Ulasan Siri Drama The Wire
oleh Murad Ata
10 Mei, 2010 | kategori Filem/TV | komen [0] | Cetak
The Wire
Mencicip realiti menerusi drama teragung dalam sejarah TV
Babak EMPAT: Beberapa kawan saya yang muda-muda belaka sedang berbincang untuk persediaan sebuah program latihan di Selangor. Saya duduk di samping mereka di kedai kopi yang baru diubahsuai itu buat sebentar, tanpa melibatkan diri dalam perbincangan dan tanpa memberi perhatian sama sekali kepada buah bicara mereka. Di luar kedai ada sekumpulan pembikin drama Melayu, juga Eman Manan. Mungkin Eman terlibat dalam penggambaran itu, mungkin juga tidak. Di sebelah meja kawan-kawan saya ada meja bulat yang lebih besar. Di meja bermuka marmar itu ada seorang wanita. Di tengah kedai sederhana besar itu wanita tidak terlalu muda itu agak menonjol. Sejak awal melihat dia saya agak pasti dia pelakon drama, dan agak pasti juga dia pelakon drama Melayu RTM atau TV3. Saya tidak memberi perhatian kepada perbincangan kawan-kawan kerana saya bimbang dengan kamera-kamera besar yang ada di dalam dan di luar kedai; sebenarnya cukup bimbang, takut muka saya termasuk ke dalam drama RTM (semoga dijauhi Tuhan). Namun, tiba-tiba, agak mendadak dan hampir tak terhindar, saya merasa seperti tersumbat ke dalam kotak TV, dalam sebuah drama Melayu RTM. Dinding kedai, langit-langit, dan lantai kedai seperti bertukar jadi rangka peti TV. “Amir, kenapa kamu tercungap-cungap sampai begini? Apa terjadi?” (Nama dan dialog ini tidak persis, saya tak ingat sepenuhnya). Dialog ini diucapkan dengan nada naik turun yang hampir terlalu sempurna untuk sebuah ‘realiti’, sebuah kehidupan nyata. Suaranya jelas dikawal agar kedengaran merdu, tidak seperti nada dan cara pengungkapan kawan-kawan saya yang sedang berbincang, dan amat mungkin juga tidak sama dengan nada pengarah sewaktu memberi arahan kepada pelakon terbabit. Gaya pengucapannya “berlebih-lebih”. Bingung juga waktu itu memikirkan, mana satu dunia yang hakiki, yang real? Dunia di meja kawan-kawan saya atau di meja bulat sebelah?
Babak TIGA: Saya selesai menonton salah satu musim The Wire. Saya ngeri kerana merasa seperti dunia ganas The Wire itu masuk ke bilik tidur saya, juga kerana saya merasa dunia itulah yang selama ini saya kenal menerusi buku, akhbar, majalah, selain yang saya pernah alami sendiri.
BABAK PEMBUKAAN: Seorang kawan rapat saya memberitahu yang dia telah membeli DVD The Wire, siri drama TV Amerika, lengkap dari musim satu sampai musim lima. Dia memberitahu saya, dia yakin The Wire adalah drama TV terbaik pernah dia tonton. Katanya lagi, majalah New Yorker juga telah mengakui The Wire sebagai antara drama terbaik dalam sejarah TV dunia. Saya yakin dengan citarasa dan ilmu seni kawan saya ini. Ditambah pula dengan pengiktirafan New Yorker, yakin saya menjadi yakin-pasti. Katanya juga, The Wire menjadikan The Sopranos agak hambar. Wow! Sewaktu khatam The Sopranos saya telah agak yakin bahawa tidak pernah ada, dan sukar untuk ada setelah itu, drama TV yang lebih baik darinya.
BABAK SaTU: Saya membelek majalah Esquire yang baru dibeli di kedai mamak dan mendapati ada wawancara dengan David Simon di dalamnya. Ketika itu saya sedang tidak sabar untuk menonton The Wire, karya Simon. Tapi, setelah membaca wawancara itu saya tawar hati untuk menonton siri drama itu. Saya seorang liberal (mazhab Eropah, bukan liberal Amerika), “orang kanan”, yang tidak menyukai orang kiri yang pesimis, banyak merungut, banyak marah dan terlalu curiga dengan orang kaya dan syarikat-syarikat korporat. Dalam wawancara itu saya melihat “kirinya” Simon. Dia marah dengan hampir segala benda dan semua orang. Dia malah marah dengan wartawan yang mewawancaranya. Pemarah benar dia.
Babak DUA: Saya ke kedai DVD untuk melengkapkan koleksi DVD “House” saya. Semua musim House telah saya tonton. Cuma tinggal satu musim yang belum ditonton. Satu musim kurang lebih mengandungi 15 episod, ertinya sesi menonton akan habis sebelum saya sempat puas. Ertinya harus mula mengumpul siri TV yang baru. Saya terfikir siri “24”, tapi terlalu banyak musim. Saya lihat ada The Wire, jumlahnya cuma lima musim. Saya terfikir, mungkin saya tidak akan suka dengan The Wire, tetapi ini, kata banyak pengkritik “adalah siri TV teragung pernah dicipta”. Maknanya, koleksi The Wire wajib saya simpan.
