Agama Juga Berkembang Melalui Pasaran Bebas
oleh Gary S. Becker
10 Ogos, 2009 | kategori Esei | komen [2] | CetakGary S. Becker
Ramai yang risau dengan perkembangan Religious Right (satu badan Sayap Kanan di Amerika Syarikat yang menyokong sosial dan politik yang konservatif). Tetapi saya percaya tiada sebab untuk dirisaukan—asalkan agama harus bersaing untuk mendapatkan penganutnya dan tiada agama yang diberikan hak istimewa daripada kerajaan.

Gary S. Becker
Dalam suatu suasana persaingan, golongan Kristian, Yahudi Ortodoks, Muslim fundamentalis dan kumpulan-kumpulan lain akan menarik pengikut baru jika kehendak spiritual dan kehendak moral mereka terpenuhi lebih baik daripada agama arus perdana (mainline religions). Ramai orang percaya individu itu sendiri mempunyai kuasa untuk menentukan cara hidup mereka walaupun mereka membesar dalam suasana atau keadaan yang susah. Mereka berharap dakwah agama dapat memenuhi kehendak mereka untuk bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka. Agama arus perdana gagal untuk menekankan soal keperluan manusia untuk kawalan diri dan tanggungjawab, mereka sedang kehilangan pengikut-pengikut yang lebih cenderung kepada golongan fundamentalis yang mempunyai lebih banyak ajaran-ajaran tradisional. Kumpulan-kumpulan fundamentalis juga sentiasa berada di barisan hadapan dalam mengkritik kegagalan keluarga, pornografi dan sikap tidak hormat terhadap autoriti.
Sesetengah negara seperti Amerika Syarikat, mempunyai pasaran “terbuka” untuk agama. Pelbagai pertubuhan dan mazhab agama yang berbeza bersaing untuk ahli-ahlinya melalui petunjuk kerohanian dan daya tarik yang pelbagai. Persaingan adalah satu perkara yang baik buat agama, seperti juga baiknya buat barang dagangan, kerana kumpulan-kumpulan agama terpaksa mempelajari bagaimana untuk memenuhi kehendak ahli-ahlinya daripada ketika mereka berada di kedudukan yang memonopoli.
SENTIASA SIAGA.
Pentingnya persaingan dalam mempengaruhi bentuk tindakan pertubuhan agama telah dikesan semenjak 200 tahun yang lalu oleh Adam Smith dalam bab yang diabaikan di dalam bukunya Wealth of Nations. Dia membentangkan hujah yang kukuh bagaimana Gereja England menjadi gereja yang tidak memenuhi kehendak rakyat British kerana kerajaan memberikan mereka kedudukan istimewa. Smith berhujah dengan jitu bahawa satu-satunya jalan untuk menghentikan sikap malas dan alpa ketua-ketua Gereja adalah dengan membuang hak istimewa tersebut dan menjadikan Gereja England bersaing untuk ahli-ahlinya bagi menentang agama-agama yang baru.
Thomas Jefferson dan pengasas-pengasas Amerika Syarikat yang lain memahami di mana gereja dan negara harus dipisahkan dalam nusa yang baru. Pindaan Pertama (pindaan kepada perlembagaan Amerika Syarikat) menyatakan bahawa “Kongres tidak akan menggubal undang-undang apa pun bagi pertubuhan sesuatu agama, atau menghalang pengamalannya.” Satu sebab kenapa pemisahan gereja dan negara adalah untuk memastikan agama sentiasa bersiap sedia untuk bersaing mendapatkan jemaah.
Laurence Iannaccone dari Universiti Santa Clara telah menguji doktrin Smith-Jefferson dengan bukti dalam tahap keagamaan di antara bangsa-bangsa Protestan di Eropah dan Amerika Utara. Beliau mendapati bahawa agama–diukur dengan bilangan kehadiran gereja yang lazim dan kekuatan kepercayaan sesuatu agama–adalah lebih penting kepada penduduk di dalam masyarakat yang mempunyai banyak persaingan gereja-gereja, berbanding dengan negara yang mempunyai hanya satu gereja. Contohnya, di negara-negara Skandinavia peratusan rakyat yang berminat kepada agama adalah kecil, sebab utamanya adalah kerana Gereja Lutheran mempunyai kedudukan istimewa dan menerima sebahagian besar pembiayaan daripada kerajaan (meskipun gereja dan negara sudah mula dipisahkan di Sweden). Sebaliknya, agama berkembang pesat di Amerika Syarikat kerana mazhab-mazhab dan organisasi-organisasi yang berbeza bersaing dengan rancaknya untuk mendapatkan ahli.
PENINDASAN KOMUNIS.
Gereja Katolik sedang kehilangan kuasa monopolinya di Amerika Selatan, dan mazhab-mazhab Protestan fundamentalis pula sedang berkembang dengan pesat di tempatnya, kerana terlalu banyak paderi yang tidak peduli pada kehendak rohani tetapi memberi penekanan terhadap matlamat politik. Dan sebelum Perang Dunia ke-2, kerajaan Jepun memberi subsidi kepada agama Shinto dan mendiskriminasi agama-agama lain. Kedudukan agama Shinto yang terpelihara itu dimansuhkan selepas perang dunia kedua, dan ratusan kumpulan baru sedang berkembang di Jepun. Kumpulan-kumpulan tersebut telah memberi tarikan terhadap keperluan rohani yang kelihatannya tidak dapat dipenuhi oleh agama Shinto.
Tiada contoh moden yang menunjukkan tarikan agama lebih baik daripada apa yang berlaku ketika era kerajaan Komunis di Timur Eropah and bekas Soviet Union. Hampir 75 tahun, Soviet Union cuba untuk mengurangkan penentangan terhadap Komunisme dengan menutup gereja-gereja dan memenjarakan ketua-ketua agama. Dalam ertikata lain, Komunisme cuba untuk membentuk monopoli secara sekular. Tetapi agama lebih berkembang sejak kejatuhan Komunisme. Lebih daripada 22 peratus orang Russia yang ditemuramah mengatakan bahawa sebelum ini mereka adalah atheis, tetapi sekarang mereka percaya kepada Tuhan. Lebih dari 6,000 gereja Rusia ortodoks dan biara telah dibuka semula, dan banyak organisasi agama telah mula mengambil penganut baru di sana.
Contoh-contoh tersebut menunjukkan bahawa kedua-dua kumpulan agama yang liberal dan yang ketat menjadi lebih dinamik ketika mereka perlu bersaing untuk ahli di atas padang yang rata. Persaingan yang sihat memerlukan pasaran yang terbuka untuk kepercayaan agama, di mana tiada organisasi agama diberikan perlindungan dan hak istimewa daripada negara.
Gary S. Becker adalah pemenang hadiah Nobel untuk Ekonomi 1992. Esei ini diambil dari koleksi rencana beliau “The Economy of Life”
Diterjemah oleh Muhammad Haniff Khalid.
Kiriman Berkaitan
- Agama, Nyawa dan 150 sel admin
- Mereka admin
- Obama Ulang Sejarah Al-Gore? admin
- Index Librorum Prohibitorum Malaysia admin
- Revolusi Ini Akan Diteruskan SPIEGEL Online
- Kanak dan Buku admin
Bahagia jika artickle ini di perdebatkan di peringkat global, tapi terlebih bahagia jika di perdebatkan diperingkat asia.
Wajarkah ‘kejayaan’ sesebuah agama diukur atas dasar jumlah penganut yang berjaya diperolehi semata-mata?
Wallahu’allam.