Merengkuh Hiroshima
oleh Hafiz Hamzah
19 November, 2009 | kategori Esei | komen [0] | Cetak31 Ogos 2009
Malam merdeka tenang dan lengai. Di KLIA juga begitu; suasana mungkin menyambut sama keheningan malam-malam awal Ramadhan dan membawa sama belenggu yang terasa menyenangkan. Aku tidak memikirkan langsung tentang Hari Merdeka kerana aku sedang memusatkan perasaan yang bercampur-campur, dalam persiapan dan perjalanan ke Hiroshima, Jepun.
Tidak tahu mengapa, di KLIA waktu itu, rasa keseorangan hadir. Dalam masa enam jam selepas menaiki pesawat, aku akan tiba di Osaka terlebih dulu; Lapangan Terbang Kansai. Tetapi, Hiroshima sudah kerap menggamit ingatan jauh sebelum itu lagi. Seronok bukanlah rasa paling dominan dalam tempoh ini. Hiroshima, dengan imej pagi 6 Ogos 1945 lebih kuat mencengkam perasaan.
Tarikh itu, dunia menyaksikan kegelapan maha agung agaknya; bom atom pertama dunia dijatuhkan tepat jam 8.15 pagi dan meletup 600 meter sebelum mencecah bumi. Bayangan ini menghuni benak dengan santun dan hiba yang lain macam rasanya. Sebaik sejurus berbuka, dengan pesawat JAL – yang hanya menyediakan satu hidangan makanan sahaja sepanjang enam jam di atas langit itu – aku bersiap untuk menanti apa juga suasana yang siap menanti di sana.
Selapas sejam transit di Singapura, mataku tak mampu untuk lelap. Untuk melalaikan diri, buku Labyrinths – Jorge Luis Borges cuba diratah. Di altitud sebegitu, membaca juga melemaskan. Aku beberapa kali mencuba untuk berbual dengan pramugari di ruang pantri, meminta air dan biskut kering. Satu tempoh tidur yang meyiksakan. Sehinggalah dikejutkan untuk makan – sekitar jam 4 pagi – aku tak pernah lelap penuh. Bangun itu pun disambut oleh makanan Jepun yang langsung tidak membangkitkan selera; entah apa namanya.

Sebuah Shinkansen di gerabak Shin-Osaka © Hafiz Hamzah
1 September 2009
6.30 pagi, tiba di Lapangan terbang Kansai, Osaka. Cuaca tidak begitu sejuk – awal musim luruh dan matahari masih ada–sekitar 25 darjah celsius. Hiroshima masih beratus kilometer jauhnya. Dalam kepenatan+ tanpa tidur, perjalanan masih berbaki beberapa jam. Seorang gadis Jepun dengan tiket keretapi siap menunggu di luar balai ketibaan. Lapangan terbang ini, disebelahnya sudah tersedia hub sistem pengangkutan tren untuk ke serata tempat. Ini adalah perkara yang paling menakjubkan di Jepun agaknya; sistem pengangkutan awam mereka. Dalam beberapa minit berjalan, aku memasuki blok tren dan bertanya landasan yang mana patut dituju, sambil menunjukkan tiket di tangan.
Komuter pertama pagi itu menuju ke Shin-Osaka, sebuah terminal besar jaringan tren untuk ke Hiroshima dan tempat-tempat lain. Komuter ini, dengan saiz yang hampir sama dengan komuter KTMB di sini, adalah jauh lebih pantas dan cekap. Di stesen hujung ini, mereka akan membersihkan dulu gerabak tren ini sebelum penumpang dibenarkan masuk. Posisi kerusi juga ditukar ke arah berlawanan, arah patah-balik tren ini nanti. Kamu patut pastikan pintu dan tempat duduk pada tiket kerana, semua sudah terpampang dan perlu diikut.
Suasana di Shin-Osaka hiruk pikuk. Jam menunjukkan sekitar pukul sembilan pagi; orang berpusu-pusu ke pejabat. Sarapan pagi di situ, mencuba tandas cangkung ala Jepun di situ dan kemudian bertukar tren kepada yang lebih besar – Shinkansen – atau bullet train.
Stesen sentral keretapi ini ambiennya sama saja seperti di lapangan terbang. Luas, papan notis elektronik untuk semua jadual perjalanan dan penuh dengan manusia. Pertama kali melihat Shinkansen ini, aku jatuh takjub. Kepalanya yang sangat besar dengan kokpit pemandu di atas serta panjangnya sudah cukup memukau. Itu belum lagi diambil kira pengalaman menaikinya. Menurut sistem navigasi satelit GPS, kelajuan maksimum tren ini mencecah 304kmj. Aku tak tahu kesahihannya. Tapi yang pasti, di dalam kok itu cukup selesa dan tidak akan gayat langsung dengan kelajuan seperti itu. Dua jam dari Shin-Osaka, akhirnya tiba di terminal tren Hiroshima.
