“J’accuse”: Dreyfus di Zaman Kita (I)
oleh Jacqueline Rose
31 Ogos, 2010 | kategori Esei | komen [1] | CetakBuat Tony Judt
Apa itu keghairahan kolektif? Apakah ia suatu perkara yang seharusnya kita ingin dan dambakan? Kita diberitahu bahawa pada hari ini iklim politik di seluruh dunia Barat ditandai oleh ketidakpedulian yang mencengang dan melumpuhkan. Kita tidak cukup peduli. Pemilihan Obama (sebagai Presiden AS) adalah satu kekecualian. Pemilihan beliau barang pasti mengilhamkan, khususnya dari sudut kehidupan kolektif: pendaftaran besar-besaran para warga kulit hitam sebagai pengundi boleh dilihat sebagai pembentukan sebuah wilayah politik baru merentasi generasi dan suku kaum. Tetapi keghairahan yang dirangsang Obama, keampuhan retoriknya, bagi sesetengah orang, ada saatnya tampak seperti sebuah khayalan, atau bahkan tumit Achilles beliau. Selain soal rang undang-undang kesihatan, kita harus menunggu untuk melihat sama ada retorik dapat mengatasi birokrasi negara dan hakikat kuasa politik. Itu belum termasuk lagi penumpul ghairah, kebencian bernoda perkauman yang hodoh yang juga dirangsang oleh pemilihan presiden kulit hitam pertama, anjing-anjing yang bertenggek di laman Rumah Putih.
Sentimen awam mana akan lebih menonjol? Seperti disebut orang, masa akan menentukan. Buat masa ini, zaman kita jarang mampu untuk menggerakkan kekuatan kolektif ke arah kebaikan bersama. Seperti dihujahkan dengan fasih oleh Tony Judt pada beberapa kesempatan di rentang tahun lalu dan dalam buku terbarunya, Ill Fares the Land, rasa kebersamaan masyarakat yang mencirikan politik Eropah dan Amerika sejak kurun ke-19 hingga kurun yang lalu tampaknya tidak lagi wujud. Dalam sebuah wawancara dengan Kristina Bozic dalam akhbar ini (London Review of Books), beliau meratapi perkara yang dilihatnya sebagai suatu kegagalan dalam kosa kata politik, iaitu ketiadaan bahasa yang dapat mengilhamkan “ideal-ideal kolektif yang di sekitarnya kita dapat berkumpul, yang dapat kita merasa marah bersama, yang dapat membuat kita terdorong secara kolektif, sama ada dalam persoalan keadilan, ketidaksetaraan, kekejaman atau tingkahlaku tidak beretika.[1] Jika ada pun mobilisasi sedemikian dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ia seakan menghinggap telinga-telinga yang tuli, jatuh ke tanah. Sejuta orang berarak menentang perang di Iraq (saya dengar sejuta, tetapi Judt mendakwa dua, penggelembungan angka yang saya suka): tiada apa yang berubah. Ada suatu “keterputusan hubungan” yang asasi di antara orang ramai dengan golongan yang mendakwa diri mewakili mereka. Seperti dibuktikan dengan jelas sekali oleh 18 bulan terakhir ini, gerakan anti-globalisasi, meski merupakan penyaksian bagi sesuatu yang diseru oleh Judt, tidak memberi kesan kepada cara-laku dan korupsi kewangan antarabangsa di seluruh dunia. Usaha dalam soal perubahan iklim tampak sedang terawang-awang. Tidak terlihat kesedaran tentang ironinya, kita akan menyelamatkan bank sebelum—atau lebih tepat, bukannya—menyelamatkan dunia.
Apa telah terjadi terhadap tujuan kolektif di Barat? Sebagai seorang feminis yang telah mengalami, dan dalam banyak cara telah dibentuk oleh, salah satu detik feminisme paling mengilhamkan, di tahun 1970an, pertanyaan ini mempunyai gaung istimewa bagi saya. Saya ingin sebut sebagai himbauan yang istimewa, tetapi menyebutnya sedemikian bererti mengakui bahawa detik-detik seperti itu telah lenyap selamanya. Kita memerlukan lebih banyak amarah (dalam makalah lain Judt menyarankan bahawa kita memerlukan lebih banyak ketakutan). Kita telah hilang daya amarah politik. Dapatkah keghairahan mengalahkan kekuasaan? Mahukah kita mengalahkan kekuasaan dengan keghairahan?
