Selangor Harapan Jana Seni Budaya
oleh Hasmi bin Hashim
13 Disember, 2011 | kategori Kolum | komen [0] | CetakSeniman, karyawan juga adalah rakyat. Sebab itu, selepas keputusan Pilihanraya Umum pada Mac 2008, golongan seniman dan karyawan—juga seperti rakyat umumnya—menaruh harapan besar kepada kerajaan-kerajaan negeri yang baru. Lebih-lebih lagi di Selangor.
Harapan yang belum diketahui apa itu biji-butirnya wujud daripada slogan di poster Keadilan, “Harapan Baru Untuk Malaysia”… Saya ingat bagaimana seorang pengarah filem tersohor yang waktu itu berada di luar negara, mengambil tiket terbang ke Kuala Lumpur hanya untuk pertama kali mengundi. Dia dengan bangga menyebutkan parti mana yang dia undi.
Selain Kuala Lumpur sebagai ibukota, Selangor adalah “rumah terbesar” yang menghimpunkan jumlah seniman dan karyawan di negara ini. Inilah aset dan kekuatan asas Selangor di dalam bidang seni-budaya; kelebihan yang tidak dimiliki oleh negeri-negeri lain. Pelukis, teateris, pelakon, penulis, pembuat dan pengarah filem, penyanyi, pemuzik, penggubah lagu… paling ramai bermastautin di Selangor.
Sewaktu Selangor di perintah Barisan Nasional (BN), rupa-rupanya tidak wujud potfolio kebudayaan; yang ada cuma “Adat Resam Melayu”. Barang diingat, adat resam Melayu itu tidak meliputi aspek seni-budaya secara keseluruhan. Potfolio berkenaan masih wujud; kini dipegang oleh Dr Hassan Ali.
Menyedari masalah tersebut, dalam beberapa minggu selepas diumumkan barisan exco dengan potfolio masing-masing, ‘potfolio baru’ kebudayaan pun diwujudkan sedikit terlewat. Kepentingan seni-budaya dipegang oleh Roziah Ismail: seorang yang saya kenal lama sejak Keadilan belum mempunyai walau sebuah kerajaan negeri sekalipun.
Kini, pemerintahan Pakatan Rakyat Selangor yang dikemudi Keadilan sudah berusia tiga tahun. Tempoh cukup lama untuk semua kerak-kerak yang ditinggalkan pemerintah terdahulu ditanggalkan—kalaulah itu alasannya. Hari ini juga jadi waktu paling sesuai ditanyakan, apakah yang kerajaan negeri Selangor sudah lakukan untuk aspek seni-budaya sebagai negeri yang paling besar menampung jumlah seniman dan karyawan ini?
Seraya Anwar Ibrahim bebas dari penjara pada 2004, satu pertemuan diadakan dengan sekelompok seniman, yang saya fikir dihadiri oleh individu-individu karyawan yang berpengaruh di dalam bidang masing-masing. Tak perlu saya namakan setiap di antara mereka. Cukup sebagai rekod bahawa pertemuan itu diadakan di Hotel Shah Village, Petaling Jaya. Acara berkenaan dianjur dan diinisiatifkan sebuah NGO, Open Dialogue Centre (ODC). Turut hadir ialah Dr Syed Husin Ali yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden Keadilan. Beliau tiba sedikit lewat selepas dialog bermula.
Di dalam pertemuan tersebut, suasana cukup mesra dapat berlangsung sehingga seorang penyanyi besar band rock tanahair juga hadir. Keruh resah karyawan dan nasib mereka di bawah kerajaan sedia ada dapat disampaikan langsung, khususnya kepada Anwar sebagai seorang yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan mempengerusikan misalnya jawatankuasa yang memutuskan penganugerahan bagi Sasterawan Negara. Tentulah pengalaman Anwar jadi cukup bermakna kepada karyawan.
Masa pun berlalu. Pertemuan kedua lebih besar diadakan di sebuah hotel di Jalan Klang Lama, 6 Ogos 2005. Ia dianjurkan Institut Kajian Dasar (IKD). Diadakan pada sebelah pagi. Tajuknya, “Pidato Kemerdekaan: Membangun Semula Makna Diri Malaysia” yang disampaikan juga oleh Anwar. Selain Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh, pejuang Bahasa Kebangsaan seperti Ainuddin Wahid dan Profesor Nik Safiah Karim, turut hadir ialah sasterawan unggul Indonesia, WS Rendra yang mendeklamasikan beberapa sajaknya. Itulah kali akhir Rendra menjejak kaki di KL sebelum menghembus nafas akhirnya pada penghujung 2008.
Di dalam pidato itu, yang teksnya kemudian diterbitkan IKD, Anwar menyedari betapa ada hal-hal yang tak beres meski selepas setengah abad merdeka, iaitu menyentuh soal demokrasi, negara hukum dan kebebasan. Antara lain tegas Anwar, “kita akan terus setia dengan budaya, namun kita tidak boleh hidup di bawah tempurung kaum masing-masing”.
Memang tak sampai tiga tahun selepas itu, “pilihanraya besar” pun diadakan, dan Pakatan Rakyat berjaya menawan lima negeri, termasuk Selangor. Sejurus sahaja menang, satu lagi majlis makan malam dan pertemuan dengan golonagn karyawan berlangsung dan meliputi paling ramai karyawan yang pernah saya saksikan. Majlis itu diadakan di auditorium bangunan pejabat kerajaan di Shah Alam. Individu-individu yang sebelum ini takut untuk mendekatkan diri dengan Keadilan (juga dengan Anwar) muncul pada majlis tersebut.
