Menembusi Polemik Ali Abdul Raziq
oleh admin
8 November, 2007 | kategori Buku | komen [1] | CetakAmir Sari
Mari andaikan bahawa tidak ada kewajaran untuk tidak berpihak. Setiap siapa saja harus selalu berpihak, kepada kebenaran sekurang-kurangnya. Begitupun, memihak kepada kebenaran tidak sentiasa neutral seperti yang biasa dibayangkan. Kebenaran selalu ditakrifkan secara relatif, menjadi “salah satu wajah dari wajah-wajah kebenaran.” Maka, sekali lagi, ayuh kita andaikan saja bahawa berpihak itu wajar.
Menilai kajian yang telah Muhammad Imarah jalankan lebih tiga puluh tahun lalu—iaitu sekurang-kurangnya empat puluh tujuh tahun setelah Syeikh Ali Abdul Raziq dibicarakan dan setelah itu dihukum dengan hukuman yang menafikan hak-hak asasi beliau sebagai warga Mesir—tampak kepada kita yang kontroversi sekitar Al-Islam wa Usul al-Hukm (AWUH) telah dinyalakan oleh sentimen.
Sebelum itu, penterjemahan dan penerbitan “buku lama” ini yang diberi tajuk “Polemik Islam dan Dasar pemerintahan Karya Ali Raziq”, serta usaha membongkar karya dan “menghidupkan semula” nama Ali Abdul Raziq barangkali menuntut penjelasan atau justifikasi.
Sejak berakhirnya zaman khilafah, dengan Istanbul menjadi pusatnya yang terakhir, nama Ali Abdul Raziq selalu disebut dalam khutbah tentang khilafah, negara Islam, dan, sejurus setelah itu, hujah anti-negara sekular. Dianggap sebagai ulama yang sesat jalan, nama Ali Abdul Raziq beransur-ansur menjadi tangkal azimat untuk menghambat sebarang idea dan pemikiran baru yang di luar kerangka “pemikiran politik Islam”. Hari ini, namanya sahaja sudah cukup untuk menjauhkan orang dari pemikiran politik moden dan mengakibatkan hujah-hujah lebih ilmiah akan jatuh darjatnya di barisan kedua.
Di separuh terakhir tahun lalu, di negeri kita, bermunculan serangan terhadap pluralisme, liberalisme, dan sekularisme, oleh mereka yang sering menggelar diri sebagai pembela Islam. Isu-isu yang timbul sejak hari itu sampai hari ini, termasuk isu penubuhan Majlis Antara-agama (IFC), kes Lina Joy, dan Perkara 11, Perkara 121(a) tak pernah gagal memunculkan nama Ali Raziq.
Kena pula pada masanya apabila sebelum itu, pada 2004, Institut Kajian Dasar (IKD) telah menerbitkan terjemahan karya Ali Abdul Raziq, AWUH dengan tajuk “Islam dan Dasar Pemerintahan”. Tindakan menterjemahkan dan menerbitkan buku tersebut telah dipersoalkan dan dikecam oleh beberapa pihak.
Kecuali Sisters in Islam (Sis) yang menjemput Khalid Jaafar, pengarah eksekutif IKD, untuk membicarakan idea-idea di dalam buku yang diterbitkannya itu, sejauh ini, tidak muncul satu organisasi pun dari kalangan gerakan Islam yang menganjurkan, atau menyeru agar dianjurkan, forum ilmiah untuk membincangkan kandungan buku berkenaan secara lebih serius dan bertanggungjawab. Kerana apa? mungkin, ia tidak lain kerana pencarian kebenaran menerusi kegiatan ilmiah begitu berpotensi akan menimbulkan natijah yang akhirnya bakal terlalu merugikan gerakan-gerakan Islam dan parti politik berasaskan agama.
