lain, Duch menyatakan watak pelakon pembantu filem The Killing Field, Dr. Haing S. Ngor yang berjaya melepaskan diri ketika menjadi salah seorang tahanan rejim Khmer Rouge,  sebenarnya dibunuh melalui arahan Pol Pot. Sebagaimana pengakuan sebahagian gerila Khmer Rouge, Duch mengaku bahawa mereka hanyalah mata rantai yang sebenarnya berdepan dengan potensi dibunuh sekiranya tidak menjalankan tugas penyeksaan untuk mendapatkan maklumat atau membunuh tahanan di S-21. Sebagai ketua pusat tahanan, Duch  sedia mengambil tanggungjawab akibat kesalahan mereka sambil memohon hukuman diringankan.

Banyak buku, dokumentari dan filem didedikasikan kepada kisah pahit Kemboja. Saya berharap nanti akan dapat menambah koleksi sedia ada termasuk dua yang terbaru – Rain Falls from Earth (Surviving Cambodian’s Darkest Hour) dan Enemies of the People (A Personal Journey into the Heart of the Killing Fields). Saya fikir, mereka yang mahu memahami dekad gelap di Kemboja boleh memulakannya dengan filem The Killing Fields.

Dalam banyak keadaan, kita sememangnya cenderung untuk menolak campur tangan luar. Namun mungkin bukan pada setiap keadaan. Pengalaman Kemboja adalah kes yang mempunyai banyak sisi pelajaran dalam usaha kita memahami kompleksiti ideologi dan pembinaan negara.

Saya kian memahami mengapa Ikrar ASEAN (ASEAN Charter) menjadi satu usaha penting yang perlu diterjemah kepada komitmen tanpa berbelah bahagi. ASEAN telah melalui banyak sejarah pahit yang belum kunjung selesai. Anak mudalah yang harus menegaskan komitmen untuk mengembalikan maruah negara ASEAN sebagai wilayah aman, di mana maruah dan martabat insan dimuliakan melalui kedaulatan hukum, kebebasan, keadilan dan kejujuran integrasi. ASEAN harus belajar bahawa paksaan hanya boleh menyatukan kita pada satu tempoh masa tetapi idea boleh menyatukan manusia selamanya.

Jelasnya, kita hidup dalam sejarah yang penuh kisah baik buruk dan tidak ada utopia tahun kosong untuk mengusahakan masa depan yang lebih baik.

Amin Ahmad, 29 ialah seorang penggemar wisata. Ketika di Kemboja, beliau terpesona dengan Angkor Wat dan menghargai pengakuan sejarah pahit negara itu dengan menjadikan S-21 dan satu daripada Padang Pembunuhan yang ada sebagai kawasan muzium dan pusat ‘pelancongan sejarah’.Kiriman Berkaitan

Siri 2: Surat Kedua dan Ketiga Rainer Maria Rilke admin

Agama Juga Berkembang Melalui Pasaran Bebas Gary S. Becker

Kebangkitan yang Lain (I) admin

Ulasan Siri Drama The Wire Murad Ata

Mat Indera Bujang Berani Hasmi bin Hashim

Runtuhkan Tembok Ini! Amin Ahmad

Soe Hok Gie: Dokongan Tanpa Suara
Sekarang musim Pilihan Raya Kampus. Keriuhannya dapat dibaca di pelbagai medium berita, termasuk ruang jaringan sosial Facebook.

Beberapa tahun lalu saya pernah terlibat dalam apa yang dipanggil Politik Kampus. Pengalaman terhad dalam realiti politik itu telah mengajar saya banyak perkara. Dari satu sudut, saya melihat Pilihan Raya Kampus tidak memberi banyak makna kepada retorika ‘latihan kepada pemimpin masa hadapan’. Dari sisi lain pula ia mengajar banyak realiti yang perlu didepani untuk mengangkat maruah kehidupan manusia seluruhnya.

Sempena musim Pilihan Raya Kampus kali ini, saya menyediakan masa untuk menonton satu filem Indonesia: Gie. Filem ini mengisahkan sosok seorang aktivis mahasiswa Universiti Indonesia (UI) pada tahun 1960-an bernama Soe Hok Gie.

Sebenarnya nama Soe Hok Gie ini kali pertama saya dengar dari Fathi Aris Omar beberapa tahun lalu, ketika saya masih di kampus. Bagaimanapun, hanya baru-baru ini saya sempat menonton dan mula membaca tulisannya yang dihimpun sejak tahun 1970 sebelum dicetak pada tahun 1983 – lebih kurang setahun selepas kelahiran saya – dengan tajuk Catatan Sang Demonstran. Tulisan Gie yang dihimpun itu bermula Disember 1959 sehingga 8 Disember 1969, sebelum dia meninggal pada 16 Disember 1969 semasa melakukan kegiatan kegemarannya di kampus – sama seperti saya – mendaki gunung.

Mungkin Gie terdorong dengan kata Walt Whitman yang dikutip dalam catatannya: “Kini aku melihat rahsia dalam membentuk seorang manusia terbaik. Ia mesti dibesarkan dalam udara bebas serta makan dan tidur dengan alam”. Sebenarnya Gie ada menjelaskan sebab kegemarannya mendaki gunung dengan ungkapan “Kami jelaskan apa sebenarnya tujuan kami. Kami katakan bahwa kami adalah manusia-manusia yang tidak percaya pada slogan. Patriotisme tidak mungkin tumbuh dari hipokrisi dan slogan-slogan. Seseorang hanya dapat mencintai sesuatu secara sehat kalau ia mengenal objeknya. Dan mencintai tanah air Indonesia dapat ditumbuhkan dengan mengenal Indonesia bersama rakyatnya dari dekat. Pertumbuhan jiwa yang sehat dari pemuda harus berarti pula pertumbuhan fisik yang sehat. Karena itulah kami naik gunung.”

Ya, beliau meninggal muda dek keracunan gas dari kawah Mahameru semasa ekspedisi pendakian, sehari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya ke-27 sambil melihat matahari terbit dari puncak Gunung Semeru setinggi 3,442 dari paras laut. Menurut catatan, tulisannya yang terakhir ialah pada 10 Disember 1969 tetapi itu tidak dimasukkan bersama dalam buku yang dibaca saya – Catatan Seorang Demonstran.

Juga dinyatakan, sebab kenapa buku tersebut mengambil masa yang lama untuk diterbitkan ialah kerana naskah asal yang dikumpul dan diedar untuk semakan ‘hilang’ pada tahun 1972 dan sebahagiannya tidak ditemukan semula menjadikan ada bahagian tertentu tidak lengkap.

Gie lahir pada tanggal 17 Disember 1942, ketika Perang tengah berkecamuk di Pasifik (seperti yang ditulisnya sendiri), beberapa tahun sebelum perjuangan untuk kemerdekaan negara Indonesia itu berhasil. Indonesia telah ratusan tahun berjuang untuk merdeka daripada kolonialisme Belanda sejak 1602, sebelum penyerahan kuasa kepada Jepun pada 1942 sehingga mereka berundur pada Ogos 1945 selepas tewas dalam Perang Dunia Kedua. Kemudian, Panitia Proklamasi Kemerdekaan Indonesia (PPKI) mengisytiharkan Proklamasi Kemerdekaan negara Republik itu.

Latar yang membentuk keprihatinan Gie seperti yang tercatat dalam semua tulisannya telah bermula di zaman persekolahan pada era pemerintahan Orde Lama di bawah Sukarno, hinggalah kepada pemerintahan Orde Baru di bawah Suharto.  Waktu itu kediktatoran dalam politik Indonesia dianggap perlu. Istilah yang dipakai ialah demokrasi terpimpin.

Gie, mahasiswa jurusan Sejarah di Fakulti Sastera antara tahun 1962 hingga akhir hayatnya ikut bergelut dalam pertembungan intelektual antara pendokong dan penentang Soekarno. Bagaimanapun, beliau tidak aktif dalam Kesatuan Aksi Mahasiswa Indonesia (KAMI), kumpulan mahasiswa yang menjadi penggerak utama Angkatan ’66 yang popular dengan Manifesto Kebudayaan 1963, manifesto yang dilarang baca oleh Soekarno semasa Pidato Kenegaraan pada tahun 1964.

Jiwa memberontak Gie ada diungkap dalam catatan dan disebut dalam filem tersebut. Ternyata, Gie tidak dapat menerima sikap pengajarnya yang tidak sedia dikritik. Beliau menulis: “Guru yang tak tahan kritik boleh masuk keranjang sampah. Guru bukan Dewa dan selalu benar, dan murid bukan kerbau.” Memang, pemerhatian kehidupan dicatatkan oleh Gie sejak tahun 1957, ketika usianya baru sekitar 14 tahun!

Selain itu, Nicholas Saputra yang melakonkan wataknya ketika di universiti dalam filem tersebut ternyata kagum kerana mendapati Gie telah membiasakan dirinya membaca pelbagai buku penting sejak usia mudanya. Kebiasaan ini ada ditonjolkan dalam filem tersebut. Apakah yang mendorongnya? Apakah memang generasi muda pasca kemerdekaan itu jiwanya memang sangat besar untuk mengangkat maruah bangsa? Mungkin, sebagaimana kata Gie sendiri: “Hidup terlalu singkat untuk dilewatkan, carilah kesibukan untuk hidup, atau sibuklah untuk mati.”

Namun, jiwa Gie tetap terus memberontak. Kesalnya bertambah saat melihat sikap sebahagian Angkatan ‘66 yang disifatkannya mula tunduk kepada kekuasaan. Pada Gie lebih baik mati dalam pengasingan daripada tunduk kepada kemunafikan. Gie mungkin menyerang keras lewat tulisannya di pelbagai media di Indonesia pada waktu itu.

Ini telah menjemput sejumlah ancaman tersendiri termasuklah seperti yang dicatat oleh abangnya Arief Budiman atau nama sebenarnya Soe Hok Djin dalam catatan renungan pengalamannya bersama si adik. Menurutnya, pernah ada surat dihantar kepadanya dengan kata makian dan ada yang menulis “Cina yang tidak tahu diri, sebaiknya pulang saja ke negerimu saja”. Tentangan terhadapnya telah menyebabkan ibunya bertanya “Gie, untuk apa semuanya ini? Kamu hanya mencari musuh saja, tidak mendapat wang.” Kepada ibunya, Gie hanya tersenyum dan berkata ianya sukar difahami.