***
Aku meletakkan barang di ruang penginapan di Rihga Royal dan mencari makan. Sushi, tempura, ais krim teh hijau dan selesai. Awal petang, menelusuri jalan-jalan dan lorong ditengah Hiroshima ini dengan kaki, selagi mampu bertahan. Bauudaranya, bangunan moden yang teratur, laluan trem, orang-orang yang berbasikal serta perempuan-perempuan Hiroshima yang cerah kulitnya menjadi paparan skrin yang cukup indah.
Aku meramahi sebahagian daripada Hiroshima petang itu, cuba-cuba untuk menghafal jalan. Menyelongkar lorong Honduri, tempat beli-belah dan anak muda yang rancak dan sentiasa hidup. Malamnya walaupun keletihan selepas makan, merayap lagi di celah semangat jalan-jalan sunyi Hiroshima, menonton stadium besbol dan lampu-lampu neon – termasuk gadis-gadis molek yang menghurung jalan.

Bangunan-bangunan di Hiroshima © Hafiz Hamzah
2 September 2009
Awal pagi ke ibu pejabat Mazda Motor Co. Ltd. Hiroshima merupakan pusat operasi Mazda. Di dalam bas, langsung tidak menyedari bila waktunya aku sudah berada di dalam kawasan mereka – sehingga dimarahi kerana masih sibuk mengklik kamera.
Ia ruang terbuka dan terpecah-pecah. Semua bangunan untuk operasi Mazda tidak berada di dalam satu kawasan. Ia seperti bandar dengan kiblat tersendiri, dengan ramai pekerja yang lalu lalang dengan seragam putih serta tag nama. Sepertiga daripada populasi Hiroshima yang berjumlah 1.2 juta orang ini meraih rezeki di bawah panji syarikat automotif berkenaan. Jadi, kamu bayangkanlah skala industri ini dan impaknya kepada warga Jepun. Dan, Mazda sebenarnya bukanlah sebuah gergasi automotif Jepun jika dibandingkan dengan pembuat lain seperti Honda, Nissan dan Toyota.
Di satu ruang malap, bangunan pusat rekaan terhimpun arkib – lama dan baru – bagi semua rekaan mereka. aku duduk di situ mendengar taklimat, dan mendekati beberapa orang yang bersungguh menjelaskan keadaan mereka. Jalan-jalan di dalam premis pemasangan juga satu pengalaman yang mengasyikkan. Awal malam, di sebuah restoran tradisional Jepun di sebuah perkampungan, aku terpana bukan oleh makanannya, tetapi oleh dua persembahan muzikal; persembahan gendang Jepun yang bertenaga dan melonjak adrenalin. Sebuah lagi persembahan oleh seorang gadis muda dengan alat muzik tradisional koto, memetik tali-tali itu dengan irama dan nada daripada kesah yang paling sedih untuk malam itu.

Petikan koto, sebuah alat musik tradisional Jepun © Hafiz Hamzah
***
Keadaan tenang dan senyap malam sebelumnya menimbulkan rasa ingin tahu yang luar biasa. Malam semalam, jalan lengang. Kedai di tutup awal. Seperti ada yang tidak kena untuk sebuah bandar ketiga terbesar di Jepun ini. Dan, malam itu aku memanjangkan langkah, berjalan merentasi kedai-kedai Honduri yang sudah ditutup, membiarkan diri sesat tanpa rasa resah dan sampai kepada matlamat untuk mencari ‘keriuhan’ Hiroshima. Setiap lelah yang tersisa itu berbayar. Sesedar dari cungap yang memendekkan nafas, aku sudah berada di satu kawasan belakang, tempat deretan teksi berhenti membentuk satu garis lurus yang amat panjang. Dengan rasa ingin tahu, aku berjalan lagi sepanjang-panjang jalan itu dan menyedari sesuatu; di sini rupanya orang-orang Hiroshima menghilangkan diri bila matahari sudah terbenam, meninggalkan wajah luar Hiroshima keseorangan dan kesejukan.
Satu deratan panjang dengan lampu kelip, tempat orang-orang berhimpun. Ada kelab malam, merayap dicelah-celah botol sake asli Hiroshima, wanita kimono yang sedang melayan pelanggan, pasangan cinta sejoli yang mabuk dan muntah di tepi jalan serta pemandu teksi yang setia menghuni malam di situ untuk meraih pencarian. Katanya, orang Jepun tidak akan pulang ke rumah awal selepas waktu kerja, kerana akan ada suara-suara sumbang di kejiranan membecok mengatakan mereka yang pulang awal ke rumah sebagai orang pemalas bekerja. Untuk mengelak malu itu, warga kota moden ada cara baru untuk memberikan impresi positif kepada jirang tetangga; melabun sampai pagi di lorong tersorok, tiap-tiap hari.
