Tiada anti-Semitisme di India?

oleh
14 November, 2007 | kategori Esei | komen [0] | Cetak

Tidak syak lagi bahawa sekularisme di India berada dalam keadaan terancam. Hinduisme militan masih berpengaruh seperti mana ekstremis Islam. Kekacauan yang berterusan di Kashmir merupakan satu luka lama yang belum sembuh dan konflik di Gujarat, ditambah dengan memori pengeboman di Mumbai pada tahun 2006, membawa kepada ketegangan.

Namun negara dengan penduduk satu bilion orang ini, yang merupakan negara kedua tertinggi populasi Muslimnya, masih dapat mengekalkan sistem demokrasi yang kukuh, berdasarkan kepada rasa hormat terhadap kepelbagaian agama dan kaum. Di Amerika, kepelbagaian hanyalah satu slogan politik. Tetapi di India ia satu fakta sejarah. Walaupun mungkin tidak dapat diterima sesetengah pihak di Barat, India mempunyai banyak untuk diajar dalam hal toleransi agama.

Contoh terbaik yang dapat dilihat adalah kisah masyarakat minoriti Yahudi di India. India mungkin satu-satunya negara di dunia yang bebas daripada prejudis anti-Semitik sepanjang sejarahnya. Seperti yang dijelaskan oleh jurnal Avotaynu berkenaan masyarakat Yahudi di India, “Bani Israel hidup aman selama 2,400 tahun di tempat yang tidak pernah mengenali anti-Semitisme, dan berjaya dalam semua aspek sosioekonomi dan kehidupan budaya masyarakat di rantau itu.”

Ia mungkin agak mengarut bunyinya, tetapi bandingkan dengan mana-mana negara Barat, sama ada Perancis atau Rusia dan juga Amerika, yang menyaksikan diskriminasi terhadap orang Yahudi dalam soal perumahan sehingga tahun 1950an. Namun di India yang ‘mundur’, sejak awal lagi, masyarakat Yahudi bukan sahaja bebas daripada diskriminasi, tetapi telah mendominasi kehidupan komersial di semua tempat yang mereka pernah tinggal – satu perkara yang sering ditekankan dalam anti-Semitisme di Eropah.

Mengapa India bebas daripada masalah ini? Banyak sebab yang telah diberikan, antaranya, kerana agama Hindu tidak bermatlamat menukar agama penganut lain. Namun apa yang pasti, anti-Semitisme memang asing dalam karakter India. Segala-galanya dapat dibuktikan di bandar Kochi, dalam negeri Kerala. Di sinilah terletaknya bukti fizikal tersebut. Kochi, yang dahulunya dikenali sebagai Cochin, merupakan bekas penempatan Eropah dengan penduduk Kristian yang ramai. Tarikan tempat ini menyebabkan para pengunjung lebih mengingati Caribbean berbanding India apabila berada di sini. Di sebuah lorong di bandar ini berdiri sebuah synagogue berusia 439 tahun.

Inilah bukti tradisi sekularisme India dan toleransi seharian terhadap kepelbagaian agama: kewujudan synagogue itu sendiri.

Yahudi Kochi memulakan warisan mereka semenjak tahun 700 Sebelum Masihi dan hidup aman bersama-sama umat Islam dan Hindu sehingga abad ke-16. Namun, anti-Semitisme yang muncul ini bukannya berpunca daripada penduduk India. Yahudi Kochi telah diganggu kewujudan mereka oleh Portugis, selaras dengan tradisi agung Inquisition. Dengan bantuan maharaja Hindu dan pihak Belanda, synagogue yang dibakar oleh Portugis itu telah dibangunkan semula di lokasi hari ini, yang berdekatan dengan istana maharaja. Ia kekal di situ tanpa sebarang gangguan.

Kebanyakan Yahudi Kochi sudah berhijrah ke Israel, tetapi ia kekal sebagai mercu tanda Yahudi di sebuah negara bukan Yahudi. Synagogue itu sekurang-kurangnya tidak mempunyai kawalan keselamatan yang ketat seperti rumah ibadat di New York. Tidak jauh daripadanya terdapat sebuah perkuburan Yahudi yang juga bersih tanpa sebarang aktiviti vandalisme.

Cerita yang sama dapat juga didengar di tempat-tempat lain di India. Masyarakat Yahudi telah wujud sejak bertahun-tahun di Mumbai, dengan ketibaan mereka bermula 2,000 tahun dahulu, dan di Kolkata, komuniti Yahudi Baghdadi sudah bertapak walaupun masih baru. Di Timur Laut India, terdapat Yahudi Bnai Menashe, yang berasal daripada keturunan puak Menasseh.

Masyarakat Yahudi India tidak begitu besar dan paling ramai 35,000 orang pada tahun 1950an. Namun pencapaian mereka melebihi angka-angka yang kecil itu. Ramai yang yang memilih kerjaya ketenteraan semasa pemerintahan British, satu fenomena yang asing di negara-negara Eropah Timur.

Malah, salah seorang tokoh Yahudi India, ialah tentera terkemuka, Lef. Jen. J.F.R. Jacob, yang mengetuai tentera India semasa pencerobohan Pakistan Timur pada tahun 1971. Lain-lain Yahudi India termasuklah aktres, Slochana yang digelar ratu filem bisu India. Brian George yang melakonkan watat Babu Bhatt dalam siri Seinfeld, juga merupakan seorang Yahudi India.

Saiz masyarakat yang kecil bermakna, Yahudi India tidak pernah muncul sebagai kuasa politik. Sebagai sebuah komuniti, mereka tidak pernah mempunyai pengaruh dalam politik India dan sudah tentu dalam dasar anti-Israel yang turut mencorakkan sejarah moden India. Di negara-negara lain, ketiadaan pengaruh masyarakat Yahudi, atau ketiadaan orang Yahudi, tidak menghalang pemerintah daripada menyalahkan komuniti itu sebagai punca masalah. Poland pada penghujung 1960an merupakan contoh terbaik untuk ‘anti-Semitisme tanpa Yahudi’.

Warga India tidak memahami anti-Semitisme, dan sukar untuk menerangkannya kepada mereka.

Warga India kadang-kala dituduh terlalu mahu mengikut Barat dan selalu menunjukkan kepada negara lain apa yang perlu dilakukan. Tuduhan ini ada kebenarannya. Bagaimanapun, dalam layanan India terhadap minoriti terkecil dan paling berisiko ini, terdapat sebab yang cukup untuk mereka berasa bangga.


Kiriman Berkaitan

 
 

Tinggalkan Komen