Siri 3: Surat Rilke
oleh Rainer Maria Rilke
30 Januari, 2009 | kategori Esei | komen [0] | CetakBuat sementara di Worpswede berhampiran Bremen,
16hb Julai 1903
Kira-kira sepuluh hari yang lalu saya meninggalkan Paris, dengan rasa tertekan dan letih, seraya kemudian mengembara ke tanah datar di utara ini, yang saujana luasnya juga kesunyian dan langitnya diharapkan dapat memulihkanku. Namun kembaraku itu dalam hujan yang berterusan, baru hari ini ia mula reda atas desa yang bertiup gelisah; dan saya mengambil kesempatan saat cerah yang pertama ini untuk menyampaikan salam kepadamu, Tuan yang baik.
Tuan Kappus yang baik: telah lama saya biarkan satu daripada warkahmu tanpa balasan, bukan kerana saya terlupa – sebaliknya: ia adalah sepucuk surat yang seseorang akan membacanya semula kalau terjumpa di antara surat-surat yang lain, dan dalamnya saya mengenalimu seolah anda berdekatan. Ia adalah warkahmu dari 2hb Mei, anda pasti ingat padanya. Apabila saya membacanya, seperti sekarang, dalam kesunyian luas saujana ini, kekhuatiranmu yang indah terhadap kehidupan amat menyentuh saya, lebih daripada yang telah saya rasa ketika berada di Paris, di mana semua berbunyi dan bergema lain akibat keriuhan yang berlebihan, yang menyebabkan benda-benda bergementar. Di sini, di mana saya dikelilingi oleh alam yang terbentang luas,di mana angin berpuputan dari laut, saya rasa bahawa tiada sesiapa yang dapat menjawab soalan dan perasaan yang mempunyai nyawa sendiri di batinmu; insan yang paling baik hati pun akan gagal apabila cuba menjelaskan perkara yang halus dan hampir tidak dapat diperkatakan. Bagaimanapun, saya percaya bahawa anda tidak semestinya tinggal tanpa penyelesaian, kalau anda menghayati benda-benda yang menyucikan mata saya pada masa ini. Apabila anda menghayati alam semulajadi, apa yang paling bersahaja dalamnya, yang kecil, yang hampir tidak ternampak oleh sesiapa dan yang boleh tiba-tiba menjadi besar dan tidak dapat diukur; apabila anda menyukai apa yang kecil dan, seperti seorang pelayan, cuba memperoleh keyakinan segala yang kelihatan miskin: semua akan menjadi lebih senang bagimu, lebih jelas dan juga lebih selaras, mungkin bukan dari segi pemahamanmu, yang mengundur kerana tertakjub, tetapi dari segi kesedaranmu, pertumbuhanmu dan pengetahuanmu yang paling tersembunyi. Anda begitu muda, menghadapi segala permulaan, dan saya ingin mendesakmu, Tuan yang baik, supaya sabar terhadap semua yang belum diselesaikan dalam hatimu dan cuba menyayangi soalan itu sendiri seakan ia kamar yang terkunci dan buku yang tertulis dalam bahasa yang sangat asing. Jangan menyelidik mencari jawapan yang tidak dapat diberikan kepadamu pada masa ini, kerana anda tidak dapat hidupnya. Matlamatnya adalah untuk hidup segala. Sekarang, hiduplah soalan-soalan itu. Barangkali suatu hari nanti anda, tanpa menyedarinya, akan hidup di dalam jawapannya. Barangkali anda membawa dalam dirimu kemungkinan untuk mereka dan membentuk sebagai suatu cara hidup yang dirahmati dan murni; berlatih dengan matlamat tersebut, – tetapi terimalah apa yang muncul dengan keyakinan yang sungguh, dan kalau ia muncul dari semangatmu, dari sebarang keperluan batinmu, terimalah tugasnya dan jangan bersikap benci terhadap apa-apa. Seks sememangnya sulit; ya. Tetapi tugas-tugas yang diamanahkan kepada kita memang susah, hampir segala yang serius adalah sukar. Kalau anda mengenali ini dan berusaha menjalin, dari dirimu, dari kebolehan dan pembawaanmu, dari pengalaman dan zaman kanak-kanak dan kekuatanmu, suatu hubungan terhadap seks yang tersendiri (tidak dipengaruhi kebiasaan dan adat), maka anda tidak harus berasa takut bahawa anda akan hilang milikmu yang istimewa lalu menurunkan nilainya.
