Pelupaan Agung: Dataran Tiananmen Selepas Dua Dekad (II)

oleh
21 Julai, 2009 | kategori Esei | komen [0] | Cetak

Di Universiti Xi’an Jiaotong, kenang Kang, tempoh beberapa bulan selepas peristiwa 4 Jun sangat menyesakkan. Bunyi siren membingit dan para penentang ditahan di jalan raya. Semester musim luruh tahun 1989 bermula dengan penahanan para profesor dan mahasiswa untuk disoal-siasat. Kemudiannya, dengan pelencongan ala Orwell, maka tibalah saat untuk bergembira. Jelas Kang, hampir setiap minggu dalam musim sejuk waktu itu, para pelajarnya mengundang beliau ke majlis tari-menari. “Selepas peristiwa 4 Jun, jejaka dan gadis boleh pergi ke mana-mana berdua-duaan,” kata beliau. “Pihak pentadbiran mahukan para mahasiswa berpacaran. Mereka inginkan akhlak mahasiswa merosot.”

“Budak-budak yang menyertai kami kini sudah mampu memiliki sepasang kasut Nike,” ujar Wu’er, mengimbas kembali penjelasan awal beliau tentang protes tersebut. “Ianya merupakan persetujuan yang dibuat antara Parti Komunis China dengan rakyat: Kami akan membenarkan kalian menjadi kaya, tetapi kalian harus menyerahkan sepenuhnya kebebasan politik kalian.

 

Bukannya semua orang beroleh manfaat. Manakala Kang Zhengguo mendengar, penuh ketakutan, sewaktu penyampai radio memaklumkan kematian di Beijing, nun di seberang bandar, Zhou Qing sedang mengatur strategi. Untuk lebih sebulan, Zhou, seorang penulis berusia 25 tahun di Universiti Northwest berperanan menyelaraskan protes-protes di Dataran Bandar Baru Xi’an. Pada 5 Jun, khuatir akan berlakunya lagi pertumpahan darah, beliau menghantar sebuah trak yang dilengkapi dengan pembesar suara sambil mendesak agar para mahasiswa pulang ke rumah. Beliau kemudiannya melarikan diri ke kawasan pergunungan di mana beliau menyembunyikan diri dengan berlindung di pondok para petani selama tiga bulan. Sewaktu beliau menyusup masuk ke bandar untuk menyelidiki keadaan teman wanitanya pada penghujung bulan September, beliau diacu senjata dan kemudiannya ditahan.

Zhou dipenjarakan selama dua tahun di penjara Xi’an yang mana beliau menyifatkannya “umpama sebuah wayang.” Beliau ditempatkan bekerja di sebuah kilang dan dikehendaki menghasilkan 12,000 batang mancis sehari. Seandainya gagal untuk mencapai kuota yang dikehendaki, maka makanan akan disekat. Para pengawal lazimnya memilih di kalangan banduan untuk proses “vaksinasi”, salah satu kaedah intimidasi yang mana tahanan akan disuntik dengan serangga ke dalam torehan kulit pada lengan, mengakibatkan jangkitan secara perlahan dan senyap. Sebagai hukuman kerana cuba melarikan diri, Zhou dipindahkan ke kem buruh, di mana beliau ditempatkan selama lapan bulan bersama-sama dengan tahanan-tahanan politik berusia 17 dan 18 tahun. Sewaktu masa makan, tahanan-tahanan tua akan membuli para mahasiswa dan merampas makanan mereka. “Seorang mahasiswa selalu menemui saya dan menceritakan tentang mimpi-mimpinya,” kenang Zhou. “Dia bermimpi sebatang jalan yang dipenuhi dengan roti-roti kukus.”

Terdapat juga aktivis yang melarikan diri. Kebanyakan dari mereka yang terkenal dalam gerakan 1989, umpamanya Wu’er dan Wang mengungsi ke Barat. Sebahagian daripada mereka mendaftar di universiti-universiti Amerika Syarikat. Sebilangan lagi meneruskan gerakan menegakkan hak asasi manusia dari luar negara. Selebihnya menceburi bidang perniagaan. Wu’er kini menguruskan dana pelaburan di Taiwan. Sebaik memperolehi ijazah sarjana pentadbiran perniagaan dari Universiti Harvard, Chai Ling, seorang lagi pimpinan mahasiswa, membuka syarikat perisian Boston yang menyediakan portal web percuma kepada universiti-universiti sebagai pertukaran senarai maklumat mahasiswa dan mempromosikan produknya menerusi kenyataan-kenyataan akhbar berkaitan pembabitan beliau dalam peristiwa Tiananmen. (Chai turut memfailkan saman terhadap pencipta The Gate of Heavenly Peace, juga membabitkan beberapa cendekiawan Amerika kerana memuatkan pautan artikel akhbar yang menyiarkan maklumat kritikal ke atas syarikatnya di laman web mereka.)