Bayangkan sekarang Palais de Justice di Paris pada Februari 1898. Emile Zola telah dikenakan dakwaan menfitnah tentera dalam suratnya yang masyhur, yang kita kenal hari ini dengan judul “J’accuse” (satu tindakan bergeliga apabila editor L’Aurore, akhbar sayap kiri yang menerbitkan surat berkenaan, apabila dia menghampar kata tersebut sebagai judul utama merintangi muka depan akhbar). Zola menulis suratnya itu sebagai respons kepada pembebasan Major Esterhazy, seorang penipu yang kaki perempuan, yang telah didedahkan sebagai pengarang sebenar bordereau atau perutusan yang memicu peristiwa tersebut. Bordereau yang ditemui dalam bakul sampah di Kedutaan Jerman di Paris oleh seorang tukang cuci yang bekerja untuk badan perisikan Perancis itu mendedahkan maklumat sulit tentera yang disalurkan dari Perancis ke Jerman. Ia secara salah—dan juga sengaja—telah disabitkan kepada seorang kapten dalam pasukan senjata berat berketurunan Yahudi, seorang pegawai yang sedang menyinar bintangnya di ibu pejabat Ketua Turus angkatan tentera Perancis, Alfred Dreyfus. Ringkasnya, Dreyfus telah diperangkap. Pada tahun 1894, Dreyfus dibicarakan di mahkamah tentera, didapati bersalah atas jenayah pengkhianatan dan pada tahun 1895 dihantar ke Devil’s Island, pulau terkecil dalam rangkaian tiga pulau kecil Iles du Salut, atau Salvation Islands, di luar pesisir French Guiana, di mana iklimnya cukup berat sehingga mereka yang dihantar ke sana dianggap sebagai dihukum mati. Ketika perbicaraan terhadap Zola berjalan, Dreyfus telah tiga tahun melarat di pulau itu, dalam keadaan yang tidak manusiawi. Hal tersebut hampir membunuhnya (beliau juga sama sekali tidak dimaklumkan tentang kempen untuk membebaskannya). Dia kekal di sana selama lebih setahun lagi sehinggalah dibawa pulang untuk perbicaraan semula pada tahun 1899, ketika mana dia didapati bersalah atas “kesalahan lebih ringan” oleh mahkamah yang diwujudkan oleh tentera sebagai jalan untuk melepaskan tentera sendiri dari beban kesalahan. Memandangkan ketika itu semua orang tahu bahawa Dreyfus tidak bersalah, maka penghukuman pada kali ini lebih mengejutkan berbanding yang dibuat pada tahun 1894.
Protes Zola yang masyhur itu tercetus disebabkan oleh pembebasan Esterhazy. Kala dunia menyaksikan peristiwa di Perancis dengan rasa semakin jengkel, Zola, beserta sekumpulan Dreyfusards yang semakin meningkat jumlah anggotanya, percaya bahawa dosa hanya dapat mula ditebus dengan penghukuman ke atas Esterhazy. Tetapi yang terjadi ialah pembebasan Esterhazy dan pelepasan diri oleh tentera. Bahkan, Esterhazy telah meminta supaya dibicarakan di mahkamah tentera, justeru dia begitu yakin akan dibebaskan.
Dreyfus akhirnya diampunkan pada tahun 1899, dibersihkan sepenuhnya dari tuduhan dan dikembalikan ke dalam perkhidmatan tentera pada 1906, dianugerahkan gelar Légion d’honneur pada Perang Dunia Pertama (walaupun pengalaman tersebut telah hampir memusnahkannya). Justeru itu kita dapat kepada kisah ini sebagai sebuah gambaran bagaimana keadilan, di bawah tekanan orang ramai, akhirnya bertakhta. Persoalannya ialah bagaimana, dan kenapa? Dan apa pula yang dapat diajarkan kisah ini tentang keghairahan awam? Saya akan bicarakan tentang inti utama kisah ini pada pandangan saya: pergelutan untuk keadilan, korupsi negara dan tentera, banjir anti-semitisme dan nasib para Yahudi. Namun pelajaran yang saya raih dari semua persoalan ini, cara saya melihat ia digabungkan, kemungkinan—di akhirnya—bukan yang paling jelas dijangkakan.
