Celik Huruf dan Pendidikan Dunia Arab

oleh
16 Januari, 2008 | kategori Esei | komen [0] | Cetak

Oleh: James H. Roth

Pendidikan di dunia Arab adalah campuran berita baik dan buruk. Dari satu segi, kadar celik huruf terus berkembang di seluruh rantau dengan sesetengah negara menunjukkan prestasi yang lebih baik. Namun, dunia Arab masih terkebelakang berbanding kebanyakan negara di dunia dan terus menghasilkan warga yang tidak bersedia untuk melibatkan diri dalam pasaran dunia yang semakin berubah. Kesannya, pengangguran merupakan dilema besar. Reformasi pendidikan menjadi keperluan penting.

Sektor pendidikan tinggi sedang berkembang di kebanyakan 22 negara Arab. Pertumbuhan ini merupakan hasil inisiatif swasta dan awam untuk mendidik penduduk muda yang semakin bertambah di setiap negara. Bagaimanapun, kecuali dalam beberapa kes terpencil majoriti institusi ini kekurangan kualiti pengajaran yang diperlukan, kepimpinan yang bebas dan kurikulum yang progresif untuk melengkapkan para pelajar dengan keperluan bakal majikan.

Satu kajian yang dikumpulkan oleh Ranking Experts Group dan Institute for Higher Education Policy di Washington meletakkan hanya satu universiti Arab dalam senarai 3,000 buah universiti di seluruh dunia dan ia terletak dalam kedudukan terendah. Bukan susah untuk menyimpulkan bahawa universiti-universiti Arab tidak mencapai standard antarabangsa.

Graduan-graduan Arab berhadapan dengan masalah apabila mereka memasuki pasaran tenaga kerja kerana kemahiran mereka sering tidak memenuhi keperluan pasaran.

Sebagai contoh, di Arab Saudi, kira-kira 5.5 juta pekerja asing memainkan peranan penting dalam ekonomi Saudi – terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan minyak. Bagaimanapun, dengan usaha kerajaan Saudi untuk menggalakkan pengambilan pekerja tempatan, kadar pengangguran lelaki Saudi adalah sebanyak 13 peratus, dan ramai pakar-pakar bebas percaya ia mungkin mencecah 25 peratus. Pelaburan besar yang diberikan sejak beberapa tahun oleh kerajaan Saudi belum menunjukkan sebarang pulangan yang meyakinkan. Keadaan di Saudi hampir sama dengan keadaan di negara-negara Teluk lain. Statistik menunjukkan para graduan sering tidak mampu menyesuaikan diri dengan ekonomi. Para pemimpin perlu mempersoalkan apa relevannya pengalaman pendidikan yang mereka sedang berikan.

Membaiki pendidikan di dunia Arab bergantung kepada reformasi kurikulum dan menaikkan harapan guru-guru terhadap pelajar-pelajar, bukan sahaja di universiti tetapi juga sekolah rendah dan menengah. Seperti yang ditunjukkan banyak ujian antarabangsa, pelajar-pelajar Arab di sekolah rendah dan menengah mencatatkan markah dalam kelompok 20 peratus paling rendah.

Keputusan peperiksaan di sekolah rendah kerajaan adalah yang paling teruk. Peluang untuk seorang pelajar sekolah awam di Kaherah, Damsyik atau Khartoum untuk menjadi pemimpin korporat atau pakar perubatan sangat rendah. Dengan jumlah pelaburan yang tinggi dibuat oleh kerajaan-kerajaan Arab untuk pendidikan, hasil yang teruk ini sangat membimbangkan dan tindakan segera sangat diperlukan.

Bukan sahaja kurikulum perlu disusun kembali supaya memberatkan matematik dan sains, guru-guru juga perlu dipertanggungjawabkan atas keputusan para pelajar.

Satu penjelasan untuk markah matematik dan sains yang teruk oleh pelajar Arab adalah unjuran dan harapan guru-guru yang terlalu rendah. Dengan pemimpin Arab terus mencari jalan untuk membaiki keadaan, mempersoalkan kualiti guru-guru menjadi sangat penting. Adakah majoriti guru-guru itu berkelayakan dan boleh dipercayai untuk pendidikan generasi akan datang?

Mungkin juga tidak. Pengambilan dan latihan guru-guru baru yang dibayar lumayan perlu dikaji secara serius.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dunia Arab telah menyaksikan pertumbuhan dramatik universiti-universiti swasta. Jordan, sebagai contoh, mempunyai sekurang-kurangnya 12 universiti swasta. Kolej-kolej yang baru ditubuhkan ini membenarkan negara-negara berpendapatan pertengahan untuk bergantung kepada sumber swasta bagi perbelanjaan pendidikan tinggi. Bagaimanapun, penswastaan bukanlah satu-satunya jawapan. Seperti institusi awam, entiti swasta perlu bertanggungjawab dalam mengeluarkan pelajar yang memenuhi keperluan kebangsaan. Kerajaan, mungkin di peringkat serantau, perlu mewujudkan standard pencapaian yang membolehkan institusi pendidikan, sama ada swasta atau awam, mencapai tahap kualiti minimum.

Menghapuskan buta huruf merupakan misi penting dalam dunia Arab selepas era kolonial. Orang Arab telah berjaya dalam hal ini. Walaupun kira-kira 70 juta orang Arab masih buta huruf, angka ini dengan cepat berkurangan. Bagaimanapun, masih terdapat perbezaan antara mendidik dan mencapai celik dan memberikan pendidikan berkualiti. Keseluruhannya, dunia Arab masih belum mengubah sistem pendidikan mereka daripada memfokuskan celik huruf kepada sistem dengan institusi yang diperlukan untuk mengintegrasikan golongan muda dengan pasaran tenaga kerja dan membawa negara mereka ke arena global.

Dengan pembuat polisi Arab masih terus menangani rancangan pembangunan, mereka perlu memfokuskan kepada membaiki institusi pendidikan. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menimbulkan ketidakstabilan hasil kadar pengangguran yang tinggi. Reformasi pendidikan perlu menjadi keutamaan hari ini. – Common Ground News

James H. Roth adalah naib presiden untuk perundingan kesihatan dan pendidikan di Huron Consulting Group di Chicago yang memberikan perkhidmatan perundingan kepada institusi pendidikan di Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Asia.


Kiriman Berkaitan

 
 

Tinggalkan Komen