Hampir semua orang sedar bahawa kelestarian, nyawa, gerakan Islam, khususnya parti politik Islam, sangat bergantung kepada kelangsungan ideologi negara Islam. Selagi ideologi ini dapat dipertahankan dengan apa juga hujah dan kaedah, selagi itu gerakan Islam akan terus bernyawa dan mengekalkan pengaruh ke atas ratusan ribu pengikutnya. Bagi ahli politik, selagi ideologi negara Islam dapat dipertahankan selagi itulah akan ada undi bagi mereka di dalam pilihanraya. Di negara kita, bahkan parti politik Melayu, Umno, terpaksa melalui perubahan deras menjadi kelihatan lebih hijau, agar dapat terus bertahan dalam kekuasaan. Dan atas faktor ini juga, telah menguburkan karya Ali Raziq yang lahir pada suku pertama abad ke 20 yang mencabar dan mematahkan hujah demi hujah tentang sistem khilafah, sekaligus mengemukakan pembelaan terhadap sistem sekular bagi politik kenegaraan.
Sentimen politik dan keagamaan bercampur baur dalam serangan para ulama Al-Azhar terhadap Ali Raziq. Di barisan depan penentang-penentangnya terdiri dari kalangan mereka yang cuba menghidupkan semula sistem khalifah dengan memindahkan takhta Khalifah Islam ke Mesir, kepada Raja Fuad.
Tetapi, sekurang-kurangnya di kalangan mereka ada yang berusaha menunaikan tanggungjawab keilmuan dengan menjawab hujah-hujah Ali Raziq, meskipun ada antara mereka yang menghadiahkan jawaban terhadap AWUH sebagai “ke hadrat baginda tuanku Raja Fuad I, raja Mesir yang dimuliakan.” Berdakwat emas di kulit buku mereka. Antara yang mengarang jawaban balas ialah Syeikh Khidr al-Hussein dan Syeikh Rasyid Rida.
Oleh kerana kita telah andaikan bahawa berpihak tidak terelakkan, maka segala hujahan yang menerjang pihak Ali Abdul Raziq itu hampir termaafi. Cumanya, pembaca tidak mampu mengelakkan rasa sedih-pilu mengenang nasib Ali Raziq, atau merasa gelisah dan hiba mengenang ulama-ulama al-Azhar yang tergamak menjatuhkan hukuman sebegitu keras terhadap Ali Raziq semata-mata kerana dorongan politik.
Alasan politik atau agama akan sentiasa memedihkan jika ia sampai menafikan hak manusia yang asasi. Setakat yang kita maklumi, Ali Raziq diharamkan dari memakai gelar “ulama al-Azhar”. Rupa-rupanya pengharaman itu punya akibat yang mengerikan: Peruntukan 101, Kanun Al-Azhar Bil. 10 (tahun 1911), memperincikan bahawa setiap ulama yang dilucutkan gelar ulama oleh Majlis Tertinggi Ulama, namanya “akan dipadam dari rekod Al-Azhar dan institusi-institusi lain, dan dibuang beliau dari segala pekerjaannya, dan dipotong pendapatannya tidak kira dari mana sumbernya, dan dicabut kelayakannya untuk membuat apa jua pekerjaan umum sama ada bersangkutan agama atau tidak.”
Sambil itu tertanya-tanya, jalan cari makan mana lagi yang terbuka untuk Syeikh Ali? Adakah kerja menjual ful , kacang kuda berkuah, untuk sarapan pelanggan-pelanggan yang terdiri dari pembelanya? Tapi, kalau di zaman ini, kereta sorong ful Syeikh Ali, pasti dalam masa yang singkat akan diangkut majlis bandaraya pula kerana beliau akan dianggap tidak tidak layak memohon lesen menjaja.
Sanggahan ke atas sanggahan
Muhammad Imarah seorang peneliti yang berhak dipuji. Beliau telah mencungkil sebanyak mungkin sumber untuk tujuan kajian. Siapa saja, penganut ideologi apa pun, dapat merasa aman membaca buku ini. Jelas bahawa buku ini memberikan keutamaan kepada fakta-fakta sejarah seadanya. Bukan Imarah langsung tidak berpihak, tetapi sifat memihaknya tidak berlebih-lebihan.