Oleh sebab Dreyfus, tegaklah Israel. Banyak orang mendapati hujahan ini tidak terjawab: jenayah yang dilakukan oleh negara Perancis terhadap pegawai Yahudi mengisyaratkan, bagi mereka yang mampu menanggap isyarat itu, pengakhiran sebuah mimpi pembebasan bagi Yahudi Eropah. Nasionalisme Yahudi muncul sebagai pelajaran utama dari peristiwa berkenaan [bagi banyak orang di Israel Dreyfus sepertimana Shoah (Holocaust), atau lebih lagi dari Shoah, telah menyebabkan nasionalisme Yahudi marak]. Tetapi bagaimana jika kita mengemukakan hujah lain, iaitu: justeru Dreyfus, tegaklah keadilan, atau perjuangan ke arah keadilan, terutamanya buat Yahudi sebagai suatu persoalan sejagat dan tidak berpengakhiran? Pada hari ini, rentetan serangan Israel ke atas Gaza pada tahun 2008–9, persoalan keadilan dalam hubungannya dengan Israel menjadi persoalan hangat di peringkat antarabangsa. Apa terjadi jika kita, seperti Bernard Lazare, salah seorang pemeran utama dalam kes Dreyfus, menjadikan keadilan sebagai keutamaanyang menentukan bagi apa yang diertikan sebagai “menjadi Yahudi”?
Ada tiga wira dalam peristiwa berkenaan: Zola, Kolonel Picquart yang kurang terkenal dan merupakan salah seorang pembela Dreyfus dalam angkatan tentera, dan Bernard Lazare, sosialis-anarkis serta pengkritik berketurunan Yahudi yang menjadi manusia pertama membela Dreyfus secara terbuka. Namun kita juga harus menambah pahlawan keempat: jurnal persuratan yang radikal tetapi tidak terkenal La Revue blanche.
Kita mulakan dengan Zola. Penglibatannya dalam peristiwa tersebut agak terkemudian dan dia mengakui bahawa pada awalnya dia didorong oleh sesuatu selain kepedulian politik. Pada awalnya dia dirangsang oleh sisi estetik pada peristiwa tersebut. “Sebuah drama yang cukup menyentuh, watak-watak yang cukup cemerlang!”, begitu pembukaan suratnya kepada Figaro, setahun sebelum dia menulis “J’accuse”: “Berdepan dengan bahan-bahan yang keindahannya sedemikian tragis, jiwa novelisku melompat dengan kekaguman penuh ghairah.” Kita boleh katakan bahawa ‘keindahan yang tragis’ telah menjadikan seluruh peristiwa itu sebuah puisi Yeats sebelum zamannya. Zola yang lebih terkemudian agak malu dengan dirinya: “Orang dapat melihat pada beberapa halaman pertama ini bahawa profesional itu, novelis itu, lebih tergoda dan terangsang dengan drama sedemikian,” tulis Zola dalam nota yang dilampirkan dalam penerbitan semula surat berkenaan kemudiannya. “Dan,” sambungnya, “rasa belas, keyakinan, dan ghairah terhadap kebenaran serta keadilan semuanya cuma tiba kemudian.”
Kebejatan umum dapat menjadi sumber kenikmatan. Zola bermula sebagai seorang penonton (salah satu pengertian penonton ialah seorang yang dengan mudah dapat merasa terhibur dengan sesuatu apa pun, tidak kira betapa tidak menyenangkan perkara tersebut). Krisis politik tidak semestinya merangsang semangat yang mulia. Rasa ingin tahu tentang nasib buruk seorang manusia yang tidak berdosa tidak sentiasa lahir tanpa noda. Zola mengakui bahawa ada sesuatu yang lain diperlukan untuk merangsang rasa belas, keyakinan dan ghairah terhadap kebenaran yang kesemuanya merupakan asas bagi perjuangan keadilan.
