Dari Auschwitz ke Palestina
oleh admin
11 Oktober, 2008 | kategori Esei | komen [0] | CetakTim McGirk
Peguam Arab warga Israel, Khaled Kasab Mahameed kini menjalankan satu misi besar. Dia datang ke Tebing Barat untuk mendidik warga Palestin tentang Holocaust.
Ramai warga Palestin yang tidak pernah mendengar bahawa Nazi membunuh enam juta orang Yahudi semasa Perang Dunia Kedua – ia langsung tidak disentuh dalam buku sejarah di sekolah. Ramai juga yang bersetuju dengan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad bahawa Holocaust tidak pernah berlaku. Orang Yahudi, menurut pandangan ini, adalah musuh mereka dalam peperangan memenangi Tanah Suci dan mereka tidak boleh bersimpati dengan musuh. Mahameed berpendapat pandangan ini adalah salah. Kunci kejayaan orang Palestin bagi mencapai matlamat mereka, katanya adalah dengan memahami Holocaust.
Bagaimanapun di Edna, Tebing Barat, Mahameed berhadapan dengan khalayak yang sukar. Dinding-dindingnya dipenuhi dengan poster warga Palestin yang terbunuh semasa berlawan dengan warga Israel dan sekurang-kurangnya tiga daripada tujuh lelaki pertengahan umur yang duduk menghirup teh pernah menjalani hukuman di penjara Israel. Dua kali dalam tempoh beberapa tahun, jentolak telah datang dari tempat pemeriksaan Isral untuk memusnahkan rumah dua tingkat dan ladang anggur milik ahli geologi, Taleb al-Harithi. Dengan menggunakan arahan mahkamah Israel, beliau berjaya menghalang pemusnahan itu, tetapi bimbang ia akan kembali.
Mahameed memberikan gambar orang Yahudi di kem tahanan maut, yang dikelilingi mayat bogel. Bilik yang penuh dengan warga Palestin itu menjadi senyap sunyi. “Lelaki itu, yang terselamat, datang ke Israel. Bolehkah kamu bayangkan mimpi ngeri, ketakutan yang dibawa bersamanya? Ia satu penderitaan yang tidak dapat difahami sesiapa, termasuk kita orang Palestin,” katanya dengan nada suara perlahan. Gambar itu diberikan kepada semua di dalam bilik dengan suasana senyap sunyi. Akhirnya, seorang jeneral bersara Palestin, Abdul Latah Solimia, yang pernah ditahan di penjara Israel di Lubnan berkata: “Saya tahu harga peperangan dan kebencian. Selama 60 tahun, kita cuba untuk saling berbunuhan dan tiada siapa yang menang. Warga Israel dan Palestin patut berkongsi tanah ini.”
Kesedaran Mahameed tentang Holocaust bermula tiga tahun lalu, apabila beliau membawa dua orang anaknya untuk melihat dinding konkrit setinggi 20 kaki yang didirikan Israel di sekitar Jerusalem untuk menghalang kemasukan orang Palestin. Ia sangat tinggi sehingga seolah-olah membelang langit. “Saya menyuruh anak saya supaya memecahkah secebis dinding itu untuk kenang-kenangan. Sangat sukar dan semasa dia mencuba, saya terfikir, apa yang menyebabkan orang Israel berbuat begini?” Dia kemudian membawa anak-anaknya ke muzium Holocaust Yad Vashem. “Ia sangat mengharukan, saya tidak dapat bernafas,” kenangnya.
Bejalan-jalan di muzium itu, Mahameed terfikir bahawa orang Palestin kini menjadi mangsa seperti yang dialami orang Yahudi semasa Holocaust. Gambar-gambar jenayah yang dilakukan terhadap Yahudi Eropah juga membuatkannya memahami sokongan masyarakat antarabangsa terhadap Israel. “Jika seorang kanak-kanak Israel mati akibat serangan roket Gaza, orang Israel boleh mengambil gambar kanak-kanak itu ke Amerika dan mengingatkan Bush tentang 1.5 juta kanak-kanak Yahudi yang mati di kem tahanan dan Bush akan memberikan Israel lebih banyak wang dan senjata untuk digunakan terhadap kami,” katanya.
Dengan menggunakan gambar yang diberikan Yad Vashem dan imej daripada Nakba – bencana – istilah yang digunakan oleh orang Palestin untuk peristiwa kemerdekaan Israel, yang menyebabkan ribuan warga Palestin menjadi pelarian, peguam itu membuka sebuah muzium di kampungya di Nazareth, yang dipanggil Institut Arab untuk Penyelidkan Holocaust dan Pendidikan. Setiap minggu beliau pergi ke bandar-bandar, kampung dan kem pelarian di Tebing Barat untuk menyedarkan warga Palestin. Kata Mahameed, “Walaupun kepada militan, apabila saya menerangkan dasar ganas Israel di wilayah Palestin berakar daripada Holocaust, mereka memberitahu saya, kamu membawa bom atom. Kami perlu memikirkan tentangnya.”
Kadang-kala, mesejnya dibalas dengan kemarahan – walaupun di kalangan keluarganya. Mahameed telah tidak diendahkan adik-beradiknya, yang mengatakan minatnya dengan Holocaust sama seperti bersimpati dengan Israel. Minggu lalu, salah satu ceramahnya di kem pelarian telah dibatalkan apabila kumpulan militan menyebarkan khabar angin bahawa beliau dibayar oleh Israel. Di pihak Israel terdapat salah faham juga. Hanya Januari lalu Yad Vashem memuatkan laman bahasa Arab tentang Holocaust dan apabila ditanya tentang aktiviti Mahameed, salah seorang pekerja menjawab: “Kami meragui agendanya.” Kata Mahameed: “Mereka tidak mahu kami warga Palestin bersimpati dengan mereka. Mereka hanya mahu menunjukkan betapa gagahnya mereka.”
Mahameed sangat mempercayai ajaran Mahatma Gandhi bahawa kebenaran membawa kepada keamanan dan beliau menggunakan ketinggian moral Israel dalam hal Holocaust sebagai cara untuk memalukan penjajah Israel di Tebing Barat. “Jika orang Israel percaya bahawa Holocaust mewajarkan diskriminasi, mereka tersilap.” Beliau merentasi pemeriksaan tentera dengan kad pengenalannya dan gambar daripada Auschwitz. Mulanya, beliau dipandang dengan penuh syak. “Saya memberitahu askar-askar itu, gambar ini mungkin datuk mereka dan saya memahami bahawa mereka adalah mangsa yang unik. Tetapi paradoksnya adalah, kami orang Palestin memikul beban Holocaust di bahu kami juga.”
Kiriman Berkaitan
- Menjawab Fitnah terhadap Israel admin
- Musuh yang Biasa Dikenal Joharah Baker
- Cinta Corrie Amin Ahmad
- Membawa Resolusi Konflik ke Pentas admin
- Langkah Demi langkah admin
- Dilema Baru Judaisme, dan Kejahilan Sekularis admin