Kebangkitan yang Lain (II)

oleh
16 Julai, 2008 | kategori Esei | komen [0] | Cetak

Oleh: Fareed Zakaria

Yang lain-lain memberikan gambaran gelap tentang dunia yang kelam dengan para diktator sedang bangkit. China dan Rusia serta lain-lain kuasa minyak sedang bangkit. Garis persengketaan perlu dilukis, kata mereka. Namun sebelum Perang Dingin baru dimulakan, eloklah perkara ini difikirkan sedalam-dalamnya. Kuasa besar baru hari ini agak baik kalau menurut pandangan sejarah. Pada masa dahulu, apabila negara-negara semakin kaya, mereka mahu menjadi kuasa ketenteraan, mengubah aturan dan membina empayar sendiri dan ruang pengaruh. Bagaimanapun, semenjak kebangkitan Jepun dan Jerman pada tahun 1960an dan 1970an, tidak ada negara yang melakukannya, tetapi memilih untuk menjadi kaya dengan aturan sedia ada. China dan India dengan jelas menuju ke arah ini. Rusia, kuasa besar paling agresif hari ini, tidak melakukan banyak perkara berbanding penindas masa silam. Hakikat bahawa buat kali pertama dalam sejarah, Amerika Syarikat boleh mencabar pengaruh Rusia di Ukraine, sebuah negara, 4,800 batu jauhnya dari Washington yang didominasi Rusia selama 350 tahun menjelaskan lagi keseimbangan kuasa antara Barat dan Rusia.

Bandingkan Rusia dan China sekarang dengan 35 tahun dahulu. Pada masa kedua-duanya, (terutamanya Rusia) merupakan ancaman terhadap kekuasaan, secara aktif berkonspirasi menentang Amerika Syarikat, menguatkan persenjataan gerakan gerila seluruh dunia, membiayai pemberontakan dan perang saudara, menghalang sebarang rancangan Amerika di PBB. Kini mereka lebih berintegrasi dengan ekonomi global dan masyarakat. Mereka duduk dalam zon kelabu, tidak berkawan dan bukan juga musuh Amerika Syarikat dan Barat. Bagaimanapun, berapa besar potensi mereka untuk masalah? Perbelanjaan ketenteraan Rusia adalah kira-kira AS$35 bilion, atau 1/20 perbelanjaan Pentagon. China mempunyai kira-kira 20 peluru berpandu nukear yang boleh sampai ke Amerika Syarikat. Amerika mempunyai 830 peluru berpandu, kebanyakannya dengan pelbagai jenis bom, dan boleh sampai ke China. Siapa yang patut bimbangkan siapa? Autokrasi lain yang sedang bangkit seperti Arab Saudi dan negara-negara Teluk, sangat rapat dengan sekutu Amerika yang berlindung di bawah perlindungan Amerika, membeli senjatanya, melabur dalam syarikatnya dan mengikuti kebanyakan arahannya. Dengan cita-cita Iran yang semakin berkembang di rantau itu, negara-negara ini mungkin menjadi lebih rapat dengan Amerika, kecuali ia diasingkan.

Berita Baik

Pada Julai 2006, saya bercakap dengan seorang anggota kanan kerajaan Israel, beberapa hari selepas perang Israel dengan Hezbollah berakhir. Beliau dengan jujur bimbang tentang keselamatan fizikal negaranya. Roket Hezbollah telah sampai jauh ke dalam Israel. Tindakan balas ketenteraan nampak tidak berkesan: Hezbollah melancarkan sebanyak mungkin roket pada hari terakhir perang seperti mana pada hari pertama. Kemudian saya bertanya tentang ekonomi. Jawapannya mengejutkan. “Kami semua terkejut dengannya. Pasaran saham lebih tinggi pada hari terakhir perang berbanding hari pertama!” Ternyata kerajaan ketakutan, tetapi pasaran tidak.

Atau bayangkan Perang Iraq, yang telah menyebabkan huru-hara yang berterusan dan negara yang hampir tidak berfungsi. Lebih dua juta pelarian telah memenuhi negara-negara jiran. Ini sudah tentu seperti krisis politik yang akan merebak. Tetapi kerana saya telah berjalan di Timur Tengah sejak beberapa tahun lepas, saya terperanjat dengan bagaiamana sedikitnya kesan masalah Iraq terhadap rantau itu. Kemana-mana sahaja anda pergi, orang ramai mengkritik dasar luar Amerika. Tetapi kebanyakan negara-negara Timur Tengah sedang bangkit. Jiran Iraq; Turki, Jordan, dan Arab Saudi sedang menikmati kemakmuran yang tidak dijangka. Negara teluk sedang sibuk mengalami pemodenan ekonomi dan masyarakat. Tidak terdapat bukti kekacauan, ketidakstabilan dan fundamentalisme Islam.

