Koridor Pencerahan Johor

oleh
29 Julai, 2009 | kategori Esei | komen [1] | Cetak

 

~Sebuah catatan iseng


i.

Maka, dalam duduk-duduk berseorangan di bilik, saya mula menyelongkar kembali fail-fail yang tersimpan lama (di dalam komputer) untuk dibelek dan dikisar semula – sebagai bahan rujukan. Setelah hampir beberapa malam menelaah, imaginasi mulai muncul untuk dicoret dan ditempa.

Saya agak kaget apabila diminta sahabat di editorial untuk melakukan sesuatu yang telah lama ditinggalkan; iaitu menulis. Untuk ke sekian kalinya, rasa panik dan ghairah itu datang bersekali. Maka, perkara awal wahid yang perlu mula diusahakan ialah untuk mengurus perasaan-perasaan tadi.

Ruang harus dicipta. Dan kesempatan yang terpelawa perlu diambil, Tanpa malu alah.

Angan-angan saya setelah 10 tahun meninggalkan negeri ujung tanah ini yang pertamanya selepas pulang ialah; kembali untuk membawa roh dan semangatKuala Lumpur; terutamanya kepada keluarga, terutamanya kepada rakan-taulan, dan yang paling pasti adalah untuk diri sendiri. Tapi, apakah ianya “roh dan semangatKuala Lumpur” ini? Apakah penting?

Saya masih ingat lagi hari pertama bersekolah di Kuala Lumpur. Naik bas Intrakota dan turun di Lebuh Ampang, kemudian transit lagi untuk ke Setapak – yang kerap juga saya ketinggalan olehnya. Suatu perkara yang tidak pernah tergambar untuk dilakukan bagi saya yang “membenci” Kuala Lumpur ketika mulai tiba, dan “merindui” apabila telah meninggalkannya.

ii.

Babak tadi hanyalah satu sisi dari pelbagai peristiwa pra-kenal yang saya lalui, yang saya kumpul, sedikit-sedikit – yang kemudiannya membuatkan saya terasa pula menjadi sebahagian daripada watak-watak di kota itu. Yang ketika hari-hari akhir sebelum mulai berkemas untuk pulang, – saya masih ingat – kerap ditegah dan dipujuk teman-teman untuk tetap di sana. Mungkin mereka khuatir akan terasa kehilangan.

Sepuluh tahun! Tempat jatuh lagikan kukenang, inikan pula tempat bermain?

Jadi, apa pula kaitannya dengan Johor ini? Bagaimana pula gayanya yang perlu saya lakukan untuk menyikapi tempat baru? Yang agak berbeza rencam budaya, khalayak, dan citarasanya kepada saya sendiri, yang telah saya tinggalkan sedekad lalu. Sungguhpun telah kembali ke ibu pertiwi, apakah lain benar perbezaannya?

Maka, “perkenalan” mulai dimeterai. Sebermula dengan menghubungi teman-teman sekampung yang telah lama tidak disantuni. “Perkenalan semula” ini yang maudhu’nya adalah untuk kembali mengumpul nostalgia dan pengajaran silam – yang sebenarnya tidaklah terlalu lama pun! – yang masih tersisa untuk digarap kembali menjadi suatu harapan baru.

iii.

Sahabat-sahabat ini, rupa-rupanya masih mekar lagi kepetualangannya.

Sepertimana di dalam hikayat si Malim Kundang, yang merasa asing dan alergi dengan kampung halaman dan leluhurnya sendiri – setelah lama belayar dan kemudiannya pulang kembali – kemudian dikupas oleh penulis besar Indonesia, Goenawan Mohamad dalam esei “Potret Seorang Penyair Muda Sebagai Si Malim Kundang”, telah sebenarnya membuka pandora box [ yang mana didalam hikayat Greek klasik merupakan sejenis siksaan yang dikenakan oleh Dewa Zeus ke atas manusia. Kotak pandora ini yang terkandung didalamnya segala bentuk penyakit, bencana dan musibah ]. Manakala, nasib si Malim Kundang dalam dongeng Melayu Minangkabau itu akhirnya tersumpah menjadi batu akibat kedurhakaannya.

Dalam konteks watan ini, sejumlah pertanyaan mulai dilontar ke lingkungan kenalan – sebagai muqaddimah, sebagai introduction – untuk menduga sejauh mana pengalaman mereka. Keluarga, teman-teman lama dan sahabat yang baru, saya hakimi dalam piawaian yang setara darjahnya. Sepertimana si Malim Kundang yang menjadi antagonis, rasa yang seperti itulah juga menghinggapi saya. Yang hadir ialah keterasingan. Keterasingan mimpi-mimpi dan harapan. Keterasingan yang membuatkan saya tergamam dan yang sebenarnya kerap terasa lucu dengan budaya, falsafah dan pemahaman anak negeri ini tentang dunia, tentang makna dan nilai. Jadi apakah saya perlu terus mengasingkan diri? Semata-mata tidak mahu durhaka dan disumpah lalu menjadi batu seperti nasibnya si Malim Kundang?