Memang, Gie selalu berasa sunyi; kesunyian sampai membuatkan Gie merasa hampir putus asa. Beberapa waktu yang akhir dapat diingat oleh abangnya, Gie berkata: “Akhir-akhir ini saya selalu berfikir, apa gunanya semua yang saya lakukan ini. Saya menulis, melakukan kritik kepada semua orang yang saya anggap tidak benar dan yang sejenisnya lagi. Makin lama makin banyak musuh saya dan makin sedikit orang yang mengerti saya. Dan kritik-kritik saya tidak mengubah keadaan. Jadi apa sebenarnya yang saya lakukan? Saya ingin menolong rakyat kecil yang tertindas, tapi kalau keadaan tidak berubah, apa gunanya kritik-kritik saya. Apa ini bukan semacam onani yang konyol? Kadang-kadang saya merasa sungguh-sungguh kesepian.” Mungkin juga kerana itu Gie senang mengutip kata dari filasuf Yunani yang tidak dinyatakan namanya: “Nasib terbaik adalah tidak pernah dilahirkan. Yang kedua dilahirkan tetapi mati muda. Dan yang tersial ialah (ketika) berumur tua. Berbahagialah mereka yang mati muda. Mahluk kecil kembalilah dari tiada ke tiada. Berbahagialah dalam ketiadaanmu.”

Namun, kerana keyakinannya bahawa untuk tidak menerima bahawa hidup ini tidak ada apa yang perlu diperjuangkan telah mendorongnya menegaskan sikap. “Kita, generasi kita ditugaskan memberantas generasi tua yang mengacau. Generasi kita yang menjadi hakim atas mereka yang dituduh koruptor-koruptor tua, seperti… kitalah yang dijadikan generasi yang akan memakmurkan Indonesia” tegasnya.

Gie tidak apologetik mengungkapkan kritikan kepada generasi yang disebutnya sebagai “yang berkuasa…dibesarkan di zaman Hindia Belanda…Soekarno, Hatta, Sjhahrir, Ali dan sebagainya…”. Bahkan dalam satu kenyaatan lain, Gie menegaskan “Mereka generasi tua… semuanya pemimpin-pemimpin yang harus ditembak di lapangan Banteng!” Yang jelas, Gie tidak sukakan sikap pemerintah yang terus mengambil mudah penderitaan rakyat dengan terus bersenang-lenang.

Saya fikir ada beberapa bahagian daripada pengalaman Gie ini baik untuk dilihat sebagai pelajaran berharga oleh mahasiswa tempatan, baik yang mahu digelar aktivis atau tidak kisah dengan gelar itu. Pertama, mahasiswa harus sedar bahawa mereka adalah unit-unit kecil berhubung dengan urusan kenegaraan yang lebih besar. Dengan pendedahan terhadap ilmu tinggi, mahasiswa harus mampu memastikan upaya kritis dalam diri sentiasa bertambah, khususnya terhadap apa yang disebut kekuasaan di pelbagai peringkat. Kedua, sambil mahasiswa memilih bidang pengkhususan atau lapangan hobi untuk disalurkan jiwa, masa, tenaga dan harta benda; adalah tidak wajar mahasiswa melepaskan urusan kenegaraan untuk diuruskan oleh pihak lain, khususnya orang politik. Dengan hakikat bahawa orang politik itu tidak tahu semuanya dan mahasiswa terdedah kepada ilmu tinggi, suara mahasiswa yang kritis berdasarkan ilmu tinggi tersebut harus dimajukan supaya tidak ada sikap ambil mudah dalam urusan kenegaraan. Ketiga, terlepas apa pun realiti politik yang ada, mahasiswa harus berani mengambil sikap bebas berbanding hanya dua pilihan – idealis atau apati. Sambil kita mungkin punya kecenderungan politik tertentu, kita harus berani membincangkan seluruh isu masyarakat di luar kerangka yang ditentukan oleh para penggerak politik kepartian. Selain itu, saya harap akan ada mahasiswa yang ikut mengambil bahagian – sama ada dari jauh atau dekat – akan membuat catatan objektif tentang pemerhatiannya terhadap Pilihan Raya Kampus. Ini penting sebagai satu produk sejarah dan lebih mudah dengan adanya kemudahan teknologi baru seperti blog dan e-mel.

Sebenarnya, saya tidak gemar mengangkat tokoh tertentu untuk menjelaskan kehebatan gerakan mahasiswa. Bagaimanapun, saya yakin penggerak aktivisme mahasiswa itu mempunyai kisah mereka sendiri tentang peranan masing-masing di samping individu yang berpengaruh atau paling tidak berupaya memimpin fikiran dan tindakan yang diambil mereka.

Sebagaimana Gie, sebuah buku biografinya telah ditulis oleh John Maxwell dan diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Australia pada tahun 1997, puluhan tahun selepas zamannya. Dalam komentarnya, John Maxwell berkongsi pandangan jujur tentang kenapa sosok Gie kelihatan menonjol. Beliau berkata: “Gie hanya seorang mahasiswa dengan latar belakang yang tidak terlalu hebat. Tapi dia punya kemahuan melibatkan diri dalam pergerakan. Dia selalu ingin tahu apa yang terjadi dengan bangsanya. Walaupun meninggal dalam usia muda, dia meninggalkan banyak tulisan. Di antaranya berupa catatan harian dan artikel yang dipublikasikan di koran – koran nasional”. Ringkas dan padat.

Seterusnya, ungkapan Harsja W. Bachtiar, pensyarah yang selalu menjadi rakan diskusi Gie dulunya menarik untuk direnung. Menurutnya “… di tengah pertentangan politik, agama dan kepentingan golongan, dia (merujuk kepada Gie) tetap berdiri teguh dengan prinsip kemanusiaan dan keadilan serta jujur dan berani menyampaikan kritik dan pandangannya atas dasar prinsip-prinsip itu demi kemajuan bangsa”. Apa yang penting ialah catatan-catatan Gie ini dapat dilihat sebagai satu luahan pemikiran dan perasaan pemuda dan mahasiswa di zaman mereka hidup.

Mereka mungkin tidak selalu benar tetapi yang penting ialah mereka selalu jujur dengan fikiran dan perasaan sendiri. Meskipun Gie selalu berasa sunyi dan tidak difahami, ternyata sebaik saja ramai mengetahui dia meninggal, mereka menangis dan memberi hormat kepadanya untuk keberanian menyatakan sikap bagi pihak mereka yang selalu takut menyatakannya secara terbuka kepada sang pemerintah.

Saya berharap satu hari nanti akan dapat menemukan sejumlah tulisan Gie yang lain daripada Lantera Merah dan Catatan Seorang Demonstran seperti Zaman Peralihan dan Orang-Orang di Simpang Kiri Jalan untuk lebih memahami sosok unik bernama Soe Hok Gie ini, yang didokong tanpa suara.

Amin Ahmad, 29 ialah mantan Naib Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Putra Malaysia (UPMKiriman Berkaitan

Menjaga Kepercayaan Hilman Idham

smm_major admin

Menjadi Islam dengan Berfikir Hafiz Zainuddin

Idealis Revolusioner: Antara Shari’ati dan Motahhari Aqil Fithri

Diri Goenawan Mohamad

Beberapa Perspektif tentang Bahasa, Budaya dan Bangsa Aqil Fithri

Revolusi Kuasa Rakyat
Gambar penulis di EDSA (Epifanio de los Santos Avenue), tempat yang dinisbahkan sebagai permulaan kepada Revolusi Kuasa Rakyat. © Amin Ahmad

Beberapa waktu ini dunia mula bercakap tentang revolusi. Saya tidak pasti adakah ini perasaan yang sama ketika kehangatan revolusi dirasakan dunia pada dekad 1950-an dan 1960-an serta 1980-an. Ternampak semacam ada satu desakan baru kepada apa yang disebut pertanggungjawaban kerajaan. Ya, sudah tentu revolusi tidak muncul tiba-tiba tanpa naratifnya yang selalu tidak sunyi daripada kezaliman, kawalan berlebihan, rasuah dan penyelewengan dan rasuah oleh penguasa.

Mungkin kebetulan, saluran Sejarah di Astro memaparkan sejumlah dokumentari berkaitan kepimpinan diktator. Tiga dokumentari yang telah saya tonton melalui saluran itu berkisah tentang kejatuhan Presiden Ferdinand Marcos (the Downfall of a Dictator), Pembunuhan Benigno ‘Ninoy’ Aquino (the Assassination of Benigno ‘Ninoy’ Aquino Jr.) dan kenaikan isteri Ninoy, Corazon Aquino ke kerusi Presiden (Cory Aquino: the Housewife Who Led a Revolution).

Ini mengingatkan saya akan kunjungan ke negara Filipina, sekitar setahun lalu. Waktu itu seminar the Asian Renaissance yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) dengan tajaan Sasakawa Peace Foundation (SPF) di Manila. Saya dan rakan, Najwan Halimi yang pernah mengikuti program ini di Indonesia sebelumnya telah membuat keputusan untuk melawat negara itu di samping hadir ke beberapa sesi seminar berkenaan. Satu daripada sesi seminar berkenaan diisi oleh mantan Mejar Jeneral tentera Filipina, Jose T. Almonte. Beliau menghadiahkan kami buku My Part in the 1986 People Power Revolution (Peranan saya dalam Revolusi Kuasa Rakyat 1986).

Sehingga kini, kematian Ninoy tidak pernah diketahui daripada arahan siapa. Tentu saja kematiannya selepas ditembak sebaik turun daripada kapal terbangnya adalah satu tragedi yang tidak diharapkan, meski Ninoy sering membayangkannya dalam beberapa perbualan terakhirnya. Tentu saja tuntutan pertanggungjawaban paling mudah dihadapkan kepada Marcos, diktator yang menjadi seteru politik Ninoy.

Daripada dokumentari yang dihasilkan, ternyata usaha mengenal-pasti sumber arahan untuk menembak Ninoy terhenti setakat pengakuan Pedro Martinez, tentera yang pernah dihukum penjara seumur hidup bersama belasan yang lain kerana didakwa gagal melindungi Ninoy. Beliau dikesan menangis dan bercakap sendirian semasa berada dalam tahanan oleh paderi Monsignor Oleguer yang ditugaskan pihak gereja untuk cuba mendapatkan maklumat ini melalui sesi-sesi kerohanian di penjara. “Tangisan Martinez adalah ‘suara hati’ yang inginkan pendengar bagi meredakan beban ‘dosa’ tertanggung olehnya” kata Oleguer. Jelas, memang Ninoy telah dibunuh melalui satu arahan khas pihak tertentu.

Sebagaimana yang berlaku kini, Revolusi Kuasa Rakyat di Filipina telah merebak ke beberapa negara lain seperti China, Korea, Burma, Hungary, Bulgaria, Romania, Chile dan Afrika. Juga dikatakan, gelombang kuasa rakyat yang tersebar ini jugalah yang turut mendorong keruntuhan Tembok Berlin dan kejatuhan Kesatuan Soviet tidak lama selepas itu.

Apa yang menarik dan terus membuatkan saya tertanya ialah hakikat bahawa dalam revolusi kuasa rakyat sejak dulu hingga kini, sentiasa hadir sokongan berterusan terhadap pemimpin menyeleweng dan zalim ini (Ya, tentulah jika hanya mereka yang tinggal, bagaimanakah kezaliman itu dapat dilaksanakan?).

Mereka ini hadir dalam banyak bentuk. Sebahagiannya memang orang kanan bagi pemimpin termasuk mereka yang mendapat keuntungan perniagaan melalui jalan naungan sebegini. Sebahagiannya mungkin rakyat biasa yang mendapat tempias daripada bantuan pemimpin. Mungkin, jika wang negara itu nilainya sampai ratusan billion, mereka terhutang budi dengan bantuan RM100 setahun yang disampaikan oleh jentera yang mengukuhkan pimpinan ini.

