Media vs. Kekuasaan

oleh
29 Oktober, 2009 | kategori Kolum | komen [1] | Cetak
Hasmi Hashim sebagai moderator, bersama Saudara Ismail Yusuf dan Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin.

Hasmi Hashim sebagai moderator, bersama Saudara Ismail Yusuf dan Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin ketika "Dialog Bersama Pemimpin Pakatan Rakyat".

Hasmi bin Hashim

Politikus perlu media, dan editor yang lemah perlukan politikus. Itulah perbedaannya. Meski, yang terdengar tak lebih bebelan bahawa politikus yang mereka dukung dengan media mereka, kononnya demi “dasar perjuangan”. Misalnya, demi survival dan “agenda Melayu.”

Yang terjadi sebaliknya. Yang terjadi, editor yang menjadi “spin doctor” politikus, mahupun dalam bahasa lebih kasar sebagai tunggangan, akhirnya tak berani bercakap benar. Sekejap kita singkap peristiwa 1998, melihat etika editor media perdana, yang sehingga lebih sedekad mereka masih gagap untuk bercakap benar.

Mereka yang bertolak ansur mahupun apologetic terhadap kezaliman, jelas nyata. Seperti biasa, kesetiaan mereka diuji untuk tempoh tertentu, sebelum kembali dilantik ke kerusi empuk. Atas simpati kekuasaan. Editor, wartawan, malah penulis yang sebegini, yang gagal membezakan antara mana lebih utama, antara “kemanusiaan” dan “ideologi politik” sama sekali tercela wibawa mereka. Mereka, dari sudut moral, tak layak sama sekali untuk bercakap tentang kepentingan bangsa. Tak layak.

Di Kuala Kangsar, dalam “Dialog Bersama Pemimpin Pakatan Rakyat”, pada 17 Oktober (Sabtu) 2009, hal ini tidak terungkap secara langsung. Kalangan kurang lebih 30 hadirin memenuhi dewan sederhana, yang baru dipersiapkan. Dinamai institusi tidak resmi itu sebagai Universiti Terbuka Perak, akronimnya, “Ureka”. Rata-rata hadirin adalah blogger.

Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin di tengah-tengah antara ahli panel. Di kirinya, Saudara Ismail Yusuf, Pengarah Pilihanraya Keadilan Perak. Paling kanan, YB Yee Siu Kai, ADUN DAP Pokok Asam. Saya, yang bukan warga Perak, terselit di antara tiga tokoh di pentas; di antara blogger yang kelantangannya terasa berpuas hati dengan beberapa perkara menjurus Pakatan Rakyat, Perak.

Sebagai “orang yang lebih banyak perlu makan tempoyak”–seperti senggolan Ir Nizar kepada saya–saya coba memahami keduanya: “kekuasaan” dan blogger. Andai boleh, saya tak mahu cenderung sesiapa… meski, saya sendiri dilihat sebagai penulis (bukan politikus dalam program berkenaan), maka mungkin sebenarnya saya diharap turut sama memanah petir ke pentas.

Apabila Ir Nizar menyebutkan beliau lebih enak dengan kritikan; mungkin saya ‘gagal’… Ya, tak boleh diharap. Seraya itu, prinsip yang mungkin kabur di kalangan teman-teman penulis, ialah, “rakyat tidak sepenuhnya benar”, sama sepertimana “politik sering cemar”.

Pun begitu, ada munasabah apabila editor Perakexpress marah-marah. Menganggap selepas Pilihanraya Kecil Bukit Gantang, blogger dilupakan. Calon Pakatan Bukit Gantang, tak lain adalah Ir Nizar…

Sangat difahami bagaimana kepayahan teman-teman yang cuba menghidupkan sebuah media, seperti Perakexpress. Apatah lagi institusi seperti Ureka, apabila mereka hanya menjadi ‘penting’ dan ‘perlu’ kepada politikus, apabila dirasakan penting dan perlu. Apabila dekat-dekat pilihanraya. Selepas itu, mereka (juga saya sering merasakan begitu) disisih seumpama tidak pernah wujud di muka dunia.

Perakexpress, bahkan sekian banyak, atau barangkali berpuluh kalaupun tak beratus laman pro-oposisi yang pernah wujud sejak gelombang September 1998. Tak kurang yang berjaya diputar-balik untuk kembali mendukung pemerintah Umno-BN. Rata-rata, muasilnya, tak lain kerana survival kewangan. Bukan idealisme dan akidah politik. Mereka belot.

