Mahu Jadi Yang Biasa-Biasa Sahaja?
oleh Amin Ahmad
23 Februari, 2009 | kategori Kolum | komen [10] | CetakAmin Ahmad
Tahun 2000 dan 2001, aku masih sempat mengikuti Pilihan Raya Kampus secara berparti. Maksud aku mahasiswa membentuk persefahaman sesama mereka dan bertanding sebagai parti politik. Pengenalan mereka boleh dilihat daripada nama dan juga warna.
Tahun 2000 dan 2001, persekitaran luar kampus masih hangat dengan bara Reformasi 1998 justeru tidak ada satu kampus lama pun dimenangi oleh proksi parti pemerintah. Bukan saja mereka bungkus tapi yang mahu mendakwa mereka adalah penyokong UMNO atau Barisan Nasional pun kelihatan canggung. Malu sendiri!
Maka tahun 2002 diperkenalkan undang-undang larangan membentuk parti – setiap calon bertanding atas kapasiti individu. Untuk menguatkan lagi tekanan supaya mahasiswa tidak boleh merunding sendiri persoalan yang boleh mereka perjuangkan bersama, pimpinan di peringkat kolej juga tidak lagi dibuat melalui Pilihan Raya Kolej sebaliknya dipilih terus oleh Pengetua dan pentadbiran kolej. Pengetua ini sendiri dipilih oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) di kampus aku waktu itu punya kaitan kekeluargaan dengan Menteri Pendidikan pada masa itu.
Ya, kita mungkin mengharapkan professional yang tidak bergelut dalam persaingan partisan dapat berkhidmat lebih baik tetapi ternyata ia tidak begitu. Mungkin hanya di Malaysia dan negara-negara yang percaya kepada sistem autoritarian, politik berjaya merobohkan benteng ahli akademik dengan begitu mudah sekali. Mereka ini pasti tidak pernah mahu memahami La Trahison Des Clercs (The Betrayal of the Intellectual) yang pernah diungkapkan oleh Julien Benda awal kurun yang lalu.
Aku hanya ikut perkembangan Pilihan Raya Kampus dari jauh sejak mula. 2002, hampir semua kampus diambil alih oleh proksi kerajaan selepas tekanan drastik dihadapkan kepada mahasiswa. Tidak ada lagi pidato yang sarat dengan gagasan, tidak ada lagi perseteruan pengaruh di kalangan pemimpin pelajar dan tidak ada lagi kesempatan mahasiswa belajar merundingi isu-isu besar secara bebas – buat bekal pengalaman mereka. Semuanya mesti melalui kehendak pentadbiran universiti.
2003 aku sambung pengajian Ijazah. Minggu orientasi universiti kali ini jauh beza dengan semasa aku di pengajian Diploma. Ia sarat dengan kempen politik tersusun secara halus. Rimas, aku bangun mencabar Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). Tanya aku mudah “Kenapa saudara Asyraf Wajdi tak pernah kena tindakan tatatertib sedangkan penglibatan beliau dalam fasa hangat Reformasi cukup jelas. Adakah kerana dia anak salah seorang Setiausaha Perdana Menteri maka dia diberi kelebihan?”. Hipokrit.
Beliau terdiam dan balik semula dua hari kemudian menghentam aku dengan kata “Ada pelajar lama yang masuk belajar semula. Kamu pelajar-pelajar baru mesti hati-hati supaya tidak terpengaruh. Asyraf Wajdi yang dia sebut itu kita kenal, pelajaran dia baik”.
Oh, jika pelajaran baik maka boleh demonstrasi dan bantah kerajaan? Tidak hairan kemudiannya jika ada mahasiswa bersuara, beliau hanya jawab dengan pertanyaan “CGPA kamu berapa?”.
Tahun itu juga aku hantar satu memorandum bantahan kepada Naib Canselor tentang hal wewenang di kolej. Aku susun pelajar rentas bangsa untuk sama hadir menyatakan bantahan. Seratus orang pelajar turun di Dewan Besar dan aku diheret Pegawai Keselamatan dengan soalan “Apa hang buat ni? Kenapa ajak Cina dan India ramai sangat?”.
