Hapuskan Segera DEB
oleh Hasmi bin Hashim
22 April, 2009 | kategori Kolum | komen [8] | CetakHasmi bin Hashim
ORANG Melayu dibakar agar meradang apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dipertikai dan cuba ditamatkan oleh Pakatan Rakyat. Idea tersebut secara tidak langsung tercetus apabila Penasihat Keadilan, Anwar Ibrahim melancarkan satu gagasan baru, “Agenda Ekonomi Malaysia” (AEM) sebelum pilihanraya umum ke-12 lalu.
Terutamanya pimpinan Umno sering menarik persepsi budaya-politik rakyat mengikut kaca mata dan kepentingan mereka. Selagi mereka tak berubah, maka haram untuk rakyat berubah. Hukum politiknya mudah, apa-apa pun perubahan, jangan membelakangkan Umno.
Ia bersebab. Tetapi hari ini, ahhh siapa peduli!?
Siapa peduli tatkala DEB dimanipulasi sebagai sarang berhimpunnya projek yang diagih-agih untuk pemimpin parti itu. Orang Melayu semakin tak peduli apabila mereka semakin celek melihat projek berkenaan demi membiayai Umno dan juak-juaknya hidup mewah dengan produktiviti paling minima.
Roh kepada DEB adalah satu konsep ekonomi yang dikenali sebagai “Dasar Affirmatif.” Dasar itu tujuannya untuk memastikan golongan yang paling terkebawah dibantu dan dengan cara itu, maka sesuatu yang memungkinkan ketidakstabilan ekonomi-politik dapat dielak seraya nisbah Gini (Gini coefficient) tertangani.
Kesenjangan antara golongan termiskin dengan yang kaya, andai terlalu jauh maka akan mencetuskan suasana tidak stabil dan suasana tersebut dikhuatiri pula akan menganggu kemampanan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Turut menyusul bahananya adalah kacau-bilau antara kelompok masyarakat atau kelas ekonomi.
Namun, oleh kerana DEB sudah terlalu lama usianya, bukan sahaja pelaksanaannya bermasalah, malah konsep dan tujuan awalnya juga sudah jauh terpesong. Kita sukar sekali membayangkan bagaimana ada pengusaha yang tidak layak, hanya atas nama bumiputera, tetapi mendapat sesuatu projek atau tender.
Hari ini, alasan tidak ada kontraktor atau pengusaha bumiputera yang setanding kaum-kaum lain sukar diterima pakai. Namun, alasan sebegitulah yang sering dibebelkan demi mengizinkan para kontraktor tertentu mendapat projek, sedangkan apabila disemak secara terperinci, mereka ini terdiri di kalangan pemimpin parti pemerintah pelbagai peringkat.
Realiti inilah yang sangat dikhuatiri oleh pemimpin Umno. Mana tidaknya, bukanlah sesuatu yang rahsia apabila untuk dapat sesuatu jawatan dalam parti itu bukannya murah. Saya tahu seorang tauke Melayu di satu bahagian di Johor, misalnya, terpaksa membelanjakan kira-kira RM300 ribu untuk bertanding jawatan ketua pemuda bahagian.
Dalam masa yang sama, seluruh masyarakat setempat juga tahu bagaimana dia memperolehi banyak sekali projek dan tender daripada kerajaan — atas nama bumiputera.
Ada satu projek di mana kos awal projek berkenaan hanya sekitar RM1 juta sahaja, namun meningkat sehingga lebih RM2.5 juta. Orang kampung hanya diam, kerana bagi mereka, cara mana pemimpin Umno itu mendapat wang tak penting, melainkan pembangunan di kawasan itu harus wujud.
Pembangunan tidak boleh ditolak dan menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk memberikan beberapa bentuk pembangunan kepada rakyat di mana-mana wilayah sekalipun.
Persoalan yang timbul tentu sahaja kos yang terlalu tinggi sehingga boleh dikatakan melebihi daripada harga semasa. Mungkin sahaja orang kampung ramai yang tidak mempedulikan sangat hal sedemikian — seraya bimbang projek di kampung mereka terbengkalai.
Tahun demi tahun, apabila sampai penjelasan, saya tidak fikir orang kampung terlalu bodoh. Mereka akhirnya juga mula mencongak-congak bagaimana Umno dibiayai? Jawabannya tak lain adalah daripada wang rakyat. Setiap sen kenaikan atau tambahan kos kepada nilai projek bererti wang orang kampunglah yang dibaham, yang dibazirkan. Bukan duit pemimpin Umno, malahan bukan juga duit mana-mana pemimpin parti politik sekalipun.
Justeru perbelanjaan mengikut perancangan yang tepat adalah mustahak. Tambahan kos bagi sesuatu projek juga lazimnya pada peratusan yang rendah dan terkawal berbanding unjuran awal. Seandainya tambahan mencecah sehingga 50 peratus, atau 100 peratus, ia tidak lain adalah daripada perancangan yang sama sekali lemah, selain kemungkinan wujudnya ketirisan di bawah projek berkenaan.
