Menyelamatkan Warisan Intelektual Islam (Bahagian 2)
oleh admin
16 Februari, 2008 | kategori Esei | komen [0] | CetakOleh: William C. Chittick
Memandangkan sesetengah umat Islam tidak mempunyai pilihan melainkan berfikir, belajar untuk berfikir dengan betul sudah tentulah menjadi perkara penting dalam usaha umat Islam. Namun, apakah yang dikatakan sebagai cara fikir yang ‘betul’? Bagaimana hendak membezakan antara cara fikir yang betul dan yang salah? Adakah hakikat bahawa mereka tidak mempunyai pilihan selain berfikir bermakna mereka bebas berfikir sesuka hati? Jawapan Islamik kepada persoalan ini adalah, cara orang ramai berfikir tidaklah begitu teruk. Sesetengah cara berfikir memang digalakkan oleh Quran dan Sunnah dan sesetengahnya pula tidak digalakkan. Menurut Islam, menjadi tanggungjawab buat mereka yang berfikir untuk menggunakan akal mereka selaras dengan matlamat Quran dan Sunnah. Dalam erti kata lain, matlamat tradisi intelektual Islamik mesti selaras dengan matlamat Islam, jika tidak dari segi intelektualnya ia tidak akan dilihat Islamik.
Jadi, apakah matlamat Islam? Secara umumnya, matlamat Islam adalah membawa orang ramai kembali kepada Tuhan. Bagaimanapun, semua orang memang sudah kembali kepada Tuhan, jadi isunya bukan untuk kembali tetapi bagaimana seseorang itu kembali kepada Tuhan. melalui Quran dan Sunnah, Tuhan memberikan panduan bagaimana untuk kembali kepadanya dengan cara yang akan memastikan kegembiraan yang berkekalan. Jika mereka mahu mengikut ‘jalan yang lurus’, yang akan membawa kepada kegembiraan dan bukannya kesengsaraan, mereka perlu menggunakan minda, kesedaran dan memikirkan cara yang harmoni dengan Tuhan yang merupakan satu-satunya realiti. Jika mereka mengikuti ilusi dan kepalsuan, mereka akan mengikuti jalan yang bengkok dan tidak akan berakhir di tempat yang menggembirakan.
Sejarah intelektual Islam tertanam dalam pelbagai bentuk yang telah diterima Muslim sejak sekian lama dalam usaha untuk berfikir secara tepat dan betul. Tradisi intelektual cukup kuat dan dinamik, jadi rasa tidak sependapat memang menjadi perkara biasa. Bagaimanapun, dalam pelbagai mazhab Islam, satu prinsip dipersetujui oleh semua pihak. Prinsip ini adalah hakikat bahawa Tuhan itu satu dan hanya Dia sumber kebenaran dan realiti. Dari Tuhan datang segalanya dan kepada Tuhan juga semuanya kembali. Prinsip ini, seperti yang diketahui semua, dikenali sebagai tawAad, “menegaskan kesatuan Tuhan.” Untuk berfikir secara Islamik adalah dengan menerima kesatuan Tuhan dan membuat rumusan berdasarkan prinsip ini. Perbezaan pendapat timbul berkenaan akibat sebenarnya, dan bukan dalam soal bahawa Tuhan itu satu.