Sialan, apa perlu soalan kaum ini timbul? Butakah mereka untuk lihat bahawa majoriti yang hadir itu Melayu? Aku tidak dikenakan tindakan tatatertib. Kata Naib Canselor “Terima kasih kerana maklumkan pada saya. Biasanya dalam mesyuarat pentadbiran apa yang sampai pada saya semua baik-baik saja”. Inilah hakikat di mana-mana pun organisasi berorientasikan kerajaan. Agaknya, bagaimana kita dapat selesaikan masalah jika semua debu disumbat ke bawah tikar?
2003 aku bertanding Pilihan Raya Kampus – Proksi Kerajaan. Aku raih undi paling tinggi di Malaysia waktu itu. Mungkin kerana kampus aku bilangan pelajarnya ramai. Proksi pembangkang menzahirkan rasa kesal kerana aku tidak bersama mereka. Tapi telah aku jelaskan sebaiknya kepada mereka tentang politik baru.
Aku tidak jadi Yang Dipertua. Usaha tersusun pihak universiti berjaya menghalang aku untuk melakukan Reformasi dalam organisasi mahasiswa. Terlalu banyak yang aku belajar dari ehwal bagaimana politik kepartian mencengkam kuat seluruh sel di kampus. Jika kau bernasib baik, kau akan temukan lagak angkuh pegawai dan pelajar universiti yang rapat dengan proksi kuasa dalam kerajaan. Mereka selalu bercakap dan bertindak seolah merekalah penentu apa yang paling benar dan paling baik untuk dibuat oleh orang lain. Hal ini juga tidak jauh beza dengan politik gaya proksi bukan kerajaan. Hanya yang membezakan ialah mereka tidak berada di kerusi kekuasaan di mana dana awam dikawal oleh mereka.
Politik mahasiswa langsung susut dari membicarakan soal idea. Jika seorang mahasiswa dapat membicarakan secara partikular mana-mana seksyen Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), maka dia akan nampak hebat. Roh penentangan langsung tidak dihadam. Merekalah tangan yang sama akan meragut erti kebebasan apabila berada di kerusi kuasa.
Dalam mana-mana tamadun besar di dunia yang rancak kancah intelektualnya, sentiasa dua pokok pembicaraan akan dibentang – kebebasan dan keadilan, bagaimana diseiringkan?
Mungkin benar kata Bapak Mohamad Natsir “Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.”
Pemimpin mahasiswa – mahu jadi yang biasa-biasa saja?
Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University. Kini merupakan Penyelidik bagi Malaysia Think Tank.
Kiriman Berkaitan
- Politik Kampus Amin Ahmad
- Melepaskan Keterikatan Universiti Hilman Idham
- Matinya Demokrasi Kampus Hariszuan Jaharudin
- Perlawanan Itu Pasti Terus! Hilman Idham
- Universiti, untuk apa? Amin Ahmad
- AUKU dan Masa Depan Malaysia Hilman Idham
ahh.. amin.. bukan ko dulu sama macam mereka jugak ke?
apa cerita nih? ini ke jenis esei yang diterbitkan di sini? tak padan langsung dengan ” mata air pencerahan” kununnya. ini lebih kuang esei pemuda umno jek, esei perasan bagus
aku Mac, jangan baca sebahagian – baca seluruhnya. baca di perenggan penulis menulis jelas bertanding dalam proksi kerajaan. soal idea tidak semestinya bergerak dalam proksi pembangkang atau bebas. ia soal pilihan.
