Langkah Kanan Politik Islam ke Abad 21

oleh
11 Jun, 2009 | kategori Esei | komen [5] | Cetak

Saifullah Zulkifli

Semakin kukuh demokrasi, semakin terbuka pintu kemenangan Islam melalui idea-idea utama demokrasi: keadilan (al-Adl), Kedaulatan dan Kebebasan (al-Hurriyah), Kedaulatan Hukum (al-Hakimiyyah). Prinsip-prinsip dasar Islam ini menjadi slogan yang lebih dekat dan mudah diterima oleh masyarakat.

Perjuangan Islam adalah perjuangan melalui proses mendidik, Ta’dib. Parti politik Islam harus sedar bahawa semakin keras sesebuah parti, organisasi gerakan Islam membuatkan masyarakat umum semakin jauh daripada perjuangan dan inspirasi gerakan Islam.

Radikalisasi di dalam politik gerakan Islam terhasil terutamanya pasca Revolusi Iran 1979, penolakan kepada demokrasi dan sistem perwakilan kerana cenderung kepada jalan konfrontasi dan keganasan. Hal ini dapat dilihat secara jelas melalui rampasan Kaabah pada November 1979, pembunuhan Presiden Mesir Anwar Sadat pada Oktober 1981, dan pertembungan antara militan Islam dan regim di Syria pada 1982.

Fenomena ini tidak terlepas gelombangnya di Malaysia. PAS terpengaruh dengan golombang revolusi Iran bergerak dengan pendekatan radikal, terutama di dalam berkonfrontasi dengan UMNO akhirnya membuatkan pada kurang bersikap tolak ansur dan toleransi di dalam berpolitik. Hasilnya adalah sewaktu pilihanraya umum 1986, PAS hanya memenangi satu kerusi di Parlimen.

Di dalam hal ini, saya cenderung untuk melihat perjuangan Islam melalui wasilah politik melalui dua cabang, satu perjuangan Islam kulit (branding), dan cabang yang kedua ada Perjuangan Islam secara Isi (substance).

Permasalahan yang berlaku terutama di negara-negara Islam majoriti adalah masalah kurangnya penekanan kepada substance, isi dalam perjuangan. Dalam banyak hal, kelompok pejuang Islam di negara majoriti Islam ini lebih pentingkan bendera, dari tema-tema yang fundamental dalam Islam. Sebagai contoh mudah, kita mungkin berasa aneh, apabila ada beberapa negara yang meletakkan gelaran ” “Islamic Republic of …”, mengisyhtiharkan negara itu sebagai ‘Islam’ tetapi dalam banyak perkara yang dianjurkan oleh Islam seperti hormat kepada kepelbagaian (ta’adudiyah), masyarakat madani (mujtama’ al-Madani), Hak Asasi Manusia (huquq al-Insan), Kebebasan (Hurriyyah), Ketelusan (Shafafiyyah) dan keadilan (al-Adl) tidak pula diikuti.

Lebih malang kadar jenayah, kemunduran ekonomi, penindasan sosial dan rasuah berleluasa di kebanyakan negara majoriti Islam. Malah sistem demokrasi ‘separuh-separuh’ atau demokrasi ‘suka hati aku’ menjadi pegangan.

Esposito dalam buku terbaru ” Who Speaks for Islam” menerusi kajian yang dibuat oleh Gallup Poll menerangkan bahawa hanya satu per empat daripada negara majoriti Islam yang kerajaannya dipilih secara demokratik. Kalau pun dipilih secara demokratik, peratus kemenangan yang dicapai hasil undian adalah antara 90 peratus hingga 99.9 peratus.

Tunisia, Presiden Ben Ali menang 99.4 peratus dalam pemilihan pada tahun 1999 dan 94.5 peratus pada tahun 2004. Presiden Mesir, Hosni Mubarak menang 94 peratus undi pada tahun 1999 dan 2006 sebanyak 88.6 peratus.

Peratusan yang mencatat sehingga hampir seratus peratus ini adalah bukti yang menggambarkan kepada kekuatan dan pengaruh yang begitu besar Presiden negara-negara Islam, ataupun ianya adalah bukti bahawa berlaku kepincangan dalam sistem demokrasi yang kita amalkan.

Cabang yang kedua yang dinyatakan di atas, adalah merupakan kelompok pejuang politik Islam secara Isi dan substance, kelompok ini menzahirkan politik Islam bukan pada apa yang dipakai atau bendera apa yang dikibar. Tetapi politik Islam secara isi ini adalah mengambil kira nilai Islam dan perjuangan secara mendidik dan ilmu, ta’dib Islami. Nilai-nilai Islam yang menentang kezaliman dan rasuah, mengambil kira ‘Good Governance‘ sebagai dasar di dalam bina negara ‘Khayra Ummah’. Sistem politik adalah disandarkan kepada keadilan, hormat antara satu sama lain dan prinsip Hak Asasi Manusia. Politik Islam secara substantif tidak menggunakan nama Islam untuk mengejar kuasa, tetapi mengejar kebaikan, fastabiqul Khairat.