Rumusan yang dibentuk daripada tawAad bergantung sepenuhnya kepada kefahaman mereka tentang Tuhan. biasanya umat Islam memahami Tuhan dan memikirkan implikasi nama-nama Tuhan dan sifat-sifatNya yang dijelaskan dalam Quran dan Sunnah. Rumusan yang dibentuk dalam perkara ini adalah berdasarkan bagaimana Tuhan itu difahami. Jika Dia difahami sebegai pemberi undang-undang, kesumpulan yang akan dibuat tentulah berkenaan mematuhi Syariah. Jika dia difahami sebagai penuh dengan kemarahan, maka kesimpulan akan dibuat bahawa kemarahan Tuhan mestilah dielakkan. Jika Dia difahami sebagai sangat cantik, maka tentu umat Islam akan mengetahui bahawa mereka mesti menyayanginya. Jika Tuhan difahami sebagai pengasih, maka mereka mestilah mencari kasihnya. Tuhan sudah tentu mempunyai 99 nama – sekurang-kurangnya – dan setiap nama memberikan gambaran berbeza, dan bagaimana orang ramai perlu memahamiNya. Oleh itu, Muslim yang berfikir sering memahami Tuhan dan pelbagai cara dan mereka membentuk kesimpulan berdasarkan pemahaman mereka. Kepelbagaian kefahaman ini walaupun dalam tawAad sudah digambar dalam doa Nabi, “Ya Tuhan, aku memohon perlindungan dengan kasih sayangMu, daripada kemarahanMu, aku memohon perlindungan dalam kesukaanMu daripada kebencianMu, dan aku memohon perlindungan daripadaMu.”
Halangan Kepada Pemulihan
Tajuk esei saya membayangkan bahawa warisan intelektual Islam telah hilang dalam era moden ini. Ia satu topik yang luas dan saya tidak boleh menawarkan bukti untuk kenyataan saya, tetapi saya fikir cukup jelas bahawa umat Islam mempunyai kesedaran tentang sejarah mereka. Apa yang dapat saya lakukan di sini adalah menawarkan beberapa cadangan berkenaan perkara-perkara yang menjadi halangan dalam pemulihan. Buat masa ini, saya hanya mahu menyebut dua jenis halangan, walaupun terdapat banyak jenis halangan lain juga. Pertama adalah intelektual yang berasal dari luar. Mereka sangat kuat ikatan dengan jenis pemikiran yang berkembang di Eropah Barat dan Amerika yang telah mendominasi dunia moden. Bagaimanapun, mereka telah menjadi masalah dalaman, kerana kebanyakan Muslim telah menerima mereka, atau umat Islam sendiri telah dibentuk mereka tanpa menyedarinya. Oleh kerana kuasa intelektual ini telah diterima, mereka telah menyebabkan kemunculan halangan kedua, iaitu sikap moden dan kuasa-kuasa sosial dalam komuniti Islam yang menghalang pemulihan.
Dalam mencadangkan kategori pertama halangan itu, kita boleh bermula dengan satu persoalan yang mudah: adakah tidak mustahil untuk berfikir secara Islamik? Atau, adakah boleh untuk menjadi intelektual Muslim di dunia moden? Saya tidak maksudkan intelektual yang beragama Islam, tetapi individu yang berfikir dengan keislaman berkenaan dengan tiga dimensi asas Islam – amalan, akidah dan kejujuran – ketika hidup di tengah-tengah kemodenan.
Saya tidak ragu-ragu bahawa terdapat ribuan intelektual Muslim (dalam maksud biasa) – yang terdiri daripada penulis Muslim, profesor, doktor, peguam dan saintis yang bimbang dengan itu-isu intelektual. Bagaimanapun, saya mempunyai rasa ragu-ragu sama ada daripada kalangan mereka yang merupakan ‘intelektual Muslim’ dalam maksud yang saya sebutkan. Ya, memang terdapat ramai orang sofistikated, rajin berfikir secara intelektual yang dilahirkan sebagai beragama Islam dan beramal sepenuhnya. Tetapi adalah mereka berfikir secara Islamik? Adakah boleh untuk menjadi saintis dalam maksudnya yang moden dan seorang Muslim yang memahami dunia dan jiwa manusia seperti yang dijelaskan oleh Quran dan Sunnah? Adakah boleh untuk menjadi ahli sosiologi dan pada masa yang sama berfikir dalam konteks tawAad?
Pada pandangan saya, sebagai pemerhati dari luar, pemikiran kebanyakan intelektual Muslim bukan ditentukan oleh prinsip Islam dan kefahaman Islam, tetapi oleh tabiat minda yang dibentuk di sekolah dan kemudian diperkuatkan oleh latihan di universiti. Mereka mungkin hidup seperti Muslim, tetapi mereka berfikir seperti doktor, jurutera, ahli sosiologi dan saintis politik.