suria hasan, semoga saya akan membaca banyak tulisan esei pencerahan dari titipan saudari. esei saya memang perasan bagus, sekurangnya-kurangnya saya melaluinya dan menghadapi tiap saat tersebut sungguh-sungguh. itulah pengalaman saya. ada nilai-nilai yang saudari boleh tangkap jika mahu, tapi tidak semestinya
en amin, saya tidak minat menulis tetapi saya lebih minat membaca dan membaca sesuatu yang mencerahkan memang matlamat utama dalam pembacaan. pengalaman saudara boleh jadi mencerahkan tetapi terjemahan saudara dari pengalaman tersebut menjelmakan nilai kebagusan diri sahaja, tampaknya saudara tidak tercerah dari pengalaman kepimpinan sendiri iaitu kepimpinan terluhur meresap dari keadaan rumit memahukan perobahan juga keadaan sulit memahukan pengorbanan dan dalam keadaan senang memahukan kesinambungan: bukan pengiktirafan!
saudara tak layak menyebut soal kepimpinan pun. simpan sahajalah sejarah kepimpinan saudara itu, saudara masih tohor soal itu.
Teruskan usaha amin tentang cerita di sebalik politik kampus kerana saya amat meminatinya.
Saya menjejak kaki di kampus KUTKM ,sekarang UTeM sama dengan amin sambung degree pada tahun 2003.
Saudari Suria,
Terima kasih atas respon. Saya berlepas diri daripada sangka-sangka saudari. Sekiranya saya inginkan pengiktirafan, saya fikir telah lama saya bergelumang dalam politik yang lebih dalam.
Kolum saya ini bunyinya Carpe Diem (Seize the Moment). Saya telah bersetuju dengan pengendali laman ini untuk menceritakan pengalaman saya sendiri mengendalikan isu-isu yang saya hadapi dan di sebaliknya terpulang kepada pembaca mencari nilai apa yang terzahir. Jika boleh saya mengambil kata Kant dari sudut lain – Pencerahan tidak bermula dari ketidakmatangan yang ditempa sendiri.
Jika saudari membaca Wawancara saya di UmmahOnline, saya nyatakan jelas bahawa ada usaha saya yang berjaya dan ada usaha saya yang gagal. Saya menulis sesuatu yang TELAH saya lakukan, tapi saya tidak segan mengaku bahawa ORANG LAIN juga telah melakukan lebih banyak yang signifikan.
Apa yang saya cuba gambarkan dari tulisan di atas adalah berdasarkan:
1) maksud Sabda Rasul s.a.w. “jika suka, jangan suka sangat2 dan jika benci, jangan benci sangat2″. Saya tunjukkan bahawa saya boleh saja mendokong gagasan Aspirasi Universiti (proksi kerajaan waktu itu) dengan pemahaman saya sendiri tanpa perlu tunduk dan diikat oleh kemahuan penguasa dan universiti.
2) saya kekal memainkan peranan sebagai wakil pilihan pelajar untuk bersuara without fear and favour dalam urusan kepimpinan saya tanpa mengambil kira proksi mana saya wakili.
3) bagaimana manipulasi politik berlaku di kampus dan ia terbiar kerana mahasiswa tidak pernah peduli pun.
dan banyak lagi nilai lain jika saudari mahu cari.