Tugas para penyokong ini pula mungkin pelbagai. Dari satu sisi, mereka berdepan secara langsung dengan kelompok yang menolak kepimpinan menyeleweng dan zalim ini. Dari satu sisi lain, mereka ini tampil lebih sederhana. Tugas mereka ialah untuk menunjukkan bahawa belum tentu yang akan menggantikan pemimpin sedia ada ini lebih baik, atau mungkin diberatkan lagi dengan pertimbangan kaum dan agama. Strategi lain yang boleh dipakai ialah untuk mengasingkan terus rakyat daripada kesedaran politik. Politik digambarkan kotor dan sepak terajangnya perit untuk dilalui oleh rakyat, khususnya mereka yang hidupnya sederhana atau sukar.

Bagi yang kaya dan tidak bimbangkan persoalan kewangan, ketakutan ditanam melalui kehilangan atau gangguan terhadap perniagaan atau pekerjaan. Tidak cukup dengan itu, perhatian rakyat dialihkan kepada persoalan lain misalnya penekanan masalah yang lebih kecil tetapi penting seperti jenayah setempat; atau kepada masalah yang nampak besar dan sukar difahami misalnya keganasan antarabangsa, perseteruan dengan pemimpin asing atau berita-berita gembira melalui media yang sentiasa menggambarkan satu sisi – tentunya baik – untuk kerajaan berkuasa.

Ringkasnya, ia memimpin dengan asas ketakutan dan ketaatan tanpa soal. Namun, jalan kediktatoran sentiasa sedar akan elemen yang tidak mengenal, atau sedia untuk melawan persekitaran tersebut. Jalan menanganinya tentulah sikap keras dan anti-demokrasi. Ini juga adalah bahagian penting untuk dilihat sepanjang proses yang membawa kepada protes massa di jalanan.

Revolusi kuasa rakyat (atau mungkin reformasi di Malaysia) tidak sunyi daripada dihakimi sejarah. Sama ada ia gagal atau belum berjaya adalah persoalan yang sentiasa dibincang. Namun, Almonte menjelaskan dengan cukup indah buat saya. Katanya revolusi tidak pernah gagal kerana tidak ada revolusi yang menghancurkan negara. Negara hancur hanya apabila rakyat hilang kesanggupan untuk memastikan ia ditadbir dengan baik melalui prinsip kebebasan dan keadilan.

Beliau meneruskan: “Sebuah revolusi dilancarkan bukan daripada perhitungan prospek kejayaan sebelumnya atau pertanggungjawaban terhadap kegagalannya. Revolusi dilancarkan sebagai maklum balas kepada keharusan moral. Ia dilancar kerana rakyat menilainya sebagai tindakan terakhir yang betul untuk dilakukan. Dalam kata lain, revolusi dilancarkan sebagai pilihan moral. Sama ada ia berjaya atau gagal, ia membenarkan sebuah negara mendapatkan kembali penghormatan diri untuk memperbaharui ‘kehidupannya’. Bagaimana sebuah negara melalui ‘hidup barunya’ bergantung kepada pelajaran yang diambil daripada revolusi dan kesediaan negara mempelajarinya.”

Tidak terhad kepada pengalaman Filipina, banyak revolusi kuasa rakyat yang telah berlaku di seluruh dunia boleh dipelahari. Banyak pengalaman telah menunjukkan kerajaan zalim dan menyeleweng hanya diganti oleh sebuah kuasa kerajaan lain yang mengulangi kesilapan sama. Ia bermula dengan harapan besar akan sebuah kuasa kerajaan untuk mengubah nasib rakyat. Sambil ia benar pada tahap tertentu, pesan ahli ekonomi Perancis, Frederic Bastiat yang menyaksikan naik turun banyak kerajaan pasca Revolusi Perancis wajar difikirkan. Kata beliau: “Hampir semua orang mahu hidup dengan biaya kerajaan. Mereka lupa bahawa kerajaan mahu hidup dengan biaya semua orang”.

Untuk saya, revolusi kuasa rakyat hanya benar dapat berlaku melalui kebebasan dan keadilan. Ini berlaku apabila setiap rakyat sebagai individu membebaskan diri mereka daripada penggantungan besar kepada kerajaan dengan penegasan bahawa mereka boleh menguruskan diri mereka sendiri dalam banyak keadaan, sebagai individu atau kumpulan masyarakat sivil – sama ada berkaitan politik, ekonomi atau sosial. Kesanggupan rakyat ini dengan sendirinya menuntut peralihan peranan kerajaan dan ini adalah pilihan moral terbaik dengan prinsip yang jelas.

Amin Ahmad, 29 ialah Zamil di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS).Kiriman Berkaitan

Revolusi Ini Akan Diteruskan SPIEGEL Online

Najib ditampar ‘revolusi’ di Parlimen Khalid Jaafar

Revolusi dan Dunia Islam George Friedman

Akankah Tunisia Menjadi Keping Domino yang Pertama? Anwar Ibrahim

Persamaan antara Revolusi di Mesir dan Iran Fareed Zakaria

Masih Berpengaruh: Mao dan Maois Pankaj Mishra

Pemilihan Terus Suburkan Demokrasi
Lewat beberapa waktu ini hangat diperkatakan tentang Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan). Belum pernah sebelum ini sebuah parti politik pembangkang di Parlimen diberikan liputan hangat sebegini. Umumnya perhatian ini berkemungkinan besar terjadi kerana kejayaan Pakatan Rakyat (PR), satu bentuk kerjasama di kalangan parti-parti yang selama ini menjadi pembangkang di Dewan Rakyat, menafikan majoriti dua pertiga kerajaan pemerintah.

Pemilihan kali ini juga nampak berbeza. Ia dijalankan berdasarkan perlembagaan Keadilan yang telah dipinda dan diluluskan semasa Kongres Nasional Khas parti itu pada tahun 2009 sebelum kemudiannya oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada 28 April 2010. Pindaan ini mempunyai erti besar dalam usaha memperluaskan makna demokrasi untuk dirasai oleh pemilih, iaitu ahli Keadilan itu sendiri. Mereka sebagai ahli setiap seorang berpeluang untuk mengundi, berbeza dengan sistem perwakilan yang dipakai dulunya. Ini satu eksperimen menarik. Ia adalah satu cabaran pendemokrasian untuk mana-mana parti politik yang mahu memimpin di zaman lebih terbuka ini.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Keadilan untuk ini. Sekurang-kurangnya, ahli parti mempunyai ruang untuk menegaskan pilihan mereka sendiri sebagai individu. Ini mirip dengan kuasa setiap individu (mengikut kawasan masing-masing) untuk memilih Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) semasa berlakunya Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil berlangsung. Ini penting kerana sekurang-kurangnya setiap wakil rakyat itu mendapatkan mandat daripada majoriti pemilih yang menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

Apa yang harus diingat ialah pendemokrasian (penyertaan ramai) ini bukanlah jaminan bahawa kehidupan akan sempurna. Apa yang cuba dijamin melalui proses ini hanyalah satu jaminan hak untuk mencari kesempurnaan hidup. Peringatan oleh Reinhold Neihbuhr dalam karyanya, The Children of Light and the Children of Darkness: keinginan kepada keadilan memungkinkan demokrasi terjadi tetapi kemahuan kepada kezaliman menjadikan demokrasi perlu” perlulah dihayati. Ia bukanlah asing kerana ungkapan sama telah dimuatkan sebagai sebahagian peringkatan dalam Perisytiharan Permatang Pauh saat gelombang reformasi itu masih baru meledak.

Justeru, rakyat (dan ahli Keadilan dalam konteks parti) perlulah menyedari bahawa harapan tinggi untuk mengangkat martabat insan melalui penegakan keadilan serta jaminan kebebasan perlulah ditunjukkan melalui penyertaan bermakna dan bukan lagi superficial sebagaimana sering diulang oleh kebanyakan pemimpin yang mahu menjustifikasikan kediktatoran dengan dakwaan “negara kita adalah sebuah negara demokrasi kerana kita menjalankan proses Pilihan Raya”.

Bagaimanakah memastikan semua ini lancar? Tentulah sebagaimana banyak dakwaan oleh pembangkang serta pergerakan BERSIH, proses dan institusi yang menjalankannya mesti dilihat dan diyakini adil dan bebas. Sebagaimana penegasan Puan Nurul Izzah, Yang Berhormat bagi Parlimen Lembah Pantai, ‘bos’ dalam pengertian pertanggungjawaban mestilah kepada rakyat dan diimbangi oleh Perlembagaan. Prinsip ini adalah sama dengan pemilihan Keadilan di mana ahli serta Perlembagaan Parti wajiblah dijadikan sandaran. Justeru, peraturan pemilihan serta institusi dan penggeraknya perlulah dilihat dan diyakini bebas dan adil. Jika tidak, sekali lagi, kita hanya menonton satu lagi demokrasi yang superficial.

Kita tahu banyak isu boleh muncul menjelang pemilihan. Kita telah mendengar kisah-kisah biasa seperti serangan peribadi, peremehan idea serta perancangan strategi lawan dan pelbagai tuduhan lain. Memang selama ini juga umum maklum isu rasuah, politik naungan kepada kroni dan keluarga telah bersarang dalam politik negara.

Saya ingin memuji langkah membenarkan setiap ahli yang sah mempunyai suara secara langsung dalam pemilihan Keadilan. Ia sekurang-kurangnya membataskan peluang, jika ada, bagi mana-mana calon untuk membeli undi pemilih. Dengan ahli seramai sekitar setengah juta, hampir tidak munasabah untuk pembelian undi berlaku bagi memastikan kemenangan. Jika ada sekalipun, ia tidak mungkin dapat memenuhi ‘permintaan pasaran’, paling tidak separuh daripada ahli yang ada.

Dengan meningkatnya kuasa pemilih ini, mereka menentukan sama ada persepsi kronisme atau nepotisme itu absah, atau memang yang dinamakan kroni atau ahli keluarga itu mempunyai merit untuk menduduki jawatan tersebut atas kapasiti peribadi. Di sini, dinamika dan kreativiti individu atau kumpulan tertentu yang ingin mendapatkan jawatan tertuntut dengan sendirinya.

Saya juga amat tertarik dengan ‘Debat AMK’ yang dianjurkan oleh perkumpulan masyarakat sivil yang menggelarkan diri mereka Universiti Terbuka Perak (Ureka). Pertama, meskipun ia lebih berbentuk forum, sekurang-kurangnya telah membawa satu dimensi baru kepada corak pemilihan yang biasa. Kehadiran bakal calon serta kesediaan anak muda untuk bertukar fikiran dengan mereka menunjukkan satu daya baru kepada gerakan reformasi secara umumnya. Paling tidak, jika bukan pada isinya, bentuknya ada. Memang ia mirip forum siaran RTM yang membariskan saudara Khairy (YB), saudara Khir Toyo (YB) dan saudara Mukhriz (YB). Cumanya, ia datang daripada akar umbi dan dibuat bebas berbanding dokongan media massa.