“J’accuse” merupakan sebuah adikarya retorik politik, selain ia juga merupakan sebuah drama yang dipentaskan. Ia ditujukan kepada presiden Republik berkenaan, Félix Faure, menyeru beliau membersihkan noda yang terpalit pada namanya dan pada wajah bangsa Perancis. Setelah menyenaraikan kesilapan-kesilapan perundangan, kekejaman yang ditimpakan terhadap Dreyfus dan keluarganya (ketua penyiasat mengugut isteri Dreyfus di jam-jam awal kehilangannya bahawa jika dia memberitahu sesiapa tentang penangkapan Dreyfus, suaminya akan dibunuh), cercaan terhadap Dreyfus, termasuk secara aneh kenyataan bahawa dia merupakan seorang yang kuat bekerja serta mahir dalam beberapa bahasa, penyelewengan bukti, serta pengabaian terhadap prosedur-prosedur perundangan, Zola menyenaraikan secara terperinci bukti-bukti tentang korupsi yang merajalela, di tingkat tinggi, di sekitar perbicaraan Esterhazy. “Kebenaran sedang berarak maju, tidak ada apa dapat menghentikan geraknya.” (Kumpulan tulisan Zola berkenaan Dreyfus membawa judul La Vérité en marche.) Beliau menyimpulkan dengan segugus tuduhan—setiap satu dimulakan dengan “J’accuse”—yang berakhir dengan dakwaan terhadap tribunal tentera bahawa ia secara sedar telah membebaskan seorang penjenayah. Dia tahu bahawa dengan melakukan perkara itu dia mengundang tuduhan memfitnah, suatu prospek yang dialu-alukannya dengan semangat: “Biar tiba penyiasatan di tengah benderang hari!” Diakhirinya dengan: “Aku menanti.” Dia juga tahu bahawa soal apa yang diketahui atau tidak diketahui oleh tribunal tentera hampir mustahil untuk dirungkai dalam undang-undang, dia merasa pasti akan didapati bersalah. “Sesuatu yang mustahil,” tulis Louis Begley dalam buku baru beliau tentang peristiwa berkenaan, Why the Dreyfus Affair Matters, “untuk terlebih memuji keberanian Zola.”[2]
Perbicaraan Zola dianggap sebagai peristiwa sosial terpenting di dekad itu. Setiap orang kebanyakan mahu menyaksikannya dan mahu tampil dalam peristiwa itu. “Ruang Assizes (mahkamah) tidak pernah dilanda kerumunan sedemikian besar atau sebegitu marah,” lapor Joseph Reinach dalam Histoire de l’Affaire Dreyfus:
Para peguam duduk berhimpitan, sebahagian mereka berpaut kepada pemidang-pemidang tinggi yang mengepung ruang perbicaraan atau kepada jenang-jenang jendela; dan bercampur-baur di celah mereka, terhimpit sehingga hampir lemas, dalam emosi sebuah peristiwa yang menyedut perhatian dunia, ialah para wanita, wartawan, pegawai, orang biasa, pelakon, “setiap orang kebanyakan. Seluruh-golongan terbaik-Paris.”
Dalam kerumunan ini, di celah yang lain, hadir Marcel Proust muda, tokoh yang kemudian mengambil apa yang disaksikannya pada tubuh-tubuh yang saling mendesak ketika mereka cuba mendapatkan tempat, sebuah pemaparan tentang ruang-ruang pertamuan masyarakat Perancis. Para wanita budiman dalam masyarakat, juga para penulis, wartawan, pelakon, pegawai, tidak keberatan untuk hilang anggota tubuh, jika pun tidak sampai hilang nyawa, untuk menyaksikan Zola yang sedang dibicarakan. Ruang keluar dari mahkamah kecoh. Seorang lelaki muda yang bersorak untuk Zola dituduh meneriakkan “Jahanam dengan Perancis” dan dibantai. Kekecohan merebak ke semua galeri Palais dan Zola terpaksa mencari perlindungan. Tatkala dia akhirnya tampil kembali dikelilingi para peguam dan rakan yang melindunginya, sebuah gerombolan besar yang semakin bertambah ramai—“mengagumkan, dalam malam musim sejuk yang berkabut”—mengalu-alukannya dengan serangan boo dan siul cercaan. Tanpa campurtangan polis, dia tak ragu lagi tentu telah dipukul ke tanah. Kenderaannya meluncur laju pergi, diekori oleh teriak ancaman para pembantah—“Pergi tenggelam! Pergi tenggelam! Ke dalam Seine!”—berbaur dengan slogan-slogan patriotik. Pada hari ini, keramaian umum sejenis ini dikaitkan dengan budaya selebriti yang tumbuh subur terutamanya di atas kedunguan kehidupan yang terus-terusan dan secara sadis dipamerkannya. Apabila Judt meratapi kehilangan tujuan sosial bersama serta lenyapnya penyertaan kolektif, saya fikir kita dapat merasa pasti bahawa bukan itu yang dimaksudkannya.