Saya mahu berlapang dada dengan kritikan saudari dan hal ini insyaAllah saya akan olah lebih banyak jika masih lapang untuk menulis. Membaca sahaja memang mudah
Jika saya tidak layak menyebut soal kepimpinan, saya harap saudari dapat berdoa kepada Allah s.w.t. untuk diangkat firman dan sabda tentang itu dari amalan manusia atau Tuhan lain yang saudari percaya…apapun, terima kasih kerana sudi juga membaca
saudara amin, terima kasih juga atas layangan respon,
saya tak fikir saya mahu memanjangkan pendapat saya walau saya berkeras dengan pandangan tersebut. namun saya perlu. saya memang geleman dengan sikap “pemimpin mahasiswa” yang cepat fikir mereka punya nilai kepimpinan. terpilih menjadi pemimpin tak segera melengkap seseorang itu dengan nilai itu. sebagai contoh,bung mukhtar bertahun2 jadi mp-namun dia layak disebut pemimpin? begitu juga dengan rata2 pemimpin mahasiswa…mereka lekas bingkas mencecer isu luar, isu pentadbiran negara misalnya, namun “organisasi mereka” sendiri tersadai, dan jika saudara menuding jari kununnya mahasiswa tidak endah soal politik kampus, itu satu hal yang saudara perlu amat-amati dari hal kenapa dan bagaimana? bagaimana menghalkan isu ini? mengapa mahasiswa perlu peka dengan dan bukan pekak terhadap permasalahan ini? ini kerana rasa tanngungjawab itu tidak lekat di nubari mereka dan sikap pemimpin dan organisasi kepimpinan mahasiswa adalah halangan kepada itu. mengapa pula? kerana pemimpin mahasiswa bukan mewakili mereka. apa relevannya pemimpin mahasiswa kpd kehidupan kampus selain menjadi penganjur karnival graduasi? atau di hari2 pencalonan dan perlu undi dan sokongan sewaktu musim mengundi? terdapat lompang kosong yang mahabesar antara “pemimpin” ini dengan mahasiswa biasa. pemimpin banyak melontar isu politik luar, politik kampus, politik, politik, politik, politik dan politik. jika ada fikrah keras yang terlontar, tentu sahaja dari hal politik. mahasiswa jadi lemas. sesak. kehidupan kampus dinodai dengan politik semata. sedangkan uni adalah pencetus fikrah sejagat. bukan fikrah sepusat-POLITIK! kelelahan uni adalah dari sebab cetusan fikrah dari mana2 aspek terbantut, pemimpin mahasiswa dari kanan, kiri atas dan bawah berdekam politik. mereka tidak asyik dengan dunia ilmiah, pembudayaan ilmu-jauh sekali! politik juga satu bidag ilmiah selain sepak terajangnya sahaja yang seronok sekali ditonjolkan. jika saudara fikir saudara telah bermain politik baru dengan menjadi ahli aspirasi, ini bukan satu hal yang menakjubkan pun, jadilah pemimpin mana2 geng pun-ini bukan satu hal besar-seperti menukar jersi sahaja! ini kerana orientasi pemimpin mahasiswa dari kelompok apa pun sama sahaja. apatah lagi mengundi sudah menjadi keterpaksaan. mereka (mahasiswa) menjadi paksarelawan dari saat awal lagi pembinaan organisasi kepimpinan mahasiswa ini. jadi kesedaran politik kampus telah disentap sejak dari saat itu juga. maka bagian oposisi mahupun bagian aspirasi bukanpun apa-apa bg mereka. jika saudara mahu berjela2 bercerita hal penguasa uni-pemimpin mahasiswa , saya fikir tak perlu buang masa buka cerita berkepok itu. ini kerana ini satu lumrah-biasa sagt-mana2 “pemimpin mahasiswa” akan suka menjaja cerita ini. cerita sang perwira kununnya. padahal, cerita kulapuk ini hanya bahan jajaan murah sahaja. apa yang baru selain itu? apa yang unik? apa yang lebih bermakna dari itu? nihil!
tegasnya pelapis kepimpinan negara tak perlulah dari saki baki kepimpinan mahasiswa pseudo nilai kepimpinannya. dan jika saudara fikir saudara luar biasa- memang ! saudara memang mencengangkan bila saudara secara tidak lansung dalam wacana di atas mengiktiraf diri anda bagus. ini satu defisit bagi seorang pernah bergelumang dalam bidang kepimpinan.
dan, membaca sahaja lebih mudah? ini lagi satu bias identiti saudara… saya kira menulis tanpa pembacaan teliti dan mendalam hanya melahirkan wacana separuh masak yang tak kurang lebih seperti borak-borak kedai kopi.. seperti yang telah saudara hasilkan.
Terima kasih atas komentar saudari,
Idealisme dan pragmatisme ternyata ada jurangnya dan di sana cabaran yang suka atau tidak perlu didepani. Untuk saya, telahan saudari tidak sepenuhnya buruk tetapi mungkin muncul dari lingkaran pergaulan terhad dan memilih. Barangkali!