Nafsu jasmani merupakan suatu pengalaman deria, tidak berbeza dari penglihatan atau perasaan murni yang terangsang apabila sebiji buah yang enak melamun lidah; ia adalah suatu pengalaman luas, tidak terbatas, yang diberikan kepada kita, suatu ilmu mengenai dunia, keranuman dan gemerlapan segala ilmu. Dan yang buruk bukan kita menerimanya; yang buruk adalah hampir semua menyalahgunakan dan membazir pengalaman ini, lalu meletakkannya sebagai perangsang pada tempat-tempat lesu kehidupannya, sebagai godaan dan bukan sebagai pengumpulan diri untuk saat tertinggi mereka. Manusia telah juga mengubah perlakuan makan menjadi sesuatu yang lain: kekurangan di satu sebelah, keterlampauan di sebelah lain, telah mengaburkan kejernihan keperluan ini, dan semua keperluan asas yang bermakna, di mana kehidupan memperbaharui diri, telah pun dikaburkan sedemikian. Namun individu dapat menjernihkannya buat diri sendiri lalu hidupnya dengan jernih (bukan individu yang bergantung kepada orang lain, tetapi insan yang bersendirian). Dia ingat bahawa segenap keindahan haiwan dan tumbuhan merupakan suatu bentuk kasih dan keinginan yang berkekalan, dan dia melihat haiwan serta tumbuhan, sabar dan rela menyatukan diri lalu mempergandakan diri dan tumbuh bukan didesak nafsu jasmani, bukan didesak kesakitan jasmani, tetapi menundukkan diri kepada keperluan yang lebih hebat dari kenikmatan dan kesakitan, lebih berkuasa dari kemahuan dan ketahanan. Oh, kalaulah manusia dapat lebih merendah diri menerima rahsia ini, yang melimpahi bumi hingga benda-benda yang terhalus, lebih bersungguh mendukungnya, tahan dan rasai keberatannya, tidak sebaliknya menganggapnya sebagai perkara main-main. Kalaulah dia bersikap takzim terhadap kesuburannya, yang sebenarnya satu tak kira rohaniah atau jasmaniah rupanya; kerana pengkaryaan rohaniah juga berasal dari jasmaniah, ia serumpun dengannya dan seolah suatu ulangan asmara jasmani yang lebih lembut, ghairah dan berkekalan. ‘Keinginan menjadi pengkarya, untuk mencipta, untuk membentuk’ tidak bermakna tanpa pengiktirafan dan perlaksanaannya secara besar dan berlanjutan di dunia, tanpa kesetujuan beribu ganda daripada benda dan satwa, – kerana itu kenikmatannya begitu indah dan kaya tak terhingga, kerana ia penuh dengan kenangan yang telah diwarisi dari ciptaan dan kelahiran berjuta-juta makhluk. Dalam satu fikiran pengkaryaan, ribuan malam asmara yang telah dilupai hidup semula dan memenuhinya dengan keagungan dan kemuliaan. Dan mereka yang bersetubuh pada waktu malam, terpintal dalam keghairahan berayun, melaksanakan suatu kerja yang berat dan mengumpul kemanisan, kedalaman dan kekuatan untuk nyanyian seseorang penyair masa depan yang akan menjelma demi menyebutkan keseronokan yang tidak dapat diperkatakan. Mereka mengimbau masa depan; dan kalau mereka tersilap pun, dan saling memeluk secara buta, masa depan pasti tiba, seorang manusia baru muncul, dan pada tanah kejadian yang tak sengaja ini, yang rupanya tercapai, bermulalah hukum di mana benih mani yang teguh dan kuat mengalir deras ke sel telur yang terbuka terhadapnya. Jangan diperdayakan oleh permukaan; di ruang dalaman, segala menjadi hukum. Dan mereka (ramai sekali) yang salah dan tidak elok mengalaminya hilangnya buat dirinya sahaja dan turut memperturunkannya seakan sepucuk warkah rahsia, tanpa menyedarinya. Dan jangan berasa bingung terhadap kepelbagaian nama dan kerumitan setiap kehidupan. Barangkali wujud, melampaui segala, suatu keibuan yang agung, sebagai keinginan bersama. Kecantikan si perawan, makhluk yang ‘belum lagi mencapai apa-apa’ (ikut katamu yang indah), merupakan keibuan yang mula sedar diri dan bersedia, berasa gelisah dan mengidam. Dan kecantikan seorang ibu adalah keibuan yang berkhidmat, dan pada seorang perempuan juga ada kenangan yang mendalam. Dan saya percaya bahawa keibuan juga wujud dalam kaum lelaki, jasmaniah dan rohaniah; pembiakannya juga merupakan suatu cara kelahiran, dan ia memang kelahiran apabila dia mencipta dari kesaratan yang paling dalam. Dan barangkali jantina lebih mirip daripada yang dijangka, dan pembaharuan dunia yang hebat barangkali terdiri daripada lelaki dan perempuan, bebas dari segala perasaan silap dan lemah semangat, saling mencari-cari bukan sebagai lawan tetapi sebagai saudara dan jiran lalu bersetubuh sebagai manusia, demi mendukung bersama, bersungguh dan sabar, persenggamaan berat yang telah ditugaskan mereka.