Saya tidak pasti sama ada jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden nanti akan mendepankan proses yang serupa. Setakat ini, banyak ‘pertelingkahan’ berlaku di media. Seharusnya semangat format Debat Kepresidenan Amerika boleh dicontohi sebagai amalan parti dan tidak harus ada rasa gentar bahawa ia akan menjadi medan memberikan peluru kepada lawan. Sungguh, sekiranya ‘perebutan’ jawatan itu disandarkan kepada kekuatan idea dan peribadi yang mendorongnya, tidak ada asas ketakutan sebenar melainkan ianya terhalang oleh ‘ketakutan’ yang ditempa sendiri.

Memang, ini tahun pertama Keadilan melaksanakannya. Justeru, apa yang dilihat serta dipaparkan media sebagai kucar-kacir itu bukanlah satu perkara di luar jangkaan. Kita sudah biasa mendengar “perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama”.

Selepas menyambut Kemerdekaan ke-53 dan meraikan pembentukan Malaysia kali ke-47, kita tentu boleh berharap bahawa satu hari nanti rakyat sendiri boleh mengundi secara langsung memilih Perdana Menteri yang mereka yakini dan perwakilan di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri itu berkadar (proportionate representation) atau dalam kata lain, jumlah perwakilan mana-mana parti di Parlimen adalah cerminan jumlah undi yang diterima oleh parti-parti tersebut. Jika diteliti jumlah undi majoriti di Parlimen sejak dulu, kita akan menemukan satu corak pemilihan yang seimbang, iaitu parti pemerintah tidaklah mendapat undi lebih daripada dua pertiga pada setiap kali Pilihan Raya Umum. Pilihan Raya Ke-12 misalnya, jumlah undi Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah adalah sekitar 51% sementara jumlah undi PR pula adalah sekitar 49%. Namun, ini tidak nampak diterjemahkan dalam bilangan perwakilan di Parlimen. Jelas, pengaturan sistem sekarang (termasuk proses pembentukan kawasan pengundian melalui gerrymandering) tidak cukup mencerminkan nisbah tadi.

Demokrasi akan menjadi bermaruah jika kita dapat menerima hakikat bahawa kemenangan Pilihan Raya tidak beerti menang segalanya dan kekalahan Pilihan Raya tidak beerti kalah segalanya. Sesungguhnya, sandaran kemenangan dan kekalahan kepada pertanggungjawaban, ketelusan, kebebasan dan keadilan yang diterjemahkan melalui kepastian hukum dan jiwa besar ‘para pemain politik’ itulah yang akan membolehkan ruang demokrasi dibuka seluasnya, sekaligus memberikan tempat kepada mereka yang layak, atau paling tidak dilihat dan diyakini layak oleh para pemilih.

Amin Ahmad, 28 ialah Felo di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Beliau telah mengundi sebanyak 2 kali dalam Pilihan Raya Umum dan pernah ikut bertugas memantau perjalanan Pilihan Raya Kecil di Ijok, Selangor pada tahun 2007.

Kiriman Berkaitan

Pilihan Raya dan Maknanya Amin Ahmad

Perlawanan Itu Pasti Terus! Hilman Idham

Matinya Demokrasi Kampus Hariszuan Jaharudin

Obama Ulang Sejarah Al-Gore? admin

Ucapan Dasar Timbalan Presiden Keadilan: Malaysia Tanpa Umno Azmin Ali

Krisis Perak: Yang Terampas dan Yang Terputus Amin Ahmad

Politik Kampus
Isu sama ada mahasiswa boleh berpolitik atau tidak kini kembali kedengaran. Ramai pihak mengemukakan pandangan masing-masing termasuk Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab memastikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digubal oleh Parlimen.

Saya selalu berpendapat perbincangan mengenainya seringkali tidak lebih daripada usaha menampakkan bahawa ‘kerajaan sedang melakukan sesuatu’. Ini kerana saya belum melihat ada komitmen jelas daripada pihak kerajaan untuk membenarkan wacana politik di Malaysia dibuka seluas-luasnya. Memang kita tahu bahawa ada beban sejarah dipikul oleh generasi rakyat Malaysia pada hari ini untuk kerajaan menjustifikasikan tindakan yang dibuat. Namun, seringkali terlihat ia hanya satu cara untuk memanipulasi sistem demokrasi yang ada.

Saya berani mengatakan begitu kerana pengalaman peribadi mengharungi Pilihan Raya Kampus. Saya pernah menang dengan undi tertinggi dalam Pilihan Raya Kampus namun diberi kata dua oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang berbunyi “I’ll decide who will become the President”. Akhirnya, disebabkan permintan rakan-rakan yang dipilih bersama, saya ‘diaturkan’ menjadi Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (jawatan kedua tertinggi dalam MPP di universiti saya).

Bukan itu saja, ada pengalaman yang lebih menarik sepanjang percubaan saya untuk bertanding di bawah payung ‘pro-aspirasi’. Kami disaring oleh para pegawai Biro Tata Negara (BTN), bahkan hampir dua minggu saya dikunjungi oleh seorang polis cawangan khas untuk mendapatkan maklumat berkaitan Pilihan Raya Kampus. Kami dipertemukan dengan ‘orang MCA’ secara tertutup, dilindungi oleh para pegawai yang bertugas di Bahagian Hal Ehwal Pelajar dalam banyak bentuk.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) pernah datang bertemu kami dengan bangga memakai tanda nama Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO yang pada hemat saya hanya sekadar mahu menunjukkan kedekatan beliau dengan parti pemerintah, atau dalam bahasa lain “aku berkuasa di kampus”.

Jangan terkejut, jika dulu kecoh adanya isu ‘baiah’ seorang mahasiswi kepada pihak tertentu yang dikatakan ‘elemen pembangkang’, dalam pro-aspirasi juga ada baiah dibuat siap bertandatangan dengan tujuan memastikan segala maklumat yang sebahagiannya saya tulis di sini tidak didedahkan.

Saya tahu bahawa memang ada mesyuarat penyelarasan dibuat dengan tokoh-tokoh UMNO tertentu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kampus. Saya sendiri punya pengalaman hadir ke rumah Dato’ Mustapha Mohamed sekali di mana dalam dialog bersama beliau pada waktu itu jelas sekali di depan mata dan telinga saya para pegawai universiti, kolej universiti dan matrikulasi bercakap tidak lebih daripada mesyuarat cawangan atau bahagian UMNO. Mereka sibuk menamakan kampus-kampus, atau kolej-kolej serta pusat matrikulasi yang dianggap ‘hitam’ kerana adanya tenaga pengajar dan pertubuhan pelajar yang dilihat kuat mendokong parti pembangkang di Parlimen, atau setidak-tidaknya tidak cenderung kepada kerajaan atas pelbagai faktor. Dalam fikiran mereka hanya ada persoalan “bagaimana pengaruh mereka ini dapat disekat” melalui pelbagai cara sama ada sekatan kelulusan atau peruntukan program di peringkat Hal Ehwal Pelajar, halangan untuk naik pangkat atau jika boleh ditukar atau ditamatkan kontrak.

Lebih malang lagi, para pegawai inilah yang kebanyakannya kemudian menjadi Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (sebuah badan yang bertindak sama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus).

Bukan sahaja itu, di kalangan kakitangan akademik yang mahu naik ke peringkat pengurusan juga, mereka ada politik tersendiri. Kem-kem parti pemerintah ini juga boleh berbelah bahagi kerana setiap ahli akademik yang bercita-cita untuk naik ini mempunyai hubungan dengan tokoh politik tertentu dan berbeza. Menteri berkuasa meluluskan atau menolak cadangan Senat universiti untuk melantik mana-mana ahli akademik yang mereka fikir layak menjawat kedudukan-kedudukan penting di universiti. Bahkan, Menteri boleh menentukan siapa yang patut diangkat serta siapa yang boleh diturunkan. Maka, kampus saya bergegar ketika itu disebabkan pantun Naib Canselor kami yang sangat dikasihi, berbunyi “siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi Menteri”.

Saya tahu pergolakan politik pejabat berlaku di kampus saya kerana wujud kem A yang memang telah sekian lama diketuai oleh seorang Profesor sebagai orang perhubungan UMNO di kampus tidak berpuas hati dengan lantikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang saya maksudkan di atas kerana dakwa mereka beliau tidak layak ke jawatan itu disebabkan masih baru dan menggunakan jaringan politik.

Di kampus saya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) mempunyai kuasa untuk menentukan lantikan para Pengetua Kolej Kediaman.  Oleh kerana beliau naik melalui ‘jalan pintas’, para Pengetua Kolej Kediaman yang menjadi tulang belakang kem A tersebut cuba melancarkan satu protes dengan menggunakan mahasiswa. Mereka sedar, sebagai seorang kakitangan universiti, mereka tidak dapat membuat protes terbuka. Mujur rakan-rakan saya di kalangan pimpinan di Kolej Kediaman tidak cukup berani untuk itu.

Hasilnya, kedengaran sendiri di telinga saya bagaimana Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) ini mahu memastikan para Pengetua tersebut tidak disambung kontrak sebagai Pengetua Kolej Kediaman. Bahkan, beliau pernah mengatakan kepada saya bahawa Kolej-Kolej Kediaman yang didapati calon bukan ‘pro-aspirasi’ ramai datang dari sana akan diminta memberikan sebab sebelum mengalami nasib yang sama – tidak dipanjangkan kontrak.

Begitulah bagaimana sistem politik kawalan berlaku di kampus. Jijik!

Saya pasti ramai yang menonton ‘debat’ antara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah dan mantan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang disiarkan TV3 baru-baru ini. Ramai memuji sikap dan pendirian Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tersebut yang dilihat lebih profesional berbanding kenyataan mantan Naib Canselor UiTM yang mirip hujah Ketua Cawangan UMNO. Memang malang kerana akhirnya beliau berterus terang bahawa dengan kebebasan mahasiswa berpolitik, kerajaan yang ada kini akan dikalahkan kerana pada hemat beliau mahasiswa akan sentiasa mendokong pembangkang. ‘Debat’ mereka ini boleh ditonton di YouTube.

Saya menghargai sikap dan pendirian Timbalan Menteri Pengajian Tinggi tersebut. Beliau memang terkenal sebagai pemimpin mahasiswa serta pemimpin belia yang menggagaskan aktivisme berasaskan aktiviti, bakti dan advokasi. Keberanian beliau untuk terus berpegang dengan pendirian serupa ketika beliau menjadi pemimpin mahasiswa serta belia itu tentulah suatu keunikan dalam realiti politik negara serta kerajaan yang kian sempit itu.

