Masa Depan Hubungan Muslim-Amerika

oleh
10 September, 2008 | kategori Esei | komen [0] | Cetak

Iason Athanasiadis

Satu kursus tentang al-Qaeda dan kebangkitan keganasan antarabangsa merupakan antara yang paling popular pada penggal lalu di Kennedy School of Government di Harvard. Pelajar antarabangsa yang memenuhi auditorium terbesar pusat itu dua kali seminggu terdiri daripada pelbagai lapisan warga Amerika, Eropah dan Timur Tengah, serta anggota tentera Amerika dan perisikan yang sedang bercuti sabatikal. Menghadiri kelas itu memberikan gambaran pendirian golongan elit Barat dan yang kebaratan dalam peperangan yang panjang.

Pengajar kursus itu adalah Peter Bergen, wartawan yang buat pertama kali menemu bual Osama bin Laden untuk CNN. Bukunya, The Osama Bin Laden I Know, menjadikannya terkenal selepas 911, ketika rakan-rakannya dalam bidang hubungan antarabangsa bekerja keras meninggalkan latar belakang dalam pengajian Soviet untuk bertukar kepada geopolitik Timur Tengah. Bergen menjadi penganalisis keganasan antarabangsa yang mencabar kecenderungan menggabungkan kesemua pengganas dalam satu kumpulan. Sebaliknya beliau mengklasifikasikan mereka mengikut generasi, wilayah dan konflik yang membentuk pandangan intelektual mereka.

Kelas terakhir kursus itu merupakan yang paling berguna: bagaimana pandangan elit Amerika dalam perang terhadap keganasan telah menjadi matang. Daripada ketakutan, salah faham dan kecenderungan untuk berkata “mereka membenci kita kerana kebebasan kita”, terdapat perubahan kini untuk memandang al-Qaeda sebagai kumpulan-kumpulan yang boleh dilemahkan dan dikalahkan dengan memanipulasi pembahagian dalamannya.

Bergen bertanyakan pelajarnya, cadangan mengalahkan al-Qaeda. Reformasi perisikan dan penstrukturan birokrasi mendahului dalam agenda. Sesetengahnya mencadangkan kekurangan penganalisis dalam agensi perisikan boleh diatasi dengan mengambil sebarang petunjuk dan sumbernya dan menjemput penganalisis yang belum mendapat pelepasan keselamatan untuk mengkajinya.

Ada yang berpandangan imigran Arab Amerika patut dilihat sebagai kekuatan dan bukannya liabiliti seperti yang diamalkan dalam program pelepasan keselamatan sekarang. Kareem, seorang pelajar asal Lubnan, mencadangkan jabatan keselamatan dalam negeri menggerakkan jaringan pemberi maklumat daripada masyarakat imigran. Seorang diplomat mencadangkan Pentagon menggunakan perkhidmatan kakitangan Pentagon yang telah bekerja selama lebih 20 tahun, untuk Jabatan Negara dan CIA untuk memberikan nafas baru kepada institusi ini.

Secara umumnya, pelajar Amerika cenderung mencadangkan penyelesaian yang nampak tidak cukup untuk memenangi dunia Muslim. Penjenamaan ‘perang terhadap keganasan’ atau menyusun kembali entiti birokratik dalam Jabatan Pertahanan dan Jabatan Negara dirasakan dapat membaiki keadaan.

Seorang pelajar Amerika mencadangkan kerajaan Amerika mendepani al-Qaeda dengan penafian jenama dengan mengharamkan jurucakap Amerika daripada merujuk kepada organisasi itu dengan namanya. Nafikan hak publisiti, katanya, para pengganas akan mati. Bergen bertanya sama ada pentadbiran Bush patut mengharamkan media tempatan daripada merujuk kepada al-Qaeda. Pelajar itu berang dan mereka yang memenuhi auditorium akhirnya ketawa.

Ramai warga Amerika yang masih enggan menerima hakikat bahawa penjenamaan tidak akan membolehkan dasar Amerika diterima lebih baik di Timur Tengah atau membaiki imej Washington. Namun pemikiran cetek ini juga dapat dilihat di peringkat tertinggi. Dalam satu ucapan November lalu, Setiausaha pertahanan, Robert Gates berasa kagum dengan bagaimana al-Qaeda dapat menyampaikan mesej dengan lebih baik di internet berbanding Amerika.

Mesej anti-Barat dan anti campur tangan al-Qaeda selaras dengan pendengar Arab dan Muslim yang bosan dengan apa yang dilihat sebagi neo-kolonial yang mencampuri urusan rantau mereka. Pandangan-pandangan ini diberikan oleh liputan harian televisyen berkenaan pendudukan yang diketuai Amerika di Iraq dan Afghanistan, sokongan Amerika untuk elit pemerintah dan kekangan terhadap pergerakan politik popular seperti Hizbullah dan Hamas, apabila mereka mendapat sokongan rakyat.

Kembali ke auditorium Bergen, seorang pelajar Eropah memberikan pandangan bahawa hanya perubahan substantif dasar-dasar Washington terhadap rantau itu boleh membuahkan hasil dan membantu usaha Amerika dalam memerangi keganasan. Menghentikan sokongan yang tidak kritikal kepada Israel, cadang pelajar itu mungkin dapat menghapuskan persepsi di dunia Arab bahawa Amerika bukanlah broker yang jujur. Auditorium itu menjadi senyap dengan komen itu.

Adakah generasi baru lepasan Kennedy School dapat menjadi birokrat dan askar yang efektif dalam perang yang panjang ini? Bolehkah mereka memberikan Amerika kesedaran kebudayaan yang sangat diperlukan untuk menghapuskan musuh-musuhnya di medan perang Timur Tengah?

Pakar-pakar keganasan seperti Marc Sageman percaya bahawa al-Qaeda di ambang kekalahan. Lain-lain seperti bekas agen CIA, Michael Scheur mempunyai penjelasan sinikal tentang apa yang digambarkan sebagai perubahan yang mengejutkan. Perisytiharan yang terlalu awal tentang kekalahan al-Qaeda, fikir Scheuer mungkin bertujuan meyakinkan warga Amerika bahawa al-Qaeda dapat dihapuskan, jika dalam masa beberapa bukan, ia menjadi perlu untuk tentera Amerika menyerang Iran. Tidak kira di mana letaknya kebenaran, lepasan Kennedy School 2008 akan terus diingat sebagai generasi yang dibentuk oleh perang yang panjang.

Iason Athanasiadis adalah felow Nieman di Harvard University


Kiriman Berkaitan

 
 

Tinggalkan Komen