Selain membelah Perancis dalam perang yang acapkali disifatkan sebagai perang saudara, kes Dreyfus telah menggamatkan kehidupan umum. “Drama-drama sensasi” perbicaraan Zola, “yang berlangsung satu demi satu tanpa putus, telah menyalakan emosi yang kental, ghairah … terangsang menjadi kegilaan … otak orang dipalu-palu oleh demam itu.” Bagi para Dreyfusard, kes itu telah membongkar sejenis keriaan, menjadikan kehidupan, dalam kata-kata Léon Blum sewaktu dia menghimbau di tahun 1935, bukan hanya “dapat diterima, tetapi juga bahagia.” Emile Durkheim dan Charles Péguy melihat babak itu sebagai “conscience humaine” [kata conscience dalam bahasa Perancis membawa kedua-dua maksud consciousness (kesedaran) dan conscience (nurani)] yang memperkenalkan kepada kehidupan politik suatu tingkat baru keseriusan moral. “Tidak pernah sejak [zaman] Reformasi,” isytihar Reinach, “kesedaran manusia mengambil langkah lebih jauh … kita harus tunduk hormat kepada usaha menyuntik semangat moraliti ke dalam politik sebegini.” Pandangan Reinach dikongsi oleh Tolstoy yang mengutuskan salamnya buat Perancis, salam tahniah atas “nasib baik” negara itu apabila dikurniakan dengan krisis sedemikian.
Kita tidak harus terbawa hanyut. Peristiwa Dreyfus juga terutamanya merupakan kisah tentang sebuah keghairahan kolektif yang amat berlainan dan lebih sinis bentuknya. Walaupun keadilan akhirnya bertakhta, persoalan yang hakiki, seperti akan kita lihat, ialah sama ada ia menang dalam jangka panjang. Antara pelajaran yang boleh diraih dari Dreyfus ialah, meminjam Derrida, bahawa keadilan merupakan pergelutan yang tidak berpenghujung. Dreyfus tahu bahawa dia diperangkap kerana dia Yahudi. “Satu-satunya jenayah saya ialah saya seorang Yahudi,” katanya kepada pengarah penjara Cherche-Midi, Komandan Forzinetti, apabila pengarah tersebut membawanya pulang ke penjara setelah penghakiman pertama; kenyataan bahawa dia kelihatan seperti seorang “gila” dan tidak dapat ditenangkan telah meyakinkan Forzinetti, sebelum disedari orang lain, bahawa Dreyfus tidak bersalah.
Penerbitan “J’accuse” pada tahun 1898, dan perbicaraan Zola setelahnya, merupakan kesempatan untuk merebaknya anti-semitisme ke seluruh Perancis. Sehari setelah surat berkenaan diterbitkan, rusuhan anti-Yahudi, menarik penyertaan sehingga 4000 orang di setiap bandar, telah tercetus di Nantes, Nancy, Angers, Rouen, Châlons dan Saint-Malo, selain di Paris. Toko-toko Yahudi diserang, saumaah-saumaah dikepung, orang-orang Yahudi diserang di jalanan, boneka-boneka Dreyfus dan Zola dibakar. Sewaktu perbicaraan, pencetus rusuhan Jules Guérin, pengasas Lique Antisémitique, mengutuskan para perusuh ke Left Bank dan ke sekeliling Palais de Justice. “Saya masih dapat melihat,” tulis Reinach, “seorang wanita muda penuh amarah yang mengejar saya, cuba untuk mengoyak reben Légion d’honneur saya, sambil para pengunjuk rasa berteriak: “Mati buat para Yahudi! Mati buat para pengkhianat!” Teriakan yang sama menyambut perbicaraan Dreyfus (setelah pendakwaan dibuat terhadapnya, banyak orang menyeru agar hukuman mati terhadap pengkhianat diperkenalkan semula). Polis, sebahagian besarnya bekas soldadu, senyum kepada para perusuh yang tidak lupa untuk menyertakan bersama laungan kebencian mereka Yahudi teriakan “Dirgahayu tentera!” Mereka yang berani untuk membalas dengan “Dirgahayu Republik!” akan segera diancam (antaranya, agak sukar dipercayai, dibuat oleh salah seorang hakim yang membebaskan Esterhazy).