Bagi mengelirukan dan menyimbah minyak ke dada orang Melayu, maka Umno menggunakan beberapa teras falsafah DEB, seraya menyembunyikan belang yang mereka lakukan. Sering dilaungkan bagaimana beberapa pusat pengajian tinggi yang ditubuhkan adalah bertujuan untuk membantu pelajar Melayu yang kurang serba-serbi.
Hal berkenaan benar kepada falsafah “dasar affirmatif,” dan bukan lagi kepada dasar DEB sedia ada.
Meskipun DEB terhapus kelak, dasar baru — katakanlah AEM yang menggantinya — mahu tidak mahu perlu menghayati terlebih dahulu falsafah “affirmative action” bagi menjamin tidak berlaku jurang terlalu jauh antara miskin-kaya. Yang perlu dibantu adalah yang paling miskin — saya percaya di Malaysia majoriti golongan miskin adalah di kalangan orang Melayu; bukan Umno dan pemimpinnya. Maknanya, mengekalkan DEB bakal lebih memiskin orang bawah, termasuk orang Melayu itu sendiri.
Mungkin sahaja pemimpin yang ‘songlap’ dan memiliki kekayaan daripada kecurangan terhadap DEB mahu orang Melayu terus dijerat kemiskinan dan terkongkong secara ekonomi. Kita tahu sejak berpuluh tahun dengan cara itu jualah sokongan majoriti orang Melayu ini dapat diikat dan diperah apabila mereka mahu. Diterajang apabila mereka menang!
Maka,
Membuang DEB dalam erti kata yang lain adalah juga untuk menyelamatkan orang Melayu, dan mana-mana kaum pun yang masih berada di paras kemiskinan dan kececeran. Rakyat tidak boleh kuat hanya dengan minyak tanah yang disimbahkan ke dada kita. Lihat sahajalah orang yang menghidupkan api itu adalah di kalangan para pemimpin parti yang kaya-raya di atas air mata, kederat dan darah bangsa.
Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.
Kiriman Berkaitan
- Penulis Paling Hebat di Dunia Ammar Gazali
- Avatar Video Seks Hasmi bin Hashim
- Mahathir Najwan Halimi
- ‘Phyrric victory’ di Perak Khalid Jaafar
- Surat kepada Melayu Johor Hasmi bin Hashim
- Ke Arah Muafakat Kebudayaan Baru Hasmi bin Hashim
Isu ini tak akan selesai selagi orang-orang kampung (majoriti melayu) ade.. Education is the key!!
DEB hanya untuk orang kampung, tidak relevan di kalangan urbanites.
So…? Hapuskan org kampong?!
Education is the key.. Kita mulakan dengan penerapan generasi baru..
itu saja harapan.. dan kita membiarkan si tua jatuh timbusjasad ke dalam tanah..
Ray^K nie lelebih pulak nak ‘hampuskan’ orang kampung dan timbus orang tua. Hasmi tak ada cakap sampai macam tu pun! Jangan pesongkan fakta dan konteks tulisan nie…
Benda-benda yg mcm nie boleh kacau perbincangan dan mengalih isu. Bahaya! Janganlah emo bro… Nanti agen SB masuk dan alih isu jadi benda bukan-bukan…
Sorry bro!
Ala, boring la u niee… Karim Lee
Girls dun like men playing safe!!
Setuju dengan Rayzzz! Tengok la kat memana, semua dikuasai orang tua laknat! Paper kita teruk nak mampus pun pasal org tua laknat jugak, termasuk paper Pakatan rakyat! Sapa nak baca… Jijik lerrrr!
Terima kaseh dengan komen yang ditinggalkan. Harap digunakan ruang komen ini menjurus isu yang hendak saya utarakan.
Soal surat khabar, ‘ada usaha lain’ yang sedang berjalan seraya sesiapa pun sedar bagaimana selepas memiliki begitu banyak kuasa dan kesempatan, namun wajah, kandungan dan kualiti akhbar tertentu tetap sama.
Moga terus ikuti esei ke hadapan, kelak.
HH,
Telawi.
Bagaimana dengan penyokong kerajaan Negeri Selangor yang kecewa dengan tindakan TS Khalid Ibrahim membelakangkan ‘cara UMNO’ dalam pembahagian projek?
Adakah sokongan mereka itu dengan niat supaya apa yang diterima oleh ‘penyokong UMNO’ sebelumnya, akan diterima serupa oleh mereka?
Harus peka kerana wajah satu parti itu bukan hanya pada pemimpin tetapi wajah mereka lebih jelas dilihat pada penyokong kerana golongan penyokong ini lebih menghampiri masyarakat berbanding pemimpin.
Apa cara untuk kita memaruahkan penyokong ini? Dikhuatiri kekecewaan mereka akan membawa kepada kejatuhan pemimpin yang berwibawa.
Atau kerana ‘terhutang’ kepada penyokong itu maka pemimpin wajib memberi ‘bahagian’ mereka supaya boleh terus memimpin?
Apakah moral yang ada dalam politik?
Jangan biar orang biasa ini terus kecewa selepas kekecewaan.
