Surat kepada Seorang Penyair Muda

oleh
11 Disember, 2008 | kategori Esei | komen [4] | Cetak

Terjemahan Pauline Fan

Pendahuluan

Pada penghujung musim luruh tahun 1902 – di taman Akademi Tentera di bandar baru Vienna, saya duduk di bawah teduh pohon berangan sambil membaca sebuah buku. Begitu saya menumpukan perhatian pada naskah tersebut sehingga tidak perasan bahawa Horaček, paderi Akademi yang berilmu dan baik hati itu–beliau merupakan satu-satunya ‘bukan pegawai’ antara professor kami–menghampiri saya. Beliau mengambil buku itu dari tangan saya, mengamati kulitnya lalu menggeleng kepala. “Sajak-sajak Rainer Maria Rilke?” tanya beliau, termenung. Beliau menyelak-nyelak halaman, melihat sepintas lalu beberapa puisi, memandang ke saujana sambil merenung dan akhirnya mengangguk kepala. “Maka anak murid saya, René Rilke telah menjadi seorang penyair.”

Dan kemudiannya saya pun mendapat tahu tentang seorang budak yang kurus dan pucat, yang lebih daripada lima belas tahun dahulu telah dihantar ibu bapanya ke Sekolah Menengah-Rendah Tentera di St. Pölten agar menjadi seorang pegawai tentera. Pada masa itu Horaček berkhidmat sebagai paderi pertubuhan tersebut dan beliau masih mengingati anak murid itu dengan jelas. Beliau menggambarkannya sebagai seorang pemuda yang pendiam, serius, dan berbakat besar yang sering asyik mengasingkan diri, tetap sabar menahan kecoh kehidupan asrama dan, selepas empat tahun, telah dipindahkan bersama yang lain ke Sekolah Menengah-Tinggi Tentera yang terletak di Mährisch-Weißkirchen. Di sana diketahui bahawa kesihatannya tidak cukup baik, maka ibu bapanya membawanya keluar dari sekolah itu dan membenarkannya mendapatkan pelajaran di rumah mereka di Prague. Bagaimana jalan hidupnya kemudian terbentuk, tidak dapat diceritakan oleh Horaček.

Selepas pengalaman tersebut, tidak menghairankan bahawa saya telah memutuskan untuk menghantar sajak-sajak percubaan saya kepada Rainer Maria Rilke dan meminta penilaiannya. Usia saya belum lagi melepasi dua-puluh tahun pada masa itu dan saya sedang bersiap memasuki suatu pekerjaan yang saya rasa bercanggah dengan kecenderungan saya. Saya berharap agar diberi rangsangan dan pemahaman dari seseorang, dan seseorang itu adalah penyair buku Mir zur Feier [Meraikan Diriku]. Tanpa dirancang, saya mendapati diri saya menulis sepucuk surat bersama lampiran sajak-sajak saya. Di dalam surat-surat itu saya mendedahkan diri saya seluasnya; tidak pernah saya berbuat demikian sebelum dan selepas saat itu kepada sesiapa pun.

Minggu-minggu berlalu sehingga tibanya balasan. Surat yang bercap biru itu membawa setem dari Paris, ia memberat dalam tangan saya dan sampulnya menunjukkan tulisan yang jelas, indah dan pasti, yang membentuk teks dari baris pertama hingga terakhir. Dengan itu, maka bermula hubungan surat-menyurat saya dengan Rainer Maria Rilke yang kekal sehingga 1908 dan kemudian beransur-ansur berkurangan kerana kehidupan telah membawa saya ke daerah-daerah di mana keprihatinan Sang Penyair yang mesra, halus dan menyentuh itu ingin melindungi diri saya daripadanya.

Tetapi itu tidak penting. Yang penting hanyalah sepuluh pucuk surat yang berikut, penting demi untuk memahami dunia di mana Rainer Maria Rilke telah hidup dan berkarya, penting juga bagi ramai insan yang tumbuh dan menjelma, hari ini dan masa depan. Dan tatkala insan agung dan unik berbicara, mereka yang kerdil perlu berdiam diri.
Berlin, Jun 1929

Franz Xaver Kappus

Surat Pertama

Paris, 17hb Februari 1903

Tuan yang terhormat,

Surat anda sampai ke tangan saya beberapa hari yang lalu. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas keyakinan anda yang besar dan mesra terhadap saya. Tidak dapat saya lakukan lebih dari kemampuan. Saya tak dapat mempertimbangkan gaya pengkaryaan sajak-sajak anda, kerana setiap tujuan yang bersifat kritikan amat janggal bagi saya. Kata-kata kritikan kurang sekali mempengaruhi sesebuah karya seni: yang seringkali terjadi lebih atau kurang adalah kesalahfahaman. Tidak semua perkara dapat digenggam dan diperkatakan seperti mana yang ramai orang biasanya ingin kita percaya; kebanyakan kejadian tidak dapat diungkapkan, ia wujud dalam suatu ruang yang tidak pernah ditembus sepatah kata pun, dan yang lebih sukar untuk diungkapkan adalah karya seni, yang merupakan kewujudan misteri yang tetap kekal di sisi kehidupan kita yang berlalu.