Unjuk rasa di Algeria paling buruk. “Satu benih Yahudi telah melahirkan dua ekor babi,” umum sebuah akhbar Algeria. Pada minggu yang sama, sekumpulan belia yang bertembung di jalanan dengan seorang wanita Yahudi yang mengandung telah menelanjangkan wanita itu dan kencing ke atasnya. Bagi Edouard Drumont, pengarang nistaan anti-semitik La France juive, salah satu karya terlaris, kesemua ini merupakan luahan mulia bagi amarah orang ramai yang mahu meghumban kesemua Yahudi ke sungai atau memanggang mereka: “Tetapi Yahudi yang dipanggang pasti tengik baunya,” laung akhbarnya, La Libre Parole. Akhbar-akhbar Katolik—La Croix, Pélerin, Gazette de France—sekaliannya telah menjadikan diri mereka wahana untuk kebencian anti-Yahudi. “Kecuali segelintir,” tulis Bernard Lazare, “[kebanyakan] akhbar anti-semitik.” Bagi sebuah negara yang, menurut Reinach, telah kehilangan tabiat unjuk rasa secara umum, rusuhan-rusuhan yang berlaku amat menonjol dari segi ia menampilkan “kebuasan binatang-binatang liar.”
“Binatang liar” barangkali agak ringan. Ia mengabaikan kadar sejauh mana kemarahan sebegini menyedut keghairahan lain, yang lebih beradab. “Mereka mengocak Perancis,” tulis Zola tentang seruan tentera ke arah sentimen kebangsaan, “bersembunyi di sebalik emosinya yang absah, mengkelukan lidah-lidah dengan mematahkan jiwa, menyelewengkan akal. Saya tidak mengenal jenayah peradaban yang lebih besar.” Bagi Reinach, anti-semitisme “menjunam ke kedalaman yang paling bawah, ke dalam batu asas tua yang menjadi tempat ia mengalir selama berkurun.” Ada baiknya kita berhenti sejenak di sini. Ini bukanlah sebuah gambaran kabur tentang anti-semitisme yang abadi dan tidak berubah yang diingatkan kepada kita oleh Hannah Arendt agar kita tidak menempatkannya melampaui jangkauan sejarah dan politik—dan yang sentiasa melibatkan dakwaan bagi pengulangannya yang tidak terelak, memarakkan ketakutan yang abadi dan tidak berkesan. Anti-semitisme berada dalam ruang masa. Memang ada batu asas, tetapi untuk menghidupkannya diperlukan krisis bersejarah yang disimbah dengan keperluan zaman.
Hal lebih buruk sedang tiba. Pada tahun 1898, La Libre Parole melancarkan suatu petisyen untuk mengumpulkan dana bagi “balu dan anak” mendiang Joseph Henry, penulis dokumen palsu yang menjadi bukti utama bagi menyabitkan kesalahan (disebut dalam sejarah sebagai “le faux Henry”). Setelah terbongkar pemalsuannya, Henry menyembelih lehernya sendiri di penjara. Selain untuk mengumpulkan dana, petisyen tersebut bertujuan untuk membela maruah Henry, “pegawai tentera yang terkorban, dibunuh oleh para Yahudi.” Pada ruang catatan peribadi yang terdapat pada petisyen itu, yang ironisnya dikenal sebagai “peringatan” Henry, tidak ada sempadan. “Selamat panjang usia pedang yang akan mengikis dari kita kesemua binatang perosak,” tulis salah seorang penyumbang. Ada pula yang menyeru kepada pengusiran dan penghapusan—demi negara, “demi Tuhan”. Walaupun catatan-catatan yang dibuat lebih merupakan ritual dari seruan ke arah perlakuan sesungguhnya, seperti disebut oleh sejarahwan Jean-Denis Bredin, ruang peringatan buat Henry itu sarat dengan “justifikasi untuk pembunuhan beramai-ramai.”