Dalam membentangkan fakta-fakta tentang pihak-pihak yang terlibat dalam perang ideologi di zaman Raja Fuad itu, menerusi penerangannya tentang parti Al-Ahrar al-Dusturiyyun dan paradoks yang terlihat dalam pendirian-pendirian parti ini, Imarah kelihatan agak kurang senang dengan Liberalisme:
Kami percaya bahawa paradoks yang terlihat di dalam pendirian-pendirian parti ini dapat difahami berdasarkan kegiatannya, struktur, serta kepentingan yang diwakilinya, sejak yang dapat dilihat pada Parti al-Ummah yang dipimpin oleh al-marhum Lutfi as-Sayyid Pasha pada awal kurun ini. Sebagai asas bagi pemikiran dan pendekatan gerakan, terlihat padanya pengaruh pemikiran dan pendekatan reformasi al-Syeikh Muhammad ‘Abduh, diadun dengan teras Liberalisme Eropah.
Liberal Dusturiyyun mewakili orang-orang berada, hartawan besar serta bangsawan Mesir. Tetapi mereka mewakili orang-orang terpelajar dalam kelas berkenaan, atau secara terperinci, mereka adalah aliran cerah yang melihat kepentingan lebih jauh bagi kelas ini, kepentingan-kepentingan yang mungkin akan mendapat manfaat dari pencerahan, reformasi dan keterbukaan terhadap pemikiran semasa Eropah.
Nadanya tampak sejalur dengan para sosialis yang menyerang pendukung pasaran bebas dan liberalisme di Eropah dengan gelaran “economic royalist” dan “Wall Street sycophants”, Imarah mengumumkan bahawa,
“Di lapis atas kekuatan politik dan pemikiran parti ini ialah sekumpulan anasir-anasir terbaik dan terpelajar yang dihantar oleh keluarga mereka yang kaya untuk memperkuat diri dengan pemikiran Eropah. Mereka pulang membentuk golongan bijak pandai yang memelihara kepentingan keluarga-keluarga ini. Faktor ini yang membentuk percanggahan dalam banyak pendirian parti, antaranya pendirian mereka dalam perkara-perkara yang kita bincangkan sekarang. Mereka menganggap diri mereka ‘memahami kepentingan sebenar’ kerana mereka ‘puncak negara dan matanya’, dan bahawa pencerahan, pendidikan dan pembentukan sekumpulan besar pemikir dan budayawan ‘terbaik di kalangan yang baik’ adalah jalan untuk menggantikan kedudukan pihak asing.”
Cubaan mengaitkan liberalisme dengan sikap “talam dua muka” parti al-Ahrar berkemungkinan merupakan kritikan songsang terhadap liberalisme. Elitisme golongan liberal yang disebutkan oleh Imarah segera menghimbau pertanyaan. Berdasarkan falsafah yang mendasari liberalisme klasik, percubaan Imarah untuk mengaitkan Abduh, Lutfi, dan liberalisme, dengan elitisme parti al-Ahrar al-Dusturiyyun ganjil dan meragukan. Aneh juga Imarah hanya menyebut nama Lutfi dan Qasim Amin, dua tokoh liberal terawal Mesir, kecuali kalau beliau sekadar mengulang kembali andaian yang dibuat oleh akhbar Times (Britain) pada waktu itu. Mungkin benar parti itu elitis, tetapi sifatnya tidak mesti diwarisi dari Abduh atau Lutfi.
Kelihatan sikap akhbar Times terhadap golongan liberal dipengaruhi oleh penyusupan idea-idea sosialis ke dalam sistem ekonomi pasar di Britain dan beberapa tanah kelahiran Liberalisme yang lain ketika itu. Penyusupan ini memuncak pada separuh pertama abad ke-20 dengan kemunculan John Maynard Keynes, dengan slogan-slogan “dasar ekonomi progresif,” ditandai oleh Persidangan Paris tahun 1919. Penyusupan ini segera disedari oleh para pemikir liberal dan ahli ekonomi, antara mereka Ludwig von Mises dan Frederich von Hayek, yang segera menulis kritikan balas terhadap retorik murahan para pengikut Keynes.