Saya boleh merepek dan boleh saja berlaku serius. Saya boleh saja menulis bahawa apa yang saya hadapi telah lama diutarakan dalam bentuk yang serius misalnya dalam tulisan Julien Benda, The Treason of the Intellectuals dan sebahagian buku lain yang akan saya sentuh sedikit demi sedikit bila sampai masanya atau hanya duduk bising TNC tertentu itu dan ini. Malah persoalan The Barbarity of Specialization telah diungkap lebih kemas oleh Ortega y Gasset. Sayang, tingginya karya yang saudari damba tidak mampu dirakyatkan bahasanya!
Saya tidak menulis untuk menyelesaikan semua masalah umat dan biarlah saya realistik untuk kolum saya yang tidak seberapa ini. Memang separuh masak kerana ia tidak akan menyelesaikan apa-apa tetapi ia catatan sebenar dari hal yang saya lakukan. Sebab itu membaca ternyata lebih mudah daripada berdepan dengan persoalan ini secara ‘real’ di luar sana dan menggambarkannya dalam tulisan ringkas ini. Soal olahan, itu teknikal dan saya tidak ada masalah untuk belajar memperbaiki.
Saya tidak katakan masuk aspirasi hal besar, untuk saya tentu saja tidak tapi kesannya ada di kampus. Ia bertitik tolak dari soal dunia hitam putih yang keji dalam dunia politik tapi saya pilih untuk berani bertarung dengannya berbanding diam-diam mengomel tanpa berbuat apa-apa yang signifikan. Jika saudari membenci politik dan menganggap ia menyempitkan mahasiswa, terpulang…itu tanggapan saudari dan bukan saya. Orang macam saudari memang ramai di kampus – tidak senang atau benci politik. Tapi ramai juga dari kelompok ini berebut-rebut isi borang SPA dan marah-marah bila tak dapat kerja – sebelum kemudian perlu toe the line and shut up. Politik Malaysia sampai bila-bila akan buruk selagi mana kita gagal melihat ia sebagai wahana, bukan matlamat. Ah, masakan sama pemain bola yang penat berlari di tengah padang dengan penonton yang terpekik sorak…
Untuk saya, pemimpin mahasiswa mahu bicara apa saja dan tingkat mana mereka mahu pergi akhirnya terpulang kepada mereka. Bukan tugas saya untuk melakukan diktasi kepada mereka. Saya fikir banyak dari sikap saya terhadap dunia kepimpinan kampus tidak saudari telah lebih dalam. Saya hanya menjangka dan kita pun tak pernah betul-betul kenal. Dan seperkara, tak perlu memperkecilkan kegiatan mahasiswa biar apa pun – sama ada karnival graduasi dan sebagainya. Silalah berbuat apa yang saudari suka dan buatlah sekarang. Saya juga mahu tahu jika program dan kegiatan saudari itu ada ratusan atau ribuan mahasiswa yang meraikannya. Jika tidak, cukuplah saya katakan bahawa saya berlapang dada dengan kritik saudari dan harap-harap mereka yang punya idealisme tinggi seperti saudari ini berbuat sesuatu yang lebih signifikan untuk diri sendiri dan masyarakat.
saya memang bagus, itu saya tahu. saya memang tidak bagus, itu juga saya tahu. maka apa? saudari mahu saya tulis tentang pemimpin mahasiswa lain yang saya tak pernah pun kenal hidup dan gagasan mereka? jika itu defisit untuk saya atau dianggap pseudo, maka biar saya yang hadam. aneh…mereka yang konon tulen macam saudari hanya mampu melihat dan duduk di luar gelanggang? pengecut barangkali untuk berdepan kesakitan sebenar?
saya suka idealisme saudari…tapi saya mahu pergi ke ‘daerah lain’ juga
saya menulis dari pengalaman dan tentu saja pengalaman itu separuh masak. namun, saya temukan kepentingan perimbangan dalam menggasak wacana besar dengan proses mendekatkan jurang literasi isu dari hal komunikasi.
