Obama Ulang Sejarah Al-Gore?
oleh admin
16 Februari, 2008 | kategori Esei | komen [0] | CetakOleh: Adib Zalkapli
Jika pilihan raya presiden tahun 2000 diingati kerana kegagalan calon yang mendapat majoriti undi popular untuk menduduki kerusi itu, apabila Al Gore – yang memperoleh 48.4 peratus undi berbanding George W. Bush, dengan 47.9 peratus – tewas kepada calon Republikan dalam pengundian Dewan Pemilih dengan 266 undi berbanding Bush, 271 undi, di samping isu-isu lain seperti kerumitan pengiraan undi popular; pilihan raya presiden kali ini akan dikenang kerana mungkin yang paling banyak mencatat sejarah tersendiri yang belum disaksikan dalam pilihan raya sebelumnya.
Buat kali pertama, calon salah satu parti utama, Demokrat, sama ada seorang wanita atau lelaki berkulit hitam. Kali ini juga penyandang Naib Presiden tidak menawarkan diri menjadi calon presiden. Juga tidak ada Bush atau Dole yang bersaing mendapatkan pencalonan. Dan jika Senator John McCain, yang setakat ini paling berpeluang besar menjadi calon Republikan, memenangi pilihan raya presiden, beliau akan menjadi orang tertua yang memasuki Rumah Putih – 72 tahun pada Januari 2009. Ronald Reagan, yang mula menduduki kerusi presiden pada 1981 berusia hampir 70 tahun ketika itu.
Fakta-fakta remeh ini sudah tentu menjadi kegilaan media dan pemerhati politik Amerika Syarikat ketika ini, lantas memberikan lebih kemeriahan kepada demam pilihan raya tahun ini.
Persaingan Sengit
Berbanding Republikan yang semakin hampir mempunyai calon presiden, selepas majoriti negeri di Amerika Syarikat menjalankan pemilihan calon presiden, Demokrat, masih belum dapat menonjolkan pendahulu persaingan pencalonannya.
Sebahagian daripada punca masalah ini, selain daripada kedua-dua calon mempunyai kekuatan tersendiri adalah kerumitan proses pemilihan perwakilan ke Konvensyen Demokratik Kebangsaan yang akan memilih calon presiden parti itu. Berbanding Republikan yang memberikan kesemua perwakilan di kebanyakan negeri kepada calon yang menang, Demokrat menggunakan sistem berkadaran, mengikut daerah-daerah Kongres. Kemenangan yang tipis di mana-mana negeri menghasilkan perbezaan perwakilan yang tidak signifikan. Untuk mendapat pencalonan Demokrat, sokongan 2,025 perwakilan diperlukan.
Kerumitan ini bukan sahaja menyusahkan para pemerhati, malah media Amerika Syarikat sendiri memberikan angka-angka perwakilan yang berbeza yang telah diperuntukkan untuk setiap calon Demokrat, walaupun kesemuanya menunjukkan Barack Obama sedang mendahului dengan tipis.
CNN sebagai contoh meletakkan Obama dengan 1,262 perwakilan berbanding Hillary Clinton, 1,213 dan menjadikan Obama mendahului dengan 49 perwakilan. Sementara CBS pula mengatakan Obama mendahului dengan 76 perwakilan, AP (62), New York Times (42) dan NBC (131). Kesemua angka tersebut mengambil kira sokongan terbuka yang telah dibuat oleh perwakilan agung, yang berjumlah 795 orang, kecuali New York Times. Masih ada kira-kira 1,082 perwakilan negeri yang belum dipilih, menjadikan sukar untuk membuat kesimpulan buat masa ini siapa yang akan menjadi calon Demokrat.
Sebagai perbandingan, pada pemilihan calon 2004, John Kerry dapat mengumpul perwakilan yang cukup pada 11 Mac, lebih tiga bulan sebelum Konvenyen Demokratik Kebangsaan.
Gelombang Obama
Antara kedua-dua calon Demokrat, sudah tentu Obama yang paling banyak memberikan kemeriahan kepada pilihan raya tahun ini. Dia berkulit hitam, pemidato yang hebat, dan mampu menarik orang ramai untuk mengikuti dan mendengar ucapannya semasa berkempen.
Keadaan pastinya menjadi lebih mudah untuk Clinton sekiranya Obama tidak berada dalam persaingan ini. Namun gelombang kegilaan Obama mewujudkan jalan yang sukar untuk Clinton mendapat pencalonan Demokrat.
Kumpulan penyokongnya semakin meluas, kulit hitam, kulit putih, lelaki, wanita dan kempen Clinton menjadi bercelaru apabila Obama secara berturut-turut memenangi lapan pemilihan negeri, memberikannya momentum untuk pemilihan di negeri-negeri yang ‘kaya’ perwakilan, Texas dan Ohio selepas ini.