Memanglah naif untuk membayangkan bahawa seseorang itu boleh belajar berfikir dengan keislaman dengan hanya menghadiri kuliah seminggu sekali atau dengan membaca beberapa buku yang ditulis oleh pemimpin Muslim kontemporari, atau dengan mengkaji Quran, atau dengan berdoa dan mempunyai akidah yang kuat. Dalam dunia Islam tradisional, pemikir hebat dan intelektual menghabiskan keseluruhan hidup mereka mencari pengetahuan dan menguatkan pemahaman mereka. Warisan intelektual Islam memang sangat kaya. Ratusan ribu buku ditulis dan dalam zaman moden majoriti buku-buku yang sangat penting tidak boleh didapati kerana tidak pernah dicetak. Buku-buku yang dicetak jarang dibaca oleh intelektual Muslim, dan bagi yang telah diterjemahkan daripada bahasa Arab dan Parsi kepada bahasa Inggeris dan lain-lain, biasanya diterjemahkan dengan teruk, jadi tidak banyak panduan yang boleh didapati daripada terjemahan tersebut.
Saya tidak mengatakan bahawa perlu untuk membaca kesemua buku-buku hebat dalam tradisi intelektual menurut bahasa yang asal untuk berfikir secara intelektual. Jika Muslim hari ini boleh membaca salah satu buku-buku penting ini, walaupun terjemahan sahaja dan memahaminya, pemikiran mereka akan berubah. Namun, satu-satunya cara untuk memahami buku-buku seumpama ini adalah dengan bersiap sedia untuk membina kefahaman dan ia memerlukan dedikasi, kajian dan latihan. Ini tidak boleh dicapai melalui pendidikan universiti moden, kecuali, mungkin jika seseorang itu telah berpegang teguh kepada tradisi Islamik (saya mengatakan mungkin kerana ramai Muslim dan bukan Muslim dengan PhD dalam Kajian Islam tidak boleh membaca karya-karya agung dalam warisan intelektual).
Memandangkan bahawa persekolahan moden berakar dalam topik dan cara fikir yang tidak harmoni dengan pengajaran Islam tradisional, jelas sekali sangat sukar untuk mana-mana Muslim yang berfikir dan beramal untuk mengharmonikan bidang intelektual dengan bidang akidah dan amalan. Seseorang itu tidak boleh belajar selama bertahun-tahun dan kemudian meninggalkannya. Tidak mungkin, boleh melarikan diri daripada tabiat mental dan jenis pemikiran yang sudah diikuti seumur hidup. Mungkin sekali, tetapi masih boleh dielakkan, buat intelektual moden dengan kepercayaan agama, mempunyai minda yang terasing – saya tidak akan menyebutnya sebagai personaliti terbahagi, tetapi ia memang perkara biasa. Satu bahagian minda terdiri daripada bidang profesional dan intelektual sementara yang satu lagi untuk kepercayaan peribadi dan amalan. Walaupun individu boleh merasionalkan hubungan antara dua bidang itu, mereka biasanya melakukannya menurut pandangan yang ditentukan oleh bahagian minda yang memikirkan persoalan profesional dan moden. Pandangan yang dibentuk Quran dan diwarisi beberapa generasi Muslim akan tertutup buat orang seperti ini dan mereka akan menggunakan cara fikir menurut latihan profesional dan semangat zaman yang berubah yang tertanam kuat dalam trend intelektual kontemporari dan dipopularkan oleh televisyen dan lain-lain bentuk indoktrinasi.
