Politik Tukar Kulit
oleh Hasmi bin Hashim
28 Mac, 2009 | kategori Kolum | komen [6] | CetakHasmi bin Hashim
SERAYA masuk Rumah Putih, Barrack Hussein Obama belum pun lagi mengumumkan pakej ransangan besar lebih USD800 bilion, belum pun merangka langkah konstruktif pengunduran tentera dari Iraq, apatah lagi pemulihan hubungan dengan dunia Islam atau dasar luar Amerika Syarikat keseluruhannya — melainkan antara yang pertama dilakukannya adalah memberi wajah baru kepada laman web kerajaan Amerika Syarikat!
Sepertimana di dalam kempen menuju kepresidenan itu, team di belakang Obama, saya percaya, telah berbincang untuk menggunakan apa jua kemungkinan media baru. Termasuk facebook… apatah lagi peranan laman web yang bukan kepalang.
Dengan langkah yang sesederhana itu sahaja, maka beliau dianggap telah mendepani sesuatu yang sekian lama tak terpandang penting oleh orang politik. Baik di Amerika, baik di Malaysia.
Iaitu, imej.
Demikian, pentas pun berubah.
Saya telah naik saksi, sejak sepuluh tahun lalu bagaimana payahnya, meski dalam parti yang berslogan “reformasi”, untuk mengemudi perubahan imej, karena setiap perubahan imej terlebih dahulu menuntut perubahan paradigma. Tanpanya, sesuatu perubahan imej itu lembik dan munafik.
Dalam Kongres Nasional 2009, wajah pentas utama di dalam dewan kongres di hadapan, misalnya, total berubah daripada tradisi rupa politik yang konvensional, macam yang selalu difahmi sebelum-sebelum ini, yang sesungguhnya sudah cukup menjemukan, kepada yang lebih segar. Segak.
Kini, penguasa politik yang sering beranggapan mereka pemutus bicara (atau barangkali “tuhan dunia”), seakan mulai tersedar. Kalau direkacorak stage Kongres atau perhimpunan besar parti, tak perlu lagi tulisan banyak-banyak. Tak payah kerawang-kerawang. Kain rompol-rompol macam “langsir mak datin”. Tak perlu bunga dirimbunkan untuk jadi laksana hutan tropika…
Dipermudahkan, namun tetap memelihara makna. Apakah ia payah sangat?
Umno, dalam Perhimpunan Agung kelmarin pun menyusul pembaharuan ini — dan memang sifatnya parti yang semakin lanjut umur, terlambat mengubah citarasa perubahan. Alangkah kagetnya saya apabila paras pentas parti itu kelmarin cuba meniru-niru imej simple politik baru. Tidak sepertimana perhimpunan lepas-lepas, yang saya saksikan sejak kecil.
Ada logo besar di tengah-atas, dan nama parti — bayangkan, untuk menyaksikan perubahan yang sebegini kecil, ahli Umno perlu menunggu puluhan tahun. Paling tidak lebih 10 tahun, sejak saya meninggalkan parti itu.
Saya pergi pada 1998 — parti pertama yang saya sertai sejak cukup umur. Krisis politik-ekonomi 1997-98 tak menampakkan ada tanda Umno boleh berubah, meski saya juga tiada pasti, apakah parti politik baru yang terbentang di hadapan saya, benar-benar sebuah harapan untuk membawa semangat anak muda, sekurang-kurangnya kalau pun bukan semangat zaman.
Memang, hal itu bukan persoalan termustahak sehingga saya terjerumus dalam ruang politik kekuasaan. Namun, ia tetap menjadi antara sebab — sebab yang kadang kala belum dapat kita temukan bahasanya. Tak tahu hendak cakap dan dijelaskan bagaimana.
Cuma, saya percaya pada tanda, atau sign. Tanda sukar menipu.
Sekian tahun hampir semua parti-parti politik bercakap tentang perubahan, retorika yang bagi saya pertama kali dilaung dan dipopularkan oleh Anwar Ibrahim dalam wilayah politik nasional. Kini, kata perubahan dan kata azimat dan laksana slogan bagi hampir semua wadah politik, walaupun tempohari ada yang malu-malu kucing untuk menggunakan istilah “reformasi” kerana ketengik dengan perjuangan dan arus 1998.
Saya yakin, mata anak-anak muda adalah mata yang tajam. Tak sedikit pun mahu mereka menghampiri sesuatu itu, kalau mereka rasakan “sesuatu itu” adalah sesuatu yang asing, apatah lagi yang anti-mereka. Ini fitrah.
Keadilan-lah parti yang paling beruntung apabila punya seorang ketua yang masih membawa semangat dan roh kontemporari, dan muda. Tak lain tak bukan, Anwar… seraya parti-parti lain masih terus bergelut untuk memberi wajah segar kepada parti masing-masing, Keadilan sudah ada. Pun begitu, apa yang dimiliki oleh Keadilan, tidak juga abadi, kerana suatu waktu nanti, Anwar akan tiada.
Maka, yang kekal adalah kesedaran. Untuk terus berubah. Bukan terlalu selesa sehingga membawa beku. Atau, penyakit hari ini, mengheret imej kuno (walaupun selalu pula dinafikan bahawa kekuasaan baru dan kerajaan baru adalah dengan dasar yang juga “baharu”), ke masa semasa.
Saya melihat banting setahun kerajaan Selangor, saya merasakan begitu tuanya rekacorak banting itu. Sedangkan, zaman politik rasis sewajarnya sudah lama berakhir, sekurang-kurangnya pada 8 Mac yang lalu. Sekurang-kurangnya di Selangor.
Contoh tak perlu banyak, memadailah yang satu itu.
Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.