Sekiranya kita melihat secara lebih dekat anti-semitisme yang memudaratkan ini, satu kepercayaan menonjol mengatasi yang lain: iaitu bahawa Yahudi bukan sebahagian dari bangsa Perancis. Dengan itu, secara tersirat seorang Yahudi adalah pengkhianat. Dilihat dari sudut ini, peristiwa Dreyfus merupakan jelmaan bagi mimpi anti-semitik—“sebuah kurnia besar buat Perancis,” kata akhbar La Croix setelah perbicaraan Dreyfus pada tahun 1894. “Mengapa Tuhan mencipta Yahudi,” tanya Drumont, mengutip Bismarck, “jika bukan untuk menjadi pengintip?” Bahkan pada kenyataannya mereka bukan mengintip atau berkhianat, memandangkan Yahudi tidak mungkin dapat mengkhianati sebuah negara yang bukan menjadi kepunyaan mereka. (Setelah Dreyfus ditangkap, Drumont mengisyhtiharkan yang dia adalah “profetik”.)
Tidak ada Yahudi Perancis terlepas dari dakwaan ini, termasuk Yahudi yang lahir di Perancis dan telah diasimilasi dengan baik seperti Dreyfus—kaya, berpelajaran, meningkat naik dalam angkatan tentera. Untuk apa saja, tanya para pembela Dreyfus, dia mahu berkorban sebegitu banyak? Asimilasi, suatu yang yang dibanggakan oleh Yahudi Perancis, ternyata hanya sebuah mitos, memandangkan dalam sekelip mata seorang Yahudi telah bertukar—menurut ungkapan Hannah Arendt—dari seorang manusia berada menjadi paria. Dalam konteks ini kesalahan besar Yahudi berkenaan bukan lagi kerana ia mewakili dunia wang bersesuaian dengan bakat dan sejarah kaumnya (tidak bererti pandangan sebegini pernah mengandungi sebarang pengiktirafan terhadap sejarah Yahudi). Sekiranya jenayah Yahudi ialah kerana dia orang asing, dosa lebih besar ialah untuk merasa yang dia tidak lagi menjadi orang asing. “Kita biasa menyerang mereka kerana mereka tidak pernah menjadi selain ceti,” tulis seorang pengulas, “pada hari ini orang mahu menyerang Yahudi kerana mereka kini mendakwa tidak lagi menjadi orang asing.”
Keyakinan inilah yang berlangsung hingga ke kurun ke-20. Tinjauan pandangan umum yang dibuat pada tahun 1966 oleh French Institute menemukan bahawa 19 peratus warga Perancis percaya bahawa Yahudi bukan warga Perancis yang penuh seperti warga-warga Perancis yang lain (perbandingan semasa bagi hal ini ialah 36 peratus penyokong Republican yang percaya bahawa Obama tidak dilahirkan di AS). Sentimen yang sama diluahkan kepada saya secara literal menjelang pemilihan Sarkozy, sewaktu saya mendapati diri saya, secara luar kebiasaan, duduk di sebelah cucu Charles de Gaulle di sebuah restoran Paris (saya tidak pasti bagaimana atau kenapa kami mula berbual).
Diterjemah oleh Murad Ata.
[1]^Wawancara berkenaan diterbitkan dalam LRB tanggal 25 Mac. Ill Fares the Land diterbitkan oleh Allen Lane (256 hal., £20, Mac, 978 1 84614 359 5).
[2]^Yale, 272 pp., £18, Oktober 2009, 978 0 300 12532 0.
Kiriman Berkaitan
- “J’accuse”: Dreyfus di Zaman Kita (II) Jacqueline Rose
- Angkatan Jahanam A. Sabri
- ‘Phyrric victory’ di Perak Khalid Jaafar
- Manifesto Menuju Putrajaya dan Azmin Ali Khalid Jaafar
- Azmin Ali: 901 Peluang Polis Pulihkan Imej yang Tercalar Ammar Gazali
- Persamaan antara Revolusi di Mesir dan Iran Fareed Zakaria



[...] J’accuse: Dreyfus di Zaman Kita I [...]