Jawapannya ada, dan saya perlu berusaha untuk meloloskan diri dari perangkap-perangkap bahasa, upaya dan batas waktu. Sekalipun terpaksa menghadapi penyakit, bencana dan musibah sepertimana yang berlaku kepada sang Pandora.

Maka persepsi mulai muncul. Saya perlu mula menginsafi dan memahami – yang bangsa ini masih lagi dalam fasa-fasa pencarian. Masih dalam usaha untuk membina interpretasi dalam bentuk yang paling munasabah dan meyakinkan, untuk menyesuaikan prinsip diri [dan juga organisasi] untuk jawapan atas persoalan dan permasalahan yang timbul. Maka, pertanyaan-pertanyaan ini seolah-olah terbeban ke atas pundak mereka. Siapakah pula yang akan memberikan jawapan?

Persoalan-persoalan ini perlu dijawab. Maka sebahagian tugas itu didukung oleh para agamawan, seniman dan akademik yang seharusnya kreatif, yang harus juga selalu durhaka untuk memecah tradisi lapuk yang menyekat dan membuntu.. Hujah ini dikemukakan oleh filasuf asal Königsberg, ibu kota Prussia Timur, Immanuel Kant dalam adikaryanya yang berjudul “Beantwortung der Frage : Was ist Aufklärung?” (Jawapan kepada persoalan : Apa itu pencerahan?). Beliau mengungkap tema yang akhirnya menjadi cogankata dan manifesto dalam ekstraknya yang masyhur itu; “Pencerahan adalah kemunculan seseorang dari ketidakmatangannya yang sendiri dipikul”. Maka; Sapere aude! [ Beranilah menggunakan kefahaman sendiri!]

Kant sebenarnya menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan dalam era dan belahan dunia yang jauh berbeza dengan kita. Dalam kebudayaan yang juga tidak sama; beliau di benua Eropah manakala kita; sebagai masyarakat timur, pada waktu itu (abad ke-18); sebenarnya pun tidak miskin akalbudi, bahkan sebenarnya turut sama mempunyai pandangan intelektual yang mengkagumkan dengan pergulatan dan kerancakan perdebatan ijtihad mengenai iman dan logika. Tentang faham metafizik dan kosmologi. Permasalahan dan persoalan yang timbul dalam masyarakat Eropah waktu itu, tidak beda jauh, masih dalam konteks tindakan, makna dan nilai. Tapi, kemana perginya nalar segar tradisi itu?

iv.

Dalam kesenian, wujud tentang apa yang diiisbatkan sebagai bingkai dan isi. Apa yang sedia kita maklumi hari ini – dicerna dari media – yang diwujudkan daulah dan juga insan – untuk membentuk perspektif dan juga untuk membungkam pandangan [lawan dan kawan]. Keduanya punyai fungsi yang sama – menyampaikan maklumat, ilmu dan sentimen. Dalam kerangka budaya, fungsi agamawan, seniman dan akademik bukan hanya untuk memberikan servis kepada negara dan rakyat. Bukan hanya menjadi reactioner. Malahan untuk “menghukum” perilaku bobrok pemerintah dan masyarakat. Sekilas pandang, tanggapan ini kelihatan seperti satu kesalahan; yang tidak terampun, kalaupun bukan satu hujah sombong. Seolah ingin menjadi Antagonis dalam setiap ruang, menjadi Jebat dalam setiap gelanggang. Namun, daripada terus menanggung “dosa” zaman, jihad ini perlu ditenggarai – dengan kaedah yang paling sopan, dengan laras bahasa yang paling mudah; dan pastinya memberikan kesan.

Azimat yang menjana hasrat relau bagas ini, tidak lain dan tidak bukan ialah – kebebasan. Dalam agama apapun, dan dalam tamadun manapun; kebebasan merupakan nukleus kepada revolusi minda bangsa. Yang mana panji-panji perubahan itu dipikul oleh tiga golongan tadi, untuk mendobrak sempadan bingkai tamadun, yang terkandung didalamnya – isi-isi – kecurigaan, dilema, sensitiviti, dogma, dan persepsi, untuk membawa pencerahan, sekaligus perubahan.

Maka, negeri ini adalah tesis yang perlu diusahakan takrifnya gagasan “pencerahan” tadi – dengan sungguh-sungguh. Mulai dengan usaha “membebaskan” minda mereka dari belenggu ikatan yang terhasil dari “kongkongan, ketakutan, hasil ketidakmatangan fikiran sendiri” itu, kerana – “Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan; kaum itu sendiri yang mahu mengubah nasibnya”. Ungkapan ini merupakan peringatan, panduan atau yang lebih serius lagi; jelas merupakan sebuah amaran yang wajib kita imani. Bukan sebagai sebuah sikap escapisme – yang kerap sahaja mahu menyanggah; tanpa menawarkan wacana tanding.

