Anak Muda dan Kabinet Baru Kerajaan Malaysia
oleh Amin Ahmad
12 April, 2009 | kategori Kolum | komen [2] | CetakAmin Ahmad
9 April, 8 malam – saya menerima panggilan daripada Noor Azam Shairi, Editor Berita Astro Awani bertujuan menjemput saya menjadi panelis Bicara Awani yang dikendalikan oleh Suhaimi Sulaiman. Tajuk perbincangan kami – Pandangan Anak Muda tentang Kabinet Baru Kerajaan Malaysia yang dipilih oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang baru.
Formatnya bebas di mana kami boleh mencelah dalam perbincangan ini. Saya digandingkan dengan Muaz Omar, kolumnis Malaysian Insider dan konsultan politik dan ekonomi yang memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang perubatan di UK dan Australia. Selain itu ialah Wan Mohd Firdaus, mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar United Kingdom.
Ini pengalaman pertama saya muncul di ruang televisyen secara langsung dan hanya punya masa terhad – sekitar 4 jam – untuk merumuskan pandangan sebaik pengumuman kabinet baru oleh Dato’ Seri Najib pada pukul 3.30 petang.
Sejak mula saya berasakan kabinet ini dari segi saiz tidak menggambarkan perubahan signifikan. Malah, dari segi semangatnya, meskipun ramai menteri kabinet sebelumnya digugurkan, tidak signifikan dengan mengambil kira keterikatan Perdana Menteri dengan tuntutan parti yang bergabung dalam Barisan Nasional. Inilah aspek yang lebih saya bimbang berbanding persoalan muka baru atau muka lama, mereka yang menang atau kalah dalam pertandingan parti dan mereka yang menang atau kalah dalam Pilihan Raya Umum.
Kenapa? Kerana kebobrokan politik di Malaysia selama ini tidak berpunca dari semangat kebebasan individu dan kedaulatan undang-undang. Sebaliknya, kebejatan kolektif yang membawa kepada kebobrokan ini.
Buktinya, dalam Pilihan Raya kita masih mengutamakan simbol berbanding individu. Hal ini dilanjutkan dengan peranan individu dalam Dewan Rakyat. Dalam pengalaman Malaysia, dua ahli Parlimen Barisan Nasional pernah ‘digantung’ oleh Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri hanya kerana berpandangan tidak selari dengan dasar kerajaan. Betapa Ahli Parlimen tidaklah sebenarnya benar-benar mewakili rakyat berbanding parti. Inilah faham salah yang mengakar kuat dalam persekitaran politik Malaysia. Sikap dan pandangan bebas, tetapi boleh memberi kesan negatif kepada kerajaan dan parti politik adalah dosa yang tidak dibenarkan. Ia bukan saja berlaku dalam parti-parti kerajaan, malah ternampak mula menempatkan diri dalam parti-parti lawan yang membentuk Pakatan Rakyat selaku parti pembangkang di Parlimen.
Fokus perbincangan kami mulanya bertumpu kepada persoalan demokrasi penyertaan (participatory democracy). Memang, kerajaan Barisan Nasional khususnya UMNO beranggapan bahawa perubahan adalah jalan yang terpaksa diambil untuk mengembalikan sokongan politik kepada mereka dalam bentuk undi. Wan Firdaus ada mencadangkan penglibatan mahasiswa dalam bentuk membantu Ahli Parlimen membuat penyelidikan.
Idea ini baik namun saya skeptikal. Masalah anak muda terlibat dengan orang politik bukan masalah baru. Memang telah ada kelompok anak muda yang membuat kerja-kerja ini. Tapi kebebasan yang tidak ada, dengan jiwa hamba, menyebabkan mereka hanya sekadar menjadi pak turut yang mengaminkan segala keperluan orang politik yang dilihatnya besar ini. Selain itu, bentuk ini juga terhad.
Saya percaya, ahli politik tidak sanggup menongkah arus parti mereka dalam menyatakan sikap dan pandangan. Jika ada sekalipun, ia lebih kepada show – untuk tunjuk mereka berbeza, tetapi dengan penampilan selekeh.
Apa yang mungkin terlepas, dan mahu saya tekankan ialah kita kembali kepada prinsip demokrasi yang tulen. Dengan jaminan kebebasan media, hak bersuara dan berhimpun dan hak berpersatuan misalnya, itu sudah cukup untuk menggamit penyertaan anak muda di pasaran terbuka idea.