Namun, di luar kem-kem buruh dan di ‘syurga’ demokrasi Barat, memori peristiwa Tiananmen semakin pudar. Untuk beberapa tahun selepas 1989, video-video tentang 4 Jun – dikenali sebagai liu si dalam bahasa Mandarin atau “6/4” – beredar di pasar-pasar gelap. Seterusnya, pihak pemerintah memulakan kempen pelupaan, dimulai dengan pemesongan peristiwa tersebut dan kemudian memadamnya. Baidu, enjin carian China yang popular kini menyekat sekurang-kurangya 19 terbitan dari perkataan “six four (enam empat),” termasuk karakter homofon Cina iaitu ringkasan “sf” dan “63+1.”

Kawalan sedemikian meski tidak mutlak namun berkemungkinan efektif. Pada 4 Jun 2007, sebuah akhbar di Chengdu telah menerbitkan iklan kecil yang mengiktiraf kaum ibu yang menjadi mangsa tragedi 1989. Pengguna siber dan laman sembang membuat spekulasi tentang bagaimana mesej sedemikian berjaya melepasi tapisan para editor akhbar tersebut – sehingga didedahkan bahawa kerani muda yang menyiarkan iklan tersebut tidak menyedari kecuaiannya. Apa yang seharusnya menjadi suatu bantahan senyap sebaliknya bertukar menjadi suatu pelupaan.

“Pelajar-pelajar saya tidak tahu mengenainya,” ujar seorang profesor dari sebuah universiti di Shanghai yang menjadi saksi bantahan tersebut ketika beliau remaja. “Anda tanyakan mereka tentang 4 Jun dan mereka akan menjawab, ‘Apa, harijadi saya?’”

Hinggakan para pengkritik tetap rejim China mengiktirafnya kini dan membenarkan perbincangan dalam bidang yang suatu ketika dahulu dibataskan. Selepas dibebaskan dari penjara, Zhou menjadi wartawan penyiasat, mengupas isu sensitif umpama keselamatan makanan, dan hanya sekali sekala berdepan dengan campurtangan pemerintah.

Pada masa sama, wujud percanggahan bahawa pertumbuhan ekonomi sekadar membenarkan pemerintah China untuk memperkemas kawalan ke atas sebarang bangkangan. Ketika mana kuasa berbelanja pemerintah meningkat, tawaran imbuhan turut bertambah sebagai ganjaran kesetiaan. “Pemerintah mempunyai cita-cita besar terhadap kegiatan kecendekiawanan yang berkemampuan tinggi umpamanya menghantar satelit-satelit ke angkasa lepas,” ujar Wang Chaohua, penyunting hasil kerja cendekiawan Cina yang berjudul ‘One China, Many Paths’ (Verso, 2003). “Namun untuk bergiat dalam lapangan sains sosial dan kemanusiaan, anda perlu memiliki kebebasan jiwa yang sebenar, dan ianya merupakan sesuatu yang tidak disenangi oleh pihak pemerintah. Maka wujud banyak campurtangan politik.”

Menurut para pengkritik, cendekiawan yang mematuhi hala tuju pihak pemerintah ditaja ke luar negara dan diberikan geran penyelidikan. “Semakin banyak program penyelidikan hari ini ditaja oleh pihak pemerintah,” kata Wang Tiancheng, mantan profesor undang-undang dari Universiti Peking. “Ianya sejenis korupsi. Mereka membeli para cendekiawan.”

Wang, yang kini merupakan pensyarah pelawat di Pusat Kajian Hak Asasi Manusia, Universiti Columbia cukup arif tentang permainan kuasa secara terus. Beliau dipenjara selama lima tahun dalam tahun 1990-an dan merupakan salah seorang dari anggota “Beijing Fifteen,” sebuah kumpulan cendekiawan yang dihukum kerana menentang sistem pemerintahan satu parti. Ketika beliau dibebaskan dari penjara pada tahun 1997, tak sebuah universiti pun yang mahu menerimanya. “Sekiranya anda tidak sehaluan dengan Parti Komunis, sekiranya anda tidak menapis diri anda, anda bakal kehilangan pelbagai manfaat termasuklah kenaikan pangkat dan pengiktirafan,” ujar beliau.