Saudara Tari melontarkan soalan yang serius, lebih-lebih lagi di gelanggang “real politik.”
Moral yang jelas nyata, tentunya, dengan mengambil-kira kelayakan, kesungguhan, dan wajar juga peluang diberikan kepada generasi muda menunjukkan keupayaan — di sinilah hal yang paling kritikal selalunya.
Soal di Selangor, saya kira ada perubahan sedikit sebanyak dalam soal kaedah Pakatan Rakyat mengurus, berbanding pemerintah terdahulu. Cuma kenyataan yang wajar disedari, lebih-lebih kepada penyokong ialah siap untuk mandiri. Tak terlalu bergantung kepada pemerintah, walau siapa pun, walau yang sedang memerintah belum tentu sahaja benar-benar bebas daripada menikmati habuan pergantungan suatu ketika dahulu.
Tak perlu terlalu kecewa…
HH,
Telawim
“Orang kampung hanya diam, kerana bagi mereka, cara mana pemimpin UMNO itu mendapat wang tak penting, melainkan pembangunan di kawasan itu harus wujud…”
Inilah yang saya takutkan. Masyarakat kita (baca: Melayu/Muslim) menjadi semakin buta terhadap ketidakadilan atas nama pembangunan!?
Nampaknya masyarakat Melayu/ Muslim lebih terpengaruh dengan laungan retorik dan sentimen kaum dan agama yang terang-terangan membelakangkan kepentingan negara.
Nampaknya fakta seolah-olah tidak berupaya untuk membuka mata masyarakat kita terhadap ketirisan yang berlaku di depan mata. Kalau beginilah keadaannya, apa masa depan untuk masyarakat kita dan ibu pertiwi?
Ya, sejak PR mendapat mandat rakyat – ternampak sedikit perubahan dari segi kaedah. Tapi, yang sangat kita takuti adalah akhirnya, PR tidak ada bezanya seperti UMNO-BN.
Bibit-bibitnya telah nampak. Tidakkah mereka (baca: PR) sedar bahawa, beradanya mereka ditampuk kepimpinan adalah kerana harapan besar rakyat biasa seperti saya untuk mereka melakukan serta memulakan proses pemulihan terhadap tanah air ini? Harapan ini bukan kepalang besar. Tapi, saya ragu, adakah parti-parti yang bergabung di bawah PR terutamanya PKR memahami erti sebenar amanah yang kami berikan ini.
Pasca 2008 menyaksikan banyak drama dan badut-badut politik yang meloncat tak keruan kerana harta, pangkat dan kekuasaan! Kami rakyat mengharap satu pendekatan pentadbiran dan cara berpolitik yang lebih matang serta berkesan untuk kemakmuran negara dalam erti kata yang sebenar.
Kadang-kadang saya berfikir sendiri, perlukah pentadbir negeri pandai bermain politik? Ya, sudah tentu ada bedanya mereka yang dilatih untuk menjadi seorang lebih praktikal dalam urusan negeri berbanding yang dilatih untuk cuma tahu berpolitik bukan?!
PR lebih-lebih lagi PKR harus segera menetapkan keutamaan. Jangan pula akhirnya, masyarakat menilai PKR sebagai liabiliti kepada PR dan keseluruhan sistem yang kita diami sekarang.
DEB telah terang-terangan gagal untuk mengeluarkan masyarakat Melayu menjadi bangsa yang berjaya dalam istilah yang sebenar. Inilah cabaran besar kepada PR apatah lagi PKR.
Bagi saya, tidak dapat tidak, PKR harus membawa agenda Melayu. Lebih penting agenda Melayu ini perlu dibawa dan dipersetujui bersama di dalam PR. Agenda Melayu ini amat crucial (super crucial) bagi membersihkan kepincangan, ketirisan yang dilakukan oleh UMNO-BN.
Tapi, harus diingat. Ia harus dilakukan dengan penuh teliti agar PR tidak mengulangi kesilapan dan kegagalan UMNO-BN dalam menjayakan agenda Melayu ini. Tidak dapat tidak, proses pemulihan dan penjernihan serta pencerahan masyarakat Melayu amat perlu bagi kita mengilap potensi sebenar dalam diri masyarakat kita, yang sememangnya sama hebat dengan bangsa-bangsa lain. Jika tidak, janganlah Melayu salahkan orang lain sedangkan, kitalah sebenarnya liabiliti kepada tanah air tercinta ini!
Ini cabaran yang maha besar dan saya sedar ia tidak dapat dilakukan dengan sekelip mata. Jika PR menunjukkan keikhlasan untuk membawa harapan baru kepada tanah air, sudah tentu kami sebagai rakyat/ pengundi berbesar hati untuk memberikan mandat yang seterusnya.
Barangkali harus diingatkan juga, gagasan-gagasan yang sebesar mana pun, jika tidak ternampakan gerak kerja yang tersusun, cekap, ikhlas – tak guna juga. Nah, ini sudah masuk persoalan manpower dan saya ragu PR terutamanya PKR dapat melakukan ini.
AA
Bandar Baru Bangi