Reda lelah, aku menapak lagi. Meninjau-ninjau bangunan tinggi untuk mencari penunjuk arah, tetapi sia-sia. Rupanya malam itu belum selesai. Di satu simpang entah di mana, ada ramai anak muda dan pemusik jalanan menyanyi melalak di situ. Aku terpesona dengan kesungguhan mereka ini. Dan, yang menyanyi itu bukan calang-calang. Semuanya menyangkut bakat besar mereka di celah-celah lorong, di waktu malam untuk kepuasan – dan sedikit rasa bangga.
Di satu sudut, sekumpulan pemuzik jalanan mengambil tempat. Ada aura unik yang mengiringi mereka. Dua lelaki 30an dengan rambut rasta berserban, seorang lagi dengan gitar dan seorang perempuan menari joget. Muzik gendang fusion yang dimainkan – melangkau beberapa lagu – tetap menjadi magnet untuk melekakan aku kepada persembahan mereka. CD album pertama juga tersimpuh sopan di depan, di atas kain hampar yang comot. Orang-orang ada yang menari sama. Muzik bagi kelompok ini seperti ritual untuk merangsang spiritual. Setengah jam aku duduk di depan muka mereka, menelan bunyi-bunyi yang aku rasakan cukup memukau. Kocek tak terisi banyak not tunai, dan CD mereka terpaksa aku abaikan, hanya sempat memegang dan membelek. Pengalaman muzik yang asyik boleh didapati di tepi jalan di Hiroshima.
3 September 2009
Hari untuk bersantai. Pagi ke Pulau Miyajima. 20 minit dengan bas ke bahagian utara Hiroshima, melangkaui beberapa sungai yang terbentang di tengah bandar ini – Hiroshima dibangunkan di kawasan delta datar yang menghadap laut – untuk sampai ke jeti feri yang akan membawa orang-orang ke pulau berkenaan.
Miyajima – pulau Tuhan – dulunya tidak didiami kerana pantang larang. Orang di sana percaya suatu masa dulu pulau itu sebagai Tuhan. Hanya 10 minit dengan feri. Rusa-rusa bertebaran di merata pulau; mereka wakil Tuhan yang masih menjaga pulau tradisional ini. Hati-hati kalau membawa bekal makanan atau plastik kerana rusa-rusa ini akan menyentap.
Tokong Shinto lama ada di sini. Gerbangnya di tengah laut. Semua sunyi dan tenang saja. Di pintu depan, pengunjung diminta untuk membasuh tangan dan mulut sebelum masuk ke kawasan tokong, simbolik kepada menyucikan diri sebelum memasuki tempat suci. Aku yang tak faham permintaan, sampai berkumur di situ. Dan, ramai mat-mat dan minah Jepun bergelak ketawa. “Tak perlu begitu, cukup dengan mengelap mulut saja,” tegur Miyuki Oda, gadis manis di awal 30an yang mengiringi dari tadi.
Jalan, bila penat berhenti mencari makan dan minum. Aku sempat mencuba makan tiram bakar, dengan penuh rasa geli-geleman. Terpaksa menelan habis kerana harganya mahal.
Tengah hari, dengan bot kecil selama setengah jam dari Miyajima, aku sampai ke lokasi yang selama ini dipendam rasa sayu; The Dome, tapak sisa bom atom yang lukanya maseh berbekas di dalam lipatan sejarah moden bandar ini.
8.15 pagi 6 Ogos 1945, Hiroshima bertukar wajah kepada kemurungan. Bom atom nuklear pertama dunia dijatuhkan di sini. 9 Ogos tahun yang sama, sebutir lagi bom ini jatuh di atas Nagasaki. 15 Ogos, Jepun mengangkat bendera putih dan sejarah tidak lagi menyebelahi negara itu dengan untung nasib.
Bom itu tidak jatuh di atas tanah Hiroshima. Ia meletus 600 meter di kaki langit, menghantar haba panas dan radiasi yang serta-merta melenyapkan dua pertiga populasi di bandar ini yang berjumlah 300,000 orang waktu itu. Selebihnya, walau masih hidup,terdedah kepada radiasi nuklear yang tidak membolehkan mereka hidup seperti biasa untuk beberapa generasi mendatang. Itu, agaknya, adalah kecelakaan kemanusiaan paling agung dan luluh dalam sejarah moden dunia.
Aku menghabiskan banyak masa di situ. Berjalan seorang di taman peringatan bom atom dan menampung rasa hiba yang tak terungkap ketika menjenguk muzium peringatannya.