Persoalan asas dari perbalahan kedua-dua pihak itu ialah, kita ungkapkan semula dalam bahasa lebih mudah di sini, benarkah individu biasa berkemampuan menentukan nasib ekonomi mereka? Bagi para sosialis dan Keynesian yang menyamar sebagai liberal, inividu tidak mampu, maka negara harus membuat perancangan dan kerajaan harus campurtangan. Dalam ertikata lain, harus ada elit yang menuntut tangan orang awam. Di pihak Liberal yang asal, yang berpegang dengan Liberalisme Eropah sejati, mereka menyerahkan nasib individu ke tangan individu sendiri, dengan akidah bahawa individu cukup bijak dalam menentukan nasib mereka. Mises, seorang liberal sejati, pernah mengingatkan manusia yang keliru di zamannya tentang maksud laissez faire : “Biar individu rakyat, yang kerap disebut-sebut sebagai orang biasa, memilih dan bertindak serta jangan dia dipaksa tunduk kepada diktator.” Pengertian ini tentulah amat jauh dari elitisme, dan jauh dari berpura-pura ‘membela nasib’ rakyat sedangkan niat sebenar para sosialis dan Keynesian ialah memancung kebebasan yang menjadi hak rakyat dan membolot kekayaan agar beredar hanya di kocek elit.
Imarah, dalam beberapa bahagian tulisannya, antaranya sewaktu mengkritik Ali Raziq kerana gagal membezakan sifat hubungan agama dengan negara antara “pemisahan” dengan “pembedaan”, menampakkan kecenderungan untuk menerima sistem khilafah.
Tampak lebih jelas sewaktu beliau membicarakan tentang pengertian murni khilafah, perubahan sistem khilafah kepada sistem beraja dalam sejarah Muslim, serta inti kedua-dua sistem berkenaan. Lebih jauh dari itu, Imarah malah meletakkan, dalam nada yang pasti, puak Syiah dan keluarga Umawi sebagai kambing hitam yang mencemarkan institusi khalifah. Baginya pembaiahan Yazid bin Muawiyah dan pembunuhan Hussein bin Ali tidak lain merupakan peristiwa sejarah yang tidak ada kaitan dengan khilafah, imamah dan Islam yang murni. Sambil mengkritik kelemahan hujah Ali Raziq, Imarah berpaut kepada takrif khalifah dan imam yang ideal. Sedangkan untuk menganggap bahawa “pemikiran Islam” berbeza dengan “sejarah Islam, “teori” berbeza dengan “perlaksanaan”, tidak terlalu jauh berlainan dari mereka yang mendakwa bahawa sosialisme itu secara teorinya bagus dan mampu dilaksanakan dengan jaya, bahawa yang berlaku di Jerman Timur atau Iraq zaman pemerintahan Saddam dulu hanya sebahagian dari sejarah Sosialisme yang gelap.
Imarah seperti mengelak dari meletakkan hujah-hujah Ali Raziq yang dikatakannya lemah itu dalam konteks sebenar serta mengabaikan pendahuluan dalam bab awal AWUH, iaitu sewaktu Ali Raziq menjelaskan perubahan bentuk khilafah dan unsur-unsur yang mengundang perubahan tersebut. Selain itu, Ali Raziq juga telah cuba menunjukkan bahawa garis yang membezakan khilafah dengan monarki adalah terlalu kabur. Kemungkinan yang berbeza antara keduanya hanyalah nama, sedangkan inti sifatnya adalah sama, begitu juga hakikat bahawa sistem khilafah, sama seperti monarki, dapat membuka ruang ke arah penindasan, kalaupun kedua-dua bentuk pemerintahan itu “mungkin” tidak autoritarian pada zat dan pengertian asalnya.