Buat kali pertama, kebanyakan negara sedang mengamalkan ekonomi yang bijak. Fikirkan tentang inflasi. Sejal lebih 20 tahun, inflasi tinggi, satu masalah yang menghantui dunia dari Turki ke Brazil ke Indonesia sudah berakhir, dan dijinakkan oleh kejayaan polisi fiskal dan kewangan. Keputusannya memang jelas dan mengagumkan. Bilangan mereka yang hidup dengan AS$1 sehari sudah merosot daripada 40 peratus pada tahun 1981 kepada 18 peratus pada tahun 2004 dan dijangka jatuh kepada 12 peratus pada tahun 2015. Kemiskinan semakin merosot di negara-negara yang mempunyai 80 peratus populasi dunia. Terdapat kemiskinan sebenar di dunia – paling membimbangkan, di kelompok 50 buah negara dengan satu bilion manusia, namun trend keseluruhan sangat menggalakkan. Ekonomi global telah berkembang dua kali sejak 15 tahun lalu dan kini mendekati AS$54 trilion! Dagangan dunia telah meningkat sebanyak 133 peratus dalam tempoh yang sama. Perkembangan ekonomi global sangat besar, dengan banyak negara terlibat, dan ia telah menjadi kuasa yang mendominasi dalam era hari ini. Peperangan, keganasan, dan kekacauan sivil menyebabkan gangguan sementara tetapi ia diliputi dengan gelombang globalisasi. Hakikat ini mungkin tidak kekal lama, tetapi penting untuk memahami bagaimana rupa dunia dalam beberapa dekad yang lalu.

Sudah tentu, perkembangan global juga bertanggungjawab untuk sesetengah masalah terbesar di dunia hari ini. Ia telah mengeluarkan banyak wang – apa yang dipanggil kecairan – yang bergerak di seluruh dunia. Kombinasi inflasi rendah dan wang tunai yang banyak membawa makna kadar faedah rendah, yang membuatkan ramai orang bertindak bodoh atau menjadi tamak. Jadi kita telah melihat sejak dua dekad lepas beberapa siri buih – di negara Asia Timur, saham teknologi, perumahan, subprima, gadaian dan ekuiti pasaran baru. pertumbuhan juga menjelaskan salah satu peristiwa penting masa kini – peningkatan harga komoditi. Harga minyak AS$100 hanya sebahagian gambarannya. Hampir kesemua komoditi mencatatkan harga tertinggi dalam tempoh 200 tahun. Makanan, yang dalam beberapa dekad lalu, berhadapan dengan bahaya keruntuhan harga, kini mencecah harga menakutkan. Kesemuanya bukan berpunca daripada kemerosotan bekalan. Permintaan yang meningkat di seluruh dunia, yang menyebabkan kenaikan harga.

Kesan terus perkembangan global adalah kemunculan kuasa ekonomi baru. Ia satu kemalangan dalam sejarah, sejak beberapa abad lalu, negara terkaya di dunia mempunyai populasi yang sangat rendah. Denmark mempunyai populasi 5.5 juta, Belanda 16.6 juta. Amerika merupakan yang terbesar dan telah mendominasi dunia perindustrian tinggi. Bagaimanapun, gergasi terbesar – China, India, Brazil – telah tertidur, tidak mampu atau enggan mengikuti dunia dengan ekonomi yang berfungsi. Kini mereka sedang bangkit dan dengan saiz yang besar, mereka bakal meninggalkan jejak yang besar pada masa hadapan. Walaupun orang ramai di negara-negara ini masih kekal miskin, tetapi kekayaan total sangat besar. Atau untuk diletakkan dari satu segi, sebarang angka, tidak kira kecil apabila didarabkan dengan 2.5 bilion menjadi angka yang besar. (2.5 bilion adalah jumlah populasi China dan India).

Ramai yang melihat kebangkitan kuasa baru ini dan membuat kesimpulan bahawa zaman Amerika Syarikat sudah berakhir.

Namun cuba fikirkan semula. Sejak 20 tahun lepas, globalisasi telah menjadi semakin kuat. Amerika telah mendapat banyak faedah daripada trend ini. Ia telah menikmati pertumbuhan yang kukuh, pengangguran rendah dan inflasi, dan menerima ratusan bilion dolar pelaburan. Ini bukan tanda-tanda keruntuhan ekonomi. Syarikat-syarikatnya juga telah memasuki negara-negara baru dan industri dengan kejayaan besar, menggunakan jaringan bekalan global dan teknologi untuk kekal dengan tahap kecekapan tinggi. Eksport Amerika dan pembuatan telah mengukuh dan perkhidmatan telah melambung.

Amerika Syarikat kini berada dalam kedudukan ekonomi paling kompetitif menurut Forum Ekonomi Dunia. Ia kekal dominan dalam kebanyakan industri masa depan seperti nanoteknologi, bioteknologi, dan puluhan bidang kecil teknologi tinggi. Universiti-universitinya merupakan yang terbaik di dunia, lapan daripadanya terletak dalam kumpulan sepuluh terbaik, menurut kedudukan yang dikeluarkan oleh Shanghai Jiao Tong University. Dari segi per kapita juga Amerika Syarikat juga melatih lebih banyak jurutera berbanding gergasi China dan India.