Kiriman Berkaitan
- Muzik dan Politik Mazir Ibrahim
- Tentang Lagu Rasmi Parti Politik Mazir Ibrahim
- Ucapan Dasar Timbalan Presiden Keadilan: Malaysia Tanpa Umno Azmin Ali
- Hapuskan Segera DEB Hasmi bin Hashim
- Langkah Kanan Politik Islam ke Abad 21 Saifullah Zulkifli
- Siri 2: Surat Kedua dan Ketiga Rainer Maria Rilke admin
“Saya yakin, mata anak-anak muda adalah mata yang tajam. Tak sedikit pun mahu mereka menghampiri sesuatu itu, kalau mereka rasakan “sesuatu itu” adalah sesuatu yang asing, apatah lagi yang anti-mereka. Ini fitrah ”
Menarik kata-kata ini, anak muda adalah agen perubahan untuk masa depan negara dan mereka boleh berfikir dengan baik sesuai dengan peredaran zaman yang pantas berubah. Saya setuju dengan Hasmi imej Anwar berpewatakan muda gaya 40an umurnya dan ini menarik perhatian org muda untuk mendekati Keadilan. Banyak wakil rakyat PKR juga orang muda dan ini menarik org muda yang meliputi perlbagai kaum mendekati PKR.Di BkT Selambau ,Anwar letak calon muda India di sana.
Terima kaseh kepada Ikhwan Hafiz. Ada lagi yang akan saya sorot. Awas! Tunggu!
Bagaimana dengan watak Ketua Pemuda UMNO yang baru itu yang sememangnya muda dan cuba menampilkan suatu ‘reformasi’ di kalangan generasi baru UMNO.
Berapa lama Anwar akan berupaya mempertahankan karisma dan watak sedemikian sedangkan yang menanti itu sedang mengayuh laju. Kesannya mungkin bukan sekarang. Kesedaran yang saudara cadangkan mungkin tidak akan kekal. Kesedaran rakyat sama juga dengan kesedaran ahli politik itu sendiri. Tukar kulit tetapi jiwanya tetap sama.
Diharap lebih ramai pemimpin muda hebat dan berkarisma lahir dari ‘reformasi’ ini.
Pandangan dan kebimbangan “Tari” berhubung krisis kepimpinan di kalangan anak muda pasca Reformasi ’98 sering menjadi perbincangan di kalangan saya dan teman-teman di Jalan Telawi. Rumusan yang boleh saya catatkan ringkas di sini ialah tak ada jalan mudah untuk mengekalkan momentum dan jaminan akan terus lahirnya kepimpinan muda yang berpegang kepada idealisme sebagai antara ciri utama kepimpinan yang hebat — lebih-lebih lagi tanpa “support system” yang sendiri sedar tujuan tersebut. Apa yang dapat dilihat adalah pehak-pehak yang kini sudah memasuki period baru kepolitikan tampak memang mulai agak mengabaikan hal “memikat”, apatah lagi melahirkan generasi pemimpin muda. Mungkin sahaja terlalu berkhayal dengan kenyataan peti undi golongan muda menyokong Pakatan Rakyat — seraya terlupa, generasi muda itu bila-bila masa sahaja boleh menukar kiblat sokongan mereka. Hanya segelintir yang barangkali bimbang, sementara ramai pula yang berbangga dengan sedikit kejayaan mereka menuai hasil yang banyak ditanam pelopor terdahulu. Harapan saudara Tari, inshaalah akan disusuli dengan ikhtiar sedaya mana yang termampu.
HH,
Telawi.
“MEMINANG” pandangan bukan mudah tatkala yang dipinang itu jelas usianya, harus yang meminang punya sekurang2 sedikit mata hati yang dipinang.
Pinangan Anwar buat mas aini disambut ‘mesra’ .. namun saya belum melihat siapa selepas anwar yang akan jadi “Pak Naib” dalam konteks meminang ini..
Dari luar saya melihat masa ini paling sesuai untuk semua parti termasuk PKR buat latih tubi untuk pelapis .. Untuk berkarisma sbg pemimpin .. bukan dilatih untuk hanya pakai vest olok2 mcm bodyguard (maaf beb aku tk selesa tengok ramai sangat orang yang buat muka garang skrg ni hehehe)
Karisma Anwar tiada tandingnya. Malah sejak masih dalam dunia mahasiswa, beliau dikagumi malah diintip dunia antarabangsa. Bahasa yang diguna bukan calang2, diangkat dicedok dari dalam pelusuk kamus pujangga. Lenggok badan dan gerak tari badan beliau agak mudah menarik handai untuk mendekati. Anwar manusia biasa yang dilahirkan dengan bakat biasa tetapi pantas dihayun untuk menjadi luar biasa.
Susuk macam ini sangat susah untuk dibentuk, sukar dianyam sebaiknya, payah diadun seeloknya kerana ramai manusia yang ada dalam parti itu pantas datang dari masyarakat biasa tetapi berlagak luar biasa.
Contohnya ada, cukup banyak kerana mereka semua ingin menjadi terbaik dalam masa singkat. Kerana pemikiran mereka diasuh untuk berjaya mesti sama pakai sepertimana mereka yang berjaya. bukan ilmu yang ditiru, tetapi pakainya yang diambil dahulu. Lantas menyebabkan mereka yang diambil untuk jadi pelapis habis rosak sebelum sempat dicorakkan. Punya tenaga yang hebat tapi kosong pemikiran. Tiada pembaharuan diberikan hanya meniru sedia ada.
Ini yang berlaku dalam parti yang hanpir karam. Anak muda ramai, dari institusi pelbagai tapi idea diberikan hanya sama seperti sebelumnya. Pentas berlainan, lagu zaman 50an!