Ali Raziq memang dapat membuatkan orang keliru. Bahkan, sewaktu membaca terjemahan AWUH dulu saya sendiri sempat bingung dengan penjelasannya tentang sifat Muhammad. Namun, pembaca AWUH akhirnya akan dapat menyedari bahawa penegasan yang ingin dibuat Ali Raziq ialah tentang sisi Rasulullah sebagai rasul “mengatasi” sisi Rasulullah sebagai ahli politik atau negarawan. Begitu juga rumusannya tentang kepimpinan Abu Bakar yang secara tidak langsung menyatakan bahawa mana-mana ketua negara, secara peribadi molek berpegang dengan ajaran agamanya, sebagai mencontohi sahabat yang mulia itu, tetapi dalam masa yang sama harus mengambil ingat bahawa tidak semua rakyatnya seagama, dan jika seagama sekalipun tidak semua sama fahaman agamanya; maka tidak ada keharusan untuk memaksakan faham agamanya yang tersendiri itu ke atas orang ramai. Barangkali, yang terakhir inilah yang cuba Ali Raziq isyaratkan kala beliau membawakan riwayat tentang perselisihan antara Abu Bakar dengan Umar, sewaktu Umar mempertahankan hak Malik bin Nuwairah untuk berpegang dengan Islam yang difahaminya menurut caranya sendiri dan bukannya menurut fahaman ketua kerajaan dan pegawai-pegawainya.
Di bahagian lain, Imarah mengkritik Ali Raziq yang baginya silap dalam mendakwa bahawa karya Muslim tentang sains politik terlalu sedikit. Di sini Imarah berpihak kepada Syeikh Khidr yang menyenaraikan sebanyak 26 buah buku yang ditulis para sarjana Muslim silam tentang ilmu itu. Dalam hal ini Imarah menutup mata terhadap kenyataan bahawa sebahagian karya yang disebutkan Syeikh Khidr itu bukan sepenuhnya tentang sains politik, dan bahawa sebahagiannya hanya merupakan pengulangan ke atas sebahagian yang lain. Itu belum masuk soal nilai ilmiah setiap sebuah karya. Tetapi, lebih menghairankan, mengapa Imarah seolah-olah lupa bahawa Ali Raziq di dalam AWUH sebenarnya-benarnya bercakap tentang jumlah karya pemikir Muslim dalam bidang sains politik yang jauh terlalu kecil berbanding karya yang mereka hasilkan dalam bidang lain.
Bahkan, Imarah bersandar kepada benda yang tidak wujud, tentang buku-buku yang hilang, “yang tidak terhitung jumlahnya dan tidak terhisab nilainya, kala Baghdad dibakar oleh bangsa Tatar, dan khazanah Andalus yang tenggelam dalam lautan darah.” Beliau memberikan bukti ghaib. Arakian pembaca pun jadi hairan, bagaimana Imarah dapat mengetahui bahawa banyak antara buku-buku itu ialah tentang sains politik, sedangkan buku-buku itu telah hilang tanpa sempat disenaraikan judulnya?
Khayalan saya pula sedikit nakal: jangan-jangan banyak yang hilang itu buku-buku yang ditulis oleh ulama anti-khilafah dan khilafah seperti Ali Raziq? Dan mengapa pula buku fekah tak hilang terbakar? Secara lebih adil, kita katakan bahawa, secara perbandingan, nisbah buku politik dengan buku fekah yang terbakar pada waktu itu adalah sama dengan nisbah buku-buku yang tidak terbakar dan masih wujud sampai hari ini. Peratusannya sangat mungkin masih tetap kecil.
Perkara-perkara yang disebutkan di atas tampak menjadikan karya Imarah sedikit tempang. Namun masih ia tidak mengurangkan kepentingannya sebagai sebuah hasil penyelidikan.
Dalam kalut anti-liberal, anti-plural, dan anti-sekular, nama Ali Abdul Raziq sering terkait dalam khutbah-khutbah tanpa isi para ulama konservatif. Tidak pernah sekalipun idea-idea asas di dalam buku Ali Raziq dibincangkan secara serius oleh kalangan ahli ilmu agama di Malaysia. Apatahlagi untuk memperhatikan faktor-faktor yang melingkari permusuhan terhadap Ali Raziq dan karyanya. Justeru, dalam kalut inilah kita menempatkan tulisan Imarah, agar sedikit terselak kegelapan dan agar keledak pun sedikit tersingkir.