Selepas lebih sedekad mengharung cabaran sedemikian, selepas oposisi yang kini dilihat punya sedikit kuasa dengan penguasaan di beberapa negeri, memang tidak munasabah, penulis (blogger) yang cuba menyusun gerakan mereka, terus terabai. Kondisi politik yang lebih mendidih di Perak, melahirkan jaringan blogger lebih tersusun dan bersemangat berbanding negeri lain–paling tidak, atas rasa dan niat mahu mempertahan Kerajaan Pakatan daripada dirampas oleh Umno-BN.

Jaringan sedemikian, tak wujud baik di Kedah, Pulau Pinang, mahupun Selangor: negeri yang dilihat masih selesa. Tidak juga wujud di negeri-negeri front liner seperti Negeri Sembilan, Terengganu, yang sewajarnya menjadi “perhentian selanjutnya” bagi Pakatan.

Ada suara kebimbangan, di kalangan peserta yang pada siang Sabtu itu, saya mengendalikan bengkel penulisan. Bisik-bisik mereka di restoran mamak yang tak jauh dari Kolej Melayu (MCKK) ialah sejak 8 Mac, blog atau laman web yang pro-oposisi dan Pakatan Rakyat, makin susut. Tidak subur. Kalau hidup pun, tak lama, kemudian tenggelam.

Daripada semua kata-kata itu, saya menduga–dan memang sewajarnya diperakui–betapa penulis, wartawan, apatah lagi blogger, adalah tetap manusia biasa. Mereka perlu hidup. Berkeluarga, beranak-penak dan punya tanggungjawab. Lantaran itu, bara perjuangan di dalam dada tak terdaya untuk dipikul bahu andai soal material yang basis tidak selesai. Tidak pernah dilihat oleh para pemimpin mereka, untuk diselesaikan.

“Sam”, begitu saya memanggilan, adalah bekas mahasiswa Fakulti Undang-undang, ITM adalah kawan lama saya. Dia misalan yang ada. Terakhir kami bertemu, enam-tujuh tahun lalu. Dia menemuramah saya, dengan Fathi Aris Omar dalam rangka menyiapkan dokumentasi tentang kelompok aktivis anak-anak muda di Jalan Telawi. Sam, menggigil-gigil. Dia seperti sakit petang itu.

Seminggu-dua kemudian, saya mendapat berita, dia diserang strok. Sejak itu, daripada seorang anak muda yang cerdas dan sentiasa bersemangat, sebelah anggota badannya menjadi lemah kurang upaya. Kini, dialah yang bertindak sebagai webmaster di Perakexpress. Kami berpelukan, kala berjumpa.

Yang tidak hilang, dari dirinya, adalah semangat yang sama seperti dahulu; daya hidup serta yakin bahawa kami, anak-anak muda yang mendukung reformasi dan keadilan berada di garis yang benar. Kami, seperti semangat ramai kalangan nama di kelompok Jalan Telawi, liat tunduk kepada sesuatu yang tidak meyakinkan. Mereka itu, dan kami wujud meski dengan jumlah yang bukan ramai.

Entah dari mana, kami sedari bahawa perubahan apapun, tak bermula dengan jumlah yang ramai. Hanya, politik sering perlu media. Dan media, termasuk kini di era blogger masuk daun, tidak semestinya perlu kepada orang politik. Melainkan, kita bacul dan takut. Melainkan kita memang berharap imbuhan yang lain, selain daripada hasilan daripada cita-cita perjuangan.

Apakan daya, semurni dan sejujur manapun manusia, makan pakai adalah perlu. Samalah seperti apabila sakit, ubat menjadi sesuatu yang wajib ada!

Hanya ulasan seorang gadis yang dari siangnya diam, tatkala dihujam pertanyaan “mengapa editor semakin lunak terhadap Ir Nizar?” Apa jawabnya?

“Kalau Datuk Seri Nizar buat salah kami tegur, mengapa kalau dia buat betul, kami tak boleh nyatakan kebenarannya…”

Jawapan itu ringkas. Tetapi, itulah sewajarnya apa yang dimaksudkan sebagai “media”. Ia sederhana. Sederhana apabila menyedari media perlu wibawa, lebih daripada ‘tugasnya’ untuk mencari benar atau salah.

Tetap ada beda antara orang yang lemah dan kalah, dengan walaupun kalangan kelompok yang kecil, tetapi jiwanya utuh dengan idealisme. Untuk itu, salut!

Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.


Kiriman Berkaitan

Tags: Hasmi bin Hashim, Kolum, Media, Nizar Jamaluddin, Perakexpress, politik, Reformasi
 
 

Satu komen
Tinggalkan komen »

  1. Sam memang unik.

    Kita selalu kehairanan, memikirkan bagaimana semangatnya terus hidup. Tak ditelan masa dan kelelahan. Tapi, kita yang tak sedar, sebuah kehairanan itulah sesuatu yang hari-hari ia lalui. Itu memang keajaiban Sam.

Tinggalkan Komen