“Ya, kita mungkin mengharapkan professional yang tidak bergelut dalam persaingan partisan dapat berkhidmat lebih baik tetapi ternyata ia tidak begitu. Mungkin hanya di Malaysia dan negara-negara yang percaya kepada sistem autoritarian, politik berjaya merobohkan benteng ahli akademik dengan begitu mudah sekali”.
Saya harap perenggan ini jelas untuk saudari. Saya tidak berminat melayan puing persoalan saudari berkisar diri saya – itu bukan pokok persoalannya. Lapis itu terlalu banyak tapi sayang mereka yang cintakan gagasan besar seperti saudari hanya menemukan “saya perasan bagus”.
Terima kasih untuk itu. Saya harap saudari boleh kupas lanjut beberapa persoalan penting yang harus muncul dari tulisan ini misalnya:
1) kenapa akademisi lelah dengan penguasa? apa jalan keluarnya?
2) kenapa manusia berfikir “hitam dan putih”? bukankah kehidupan ini “berwarna lebih dari dua”?
3) apa arus bawah pada pemikiran apabila isu cina dan india yang dimunculkan pegawai keselamatan (yang tentunya mereka yang menggerakkan dasar)
oh saya terlupa, saudari telah faham semuanya tentang itu…cerita jadi hero yang saudari cuba jadikan isu besar hanyalah cerita picisan. isu yang saya bawa di kampus saya cukup untuk saya mewakili kepentingan pelajar dan biarlah mereka menghakimi saya.
saudari melihat gelas separuh kosong, tapi ada yang mahu melihat gelas separuh penuh. kedua-duanya tidak sepenuhnya salah. raikan saja.
Saudara Amin,
pedulikan saja pembaca seperti suria ahmad ini. bukanlah membantu mengembangkan minda pun mereka seperti ini. memang, ada kritikan sosial yang mendalam di dalam komennya, iaitu, kebanyakan pemimpin mahasiswa hanya berjalan di atas jambatan gantung, tetapi sedang berfikir bahawa dia sedang berjalan di atas air. memang benar pun, cuma dia harus sedar, kakinya tidak berlapik terus pada air, tapi kayu. tapi, maaf. saya tidak layak bercakap tentang perkara ini. sebab, saya tidak pernah merasai suasana pilihanraya kampus di Malaysia. berada di negara yang agak sukar difahami bahasanya secara terus menerus, bukanlah membantu untuk memahami dengan jelas politik kampus. entah sama atau tidak politik kampus di sini dan di Malaysia, saya tidak pasti.
tapi, biarkan. ketepikan semua itu. saya sememangnya tidak berapa minat dengan penganalisis yang negatif. saya sememangnya meraikan pendapat dan pandangan semua orang, tapi, kalau sekadar analisis dibuat untuk menyerang peribadi, lupakan saja. inilah namanya penulisan berdasarkan emosi tidak puas hati dan perasaan menyampah membentak hati.
saya nasihatkan cik (betul?) suria, cuba bina imaginasi, bermain dengan perspektif diri. tulisan sememangnya menggambarkan penulis. tapi, benarkah secara penuhnya? ada tulisan ditulis semasa penat, ada tulisan ditulis semasa marah, ada tulisan ditulis semasa insaf, oleh orang yang sama, samakah kesemuanya?
lagi satu, pesan saya pada sesiapa pun, cuba berlatih mencari perspektif yang baik. perkara ini membantu saya menjadi seorang jurugambar yang lebih baik, tahu? kerana saya bosan, dengan sikap sesetengah kita. mentang-mentang sangat matang, sampai tidak ada sense of humor. mentang-mentang sangat matang, semua perkara mahu skema saja. ini hanya pesanan. bukan saya mengeji mereka. malah meraikan warna-warni dunia. bukan apa, kalau ditulisnya merapu sekali pun, kalau kita mahu mencari pengajaran dan ingin belajar, perkara yang baik juga kita perolehi. malah, lebih baik dari pendengar ceramah 7-8 jam, tapi, mendengar sambil berdengkur!