Selain itu, karya Imarah ini dapat memberi nilai tambah terhadap sistem demokrasi moden, sekaligus menghujat romantisme yang membuta tuli terhadap sistem khilafah. Peristiwa kontroversi, dokumen-dokumen, dan hujah-hujah yang dibentangkan dari pelbagai penjuru itu sendiri menjadi bukti betapa sistem khilafah yang memusatkan kuasa kepada seorang individu, hatta jika individu itu dikekang oleh perlembagaan atau “majlis Syura”, adalah pilihan yang buruk. Buruk pada ukuran tahun 1920-an dan terlebih buruk untuk zaman ini.
Para ulama Azhar yang menentang Ali Raziq menghujahkan bahawa “diperintahkan kepada orang Islam untuk menegakkan kerajaan agama agar dapat dipelihara hak setiap manusia.” Ironi dari kenyataan ini ialah tindakan mereka sendiri yang cuba menafikan hak Ali Raziq untuk bersuara dan menjalankan kegiatan ilmiah—tindakan yang akibatnya bukan saja bertujuan mengawal tingkahlaku manusia secara fizikal, bahkan mengawal gerak yang tersembunyi di dalam hati. Ali Raziq mencatatkan pada sebuah makalah tentang golongan ulama ini:
” Kami hairan terhadap golongan itu, mereka menuduh pegangan agama kami dan cuba memerangi kami. Kami tidak takut mereka mencabut dari hati kami keimanan, keyakinan atau mengeluarkan kami dari agama Allah, tetapi yang kami takut ialah mereka jatuh ke dalam kekeliruan yang menyukarkan mereka melepaskan diri sehingga mendakwa mereka adalah penghukum ke atas soal-soal hati, penjaga akidah, dan di tangan mereka kunci agama ini, mereka berhak memasukkan ke lingkungannya siapa yang mereka kehendaki.”
Kiriman Berkaitan
- Pasca Islamisme admin
- Manifesto Menuju Putrajaya dan Azmin Ali Khalid Jaafar
- Menjadi Islam dengan Berfikir Hafiz Zainuddin
- Langkah Kanan Politik Islam ke Abad 21 Saifullah Zulkifli
- Islam dan Kerajaan Terhad Amin Ahmad
- Ulasan Buku: Pesan-pesan Terbesar Al-Quran Hafiz Zainuddin
Sdra Khalid,
Saya sedang memikirkan tentang Islam dan demokrasi…..sebagai seorang “fundamentalist” yang terdidik sejak remaja…dari tulisan2 Maryam Jameela, Maududi, al Banna, Said Qutb dan Said Hawa, saya “membenci” Ali Abdul Raziq…tanpa pernah membaca tulisan beliau….tapi kini kematangan dan realiti serta kedalaman ilmu saya mengenai islam…memungkin saya untuk membaca kara AAR, insyallah…mungkinkah Jemaah Tabligh yang terkenal “tidak berpolitik”atau “tidak menyentuh hal ehwal politik”….mempunyai idea yang sama dengan AAR…kerana yang mereka tonjolkan adalah usaha dakwah…dan inilah yang mereka seru kita buat…seperti kata AAR…Rasulullah sebagai pendakwah…..timbul persoalan apakah dalam sistem Islam atau negara Islam yang ingin diperjuangkan oleh PAS antara lainnya…mempunyai sistem undi, pilihanraya, sistem menyelesaikan pertentangan…dari apa yang dilihat di Afghanistan, selepas jatuhnya regim Komunis….berlakunya peperanagan sama sendiri dan akhirnya muncul Taleban sebelum ditewaskan oleh tenetera Amaerika dan Northern Alliance; begitu juga kenyataan sejarah menunjukkan bahawa untuk meneyelesaikan pembunuhan Sayidina Osman, berlaku trajedi yang lebih besar….Perng Jamal dan Siffin….menurut Maududi mengakibatkan hampir 10,000 kehilangan nyawa; begitu juga trajedi penukaran kuasa dari Umawi ke Abbasiyah antara lainnya….oleh itu kita perlu melihat teori2 politik Islam….kita hidup di abad ke 21….ini tidak bererti kita menolak hukum Allah seperti “hudud”"….cuma yang perlu dilihat satu sistem “keselamatan”bagaimana peralihan kuasa boleh berlaku, syura dalam menyelesaikan konflik dsb.nya…..
Please call me at 0355124498.
Dr. Azlan Khalili Shamsudin