Bagaimanapun, rahsia tersembunyi Amerika adalah kebanyakan juruteranya adalah imigran. Pelajar asing dan imigran membentuk hampir 50 peratus daripada penyelidik sains. Pada tahun 2006 mereka menerima 40 peratus daripada kesemua PhD. Menjelang 2010, 75 peratus ijazah PhD di Amerika akan dianugerahkan kepada pelajar asing. Apabila graduan ini kekal di Amerika, mereka mencipta peluang ekonomi. Separuh daripada syarikat Lembah Silikon mempunyai pengasas imigran atau generasi pertama warga Amerika. Potensi untuk lonjakan produktiviti Amerika bergantung bukan kepada perbelanjaan R&D atau sistem pendidikan, tetapi polisi imigresen.

Ia kekal sebagai masyarakat paling fliksibel dan terbuka di dunia dan mampu menerima orang lain. Berhadapan dengan teknologi baru syarikat asing, atau perkembangan pasaran, ia berjaya menyesuaikan diri. Apabila dinamisme ini dibandingkan dengan negara tertutup dan hirarkikal yang pernah menjadi kuasa besar, dapat dilihat Amerika Syarikat sangat berbeza dan tidak mungkin jatuh perangkap menjadi kaya, gemuk dan malas.

Namun, parokialisme Amerika dapat dilihat jelas dalam dasar luar. Dari segi ekonomi, apabila negara lain berkembang, biasanya hasil bertambah dan kesemua pihak mendapat keuntungan. Namun geopolitik adalah perjuangan untuk pengaruh: apabila negara-negara lain menjadi semakin aktif, mereka akan mencari lebih banyak kebebasan untuk bertindak. Ini bermakna, pengaruh Amerika akan merosot. Bagaimanapun, jika dunia yang dibangunkan mempunyai lebih pusat kuasa, hampir kesemuanya dibentuk dalam aturan, kestabilan dan kemajuan. Daripada memikirkan tentang kepentingan jangka pendek dan kumpulan kepentingan, keutamaan sepatutnya untuk membawa kuasa-kuasa baru ini ke dalam sistem global, untuk mengintegrasikan mereka supaya mereka meluaskan dan mendalami hubungan ekonomi global, politik dan kebudayaan. Jika China, India, Rusia, Brazil semuanya berasakan mereka mempunyai kepentingan dalam aturan global hari ini, akan berkurangan peperangan, kemurungan, panik dan kegagalan. Akan terdapat banyak masalah, krisis dan ketegangan, tetapi ia akan berlaku dalam kestabilan sistematik. Ia memberikan faedah kepada semua, satu situasi menang-menang.

Untuk membawa pihak-pihak lain ke dunia ini, Amerika Syarikat perlu mempunyai komitmen menjadikan sistem itu jelas. Setakat ini, Amerika telah berjaya melakukan kedua-duanya. Ia pembuat undang-undang global tetapi tidak selalunya mematuhi peraturan yang dibuat. Dan melupakan standard yang dibuat oleh pihak lain. Hanya tiga negara di dunia ini yang tidak menggunakan sistem metrik – Liberia, Myanmar dan Amerika Syarikat. Untuk Amerika secara berterusan mendahului dunia, ia perlu menyertainya dahulu.

Warga Amerika – terutamanya kerajaan Amerika – tidak memahami kebanyakitan yang lain. Inilah satu kisah yang paling mengujakan dalam sejarah. Berbilion orang sedang mengeluarkan diri daripada kemiskinan tegar. Dunia akan dikayakan dengan pengeluaran kepenggunaan, ciptaan, pemikir dan lain-lain. Semua ini berlaku kerana idea dan tindakan Amerika. Untuk tempoh 60 tahun, Amerika Syarikat telah menggesa negara-negara untuk membuka pasaran, membebaskan politik dan menerima dagangan dan teknologi. Diplomat Amerika, ahli perniagaan, dan intelektual telah menggesa orang ramai di tempat-tempat yang jauh supaya tidak takut dengan perubahan, untuk menyertai dunia yang bebas dan mempelajari rahsia kejayaan Amerika. Namun sebaik sahaja mereka mula melakukannya, Amerika pula yang hilang kepercayaan terhadap idea itu. Kita bimbang dengan perdagangan, keterbukaan, immigresen dan pelaburan kerana kini bukan warga Amerika yang ke luar negara, tetapi warga asing yang datang. Semasa dunia semakin terbuka, Amerika menutup pintunya.

Beberapa generasi dari sekarang, apabila para sejarahwan menulis tentang hari ini, mereka mungkin akan mengatakan menjelang abad ke-21, Amerika Syarikat telah berjaya dalam misi besarnya – mengglobalisasikan dunia. Namun kita tidak mahu mereka menulis, Amerika pula gagal mengglobalisasikan dirinya.


Kiriman Berkaitan

 
 

Tinggalkan Komen