Dalam membicarakan AUKU, saya pernah dikisahkan hujah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Pendidikan satu ketika dulu. Sebagai mantan pimpinan pelajar, tentulah persoalan AUKU sangat popular dihadapkan kepadanya. Saya difahamkan lebih kurang jawapan beliau: “Dulu ketika saya memimpin pergerakan pelajar, AUKU masih belum digubal secara menyeluruh namun saya tetap ditangkap. Jadi, aktivisme kita tidak harus disandarkan kepada AUKU, tetapi kepada sejauh mana kita yakin dengan perjuangan kita”.

Rakan-rakan sering menempelak saya dengan kata yang hampir sama, bahawa “mahasiswa di Indonesia jauh lebih hebat dibantai oleh pemerintah, namun mereka terus berjuang”. Saya tidak mahu menafikan itu tetapi apa warasnya pemerintah terus mengekalkan AUKU jika percaya bahawa mahasiswa boleh melangkaui AUKU sekiranya mereka percaya kepada perjuangan mereka?

Dalam satu wawancara oleh UmmahOnline.com (boleh diakses di jaringan berikut: http://www.ummahonline.com/?p=151), pernah saya tegaskan bahawa aktivisme mahasiswa itu perlu didefinisikan semula. Pada hari ini, ramai yang lekas menganggap mahasiswa lesu hanya semata-mata kerana tidak ada lagi demonstrasi yang kerap. Bahkan, Sudut Pidato yang cuba dihidupkan itu masih hambar bahkan cuba dibirokrasikan oleh pihak-pihak tertentu.

Saya cuba membawa dimensi bahawa aktivisme mahasiswa itu pelbagai dan unik. Aktivisme dalam kerangka advokasi itu harus cuba mempengaruhi dasar-dasar yang mahu digubal kerajaan. Saya yakin, sudah tentu setiap bidang pengajian yang ada mempunyai kepentingannya tersendiri sebagai pertimbangan dasar-dasar kerajaan. Selain daripada itu, setiap rakyat mempunyai hak-hak asas yang jelas dijamin Perlembagaan untuk mereka terlibat dalam proses hidup bernegara.

Saya tahu dan yakin bahawa memang ada mahasiswa yang tidak minat berpolitik. Itu bukan menjadi soal. Mereka boleh berbuat apa yang mereka fikir baik untuk mereka. Tetapi, untuk menjustifikasikan mahasiswa tidak boleh berpolitik kerana ada mahasiswa yang tidak minat atau menolak politik, untuk saya itu adalah hujah cetek dan dangkal. Adakah nanti jika ada mahasiswa yang tidak suka sekumpulan mahasiswa membuat aktiviti kebudayaan, maka aktiviti itu akan dihalang?

Bagaimanapun, kebimbangan Tan Sri Ibrahim tentang bahaya pensyarah-pelajar yang mempunyai pendirian politik berbeza itu ada asasnya. Untuk saya, hujah ini hanya sekadar menunjukkan bahawa wujud pensyarah yang tidak profesional dalam urusan kerjanya.

Saya tidak ada masalah dengan pensyarah yang mempunyai pandangan politik tertentu, namun untuk ia dijadikan justifikasi bahawa pandangan lain ditolak atau salah hanya kerana berbeza dengan pegangannya, itu amatlah mendukacitakan. Saya tidak mempunyai masalah kerana keyakinan bahawa saya tidak mungkin tahu segalanya tentang sesuatu dan mungkin ada hal yang saya tahu tidak diketahui oleh beliau. Maka, tumpuan harus diberikan kepada proses sebagai pembudayaan ilmu. Saya yakin, selain daripada suapan maklumat yang diberikan kepada mahasiswa, pensyarah perlu lebih banyak menumpukan kepada proses berfikir tentang sesuatu isu kerana penyelesaian masalah dan hasil keputusan yang kreatif boleh dicapai melaluinya.

Saya yakin, untuk menjadi sebuah negara maju, kepercayaan tentang masyarakat yang bebas dan boleh menguruskan diri sendiri perlu diperluaskan. Berhentilah mengungkap kata “kebebasan itu ada batasannya” kerana dalam sistem demokrasi itu ada prinsip kedaulatan undang-undang yang seharusnya mendorong cita-cita keadilan dalam masyarakat dengan semangat kebebasan.

Sempena Kemerdekaan Malaysia yang ke-53, eloklah prinsip yang dilaungkan semasa Pemahsyuran Kemerdekaan – “dengan rahmat Allah subhanahu wata’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta kebebasan dan keadilan; dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa” – direnung, dihayati dan difahami oleh kita semua.

Sekurag-kurangnya, dengan memahami keluhuran Perlembagaan serta prinsip yang menjadi terasnya, kita dapat mengetahui bahawa sejumlah kongkongan yang ada di negara ini, termasuk AUKU, adalah cubaan sesetengah pihak kembali ke zaman gelap.

Amin Ahmad, 28 kini penuntut di madrasah Ramadhan.Kiriman Berkaitan

Mahu Jadi Yang Biasa-Biasa Sahaja? Amin Ahmad

Matinya Demokrasi Kampus Hariszuan Jaharudin

AUKU dan Masa Depan Malaysia Hilman Idham

Melepaskan Keterikatan Universiti Hilman Idham

Perlawanan Itu Pasti Terus! Hilman Idham

Selepas Bersatu, Kita Bergerak! Hilman Idham

Mengingati 13 Mei 1969 : Individualisme lawan Perkauman
Awal Mei lalu saya balik ke kampung di Perlis dan mengambil peluang berkunjung ke Taman Negeri Perlis. Saya sempat berbual dengan seorang pelancong muda dari United Kingdom, David. Beliau datang ke Malaysia berwisata selama tiga bulan.

“Saya tidak suka orang Inggeris. Mereka suka bersendiri dan bersikap individualistik. Saya suka orang Malaysia yang peramah dan mudah mesra. Mereka boleh datang bertanya itu dan ini kepada saya meskipun kami tidak pernah kenal sebelumnya.” kata David.

Saya fikir pandangan David ada benarnya. Orang Malaysia, khususnya masyarakat luar atau pinggir bandar memang selalunya peramah dan mesra. Isu individualistik di kalangan masyarakat bandar juga ada dibualkan dalam masyarakat Malaysia. Memang sering disebut bahawa sebahagian masyarakat bandar “tidak kenal pun jiran terdekatnya”. Ya, ini mungkin satu ciri yang menjadikan kehidupan bandar itu sesuatu yang tidak begitu menarik.

Saya tidak tahu kenapa ia berlaku. Ia mungkin faktor anak muda yang baru berhijrah atau tamat universiti dan terus bekerja dari pagi sampai ke malam (kerana tersekat dalam sesak jalan raya), maka tidak sempat berkenal mesra dengan jiran tetangga. Umumnya, masyarakat Malaysia berpendapat sikap individualistik adalah negatif. Hasilnya, ia dimusuhi sebagai satu masalah dalam masyarakat.

Yang menjadi masalah ialah apabila sesuatu hal itu dianggap negatif, masyarakat tidak begitu membincangkannya dengan lebih teliti. Ia perlu dibincangkan secara tuntas dalam masyarakat Malaysia kerana ia menyentuh struktur kerukunan hidup bermasyarakat yang kompleks. Sebahagian daripada kompleksiti persoalan ini boleh dikaitkan dengan apa yang telah ditulis dalam isu Politik Moral sebelum ini.

Saya bersetuju bahawa individualistik adalah satu sikap yang cenderung negatif tetapi saya berpendapat individualistik dan individualisme adalah dua hal yang berbeza. Individualistik sebagaimana yang ternampak dalam pandangan masyarakat ialah “Satu keadaan tidak peduli oleh individu-individu dalam masyarakat terhadap persekitarannya”. Sikap tidak peduli ini diambil kira daripada sudut penyertaan kerana daripada sudut ambil tahu itu sukar untuk ditentukan.

Individualisme pula ringkasnya adalah “Penyertaan individu dalam masyarakat untuk memanjangkan kemahuannya.” Para individu ringkasnya mempunyai kehendak yang berbeza dan ada yang saling tindih. Untuk hal yang saling tindih, mereka akan membentuk satu kehendak bersama atau kehendak kolektif. Ya, memang pertentangan kehendak individu dan kehendak kolektif itu menjadi sebahagian wacana penting politik idea. Pada kedua-duanya, penghujahan harus diteliti kerana individu dan kolektif bukan syarat bahawa hujah mereka tepat.

Mungkin disebabkan itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyentuh sedikit persoalan individualisme ini di dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia (versi bahasa Melayu bagi the Asian Renaissance), buku yang diterbitkan semasa beliau masih menjawat kedudukan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Saya fikir Institut Kajian Dasar (IKD) telah membuat tepat ketika memilih untuk menerbitkan terjemahan pandangan Friedrich August von Hayek (1899-1992) beberapa tahun lalu berkaitan Individualisme: Yang Hak dan Yang Batil (Individualism: True and False).

Hayek dalam kenyataannya mengatakan bahawa individualisme yang hak ialah “Satu teori kemasyarakatan, iaitu usaha untuk memahami segala kuasa yang menentukan kehidupan sosial manusia, dan kemudiannya ialah satu prinsip politik yang berasaskan kepada pandangan tentang masyarakat ini. Fakta ini sepatutnya dengan sendirinya menyangkal kejengkalan salah faham umum: kepercayaan bahawa individualisme itu mendakwa (atau mengasaskan hujah dengan andaian) kewujudan mereka itu terasing atau tunggal yang sempurna berbanding permulaan sebagai lelaki yang seluruh sifat dan persekitarannya ditentukan oleh kewujudan mereka dalam masyarakat. Jika ia benar, ia sebenarnya tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat.”

Ya, jika kita belajar hal ehwal pembangunan masyarakat, individu itu dikenal sebagai unit paling asas dalam masyarakat. Jadi, bicara soal individu sebagai satu keterasingan daripada sistem sosial yang ada sebenarnya, meminjam istilah Immanuel Kant, “ketidakmatangan yang ditempa sendiri”.

Hayek kemudian menambah hujah bahawa individualisme yang hak memerlukan sistem  berprinsip di mana: “penggunaan prinsip umum yang diterima sejagat sebagai cara memastikan keteraturan dalam hal ehwal sosial. Ia berbeza dengan penentuan prinsip oleh kerajaan apabila, contohnya, satu pelan induk kawalan ekonomi dicadangkan sebagai “prinsip asas organisasi….yang dalam apa juga keadaan cara terbaik menguruskan masyarakat ialah melalui kerajaan yang ada”. Ia satu kekeliruan yang serius untuk mengatakan soal prinsip itu ialah tidak ada prinsip selain apa yang diperintah oleh kerajaan; bila segalanya bergantung kepada apa yang dikatakan kekuasaan ini sebagai “kepentingan masyarakat”.

Hayek juga pada masa yang sama mengkritik kebatilan individualisme yang didorong oleh Revolusi Perancis dan pemikir seperti Jean Jacques Rousseau. Jika kita teliti perkembangan pasca Revolusi Perancis, ternyata negara tersebut menghadapi kitaran kezaliman yang berpunca daripada apa yang disifatkan Lord Acton sebagai “kebinasaan yang bermula daripada teori persamaan yang salah”.