Namun, segala yang mungkin dapat dicapai oleh ramai insan suatu hari nanti, seseorang yang sunyi sudah dapat bersedia dan membentuk dengan tangannya, yang jarang tersilap. Oleh itu, Tuan yang baik, sayangilah kesunyian anda dan dukunglah kesakitannya yang menimpamu dengan ratapan bernada merdu. Kerana mereka yang berdekatan denganmu rupanya jauh, anda kata, dan itu menunjukkan bahawa keluasan mula mengelilingimu. Dan apabila apa yang dekat denganmu adalah jauh, maka jalanmu adalah di bawah bintang dan amat besar; nikmatilah pertumbuhan anda, anda tidak dapat membawa sesiapa pun bersama ke dalamnya, dan berbaik-hatilah terhadap mereka yang ditinggalkan, berhati teguh dan tenang di depan mereka dan jangan membingungkan mereka dengan keraguanmu dan jangan menakutkan mereka dengan keyakinanmu atau kegiranganmu yang mereka tidak dapat mengerti. Carilah suatu persamaan mudah dan ikhlas yang tidak semestinya berubah apabila dirimu berubah-ubah; sayangilah pada mereka kehidupan dalam bentuk asing, dan bertimbang rasalah terhadap orang tua-tua yang takut pada kesunyian yang anda percayai. Elakkan diri daripada menyalakan sandiwara yang sering tegang antara ibu bapa dan anak; ia menggunakan banyak tenaga Si Anak dan membazirkan kasih sayang ibu bapanya, yang tetap bertindak dan menghangatkan, walaupun mereka tidak mengerti. Jangan minta nasihat daripada mereka dan jangan harap pemahaman mereka; namun, yakinlah pada suatu kasih sayang yang disimpan untukmu bagaikan warisan dan percayalah bahawa, dalam kasih sayang ini, wujud suatu kekuatan dan suatu rahmat yang amat agung, sehingga anda tidak perlu keluar darinya untuk kembara jauh!
Bagus, anda bermula suatu pekerjaan yang akan menjadikanmu bebas dan bergantung pada diri sendiri dari semua segi. Tunggu dengan sabar untuk memastikan sama ada kehidupan batinmu terasa terbelenggu akibat bentuk pekerjaan ini. Saya berpendapat bahawa pekerjaan ini sangat sukar dan memerlukan kemahiran tinggi kerana ia dibebani adat-adat yang berat serta tidak memberi ruang untuk pentafsiran peribadi terhadap tugas-tugasnya. Namun, kesunyiaanmu akan menjadi sokongan dan kediaman dalam suasana asing, dan anda akan menemui segala jalanmu darinya. Segala niat baik saya menemanimu dan keyakinan saya bersamamu.
Yang ikhlas,
Rainer Maria Rilke
————————-
Pauline Fan ialah seorang penterjemah. Antara karya terjemahannya dari Bahasa Jerman ke dalam Bahasa Melayu termasuk Liebesgedichte oleh Bertolt Brecht (Dendang Cinta, Kala Translation Series, 2006) dan Was ist Aufklärung? oleh Immanuel Kant (Apa itu Pencerahan?, Institut Kajian Dasar, 2006). Dia telah juga memperalihkan hasil tulisan seniman Malaysia, Ismail Zain ke dalam Bahasa Inggeris untuk Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics (Balai Seni Lukis Negara, 2007). Sejak 2002, dia berkhidmat dengan pertubuhan warisan budaya PUSAKA.
Kiriman Berkaitan
- Siri 2: Surat Kedua dan Ketiga Rainer Maria Rilke admin
- Surat Terbuka Buat Noynoy F. Sionel Jose
- Kamar Gelap Efek Rumah Kaca admin
- Tahun Kosong Amin Ahmad
- Diri Goenawan Mohamad
- Ulasan Siri Drama The Wire Murad Ata