Clinton cuba menggunakan kelebihan Obama dalam berucap untuk menyerang Senator Illinois itu, dengan menegaskan ‘kata-kata tidak boleh membawa makanan ke meja’. Namun Obama dalam kempennya menjawab, adalah penting untuk beliau sebagai calon presiden memberikan inspirasi kepada rakyat Amerika.
Sebelum itu, isu perkauman turut cuba digunakan oleh kempen Clinton, namun ternyata ia hanya menguntungkan Obama, seperti yang terbukti dalam pemilihan di South Carolina. Menjelang pemilihan di negeri itu, Bill Clinton cuba memperkecil-kecilkan Obama apabila membandingkannya dengan aktivis kulit hitam, Jesse Jackson, yang memenangi pemilihan di South Carolina pada tahun 1984 dan 1988, dalam usaha mendapat pencalonan presiden parti Demokrat.
Hasilnya, Obama mendapat jumlah undi yang mengatasi jangkaan awal, ketika John Edwards masih dalam persaingan. Obama mendapat 55 peratus, Clinton 27 peratus dan Edwards 18 peratus.
Keputusan itu sudah pastinya satu peringatan yang baik untuk calon Republikan yang sekiranya berhadapan dengan Obama supaya tidak menggunakan isu kaum dalam kempen pilihan raya umum nanti.
Perwakilan Agung dan Perpaduan Parti
Dengan persaingan yang sangat sengit antara kedua-dua calon itu, nampaknya perwakilan agung, yang terdiri daripada pemimpin parti, anggota Kongres, Gabenor dan bekas Presiden dan Naib Presiden, hampir pasti akan menentukan siapa yang akan menjadi calon Demokrat.
Dengan jumlah 795, dan tidak terikat seperti perwakilan biasa dalam memilih calon, mereka boleh menjadi suara yang mengikut atau menentang hasrat majoriti perwakilan biasa. Perwakilan agung menyertai konvensyen secara automatik, sementara perwakilan biasa yang telah berikrar menyokong mana-mana calon dipilih di peringkat negeri.
Menurut laporan media, beberapa perwakilan agung yang mahu dilihat neutral sudah berbincang bagaimana untuk memainkan peranan mereka bagi mengelakkan perpecahan dalam parti menjelang konvensyen nanti yang akan diadakan di Denver, Colorado pada 25 hingga 28 Ogos depan.
Al Gore, bekas Naib Presiden dan seorang perwakilan agung dilaporkan yang terbaik dan telah bersedia untuk memainkan peranannya dalam menyatukan parti, kerana dilihat banyak pemerhati sebagai seorang perwakilan yang neutral. Seorang lagi bekas Naib Presiden, Walter Mondale telah mengisytiharkan sokongan kepada Clinton. Presiden Jimmy Carter pula tidak memberikan sebarang komen kepada media berkenaan pencalonan Demokrat.
Sekiranya menjelang tamatnya pemilihan di negeri-negeri ini dan masih belum ada calon yang dapat mengumpul 2,025 perwakilan, ada kemungkinan Obama atau Clinton yang salah seorang akan mendahului dengan tipis, akan mengalami nasib yang sama seperti Al Gore, sekiranya para perwakilan agung di konvensyen bertindak memilih calon yang tidak disokong oleh majoriti perwakilan negeri yang dipilih, walau sekecil mana pun perbezaannya.
Ketika ini (18 Februari), nampaknya Obama lebih berpotensi untuk mengalami nasib yang sama seperti Al Gore, cuma Obama masih berada dalam pemilihan calon parti. Obama walaupun sudah mengumpul 1,102 perwakilan biasa berbanding Clinton dengan 978 orang (menurut CNN), tetapi bekas Wanita Pertama itu telah mendapat sokongan terbuka 235 perwakilan agung berbanding Obama, 160.
Selepas selesainya kerumitan proses pemilihan calon presiden parti itu, siapakah pula yang akan dipilih Clinton atau Obama sebagai calon Naib Presiden?
Dengan kedua-dua calon Demokrat ini mempunyai kekuatan yang seimbang dan telah menarik ramai pengundi untuk keluar memilih calon di negeri-negeri, adakah Obama dan Clinton dapat bertanding sebagai satu pasukan untuk memasuki Rumah Putih, selepas percaturan sengit mereka berdua sehingga hampir memecahkan parti?
Kiriman Berkaitan
- Pemilihan Terus Suburkan Demokrasi Amin Ahmad
- Pilihan Raya dan Maknanya Amin Ahmad
- Melepaskan Keterikatan Universiti Hilman Idham
- Mahu Jadi Yang Biasa-Biasa Sahaja? Amin Ahmad
- Perlawanan Itu Pasti Terus! Hilman Idham
- Demokrasi Terus Khalid Jaafar