Ramai saintis Muslim yang mengatakan sains moden membantu mereka melihat keajaiban ciptaan Tuhan, dan ini sudah tentu satu hujah untuk melebihkan sains semula jadi daripada sains sosial. Tetapi adakah perlu untuk mempelajari fizik atau biokimia untuk melihat tanda-tanda Tuhan dalam ciptaannya? Quran sering memberitahu Muslim, “Tidakkah kamu be$rfikir tentang tanda-tanda ketuhanan?” Kesimpulannya, seseorang itu tidak perlu menjadi saintis yang hebat atau saintis untuk memahami bahawa dunia ini memberitahu kita tentang kebesaran Pencipta. Semua orang mengetahui perkara ini. Latihan intelektual tidak diperlukan untuk memahami perkara ini.
Memang benar, pemahaman asas tentang tanda-tanda ketuhanan boleh memberikan pengetahuan yang secukupnya untuk keselamatan. Tambahan pula, Nabi bersabda, “Kebanyakan orang di syurga adalah orang bodoh.” Bagaimanapun, kebodohan yang membawa kepada syurga memerlukan kebodohan tentang hal ehwal dunia dan ia sukar untuk dicapai hari ini. Ia memang tidak ditemui di kalangan intelektual Muslim. Mereka terlalu pintar dan ini menjelaskan mengapa mereka menjadi doktor dan jurutera yang bagus. Dalam erti kata lain, mereka sudah menggunakan dan membangunkan minda mereka, jadi mereka tidak ada pilihan melainkan menjadi intelektual. Tidak syak lagi, kepintaran mereka telah dibentuk oleh pendidikan, disiplin dan juga media.
Tuhan-tuhan Kemodenan
Maklumat dan tabiat minda yang digalakkan oleh kemodenan memang tidak selaras dengan ajaran Islam. Mungkin cara terbaik untuk menunjukkan hal ini dengan tepat adalah dengan menilai karakteristik kemodenan yang bermaksud norma-norma dan cara fikir ‘kebudayaan global’ yang kita hidup hari ini. Memang jelas bahawa apa-apa karakteristik kemodenan, bukanlah tawAad, prinsip pertama pemikiran Islam. Sebaliknya, cukup adil untuk mengatakan kemodenan mempunyai sifat yang berlawanan dengan tawAad. Ia boleh dipanggil Syirik atau menduakan Tuhan. tetapi buat kebanyakan Muslim, perkataan Syirik itu terlalu sarat dengan emosi untuk membantu dalam perbincangan. Tambahan pula, mereka telah terlupa maksud perkataan itu, kerana tidak lagi terikat dengan tradisi intelektual Islam, yang menganalisis dan menjelaskan maksud tawAad dan Syirik. Jadi, biarlah ciri-ciri kemodenan di sini disebut sebagai ‘takhtar’ yang merupakan lawan bagi tawAad. TawAad membawa maksud menjadikan satu, jadi dalam konteks agama, ia bermaksud, menegaskan bahawa Tuhan itu satu. Takhtar membawa maksud menjadikan banyak, jadi dalam konteks ini, saya memahaminya sebagai menjelaskan bahawa Tuhan itu banyak.
Zaman moden dan pemikiran moden tidak mempunyai pemusatan tunggal, satu orientasi, atau matlamat. Kemodenan tidak mempunyai prinsip sepunya atau garis panduan. Dalam erti kata lain, tidak ada ‘tuhan’ – kerana tuhan memberikan makna dan orientasi kepada kehidupan. Kepada tuhanlah kita memberikan khidmat. Dunia moden menyerah kepada banyak tuhan. Dengan proses takhtar yang semakin dikuatkan, tuhan-tuhan telah bertambah bilangan sehingga tidak boleh dikira dan orang ramai menyembah mana-mana tuhan yang mereka kehendaki dan biasanya melebihi satu.