Contoh yang menarik adalah sikap toleransi yang ada kepada pejuang Islam secara substantif adalah keterbukaan kepada kepelbagaian dan bersedia untuk bekerjasama. Selepas pilihanraya 1995, bekas anggota Ikwan Muslimun, mewakili generasi muda di Mesir yang ingin bergabung dengan pihak yang lain termasuk haluan kiri Nassirites, Kristian dan wanita bagi membentuk parti baru Hizb Wasat. Parti baru ini yang bergerak secara demokrasi antara Masyarakat Islam dan bukan Islam, Kristian di Mesir. Parti ini walaupun pelbagai agama tetapi meletakkan Syariah sebagai kayu ukur kepada ketamadunan di Mesir. Namun demikian parti ini diharamkan dan pemimpinnya ditangkap seperti kebanyakan parti pembangkang di Mesir.

Gerakan Politik Islam menerusi Front Islamic Salvation (FIS) di Algeria memberi bukti kepada dunia bahawa Revolusi Iran bukanlah contoh kepada politik Islam, dan Islam bersifat akomadatif dengan demokrasi. Kepimpinan Abas Madani, menonjolkan sikap toleran melalui jalan demokrasi membuahkan hasil dengan kemenangan besar sewaktu pilihan raya 1991, dimana FIS memenangi 32 daripada 48 kawasan yang dipertandingkan. Kemenangan ini akhirnya membawa padah kepada FIS di mana parti itu kemudian diharamkan oleh Regim FLN.

Selepas pengharaman, FIS tidak mengalah dan terus berusaha mengembalikan proses demokrasi di Algeria. FIS mengadakan pelbagai usaha termasuklah mengadakan kerjasama politik melalui National Contract for Peaceful and Political Settlement atau lebih dikenali sebagai Rome Platform. Kerjasama politik ini turut disertai bukan sahaja Islam malah mereka yang non-muslim dan sekular.

Ikhwan dalam hal ini mendahului gerakan Islam secara substantif. Seperti perjuangan HAMAS di Palestin, secara umumnya digambarkan sebagai angkatan bersenjata, tetapi formula kemenangan HAMAS dalam pilihanraya dua tahun lepas adalah kerana mereka dilihat sebagai bersih, telus, adil dan dekat dengan masyarakat. HAMAS hebat dalam gerakan kebajikannya. HAMAS mempunyai institusi masyarakatnya sendiri untuk membantu rakyat Pelestin, termasuk hospital, sekolah dan institusi-institusi perlindungan.

Perkembangan baru di Turki menarik minat seluruh gerakan Islam sedunia melihat pendekatan sebegitu, secara toleran dan akomodatif sebenarnya memenangkan Islam. Parti Refah di bawah pimpinan Najmudin Erbakan, bersikap agak keras dan secara terang-terang mengibarkan imej Islam kemudiannya diharamkan pada tahun 1998, setelah berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera atas alasan tergugatnya dasar sekularisme Turki. Anak didiknya Abdullah Gul dan Erdogan menubuhkan AK Party. Parti secara substantialnya adalah Islam tetapi imejnya modern democrat, yang dilihat lebih bersih dan berkemampuan.

Masalah rasuah yang berlaku di Turki akhirnya memberikan kepercayaan rakyat kepada AK Parti untuk memimpin Turki apabila menang besar pada dua pilihan raya sebelum ini. Pendekatan yang lebih moderate dan sederhana tetapi berhikmah memberikan kemenangan kepada Islam. Kemenangan besar adalah apabila undang-undang menghalang mahasiswi memakai tudung dipinda, menjadi lambang baru kepada Turki di bawah kepimpinan politik Islam sedia ada.

Di akhir tulisan ini saya berkeyakinan bahawa Islam akan kembali ke mercu jaya, formula penting bagi politik Islam abad 21 ini adalah politik Islam yang secara menyeluruh menghayati prinsip dan nilai yang dianjurkan oleh Islam, kedua adalah pendekatan moderat (wasotiyyah) yang mengambil jalan keadilan, hak dan hikmah di dalam pergerakan politik Islam, dan yang terakhirnya politik Islam asasnya ialah ilmu. Ilmu menjadi tunjang untuk politik Islam melangkah masuk ke dalam abad 21.

Bekas mahasiswa UIA dalam jurusan Sains Politik dan aktivis mahasiswa sebagai mantan Naib Presiden PKPIM. Kini menjawat sebagai setiausaha politik YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan menjadi pengarah SEPAKAT/ Common Ground. Boleh mengenali lanjut melalui www.saifullahzulkifli.blogspot.com


Kiriman Berkaitan

Tags: demokrasi, gerakan Islam, politik, Saifullah Zulkifli
 
 

5 komen-komen
Tinggalkan komen »

  1. Tulisan yang menarik! :)

  2. Taniah dengan tulisan anda, wahai Ikhwani!

  3. tahniah dengan karya saudara……….. saya amat tertarik dengan hasil penulisan yang dihasilkan……………..

  4. How states .. Do not give not take, the test article!

  5. thair porn bikini string up her ass porn

Tinggalkan Komen