ULASAN DRAMA
Ugh! The Wire cukup nikmat.
Cukup nikmat The Wire, atas banyak hal, termasuk [tetapi bukan semata-mata] kerana ia menjadikan penonton merasa yakin yang dilihatnya di kaca TV itu adalah peristiwa yang real, seakan ia pada hakikatnya adalah bingkai-bingkai rakaman CCTV, liputan berita secara langsung, dan dokumentari, yang dikutip, disunting dan disulam dengan cemerlang. Dan sememangnya David Simon telah menggunakan karyanya sebagai mewakili hal-hal yang benar-benar terjadi dalam kehidupan di bandar-bandar Amerika.
Nikmat The Wire juga adalah dari dialognya yang pintar dan ‘mengejutkan’. Cukup banyak dialog drama TV dan filem yang dapat diteka kerana ungkapan yang sama diulang-ulang. Salah satu dialog terbaik adalah dari Omar: You come at the king, you best not miss.

Michael K. Williams melakonkan watak Omar.
Selain pintar, dialog dalam drama ini memakai loghat sebenar Baltimore. Setiap cara pertuturan tulen menurut penuturnya—African-American (dengan sekian banyak variasi slanga mereka), pekerja pelabuhan, polis, penagih dan pengedar dadah, mafia Greek, ahli politik, dan lain-lain. Dalam salah satu adegan, seorang penjual menggelar alat pemaku automatik yang dijualnya sebagai “Cadillac of nail guns.” Snoop, si pembeli, seorang wanita muda yang juga pembunuh berdarah dingin, berkata kepada kawannya, “He means Lexus, but he ain’t know it.” Inilah salah satu contoh ketepatan dan ketulenan dialog The Wire yang berhasil menunjukkan bukan saja gaya, malah juga beda citarasa yang membentuk luahan bahasa manusia menurut bangsa, kerjaya, atau kedudukan sosial. Cadillac adalah kereta unggul bagi orang berkulit putih Amerika kelas menengah bawah. Lexus pula kereta unggul bagi anggota-anggota sindiket dadah seperti Snoop.
Menonton realiti dalam The Wire tidak dapat dikatakan sepenuhnya menghiburkan, kerana realiti yang ditonjolkan itu gelap, meski bukan tanpa harapan sama sekali. Cumanya harapan dalam realiti The Wire, atau barangkali juga dalam ‘dunia nyata’ kita, harus ditenung dekat-dekat, pelan-pelan, untuk menemukan “benang perak di awan” atau “hikmah”. The Wire dari sudut ini adalah pengungkapan betapa dunia, alam moden khususnya, adalah realiti yang kabur dan kelabu.
Dan realiti dalam The Wire adalah kelabu sekelabu-kelabunya. Polis yang baik dan bijak misalnya ingin menewaskan penjahat yang bijak untuk membuktikan yang dia lebih bijak dari si penjahat. Kemudian ada pula Frank Sobotka, kepala kesatuan pekerja pelabuhan yang ingin menyelamatkan orang-orangnya dari hilang periuk nasi kalau pelabuhan ditutup kerana projek pembangunan. Memang satu realiti bahawa dalam pembangunan hampir di mana-mana ada sekumpulan kecil yang akan terkorban, manakala baki yang lebih banyak akan mendapat manfaat. Namun satu realiti juga bahawa banyak projek pembangunan diluluskan tidak secara telus, oleh pentadbir dan ahli politik yang korup. Menambah kelabu, Sobotka cuba menyelamatkan ahli-ahli kesatuan buruhnya dengan cara yang juga korup.
Orang yang punya ilmu filem maklum bahawa berlebih-lebih, ‘berteater’, adalah keharusan dalam filem atau drama untuk mengesankan khalayak. Namun The Wire tidak pula dirasakan berlebih-lebih, tidak seperti pengarahnya, David Simon, yang dikhabarkan berlebih-lebihan kritiknya di luar dunia The Wire, di dalam dunia realiti—dalam wawancara-wawancara di media, selain dalam berurusan dengan eksekutif syarikat penyiaran. Berdasarkan rumus “berlebih-lebih” ini, suara Simon di dalam The Wire adalah hakiki, dan suara Simon di luar The Wire adalah sebuah drama. Berdasarkan The Wire pula, realiti sering tidak mengumandangkan suara merdu bernada sempurna.
Pesanan untuk bakal penonton: Sewaktu menonton drama ini, jangan sampai anda ketinggalan sebaris dialog sekalipun, atau anda akan hilang arah.
Kiriman Berkaitan
- Surat kepada Seorang Penyair Muda Rainer Maria Rilke
- Balak Hasmi bin Hashim
- Penghujung Jalan Mati admin
- Buku dan Tehran admin
- Meor: Dari Rakyat Untuk Rakyat Mazir Ibrahim
- Sajak-sajak Murad Ata Murad Ata