Kebenaran kenyataan saya semakin jelas jika kita bandingkan sejarah intelektual Barat dengan tamadun Islam. Sehingga baru-baru ini, pemikiran Islam disifatkan sebagai kecenderungan untuk kesatuan, harmoni, integrasi dan sintesis. Pemikir Muslim agung menguasai banyak disiplin, tetapi mereka melihat kesemuanya sebagai cabang-cabang sebuah pokok – pohon tawAad. Tidak pernah terdapat kontradiksi antara kajian astronomi dengan zoologi, atau fizik dan etika, atau matematik dan undang-undang, atau mistisisme dan logik. Kesemuanya tertakluk di bawah prinsip yang sama, kerana semuanya tertakluk di bawah realiti Tuhan yang merangkumi semua perkara.
Sejarah pemikiran Barat digambarkan sebagai mempunyai kecenderungan yang berlawanan. Walaupun terdapat banyak cara fikir yang menuju kesatuan dalam Zaman Pertengahan, selepas waktu itu semakin banyak kepelbagaian. Renaissance men boleh mengetahui banyak tentang sains dan pada masa yang sama mempunyai pandangan yang menyatukan. Namun kini, semua orang menjadi pakar dalam bidang tertentu yang kecil dan maklumat bertambah dengan pesat. Kesannya adalah rasa saling tidak memahami dan ketidakharmonian sejagat. Mustahil untuk membentuk kesatuan pengetahuan dan tidak ada komunikasi sebenar yang berlaku antara pakar-pakar dalam pelbagai disiplin atau di kalangan pakar dalam bidang kecil daripada disiplin yang sama. Ringkasnya, orang ramai dalam dunia moden tidak mempunyai prinsip yang menyatukan, lantas menghasilkan kepelbagaian matlamat dan huru-hara yang semakin kuat.
Walaupun dengan kekecohan, setiap orang mempunyai tuhan-tuhan yang disembah. Tiada siapa yang boleh hidup dalam vakum, tanpa matlamat, tanpa signifikan, tanpa makna, tanpa orientasi. Tuhan-tuhan yang disembah merupakan titik rujukan yang memberikan makna dan konteks kepada kehidupan mereka. Perbezaan antara objek sembahan tradisional dan objek sembahan moden adalah dalam kemodenan, sangat mustahil untuk meletakkan kesemua tuhan-tuhan kecil di bawah satu tuhan agung, dan apabila ini dilakukan, tuhan agung itu biasanya dicipta oleh ideologi. Sudah tentu ia bukan Tuhan tawAad, yang menidakkan kewujudan tuhan-tuhan lain. Bagaimanapun, ia mungkin imitasi Tuhan tawAad, terutamanya apabila agama memasuki ruang politik.
Tuhan-tuhan dalam dunia takhtar adalah terlalu banyak. Untuk menyebut yang lebih penting bermakna untuk menyenaraikan mitos dan ideologi zaman moden – evolusi, progres, sains, perubatan, nasionalisme, sosialisme, demokrasi, Marxisme, kebebasan dan kesaksamaan. Namun tuhan-tuhan yang paling berbahaya adalah yang sukar untuk dikenali, kerana kita di dunia moden ini melihatnya sebagaimana kita melihat udara yang kita sedut. Antara tuhan-tuhan seperti ini adalah: keperluan asas, penjagaan, komunikasi, penggunaan, pembangunan, pendidikan, tenaga, pertukaran, faktor, masa depan, pertumbuhan, identiti, maklumat, standard kehidupan, pengurusan, model, modenisasi, perancangan, pengeluaran, kemajuan, projek, bahan mentah, hubungan, sumber, peranan, perkhidmatan, seksualiti, penyelesaian, sistem, kebajikan, kerja. Inilah sebahagian, tetapi bukan semua, 99 tuhan kemodenan, dan menyebut nama-nama mereka menjadi seperti zikir manusia moden.
Kiriman Berkaitan
- Menyelamatkan Warisan Intelektual Islam (Bahagian 1) admin
- Pasca Islamisme admin
- Menjadi Islam dengan Berfikir Hafiz Zainuddin
- Islam dan Kerajaan Terhad Amin Ahmad
- Ibn Rusyd & Fasl Maqal (Bahagian 1) admin
- Paradoks “Islam Hadhari” admin