Komitmen Anwar dalam soal kepentingan budaya tampak konsisten. Tak ramai tokoh politik yang ambil hirau soal kebudayaan, apatah lagi untuk memahami maksud dan fungsi seni-budaya kepada sesebuah negara-bangsa. Lebih menjengkelkan, soal seni-budaya kadang-kala dilihat sebagai tempat menempel populariti artis dan “glamer-glameran” sahaja. Pelakon dan penyanyi dalam benak fikiran politikus usang tak lebih hanya sebagai penyeri pentas dan magnet untuk menarik khalayak yang kemudiannya disumbat dengan air liur ucapan politik yang cukup meloyakan.
Selepas tiga tahun, apakah (?) yang bisa difahami oleh penguasa baru di negeri-negeri Pakatan Rakyat, khususnya Selangor. Tidakkah dapat disedari dan diinsafi, bahawa antara cita-cita besar perjuangan Reformasi sejak 1998 ialah untuk menjana dan menyuburkan soal seni-budaya yang terkongkong di bawah Umno-BN. Silapnya rejim terdahulu ialah kecetekan mentafsir akan kepentingan seni-budaya yang ditambah parah untuk cuba menjadikan soal kebudayaan sebagai alat kepentingan politik sempit mereka.
Begitu juga kritikan, misalnya terhadap agensi yang diamanahkan menjaga kepentingan kebudayaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Badan itu wajar menjaga kepentingan bahasa Melayu dan bukannya “bahasa pemerintah”, apatah lagi “bahasa Umno”. Umno dan Melayu adalah dua hal yang berbeza di mana kepentingan politik Umno tak seratus peratus sejajar dengan kepentingan semasa orang-orang Melayu.
Di dalam riuh rendah krtikan terhadap DBP yang kadang-kala dilihat menjadi punca bahasa Melayu kaku dan lesu, payah juga untuk dinafikan bahawa DBP pernah di sepanjang kewujudannya menerbitkan buku-buku yang tak kalah bagusnya di dalam bahasa Melayu, sama ada oleh penulis tempatan mahupun luar. DBP juga punya senarai karya terjemahan yang cukup membanggakan.
Kuasa politik, tak kira oleh BN atau Pakatan, wajar dilihat sebagai alat untuk menciptakan tamadun lebih unggul. Politik bukan tempat untuk mana-mana individu asyik berebut jawatan tanpa matlamat lebih besar daripada hanya mahu mendabik dada berkuasa. Dan kuasa, wajar kembali mendamba diri kepada kepentingan rakyat. Kebudayaan adalah antara kepentingan itu; sama seperti keperluan asas air dan eletrik, misalnya. Bezanya cuma soal budaya adalah keperluan akal-budi masyarakat yang tidak terlihat seperti air dan eletrik.
Apakah menjaga soal kebudayaan selalunya mahal? Maka, setiap kali dikemuka pandangan untuk program memajukan seni-budaya, jawapan klise yang terduga ialah “tak ada bajet”. Sebenarnya, ia bermula dengan idea. Bukan sangat soal bajet. Dalam kata mudah, hendak seribu daya… Saya sangat sedar beberapa program seperti Anugerah Bakat Muda Selangor (Seyta) sudah dua tahun berjaya dianjurkan oleh Sekretariat Belia Selangor atau dikenali sebagai GEN-S.
Sejak tahun lalu, beberapa gagasan yang baik pernah terlontar di paparan sosial twitter sehingga jadi perbincangan hangat juga. Misalnya, cita-cita untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai “kota budaya”. Idea ini sendiri sebenarnya bukanlah idea baru. Ia juga bukan seperti gagasan untuk melaksanakan hukum hudud yang mana melibatkan pindaan Perlembagaan. “PJ Kota Budaya” bukanlah terlalu rumit. Soalnya sama ada penguasa di Selangor sedar atau tidak; antara ada idea atau sebenarnya tak pandai bekerja.
Di dalam Belanjawan 2012, Menteri Besar Selangor turut mengumumkan buat kali pertama, jumlah peruntukan RM3 juta kepada lapangan seni-budaya. Sukar dibayangkan sekiranya aspek kebudayaan dilihat hanya libatkan aspek tradisi seperti permainan congkak dan galah panjang. Program seni budaya tak dilihat sebagai punya tingkat dan prestijnya tersendiri seperti program pekan teater Selangor, festival musik atau filem Asia, sehinggalah kepada pameran seni visual antarabangsa yang bertaraf “biennale”.
Menang, dari awal yang wajar disedari adalah persoalan paling asas iaitu, “untuk apa Reformasi?” Andai persoalan ini kabur, maka kala memerintah, kekaburan itulah yang terlihat jelas nyata… dan, sementara masih ada masa.
Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.
Kiriman Berkaitan
- Ke Arah Muafakat Kebudayaan Baru Hasmi bin Hashim
- Banang Aqil Fithri
- Chairil Anwar (26 Julai 1922-28 April 1949) Ammar Gazali
- Mahu Menjadi Pendengar Yang Baik Mazir Ibrahim
- DBP Bakar Buku Anwar Hasmi bin Hashim
- Haruki Murakami: Seni Menulis Cereka John Wray