Untuk menyaksikan sendiri artifak, barang asal tinggalan insiden itu dan fotografi yang menyayat hati, bukan satu perkara yang mudah. Ada seluar yang dipakai murid perempuan pagi pengeboman itu dipamerkan, begitu juga dengan perkakasan lain. Apa saja yang terkesan daripada serangan itu, dalam keadaan asalnya ada dipamerkan untuk umum.
Di satu sudut, sebuah foto pertama oleh seorang jurufoto waktu itu – Yoshito Matsushige, yang turut terkena serangan merakam momen paling getir dan paling awal sekali hari itu. Dia cuba untuk berdiri dan mengetik imej pertama itu hanya selepas 30 minit mencuba. Selepas itu, dia tidak sanggup lagi untuk meneruskan usaha itu, kerana menyifatkan keadaan ketika itu sebagai ‘teralalu mengerikan’.
Di sisi fotografinya yang diberi judul: Viewfinder Clouded With Tears, beliau menulis baris-baris ini;
“Immediately after the bombing. I fought for myself for 30 minutes before I could take the first picture. After taking the first, I grew strangely calm and want to get closer. I took about ten steps forward and tried to snap another, but the scene I saw was so gruesome that my viewfinder clouded with tears.” – Yoshito Matsushige
Aku berajalan ke setiap ruang pameran tanpa gagal – seorang diri. Orang-orang lain juga tidak lagi mengukir senyum di bibir. Suasana hening. Aku membeli sebuah buku sajak yang merakam insiden berkenaan,oleh penulis-penulis Jepun.
Aku keluar dari ruang hiba itu selepas sejam di dalam. Aku hanya mampu melabuhkan pandang ke langit dengan mata yang berair dan perasaan sebak. Anak-anak sekolah yang berpipi merah gebu tadinya juga sudah tidak seceria ketika awal memasuki muzium berkenaan. Aku berlegar di taman itu untuk beberapa ketika lagi. Seorang wanita berusia di situ ada memberi tahu yang Mahathir Mohamad juga baru melawat tempat itu, ketika sambutan memperingati tragedi itu awal Ogos lalu. Ketika berjalan pulang, aku mendekati sekali lagi sisa bangunan Municipal Prefectural (The Dome) itu, melihat dengan lebih dekat tembok-tembok yang tinggal sambil membayangkan insiden pagi bersejarah itu, sampai letih untuk bersedih lagi. Bangunan itu maseh tersisa kerana ia dibina daripada konkrit. Bangunan lain yang ada waktu itu, yang dibina daripada kayu, lenyap sama sekali.
Malam, dengan bekal secangkir kopi susu panas, bertemankan angin sejuk Hiroshima, aku hanya duduk diam menconteng kata-kata tak berguna pada buku catatan. Sekadar menghabiskan masa berkhalwat bersama bandar yang paling banyak meninggalkan kesedaran, mengajarkan cinta dan meramahi aku dengan akrab dan santun yang indah.
4 September 2009
Aku hanya menatap Hiroshima sedapat mungkin ketika bergerak ke stesen keretapinya awal pagi itu. Kembali semula ke Kansai untuk mendapatkan penerbangan yang dijadualkan tengah hari nanti.
Hiroshima seperti tidak merelakan aku pergi, kerana masih belum puas bergelut dengan rentaknya. Tulahnya, pagi itu di Shin-Osaka, aku tersalah mengambil tren. Sepatutnya menghala balik ke Osaka, tetapi tren yang aku naiki itu mengarah ke Kyoto.
Aku terpaksa balik dalam keadan gelabah takut terlepas kapal terbang. Mujur tak ada caj tambahan yang dikenakan oleh konduktor tren untuk perjalanan patah balik itu. Mungkin kerana kesian melihat keadaan aku yang kelam kabut dan kepenatan.
Sejam sebelum kapal terbang berlepas, aku tiba di Kansai. Nasib menyebelahi aku kerana di situ tidak ramai orang untuk mempercepatkan urusan daftar masuk.
Ketika tayar kapal terbang meninggalkan landasan di Kansai, aku memaku pandangan pada jambatan, laut dan bandar Osaka dengan perasaan yang kebas. Tidak senyum, tidak juga muram. Aku tahu aku akan kembali lagi ke ceruk rantau ini nanti.
- Hafiz Hamzah, September – Oktober 2009.
Jika mahu melihat lebih foto perjalanan ini, sila lawati album foto Facebook: Hafiz Jelir.
Kiriman Berkaitan
- Hiro-1 admin
- Sajak-sajak Wahyudi Yunus Wahyudi Yunus
- Mat Indera Bujang Berani Hasmi bin Hashim
- Balak Hasmi bin Hashim
- Sajak-sajak Murad Ata Murad Ata
- Ekstrem Sam Ahmad