Hayek menamakan kesilapan Revolusi Perancis ini sebagai equalitarian atau apa yang boleh disebut sebagai usaha menyamakan semua individu. Hayek menjelaskan bahawa “…terdapat perbezaan ketara dalam melayan semua orang secara saksama (treat people equally) dengan menjadikan semua orang sama (to make them equal)”.

Sebenarnya antara kritik paling besar kepada aliran libertarian (dan apa saja aliran yang mendokong individualisme) ialah kerana kecenderungan menjadikan individu lebih utama daripada masyarakat. Ia tidak terhad kepada sosialisme sahaja, bahkan ada masanya kumpulan aktivis Muslim juga (ringkasnya, mereka yang menolak individualisme). Saya tidak menganggap faham ini bukan satu kesalahan, begitu juga dengan kritik tersebut.

Kita tahu bahawa dalam menjadikan kehendak teramai itu lebih utama daripada individu, berlaku apa yang diistilahkan sebagai “kezaliman majoriti” (tyranny of majority). Maka, individu sebagai mereka yang paling lemah dalam sistem demokrasi mesti dilindungi. Kita harus sedar bahawa kelemahan utama demokrasi ialah kuasa yang ada pada majoriti itu boleh saja disalahgunakan. Demokrasi pada tingkat unggulnya sentiasa berpegang kepada prinsip majoriti memerintah dengan menegakkan hak minoriti (majority rules, minority rights).

Kritik tidak salah kerana dengan kehadirannya dapat mengimbangi aksi individualisme yang batil dan juga menegakkan individualisme yang hak. Kritik mesti dilindungi sebagaimana kata bijaksana dari Voltaire: “Saya mungkin tidak bersetuju dengan anda tetapi saya akan mempertahankan hak anda untuk bersuara”. Andai kata kritik yang ada benar, ia tidak harus dijadikan sebab untuk memaksa aliran majoriti menentukan segalanya.

Dalam bidang pembangunan masyarakat sendiri jelas menunjukkan sinonimnya apa yang disebut individualisme yang hak ini dengan teori perkembangannya. Ringkasnya, masyarakat bergerak daripada hidup bergantung (dependent) kepada bebas (independent) dan yang pada tingkat unggulnya saling bergantung (interdependent). Dalam kata lain, realiti terbaik yang mampu dicapai oleh masyarakat ialah nilai individu itu masih kekal dihargai dengan terus menyertai proses bermasyarakat. Masyarakat tidak ‘beku’ dipaksakan oleh penguasa tetapi hidup dengan penuh dinamika potensi.

Mungkin elok kita merenung ungkapan Alexis de Tocqueville :“Demokrasi dan Sosialisme tidak mempunyai apa juga persamaan melainkan sepatah perkataan iaitu persamaan (equality). Tetapi perhatikan perbezaannya; Demokrasi mencari persamaan dalam kebebasan sementara Sosialisme pula mencari persamaan dalam halangan”.

Sempena mengingati kejadian hitam 13 Mei 1969, marilah kita runtuhkan perkauman dan penindasan dengan merayakan kemerdekaan individu daripada menjadi mangsa kelompok. Semoga globalisasi meruntuhkan tembok-tembok yang menghalang manusia dinilai secara individu – baik atau buruknya mereka. Pada waktu itu, saya akan menemui lebih ramai lagi manusia seperti David, yang gembira dan sangat menghargai keramahan dan kemesraan orang ramai tanpa prasangka dan prejudis.

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.Kiriman Berkaitan

Keabsahan ‘Gaji Minima” (II) Aqil Fithri

Bisikan Tengah Gelanggang Hasmi bin Hashim

Agama Juga Berkembang Melalui Pasaran Bebas Gary S. Becker

Sekulariti, Sekularisasi dan Sekularisme Aqil Fithri

Muzik dan Politik Mazir Ibrahim

‘Footage’ dalam Filem A. Sabri

Politik Moral
Amin Ahmad

Akhir Februari lalu saya diminta oleh Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) untuk mewakilinya menjadi seorang panelis dalam satu forum bertajuk “Politik Moral” anjuran Youth Centre for Political Education. Bersama saya ialah saudara Yusri Mohamad, mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan saudara Mohd Nazre Yunus, mantan Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti-Korupsi (GERAK).

Saya menegaskan sejak mula bahawa tidak timbul persoalan sama ada moral perlu atau tidak dalam politik. Saya yakin masyarakat umum percaya politik perlukan moral. Saya tidak pasti sama ada persoalan ini timbul kerana yang sering tergambar dalam dunia politik itu ialah keadaan yang tidak bermoral atau sekurang-kurangnya rendah moralnya.

Di peringkat ini, semua ahli panel tidak ada masalah untuk bersetuju. Namun, saudara Yusri Mohamad berpegang pada pandangan bahawa “Islam tidak meletakkan piawai yang terlalu tinggi bagi pimpinan dunia seperti Raja, Sultan dan Menteri tetapi meletakkan pra-syarat yang tinggi untuk para pimpinan agama seperti Mujtahid, Ulama, Mufti dan Muhaddith”. Kenyataan ini timbul selepas siri sindiran beliau kepada pengamal politik (mungkin ditujukan kepada cubaan saudara Nazri yang mengupas tajuk dalam konteks isu politik di Malaysia) dan saya mengusik dengan ‘cabaran’ untuk beliau masuk gelanggang politik.

Kemudian, kami berbeza pandangan sedikit tetapi kelihatan agak tegang sepanjang forum kerana saling berbalas hujah. Ia bermula dengan kenyataan saya bahawa “sambil kita bersetuju  moral perlu dalam politik, soal penguatkuasaannya berbeza”. Saya memetik pandangan Tun Dr. Mahathir yang saya kira tepat saat mengungkapkan bahawa isu guna nama Allah s.w.t. tidak boleh diselesaikan oleh mahkamah. Pandangan ini boleh diambil untuk mengungkap perihal isu moral ini.

Pertama sekali, kita harus memahami bahawa moral adalah sebuah konsep tentang baik, buruk, benar, salah dan sebagainya. Kita harus mengakui bahawa masyarakat berbeza pendapat tentang apa itu baik dan buruk serta benar dan salah. Bagi umat Islam, kita memang ada hal-hal yang tidak diperselisihkan dan hal-hal khilaf. Saya menolak pandangan saudara Yusri yang mengatakan bahawa “dalam dunia Islam hampir semua hal telah diselesaikan tidak ada masalah timbul dan ia berbeza dengan dunia bukan Islam”.

Saya membawa contoh pengalaman panjang umat Islam sejak hari kewafatan Nabi s.a.w.. Bahkan dalam realiti moden, kita dapat melihat banyak cabang gerakan yang mendakwa memakai nama Islam dan semua mendakwa mereka paling tepat mengikut ajaran Islam. Ia bukan sekadar perbezaan pendapat yang biasa bahkan sampai berbunuhan. Saya juga menolak pandangan bahawa tidak berlaku debat dalam ‘dunia Barat’ bersabit isu moral khususnya Kristian yang turut mendakwa isu moral ini ‘telah selesai’ menurut pandangan agama mereka.

Kemudian saya menjelaskan bahawa politik adalah seni dan sains menguruskan masyarakat. Politik wujud kerana masyarakat tidak dapat bersetuju 100% dalam semua perkara. Ini mesti difahami. Sebab itu masyarakat perlukan Perlembagaan di mana hak-hak yang adil diberikan kepada semua – majoriti atau minoriti – bahkan semua kepercayaan agama! Apabila Islam memberikan hak-hak ini, ia tidak sekaligus bermaksud umat Islam juga mempercayai kebenaran ajaran lain dan ajaran lain itu sama dengan ajaran Islam. Dalam aspek perundangan, ini dipanggil prinsip kesaksamaan di mata hukum (equality before the law).

Namun, saya sering terbaca aktivis dakwah Muslim berpandangan bahawa Islam tidak boleh sama dengan agama lain tanpa memahami apa sebenarnya yang dikatakan sama itu. Jika sama dalam aspek teologi, apa guna kita namakan ia berbeza-beza? Daripada pandangan ‘tidak boleh sama’ dengan maksud yang salah ini, muncul tuntutan agar Islam dan umat Islam harus lebih tinggi daripada yang lain (more equal than others).

Ini akan mengundang masalah lebih banyak.

Islam tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya (Islam ya’lu wala yu’la ‘alaih) itu pada hemat saya merujuk kepada aspek nilai yang mendokong kebenaran Islam itu sendiri. Misalnya keadilan. Seorang yang berlaku adil, mereka menepati seruan Islam sementara seorang yang berlaku zalim adalah sebaliknya, meskipun mereka Muslim. Seorang yang menyemai semangat perkauman meskipun tertera label Islam pada organisasinya dan digerakkan oleh Muslim tidak menepati Islam berbanding masyarakat biasa yang menolak perkauman. Maka, ada beza ketara jika kita letakkan ketinggian nilai yang dibawa untuk menyokong kebenaran Islam berbanding aspek luaran. Dalam aspek ilmiah, ini disebut substance over form (isi lebih penting daripada kulit).

Saya membawa contoh bagaimana Nabi s.a.w. menangani isu keadilan di bawah hukum dan realiti beliau sebagai pemimpin kerajaan. Dalam satu hadis riwayat Imam Abu Daud, an-Nasa’ie, Ibnu Majah, Ahmad bin Hambal, al-Baihaqi, al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahullah dan ulama’ hadis yang lain maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah r.a. bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda s.a.w. tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda s.a.w. (berkenaan hak penjagaan kepada anak tersebut). Sabda Baginda s.a.w. kepada mereka berdua: “Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih (antara) kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah: Si ayah diletakkan di satu sudut, dan si ibu juga di satu sudut (yang lain) dan budak tadi diberi pilihan. Didapati budak itu bergerak ke arah ibunya. Maka Baginda s.a.w. berdoa: “Ya Allah, berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah: Maka budak itu kembali kepada ayahnya.

Daripada hadis ini, jelas bahawa Nabi s.a.w. tidak menggunakan kuasanya untuk menentukan budak itu sepatutnya mengikut ayahnya. Jika ditanya umat Islam pada hari ini khususnya di Malaysia, tentulah sentimen yang ada sejak mula lagi mahu menjadikan budak ini Islam dengan menggunakan kuasa mahkamah atau kuasa pemerintah. Tidaklah salah mempunyai sentimen tersebut tetapi adakah kekuasaan akan digunakan untuk menjustifikasikannya?

Daripada hadis di atas, itu bukan cara yang ditunjukkan Nabi s.a.w.. Kebelakangan ini, bimbang telah menjadi hujah dan alasan untuk menjustifikan tindakan umat Islam yang cenderung mengabsahkan masuk campur tangan kekuasaan dalam banyak hal termasuk isu guna nama Allah s.w.t.. Daripada hadis di atas juga jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. terlalu inginkan budak tersebut menjadi Muslim. Memang, bahkan saya sering mengulang di mana-mana medan ketika saya aktif berdakwah bersama Jemaah Tabligh bahawa Rasulullah s.a.w. adalah insan yang paling bimbang dengan nasib umatnya. Walaupun begitu, Baginda s.a.w. ternyata berakhlak dalam meninggikan nilai adil dalam urusan umat pelbagai bangsa. Nabi s.a.w. menonjolkan secara nyata dalam kes di atas tentang campur tangan kekuasaan negara dalam urusan umat.