Kalau saya dapat menyebut satu perkara terlebih dahulu, ingin saya katakan kepada anda bahawa puisi anda tidak mempunyai sifat yang tersendiri, namun puisi-puisi itu mempunyai bayangan keperibadian yang diam dan tersembunyi. Saya jelas sekali merasainya dalam sajak terakhir ‘Jiwaku’. Di sana, sesuatu yang tersendiri ingin menjelma sebagai kata dan nada. Dan dalam sajak merdu ‘Kepada Leopardi’, barangkali suatu jenis perhubungan dengan penyair yang agung dan sunyi itu sedang muncul. Namun demikian, sajak-sajak ini belum lagi mempunyai nyawa sendiri, tidak wujud bebas, yang terakhir dan yang kepada Leopardi itu juga tidak. Surat anda yang baik, yang telah menemani puisi anda, berjaya menjelaskan beberapa kelemahan kepada saya, yang dapat saya rasa semasa membaca tetapi belum lagi dapat menentukan dan menamakannya.

Anda bertanya, sama ada puisi anda bagus. Anda bertanya saya. Anda juga telah bertanya kepada orang lain. Anda telah menghantarnya kepada majalah-majalah. Anda telah membandingkannya dengan puisi lain dan berasa khuatir apabila editor tertentu menolak percubaan anda. Saya minta (oleh kerana anda telah memohon saya menasihati anda) agar anda berhenti berbuat demikian. Anda memandang ke luar dan itulah yang tidak harus anda lakukan pada masa ini. Tiada sesiapapun yang dapat membantu dan menasihati anda, tiada sesiapapun. Terdapat satu kaedah sahaja. Masuk ke dalam dirimu. Jelajahi ranah yang anda gelar penulisan; kajinya, sama ada ia menghulurkan akarnya ke ruang terlindung batinmu, akui kepada dirimu sama ada anda pasti mati kalau tidak dapat menulis lagi. Yang mustahak sekali: tanya dirimu pada saat tersunyi malammu: mestikah aku menulis? Carilah dalam dirimu satu jawapan yang mendalam. Dan sekiranya anda menyatakan kesetujuanmu, sekiranya anda dapat membalas soalan yang berat ini dengan “Aku mesti” yang kuat dan terus-terang, binalah kehidupanmu mengikut keperluan ini; kehidupanmu sampai saat yang terkecil dan yang paling diabaikan harus menjadi tanda dan bukti hasrat ini. Kemudian, dekatilah alam ini. Dan cuba nyatakan, seolah-olah anda manusia pertama, apa yang anda lihat dan alami, apa yang anda sayang dan hilang. Jangan tulis puisi cinta; elakkan diri daripada bentuk-bentuk yang terlampau umum dan lazim: ia merupakan suatu yang paling sukar kerana suatu kekuatan yang hebat dan luar biasa diperlukan untuk menyampaikan sesuatu yang peribadi di antara cukup banyak tradisi yang baik dan, kadangkala, gemilang. Oleh itu, elakkan dirimu dari motif-motif umum, untukmu adalah apa yang ditawarkan oleh kehidupan seharianmu sendiri; gambarkan kepiluan dan keinginanmu, fikiranmu yang berlalu serta kepercayaanmu kepada suatu keindahan – gambarkan segalanyanya dengan ketulusan batin yang diam dan rendah diri, dan demi menyampaikannya, gunakan bahan-bahan di persekitaranmu, imajan dari mimpimu serta tema-tema dari kenanganmu. Kalau anda kira kehidupan seharianmu kurang kaya, jangan salahkannya; salahkan dirimu sendiri, kata kepada dirimu bahawa anda tidak cukup bersifat penyair untuk mengimbau kekayaan hidup ini; kerana bagi Sang Pengkarya tidak wujud kemiskinan, tidak ada tempat yang miskin dan menjemukan. Dan sekiranya anda berada di dalam sebuah penjara pun, kalau dindingnya menghindarkan segala bunyi dunia dari sampai ke deriamu – tidakkah anda masih mempunyai zaman kanak-kanakmu, harta yang tidak ternilai, khazanah kenangan itu? Putarkan perhatianmu ke sana. Cuba imbas kembali perasaan terpendam masa lampau itu; keperibadianmu akan menjelma, kesunyianmu akan meluas dan menjadi sebuah kediaman yang kelam, yang dilalui dari jauh oleh keriuhan orang lain. – Dan apabila puisi datang dari putaran ke dalam diri ini, dari benaman ke dalam duniamu sendiri, anda tidak akan terfikir untuk bertanya sesiapa pun, sama ada puisi itu bagus. Anda juga tidak akan cuba menarik minat majalah-majalah terhadap karya-karya ini: kerana anda akan menghayati kepunyaanmu, bahagian dan suara kehidupanmu yang alamiah dan disayangi itu. Sebuah karya seni adalah baik jika ia muncul dari keperluan. Dalam sifat keberasalannya terkandung penilaian itu sendiri: tiada yang lain. Oleh itu, Tuan yang terhormat, saya tidak ada nasihat untuk anda selain ini: masuk ke dalam dirimu dan layari ruang dalaman, tempat asal hayatmu; di ombaknya anda akan mendapat jawapan kepada soalan, sama ada anda harus berkarya atau tidak. Terimalah ia begitu sahaja, tanpa menafsirnya. Barangkali ia menyatakan bahawa ada panggilan jiwa untuk anda menjadi seniman. Kemudian terimalah takdir itu dan dukungnya, tanggunglah beban dan keagungannya, tanpa meminta balasan yang mungkin dianugerahkan dari dunia luar. Kerana Sang Pengkarya mesti menjadi sebuah dunia bagi dirinya, harus mencari apa yang ada dalam dirinya dan alam yang telah beliau jalinkan hubungan.