Anak muda memang idealistik dan itu tidak sepenuhnya salah. Dalam realiti yang ada, anak muda tidak ada kepentingan apabila bersikap idealistik. Sebaliknya, sikap penakut yang ada, khususnya di kampus berpunca daripada kepentingan yang banyak. Pengalaman saya menjadi sang pemberani dihujani kenyataan dan pertanyaan “tidak takutkah dibuang universiti?”, “nanti susah dapat kerja” dan sebagainya.
Malaysia berdepan dengan cabaran getir sebenarnya namun kerana kita terlalu banyak berpolitik dengan cara yang selekeh, kita seolah-olah tersekat dan tidak mahu bergerak ke depan.
Saya banyak mengambil situasi kampus dalam pembelaan saya kepada anak muda. Generasi kampus adalah generasi yang bertuah dan berpeluang mendapat pendidian formal yang seharusnya tinggi sedikit daripada selainnya. AUKU bukan memenjarakan jasad mereka, tetapi jiwa mereka yang mengalah kepada perkara yang tidak perlu. Ia seolah-olah paksaan bahawa mahasiswa mesti mengaku bahawa mahasiswa adalah jenis kelompok yang tidak tahu menggunakan tanggungjawab. Selain itu secara prinsipnya ia memang bercanggah dengan jaminan kebebasan sebagai warganegara.
Sebab itu, saya menggesa AUKU dimansuhkan dan ruang yang luas disediakan untuk pemimpin pelajar bersuara. Di sanalah akan teruji sama ada benar mahasiswa punya idea untuk menjadi rakan bina negara atau tidak.
Kegusaran penglibatan mahasiswa dengan parti selain kerajaan seharusnya tidak timbul jika kita menghormati demokrasi. Kegagalan menghormati prinsip demokrasi adalah penghinaan kepada diri kita sendiri.
Dari sudut politik, kita perlukan bahasa politik yang baru. Semoga Satu Malaysia dan Ketuanan Rakyat yang diwar-warkan dua tebing politik yang besar kini akan dibincangkan ramai secara inklusif dan tidak seperti selalu – agenda yang dipaksakan orang atas kepada orang bawah. Selain itu, pemerkasaan institusi dan sistem persekutuan serta doktrin pengasingan kuasa wajib lebih jelas.
Dalam konteks ekonomi, kita perlu merombak petunjuk garis kemiskinan agar lebih realistik berdasarkan kos sara hidup setempat. Kita juga boleh meneroka ruang lain selain Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai petunjuk tunggal pertumbuhan negara. Kita tidak mahu negara kaya tetapi rakyat miskin. Untuk saya, pertumbuhan memerlukan dasar pasaran bebas dengan jaminan hak pemilikan harta serta pengenalan cukai yang rendah. Krisis kehilangan kerja mesti ditangani dengan insentif cukai bagi melindungi rakyat dari kehilangan kerja. Ini sentiasa lebih baik daripada usaha mengeluarkan tanggungan (bailout) yang jelas tidak efisyen.
Dalam konteks sosial, penyelarasan pendidikan diperlukan. Akses kepada kesihatan mesti dipertingkatkan kualiti dan efisyen. Agenda perpaduan harus dimulakan dengan rasa hormat terhadap hak, penglibatan dengan penuh tanggungjawab dan kedaulatan undang-undang.
Akhirnya, apa yang boleh saya tegaskan ialah, generasi muda pada hari ini melihat nilai keadilan, kebebasan, persamaan hak dan persaudaraan itu berbeza daripada generasi yang terdahulu.
Penyertaan anak muda dalam proses hidup bernegara akan terus dan terus mencabar status quo.
Ingatlah, sejarah dibina oleh anak-anak muda – yang jujur, bijak dan berani. Dan saya mahu nyatakan di sini – keberanian tidak boleh dipelajari melainkan anak muda membebaskan diri dari ketidakmatangan yang ditempa sendiri.
Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University. Kini merupakan Penyelidik bagi Malaysia Think Tank.
Kiriman Berkaitan
- Ucapan Dasar Timbalan Presiden Keadilan: Malaysia Tanpa Umno Azmin Ali
- Politik Tukar Kulit Hasmi bin Hashim
- Revolusi Ini Akan Diteruskan SPIEGEL Online
- PAS dan Harapan Baru Malaysia Hariszuan Jaharudin
- Malaysia yang [Masih] Goyang Hasmi bin Hashim
- Testamen Politik Anak Muda I Hasmi bin Hashim
kat mana boleh cari video ni?
nanti dah siap Awani akan bagitau..