Akar Kekhuatiran Nurul Izzah

oleh
30 November, 2009 | kategori Kolum | komen [0] | Cetak

kolum_hh.jpg Hasmi bin Hashim

Keresahan terdengar di mana-mana; juga di dalam dewan Simposium “Pembinaan Sistem Dua-Parti”, di Petaling Jaya, 21 November lalu. Di luar dewan, negeri ini ditadbir dengan seakan-akan tidak ada sebarang perbincangan ~ kuku kekuasaan Putrajaya terus-terusan menerobos ke setiap wilayah dan negeri-negeri.

Tiga hari sebelumnya, YB Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) mengeluarkan kenyataan mempertikai langkah Kerajaan Pusat mengambil alih fungsi dan kuasa Pihak Berkuasa Pelaburan Terangganu, atau Terengganu Investment Authority (TIA) ke bawah kuasa Kementerian Kewangan. Memang, Kementerian Kewangan bukan “badan perniagaan”; lalu, ditubuhkan satu syarikat kaitan kerajaan (GLC) yang baru, yang diberi nama 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mudahnya, Kementerian Kewangan telah mengggunakan kuasa untuk ‘merampas’ TIA, di samping 1MDB terlebih awal dipersiapkan sebagai wakil Kementerian Kewangan dengan jumlah modal keseluruhan RM11 bilion. Bagi sebuah syarikat baru, RM11 bilion itu bukan angka kecil. Tetapi sekali lagi, ia bukan modal tunai, melain dalam bentuk bon ~ RM5 bilion bon jaminan Kerajaan Pusat sendiri, dan RM6 bilion daripada bon jaminan royalti minyak Terengganu itu sendiri.

Apa makna semuanya ini?

Izzah, dalam kenyataan medianya menegaskan kebimbangan bahawa kekayaan Terengganu sekali ini, terutama “emas hitam” dari perigi minyak dasar laut, akan akhirnya dikawal, dieksploitasi dan dirangkus oleh elit pemimpin di Putrajaya. Lalu, sejauh manakah Federal dalam konteks ini telah menghormati hak kedaulatan negeri?

Kekhuatiran Izzah justeru ada asas sejarah dan fakta. Terutama sejak lebih dua dekad lalu apabila kekayaan negeri satu-persatu dirampas pihak Federal… kekayaan yang bukan sedikit. Skandal demi skandal bernilai ratusan billion ringgit di era Tun Dr Mahathir Mohammad sewajarnya menjadikan kita insaf bagaimana kantor bapak Perdana Menteri langsung tidak pernah menjungjung tinggi makna federalisme yang digagaskan oleh bapa-bapa kemerdekaan Malaysia.

Menghormati hak negeri juga bermaksud tidak merampas kekayaan negeri-negeri untuk dipunggah ke Putrajaya; sebelum akhirnya dikawal dan dibahagi-bahagikan kalangan yang rapat dengan Putrajaya amnya, dan pejabat PM itu sendiri.

Tak terlihat apa-apa keperluan langsung untuk Federal mengambil-alih dan kononnya mengurus kekayaan sumber asli negeri-negeri. Dan kenyataan Izzah ini diikuti dengan semacam amaran keras oleh mantan pendiri Petronas, YB Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) yang menyinggung PM Datuk Seri Najib Razak betapa tak ada gunanya berbicara tentang usaha menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan janji untuk memacu ekonomi andai soal yang basis iaitu kedaulatan negeri dan wilayah mudah-mudah dicabuli.

Kenyataan di dalam web-blognya itu, bertarikh 28 November adalah menyentuh soal hak royalti minyak pada kadar 5% yang sewajarnya diberikan kepada Kelantan. Kita lihat hari ini, apabila angka kecil 5% itupun masih mahu dikurangkan lagi…

Saya mengikuti rapat pandangan teman-teman menyentuh makna “sistem dwi-parti” yang cuba diketengahkan dalam simposium anjuran Institut Kajian Dasar (IKD). Wajar diakui bersama bahawa awal makna sistem berkenaan bukan sekedar pembelahan faham politik menjadi dua parti, seperti di Amerika antara Demokrat-lawan-Republikan; atau juga sepertimana di United Kingdom antara Konsertavif-lawan-Buruh. Akar kepada sistem dua parti yang menjadi debat hangat mengenainya tatkala awal penubuhan dan kemerdekaan Amerika Syarikat ialah pembelahan kuasa antara Federal-dengan-Negeri itu sendiri. Ia adalah pengertian “politik-kenegaraan” dan bukan “politik-kepartian”.

Demikian lahirlah konsep “Dinding Pemisah” yang pertama kali tercatat di dalam “Usul Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat” pada penghujung abad ke-18. Intelektual-politikus yang juga bapa pendiri negara itu [yang kemudiannya juga menjadi Presiden ke-3], Thomas Jefferson adalah antara pemuka idea Dinding Pemisah berkenaan. Semua dialog tertumpu dengan mengambil pelajaran dari negara tuan penjajah, Britain yang pada ratusan tahun sebelumnya, semakin dan semakin terbeban dengan masalah kuasa yang terlalu terpusat ke London.