Satu lagi contoh yang boleh dibawa, dalam satu kes terjadi perebutan tanah antara dua orang dan mereka bertemu Nabi s.a.w. untuk menjadi hakim dalam kes tersebut. Kedua-dua mereka dibenarkan berhujah. Hasil daripada hujah ini, tuan tanah sebenar gagal mendapatkan tanahnya semula. Kepandaian berhujah seorang lagi membolehkannya menang dalam penghakiman Nabi s.a.w.. Namun Nabi s.a.w. mengingatkan kepada yang kalah bahawa “Jika benar tanah itu hak kamu, yakinlah Allah s.w.t. akan membalas dengan ganjaran yang lebih besar di akhirat”. Kepada yang menang, nabi s.a.w. mengingatkan “Jika itu sebenarnya bukan tanah kamu yang hak, nescaya Allah s.w.t. akan membalas yang setimpal dengan kezaliman kamu”. Kemudian tanah itu dikembalikan kepada tuannya yang sebenar oleh si menang. Inilah buah kepada iman. Dengan iman, manusia tidak memerlukan tekanan kekuasaan untuk insaf. Tanpa iman, manusia boleh terus berdolak-dalik.

Dalam pengalaman sirah ini, jelas bahawa Nabi s.a.w. yang dibimbing wahyu digambarkan oleh Allah s.w.t. sebagai seorang manusia yang terbatas dalam membuat keputusan kehakimannya, namun tidak dalam memberi ruang keadilan yang luas dengan memberi semua pihak peluang berhujah dan menilai secara objektif berasaskannya.

Kesilapan umat Islam dalam memanjangkan hujah siyasah syar’iyah pada saya ialah kerana bayangan bahawa jika Islam memerintah maka tidak ada masalah akan berlaku. Ini sebenarnya bercanggah dengan fitrah manusia. Zaman Nabi s.a.w. sendiri jelas menunjukkan ada yang berzina! Latar moral yang tinggi (higher moral ground) boleh diambil tanpa menonjolkan sikap lebih baik daripada yang lain (holier than thou) kerana asas skeptikal masyarakat kepada ‘polis moral’ itu absah berikutan beberapa kes yang menggambarkan pegawai agama sendiri ‘tidaklah begitu bermoral’.

Saya cenderung mengulang pendapat Mustafa Akyol (www.whitepath.com) dalam satu sesi soal jawab saya dengan beliau bahawa hadis dalam hal “….mencegah mungkar dengan tangan….” itu lebih merujuk kepada hal-hal jenayah di mana hudud membicarakan persoalan jenayah. Saya menegaskan bahawa ‘dosa lain tidak bersabit jenayah’ adalah satu hal yang tidak boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan bersandarkan premis definisi moral dan politik yang dinyatakan di atas. Mustafa Akyol dalam jawapannya kepada saya menekankan konsep taubat sebagai satu cabang yang harus dilihat dalam konsep-konsep kecil yang membina epistemologi Islam itu sendiri berkaitan persoalan dosa. Dalam kata lain, ada urusan yang hanya bersabit manusia dan Tuhan dan di sana manusia lain tidak wajar berlebihan serta tidak masuk campur dalam semua perkara. Ada ruang awam dan ruang persendirian yang perlu dihormati. Umat Islam memang dididik akan hal dosa kepada Allah s.w.t. dan dosa kepada sesama manusia (makhluk).

Namun, dalam hal penguatkuasaan moral ini, ia berbalik kepada akal-budi masyarakat (public reason). Saudara Yusri mempersoalkan bahawa “kita tidak boleh membiar jika ada yang bercium di khalayak ramai macam di Barat”. Saya mengesan bahawa beliau tidak faham premis hujah saya ketika beliau terus mengatakan bahawa “takkanlah ayah hendak biarkan anak berbuat dosa dan maksiat tanpa ditegur?”. Untuk soalan saudara Yusri, jawapan saya ialah masyarakat boleh menguruskan masalah tersebut tanpa campur tangan kerajaan.

Ada rakan saya berpendapat bahawa siyasah syar’iyah mengizinkan campur tangan kerajaan. Saya tidak menolak sepenuhnya. Namun, umat Islam pada hari ini tidak punya jawapan malah akan menukar premis campur tangan ini jika ‘atas nama kebenaran’, fahaman berbeza misalnya Syiah atau mungkin Kristian menjustifikasikan campur tangan kerajaan untuk menghalang sebaran ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan mana-mana ajaran yang dianggap tidak memenuhi piawaian ‘kebenaran’ mereka. Akan muncul suara-suara yang mahu membezakan faham muslim dan bukan Muslim tentang persoalan keadilan dalam konteks tata-negara. Ini akan menjadi rumit dan bermasalah.

Saya menjelaskan bahawa aspek kuat-kuasa yang ditegaskan adalah berkaitan guna kuasa kerajaan dan undang-undang. Masalah umat Islam adalah cuba menyelesaikan semua masalah dengan kuasa kerajaan. Bagaimana sebuah kerajaan dapat memutuskan sesuatu itu benar, salah, baik atau buruk khususnya dalam realiti majmuk? Ia sama seperti umat Islam mahu kerajaan membuat keputusan kepada masyarakat yang mahu makan khinzir bahawa “anda tidak boleh makan kerana ia haram”. Bayangkan pula bagaimana jika di India wujud larangan memakan daging lembu atas alasan yang sama? Di sinilah bahayanya bila kerajaan diminta memutuskan hal yang tidak perlu.

Saya memajukan hujah bahawa aspek moral ini ada hierarki dan tanggungjawabnya. Bukan semua menjadi tanggungjawab kerajaan. Umat Islam tidak perlu terus menggunakan kuat-kuasa kerajaan bagi menghalang hal-hal yang tidak perlu. Tanggungjawab moral yang asas seharusnya pergi kepada ibu-bapa, keluarga, jiran tetangga, sekolah dan masyarakat setempat. Tegurlah anak-anak, anak-anak jiran dan siapa saja yang dirasakan tidak bermoral di khalayak ramai (ruang awam). Saya mengambil sikap bersetuju dengan mantan mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bahawa pengintip moral harus dihentikan. Dalam kes Saidina Umar r.a. sendiri jelas berlaku pertembungan moral. Sambil tidak bersetuju dengan amalan mereka yang diintip, sikap mengintip beliau itu sendiri dianggap tidak bermoral dengan tiga kesalahan moral berbanding satu daripada yang diintip.

Beza ruang awam dan ruang persendirian ini harus dibincangkan lanjut dengan akal jernih termasuk mesej Islam dari firman Allah s.w.t. “Wahai Manusia” (ya aiyuhannas) dan “Wahai Orang-Orang Beriman” (ya aiyuhallazi naamanu). Sesungguhnya dua mesej ini tidak begitu tanpa sebab selain persoalan Makkiyah dan Madaniyah.

Maka, di mana peranan moral kerajaan?

Di awal artikel ini saya menulis bahawa politik perlukan moral dan politik itu dibina daripada premis manusia tidak dapat bersetuju 100% dalam semua perkara. Justeru wujud apa yang dipanggil Perlembagaan (atau Piagam dan sebagainya) yang memberikan hak kepada semua secara adil. Justeru, peranan moral kerajaan adalah untuk membentuk “Visi Bersama Tentang Keadilan”. Dalam contoh di atas saya telah menunjukkan pengalaman Nabi s.a.w. sendiri menterjemahkan mesej Islam berkaitan keadilan dalam realiti kuasa yang dipegang beliau – bahawa ia tidak mesti memenangkan Islam, tetapi nilai keadilan itu sendiri. Pada saya, tugas hakiki kerajaan (yang dinisbahkan kepada politik) ialah menjamin Kesaksamaan (equality), Kebebasan (liberty) dan Keadilan (justice). Tugas hakiki ini bukanlah asing daripada mesej Islam!

Saya mahu mencontohi sikap Syeikh Taha Jabir al-Alwani dalam karya-nya La Ikra’ Hafild-Din (Tiada Paksaan Dalam Agama, terjemahan Institut Kajian Dasar) di mana ketika beliau menolak pandangan hukum bunuh bagi umat Islam yang murtad, beliau menegaskan dalam kata pengantarnya bahawa beliau tidak memaksudkan menyeru umat Islam untuk murtad, sebaliknya keinginan kuat menjaga kesucian Islam daripada sikap berlebihan umatnya.

Saya boleh jadi salah, anda boleh jadi betul. Anda mungkin salah, saya mungkin betul. Saya hanya orang biasa dan bukan ilmuwan Islam untuk disandarkan kekuatan penghujahan. Tetapi saya tidak akan berbisik kepada moderator forum bahawa ‘penganjur tidak wajar menjemput dan memberi ruang kepada panelis yang tidak menguatkan ‘fikrah Islam”. Semoga Allah s.w.t. memberi hikmah yang banyak kepada saya dan kita semua. Wallahu’alam.

Amin Ahmad, 28 ‘semak perut’ melihat ‘para-pencinta agama’ berebut ‘wilayah autoriti’ dalam urusan keagamaan dan hanya mahu berpesan bahawa Islam tegaknya dengan hujah yang membebaskan jiwa umat, bukan kekuasaan yang mengongkong.

Isi tulisan ini adalah sebahagian daripada buku Menjiwai Universalisme Islam yang sedang cuba disiapkan penulis.Kiriman Berkaitan

Islam dan Kerajaan Terhad Amin Ahmad

Amukti Hasmi bin Hashim

Muzik dan Politik Mazir Ibrahim

Menyelamatkan Warisan Intelektual Islam (Bahagian 1) admin

Belanjawan: Antara Moral dan Ideologi Rizuan Abdul Hamid

Pertembungan atau Sintesis Peradaban? admin

Cinta Corrie
Rachel Corrie

Fikiran saya selalu cuba memahami maksud hadis Muhammad s.a.w. “Tidaklah sempurna iman kamu sehingga kamu telah mencintai mereka yang lain sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri”.

Cerita 1

Bagi sesetengah Muslim, isu di Palestin adalah pertembungan Muslim dan Yahudi yang tidak terbantah dalam sejarah. Bukan setakat itu, mesej Muslim dan selainnya dikembang-kukuhkan dengan slogan anti-Amerika. Ya, bagi mereka ini mungkin satu peluang yang perlu dimanfaatkan untuk setidak-tidak mengukuhkan solidariti umat Islam dan jalan pintas mendapatkan sokongan politik untuk membina sebuah daulah dan seterusnya mengembangkan empayar khalifah Islamiyah.