Namun, setelah mengembara ke dalam diri dan kesendirianmu, kamu mungkin juga harus melepaskan azam menjadi penyair (sekiranya kamu berasa bahawa kamu boleh hidup tanpa menulis, kamu tidak harus menulis sama sekali). Tetapi proses melihat ke dalam diri yang saya cadangkan itu juga tidak sia-sia. Kehidupanmu pasti akan menemui beberapa jalan selepasnya, dan saya berharap agar ia baik, kaya dan luas, lebih daripada yang dapat saya ucapkan.

Apa lagi yang harus saya katakan padamu? Saya kira semuanya telah diberi penegasan yang berpatutan; dan akhirnya ingin saya menasihatimu agar meneruskan perkembangan dirimu dengan diam dan bersungguh-sungguh; anda akan mengganggunya jika memandang ke luar dan menantikan jawapan dari luar kepada soalan yang hanya dapat dijawab oleh perasaan batinmu dalam saatmu yang paling sunyi.

Saya amat gembira kerana menemukan nama Tuan Professor Horaček dalam tulisanmu; terhadap sarjana yang tersayang ini saya menyimpan kehormatan yang luas dan kesyukuran yang telah kekal bertahun-tahun. Tolong sampaikan salam serta kenangan saya ini kepadanya; beliau begitu baik hati sehingga masih mengingatiku, dan saya amat menghargainya.

Sajak-sajak yang telah anda amanahkan kepada saya, saya hantar kembali kepadamu. Dan saya mengucapkan terima kasih sekali lagi atas kebesaran dan kehangatan rasa yakinmu dan, melalui balasan yang tulus dan berniat baik ini, saya, sebagai orang asing, cuba menjadikan diri layak untuk menerimanya.

Dengan segala bakti dan keprihatinan:

Rainer Maria Rilke

Pauline Fan ialah seorang penterjemah. Antara karya terjemahannya dari Bahasa Jerman ke dalam Bahasa Melayu termasuk Liebesgedichte oleh Bertolt Brecht (Dendang Cinta, Kala Translation Series, 2006) dan Was ist Aufklärung? oleh Immanuel Kant (Apa itu Pencerahan?, Institut Kajian Dasar, 2006). Dia telah juga memperalihkan hasil tulisan seniman Malaysia, Ismail Zain ke dalam Bahasa Inggeris untuk Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics (Balai Seni Lukis Negara, 2007). Sejak 2002, dia berkhidmat dengan pertubuhan warisan budaya PUSAKA.


Kiriman Berkaitan

Tags: Pauline Fan, Penyair, Surat Rainer Maria Rilke
 
 

4 komen-komen
Tinggalkan komen »

  1. Hmmm, quite deep, this. Too bad there’s no English translation, but I figured out most of the gist of it after skimming it a few times.

    A Poet’s Soul? Probably also a Writer’s Soul. The stuff that makes really good material. I think I need to re-obtain that little detail.

    Cheerio.

  2. Surat pertama ini sudah menjadi sebuah karya. Syarahan lengkap bagi pemuda-pemuda yang ingin berkarya dan menjadi-nya.

  3. SaviorV,

    Of course you can find the English translation of Rilke’s letters. It famously known as Letters to a Young Poet.

  4. [...] Siri Pertama: Surat-surat untuk Seorang Penyair Muda [...]

Tinggalkan Komen