Hujah Thomas sebenarnya berakar jauh menyelusuri perbincangan falsafah-kenegaraan klasik oleh pemuka filasuf Pencerahan abad ke-17, John Locke. Apa yang disebutkan Locke tidak lain seperti apa yang dibimbangi hari ini apabila kuasa institusi agama (gereja) itu terlalu besar sehingga menjadi pengawal dan pemutus segala hukum, undang-undang dan keperluan sosial. Kata-kata penguasa agama adalah titah pemutus perundangan dan polisi.

Kita belum lagi bercakap tentang kesan dan kesakitan Eropah umumnya yang terpaksa tunduk dan hidup dalam ketakutan di bawah Institusi Agama; tetapi ia memadai andai ditafsirkan bahawa pergelutan Locke, keresahan Thomas, bahkan kekhuatiran generasi baru adalah apabila melihat agama bisa tercemar hanya kerana penguasa agama atau institusinya tercemar. Pemisahan asas ini bermaksud meletakkan garis jelas antara agama dan penguasa ~ tak ubah seperti tuntutan tidak langsung Izzah agar Putrajaya menghormati Kuala Terengganu.

Pada hemat saya, dari sudut inilah pandangan permukaan dan catatan segera Pengarah Malaysia Think Tank, Wan Saiful Wan Jan (dalam kolumnya di Malaysianinsider, 23 November) berhubung sistem dua-parti terlihat tidak mencocok asas perbincangan. Sesungguhnya keterlaluan andai disebutkan bahawa cita-cita untuk mewujudkan sistem dua-parti adalah bayangan keterdesakan Pakatan Rakyat, apatah lagi pemimpin utama Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menang dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Dalam kata mudah, sesungguhnya ada dialog dan cita-cita lebih dalam daripada tafsiran cetek sedemikian ~ debat yang barangkali tak pernah wujud kalangan pemimpin Umno, misalnya. Berdepan dengan gergasi Umno-BN selama inipun bukan hanya persoalan perebutan kekuasaan, tetapi dalam tak disedari untuk pemikir muda itu adalah soal dasar falsafah-kenegaraan yang terpisah di dua balapan antara pemerintah dengan oposisi. Satu pehak kini mahu menjadi “federalist”, dan di satu pehak lagi, bolehlah ditandakan sebagai “demokrat”.

Memang benar kita boleh membawa contoh, termasuk di Indonesia yang selama ini mengamalkan sistem multi-parti, yang kini, negara itu dilihat sebagai antara negara yang relatifnya ada ruang demokrasi berbanding Malaysia. Persoalan dan masalah yang kini sedang kuat digeluti di Indonesia masih sekitar soal hak dan otonomi wilayah. Tercabutnya provinsi Timor-timur tatkala period Reformasi sekitar sedekad lalu, juga didasari atas persoalan tersebut. Malah, boleh disenaraikan sekian banyak kes pencabulan hak wilayah termasuk hak dan kekayaan sumber asli di Acheh yang tidak dipulangkan oleh Jakarta, kepada Acheh.

Jangan kita lupa, Acheh itu negeri yang antara paling kuat mendukung kemerdekaan Indonesia dulunya, malah mendukung cita-cita penyatuan Nusantara di bawah negara yang disebut oleh Seokarno sebagai “Indonesia-Raya”.

Pandangan seorang lagi sahabat, Haris Zalkapli dalam Harakahdaily sehari sebelum itu lebih punya kerendahan hati dan kemunasabahan apabila menerima hakikat bahawa proses melahirkan dua belahan parti utama sebagai proses yang panjang dan melibatkan semua pihak, terutama kesedaran dan konsesus rakyat. Pun begitu, spektrum ideologi tidak semestinya tercerna oleh wujudnya parti-parti politik yang banyak. Sejuta parti politik pun tidak membawa makna ada sejuta pilihan ideologi dan kebijakan ~ sepertimana sekali lagi contoh dalam Pemilu Indonesia pertengahan tahun ini dengan puluhan mahupun ratusan parti yang tumbuh dan ikut bertanding, hanya laksana baju yang berlain-lainan.

Demokrasi bukan sekedar sebuah pasar borong, bukan juga seperti apa yang disebut Mao sebagai pesta minum-minum ~ ia harus digerakkan sesegera mungkin bagi tujuan pembaharuan yang lebih matang. Mempertahankan pilihan adalah wajar, tetapi mengenalpasti pilihan sebagai benar-benar pilihan juga adalah fikrah intelektual apabila menyentuh soal politik-kenegaraan.

Dan politik-kenegaraan pula tidak semestinya dilihat daripada hanya kaca mata politik-kepartian. Untuk itu, saya tidak ragu menegaskan bahawa tuntutan hari ini dan masa depan adalah menuju ke arah “politik-kesedaran”. Ia, selagi lagi berakar kepada “politik-pencerahan” dan bukannya mainan biasa berebut kekuasaan sepertimana tradisi parti pemerintah dan elit sedia ada.

Nyanyian lagu 1990-an ini, barangkali memadai bagi membuktikan bahawa pemisahan kuasa yang jelas antara Federal-dengan-Negeri bukan bererti kita tidak kasih kepada ibu pertiwi:

Malaysia oh tanah airku
Tanah tempat tumpah darahku
Negeri elok sangat ku cinta
Yang ku puja sepanjang masa
.

Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.


Kiriman Berkaitan

Tags: Federalisme, Hasmi Hashim, John Locke, Nurul Izzah, politik, Sistem Dwi-Parti, Thomas Jefferson
 
 

Tinggalkan Komen