Saya masih ingat ketika menghadiri kursus musim panas di San Diego, California pada pertengahan tahun 2008. Waktu itu saya berpeluang bertukar fikiran dengan seorang rakan, Michael Maimone, anak muda beragama Roman Katolik kelahiran Huntington, New York. Dari atas kerusi rodanya, dia bertanyakan saya “Apakah persepsi sebenar orang Islam kepada Amerika?”.

“Umumnya buruk” jawab saya. “Amerika banyak masuk campur dalam urusan negara majoriti umat Islam dan ia mewujudkan persepsi di kalangan muslim bahawa Amerika cuba masuk campur dan mengawal atau menjajah negara mereka”.

“Bukankah menjadi tanggungjawab semua untuk membantu memberikan keadilan dan melawan kezaliman? Ia adalah satu sikap kemanusiaan” Maimone cuba memberi justifikasi.

“Ya, tentunya. Untuk saya, muslim menghargai sikap menentang kezaliman dan mendokong kemanusiaan serta keadilan yang ditunjukkan oleh warga Amerika; tetapi Amerika dilihat mengamalkan dwi-piawai terhadap isu Israel-Palestin dan saya berpendapat kesangsian muslim kepada Amerika ada asasnya” jawab saya.

Maimone dapat menerima penjelasan saya. Dia tahu saya tidak anti-Israel atau Amerika dalam erti kata kerana mereka berbangsa Yahudi dan mendokong Yahudi, tetapi lebih kepada sikap berprinsip antara adil dan zalim.

Cerita 2

Mac mungkin ada kisahnya tersendiri. Dalam teks klasik diberitakan bahawa Julius Caesar mati ditikam daripada perbuatan khianat Brutus dan sehingga kini Ides of Mac (maksudnya pertengahan Mac) menjadi satu pesan yang sentiasa diulang. Di Malaysia barangkali 8 Mac akan diingati sebagai Hari Rakyat ketika dua tahun lalu, kali pertama sebuah rejim kekuasaan politik Barisan Nasional dinafikan majoriti 2/3 di Parlimen. Hari Wanita Sedunia juga disambut pada 8 Mac.

Ya, adil dan zalim itu sering silih berganti dalam realiti pengalaman kemanusiaan sepanjang sejarah. Wanita serta perjuangan mereka ternyata mempunyai sejarah tersendiri berhubung hal ini.

Kita dikhabarkan bahawa wanita di zaman jahiliyah ditindas, dianggap hanya sebagai pemuas nafsu seks bahkan pembawa sial dalam keluarga. Kemudian muncul zaman mereka tidak dibenarkan bekerja malah mengundi.

Sejarah menjadi saksi bahawa segala bentuk keterbelakangan itu dilawan dengan mesej kebebasan dan keadilan.

Cerita 3

Dia wanita, masih muda dan berasal dari Olympia, Washington, Amerika. Tapi itu tidak menjadikan jiwanya lemah. Dia tidak percaya dengan fikiran bahawa apa yang berlaku di Palestin sepenuhnya berkisar soal Amerika dan Israel menentang muslim meskipun dia tahu kerajaannya juga bertanggungjawab.

Rachel Corrie  hadir di tengah medan konflik panjang Israel-Palestin untuk membela mereka yang tertindas. Bukan saja dia, bahkan ramai lagi warga Amerika, malah Yahudi yang berkongsi sikap yang serupa. Corrie tidak pernah kenal patriotisme yang buta.

Dalam suratnya bertarikh 27 Februari 2003, dia menulis kepada ayahnya bahawa kehadirannya di Palestin adalah satu daripada pilihan terbaik yang pernah dibuat, dan dia membayangkan rasa bersalah yang akan muncul selepas beliau balik semula ke Amerika. Dan beliau akhirnya ‘balik’ sebagai sekujur tubuh tanpa nyawa selepas dilanggar pembajak  dalam perjuangannya membela masyarakat Palestin yang ditindas.

Ya, Corrie bukan satu-satunya mereka yang mati dalam konflik panjang di Palestin. Mungkin kerana dia seorang rakyat Amerika, maka berita mengenainya cepat masuk ke ruang awam. Namun itu tidak menjadi soal buat saya.

Kehadiran dan kematian Corrie untuk saya membawa beberapa mesej penting bahawa sempadan geografi, agama, bangsa, usia dan gender jangan sampai berupaya memisahkan kita daripada tanggungjawab kemanusiaan.

Dia mungkin bukti hidup-mati apa yang dinyatakan Karl Popper dalam Open Society and Its Enemies bahawa “lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang sama, justeru mempunyai hak yang sama”.

Seperti kata arwah W.S. Rendra “perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata”.

Semaraklah cinta. Terima kasih untuk sebuah keberanian sebagai tandanya. Selamat tinggal Corrie.

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.Kiriman Berkaitan

Menjawab Fitnah terhadap Israel admin

Dari Auschwitz ke Palestina admin

Musuh yang Biasa Dikenal Joharah Baker

Langkah Demi langkah admin

Jadilah Orang Moderat yang Anda Cari admin

Membawa Resolusi Konflik ke Pentas admin

Mandela
Amin Ahmad

Lebih kurang 10 tahun lalu ketika seruan Reformasi mula masuk ke ruang awam di Malaysia, usia saya tinggal beberapa bulan untuk mencecah 17 tahun. Meskipun didedahkan dengan dunia politik oleh kedua ibu-bapa lebih awal daripadanya, hanya waktu itu saya merasakan kesedaran politik berada di tahap yang tinggi.

Ya, saya fikir manusia sering perlu disedarkan oleh peristiwa yang bercanggah dengan naluri kemanusiaan dan ideal pandang alam kita.

Ketika Reformasi 1998 itulah saya mula betul mendengar kisah seorang tokoh besar dunia, Nelson Mandela. Buku beliau Long Walk to Freedom (Jalan Panjang untuk Kebebasan) diterjemah dan dimuatkan dalam internet. Saya juga sempat menonton filem berkisar perjuangan menentang dasar apartheid di Afrika Selatan, dan tentunya saya menemukan kisah Mandela bersamanya.

11 Februari 2010, masyarakat dunia khususnya di Afrika Selatan menyambut ulang tahun ke-20 sejak Mandela dibebaskan. 27 tahun di dalam penjara tentunya bukan satu waktu yang singkat dan ternyata ungkapan Mandela dalam bukunya tepat: “any man that tries to rob my dignity will lose”.

Ya, kita wajar berasa kagum dengan kesabaran beliau dan saya tidak pasti berapa ramai teman seperjuangan beliau telah pergi sebelum sempat melihat beliau muncul sebagai Presiden Afrika Selatan pertama yang dipilih secara demokratik, meskipun untuk satu penggal yang singkat (dari 1994-1999).

Kata Mandela: “you may succeed in delaying, but never in preventing the transition of South Africa to a democracy”

Mandela dalam usahanya menentang dasar apartheid telah mengambil pendekatan Mahatma Gandhi di India dengan pendekatan satyagraha – perjuangan tanpa menggunakan kekerasan. Untuk Mandela, kekerasan adalah jalan akhir sekiranya semua cara lain menemui kegagalan.

Menarik untuk diketahui bahawa dalam tempoh beliau dipenjarakan di Pulau Robben dengan segala kekurangan – beliau dikelaskan di bahagian D iaitu bahagian paling rendah, dengan catuan makan dan kemudahan berbeza, hanya boleh menerima surat yang telah ditapis (misalnya ada ayat-ayat yang dihitamkan hingga tidak boleh dibaca) dan dilawati oleh seorang setiap 6 bulan – beliau masih sempat menghabiskan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang melalui program luar University of London.

Mandela ditempatkan di pelbagai penjara selain Pulau Robben. Sebagaimana pengalaman saya di Filipina melihat tempat Jose Rizal terpenjara dan dibawa berjalan dengan tangan terikat ke kawasan lapang (yang kini dijadikan Taman Rizal) sebelum ditembak, di Penjara Drankenstein kini juga telah mula diletak monumen Mandela misalnya saat beliau berjalan keluar dari penjara, menumbuk ke udara dan sebagainya.

Sokongan dan dokongan terhadap Mandela kemudian kian memuncak di kalangan masyarakat antarabangsa. Ia akhirnya membawa kepada pembebasan dan rundingan untuk membolehkan Afrika Selatan melaksanakan pilihan raya rentas kaum pertama kemudiannya.

Mandela menyifatkan demokrasi di Afrika Selatan sebagai kejayaan besar yang umum dalam hal ehwal kemanusiaan. Beliau menyifatkan keberanian bukanlah kerana tidak wujud rasa takut, tetapi bagaimana rasa takut ini dikawal.

Dalam sejarah panjang kemanusiaan, memang ada fasa di mana berlaku semangat perjuangan kelompok. Dari sana semangat berpuak digarap dan kehidupan diterima sebagai sebahagian proses “yang kuat berkuasa”. Maka berlakulah tragedi kemanusiaan sama ada berskala kecil atau besar.

Dalam kes di Afrika Selatan, ternyata ia satu peristiwa malang apabila sikap tidak bertamadun ini dilegitimasikan oleh Perlembagaan dan Undang-Undang. Mandela tegas menyatakan kebencian beliau kepada perkauman kerana beliau menganggap itu sebagai satu kezaliman, sama ada ia dilakukan oleh orang berkulit putih atau selainnya.

Bagi masyarakat Afrika Selatan, tentu saja Mandela membawa pengertian besar kepada mereka. Dari segregasi masyarakat berasaskan warna kulit, mereka kini dapat bercampur dan hidup bersama dengan segala kemungkinan. Berbeza dengan Amerika yang mengambil ratusan tahun untuk berdepan dengan isu perkauman, Afrika Selatan ternyata lekas memulihkan diri. Pada hemat saya, dengan dorongan faktor zaman juga sangat membantu untuk memahami persoalan ini.

Masalah perkauman bukanlah masalah baru, bahkan kehadiran Islam sendiri antara lain adalah untuk membersihkan faham manusia yang berlebihan berasaskan ciri luaran yang bukan bersifat pilihan ini.

Selepas melalui tempoh getir perjuangannya, Mandela kembali ke pangkuan rakyat sebelum diangkat menjadi Presiden. Beliau ternyata lebih memahami tuntutan perjuangan sebenar di depan matanya. Peringatan beliau: “Never, never and never again shall it be that this beautiful land will again experience the oppression of one by another”.

Beliau juga seorang yang realistik dalam memahami perjuangan bila mengungkapkan “It always seems impossible until it’s done”.

Dan beliau menuntut semangat patriotik yang sebenar dengan pertanyaan:  “Does anybody really think that they didn’t get what they had because they didn’t have the talent or the strength or the endurance or the commitment?”

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.

Kiriman Berkaitan

Ke Mana Kita dengan ‘Anak Malaysia’? Najwan Halimi

Hyapatia dan Agora Afif Bahardin

Mardika, Merdeheka, Merdeka! Amin Ahmad

Saya Tidak Ada Musuh Liu Xiaobo

Manusia, Kemanusiaan dan Krisis Aqil Fithri

Kes Pemerkosaan Qatif: Sebuah Katalis bagi Perubahan? admin