Siasatan berhubung peristiwa 4 Jun secara tepatnya adalah dilarang. Peristiwa 1989 telah mempengaruhi penulisan Ma Jian, salah seorang yang terlibat menghantar bekalan kepada para mahasiswa di Dataran Tiananmen. Novel terbarunya, Beijing Coma (Farrar, Straus, & Giroux, 2008) dihasilkan menerusi perspektif seorang mahasiswa yang ditembak di belakang sewaktu peristiwa 1989, dan meneruskan kehidupan selama dua dekad dengan bantuan alat sokongan hayat – metafora yang sangat ketara dalam pemerhatian Ma tentang China pasca-Tiananmen. Sang penulis menetap di London, terlindung dari kemasyhuran antarabangsa namun menurut beliau, teman-teman yang ditemuinya sewaktu beliau melawat China pada musim bunga baru-baru ini telah ditahan kerana berhubungan dengannya sejurus selepas beliau pulang. “Bulan lalu kami makan bersama di Chengdu,” katanya sambil menamakan seorang teman. “Dan sekarang ini dia di dalam penjara.”

15 April yang lalu, 20 tahun selepas kematian Hu Yaobang, telah mendorong para mahasiswa ke Dataran Tiananmen yang dipenuhi anggota polis. Monumen Untuk Wira Rakyat telah dikepung dan sebuah papan tanda biru didirikan dengan tulisan Cina, DILARANG MASUK. Rata-rata mereka yang berkumpul di dataran tersebut tengah hari itu merupakan para pelancong dari wilayah-wilayah sekitar; kebanyakannya memakai topi besbol warna merah dan kuning yang disediakan oleh kumpulan penganjur lawatan. Para mahasiswa di Beijing hari ini lebih gemar berhimpun beberapa blok berjauhan iaitu di gedung beli-belah Wangfujing.

Ada yang berpendapat ekonomi nasionalisme takkan bertahan. Semenjak Disember, lebih dari 8,000 cendekiawan dan profesional telah menandatangani Piagam 08, sebuah manifesto yang menuntut agar Parti Komunis mematuhi Perlembagaan China dan menghormati hak asasi manusia. Internet merupakan halangan berduri terhadap kawalan pemerintah dengan kemunculan laman-laman web baru dan kod-kod perkataan sebaik sahaja laman-laman web lain disekat. Lawatan penyelidikan tajaan pihak pemerintah juga menjadi sesuatu yang meninggalkan kesan sebaliknya. Para cendekiawan yang meninggalkan negara untuk beberapa tahun lazimnya kembali dengan idea-idea baru.

“Kepimpinan Hu Jintao sedang mencuba untuk kembali kepada sistem pendidikan neo-Konfusian di mana rakyat tidak mencabar nilai-nilai tertentu,” demikian menurut Merle Goldman, sejarawan bidang keilmuan Cina dari Pusat Kajian Cina Fairbank di Universiti Harvard. “Ianya mustahil di China pada hari ini kerana keterbukaannya kepada dunia luar. Walau apa pun yang dilakukan oleh rejim ini, adalah sangat sukar untuk mereka mengawal komuniti akademik.”

Namun ada yang berpendapat bahawa komuniti akademik boleh mengawal diri masing-masing. Dalam satu kunjungan ke China pada tahun 2000, Kang Zhengguo meluangkan beberapa hari bersama dengan sebilangan bekas rakan-rakan sejawatnya. Dalam tahun 1989, ketika mereka masing-masing merupakan profesor dan pentadbir di Xi’an Jiaotong, teman-temannya ikut menyertai beliau menyuarakan kecaman terhadap keganasan di Beijing. Kemudiannya rakan-rakan beliau mengungsi ke Shenzhen, sebuah bandar serba bebas yang telah membangun dengan pesat menjelang reformasi ekonomi. Dua daripada mereka berjaya sebagai ahli perniagaan; seorang lagi merupakan profesor falsafah yang kini menjadi pegawai tinggi kerajaan. Kang berharap teman-teman lamanya yang kini berkedudukan tinggi akan mengenang kembali tentang era bantahan suatu masa dahulu, pun demikian usaha beliau untuk membangkitkan kembali nostalgia Tiananmen menemui kegagalan.

Sebaliknya, seorang teman, yang kini merupakan pegawai kerajaan menghujani beliau dengan soalan-soalan berkenaan universiti-universiti di Amerika; dengan harapan untuk menghantar anak lelakinya belajar di luar negara. “Saya terharu penuh nostalgia,” kenang Kang. “Dan mereka semua tidak mengendahkannya.”

 

Diterjemahkan oleh Najwan Halimi dari artikel asal tulisan Mara Hvistendahl berjudul “The Great Forgetting: 20 Years After Tiananmen Square” terbitan The Chronicle Review, Bil. 55, Isu ke-38 (terbit 29 Mei 2009).

Najwan Halimi merupakan kolumnis laman JalanTelawi.com. Beliau boleh dicapai menerusi laman blognya di www.najwanhalimi.com

 

Artikel berkaitan:

Pelupaan Agung: Dataran Tiananmen Selepas Dua Dekad (I)

 



Kiriman Berkaitan

Tags: China, Mara Hvistendhal, Najwan Halimi, Tiananmen
 
 

Tinggalkan Komen