Institusi harus wujud. Bukan dengan slogan muluk-muluk; seperti – “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, bukannya dengan binaan-binaan monumental yang kelihatan kukuh, tapi isinya jumud dan monolitk. Ataupun dengan dana lumayan yang nilainya membuatkan nafas kita sangkut dikerongkong. Tetapi “ruang“ itu harus didirikan,dan pengusahanya harus juga diraikan. Sebagai benchmark, sebagai tanda aras; – yang kita ini sedang mulai mengusahakan pencerahan; dalam nawaitu – mahu untuk melaksanakan perubahan.

Dan untuk memulakan sesuatu yang baru itu; sudah pasti bukan kepalang sukar, melainkan dengan iltizam dan kemandirian.

v.

Menurut pengamatan saya, [jika dibuat, perbandingan antara Kuala Lumpur dengan Johor (Bahru)]; maka tanah ini tidak kurang prasarana mahupun alat-alat untuk menjayakan adaptasi pencerahan. Masing-masing boleh diperkirakan sebagai kota yang mempunyai nilai estetika, dan cenderung berubah pantas – terutamanyadalam citarasa fizikal, lahiriah. Namun ada perkara yang memang jauh benar – Johor (Bahru) ini ketinggalan – iaitu kebingungan masyarakatnya – terutamanya apabila berhadapan dengan apa sahaja yang berbentuk abstrak, yang bersifat diskursif; yang memerlukan daya pengungkapan baru, kreativiti – ternyata mereka tewas. Seolah-olah amali fikrah ini tidak pernah wujud langsung dalam tradisi dan kebudayaan mereka (baca: kami). Bingkas mengelak, seolah-olah apologetik ketimbang rasional. Apakah tradisi ini yang perlu dipertahankan?

Nah, itulah yang harus benar-benar diteladani daripada “roh dan semangat Kuala Lumpur” itu!

Arakian, si Malim Kundang yang terdampar di tepi pantai, – dan menjadi batu akibat kedurhakaannya, merupakan sisi derita yang dialami bagi sesiapa sahaja yang gagal untuk memahamkan bangsanya; ataupun mungkin sahaja kita ciptakan makna lain, pengajaran yang baharu – iaitu; sikap egosentrik itu kadang kalanya – tidak strategik. Lebih banyak mengundang kemelut dan krisis – maka – revolusioner itu sendiri yang perlu lunak apabila berhadapan dengan bangsanya. Lebih persuasif, walaupun terpaksa memakan biaya besar.

Apakah perencana sekalian sudah siap siaga untuk membentuk karektor bagi mengisi ruang; untuk menjadi si Malim Kundang atau sang Pandora?

Maka selepas penyakit, bencana dan musibah – yang keluar dari kotak Pandora itu; yang merupakan [simbolisme] sejumlah pertanyaan – menurut empunya sahibul hikayat ini; maka muncul suatu elemen terakhir – iaitu Harapan – Apakah benar masih ada sinar?

Selagi mana kita tidak berani untuk mengatasi “kongkongan, ketakutan, hasil ketidakmatangan fikiran sendiri” itu, – maka, selagi itulah “projek pencerahan” ini gagal.

Dan saya perlu memulakan sonet yang sama seperti ini – sepuluhtahun lagi.

Sidiqin Omar, penggiat Komunite Lusoh Jalan Jenang.


Kiriman Berkaitan

Tags: Catatan, Sidiqin Othman
 
 

Satu komen
Tinggalkan komen »

  1. Some used to say, johor kids lebih ‘advance’ dari kl.It happens b’cos everything centred in kl so semua yg budak johor buat agak terlindung & kurang expose…
    Roh KL cuma dongengan semata.Tak perlu diimport ke selatan. nuthin new.

    Johor pun ade rohnya tersendiri. Mungkin lagi hebat cuma kurang terserlah.
    Nah..ini sebenarnya yg perlu digilap & ditonjolkan. kurang organisasi.
    Pencerahan ada di mana2. KL mungkin memang cerah, jalan telawi bolehla dikira agak gah tapi nadi kerohaniannya agak semput. Identiti melayunya masih tegar sedangkan di johor, kids kirenya lebih universal.
    Koridor pencerahan johor memang sangat menarik untuk dibangkitkan tetapi tak perlulah mengambil roh KL sebagai ‘tanda aras’.
    Biarkan ia menjalar liar dengan identiti yang lebih universal & tersendiri. Cuma memerlukan pacuan aktiviti yang lebih tersusun terutama dari agen-agen pencerahan seperti anda!
    Akan support usaha ke arah pencerahan ini!

Tinggalkan Komen