Ibn Rusyd & Fasl Maqal (Bahagian 1)
oleh admin
14 November, 2007 | kategori Esei | komen [0] | CetakOleh: Lutfi Assyaukanie
Fasl Maqal (Makalah Penentu Hubungan antara Syariah dan Falsafah) karya Ibn Rusyd yang dikarang 500 tahun boleh dianggap satu buku yang penting dalam khazanah Islam kalaupun bukan yang terpenting.
Jika kita bandingkan dengan tradisi atau diskusi-diskusi terkini, membincangkan Fasl Maqal pada abad ke-21 kelihatan agak unik dan mungkin aneh. Di saat ini, di tempat-tempat lain, orang mendiskusikan buku-buku moden; buku-buku kontemporari; seperti buku Richard Dawkins dan juga mungkin Karl Popper tetapi kita masih membincangkan suatu buku yang dikarang melebihi 500 ratus tahun. Ini menunjukkan kita umat muslim zaman moden, masih memiliki talian yang begitu kuat dengan masa silam.
Keadaan ini telah diungkapan dibuku “The World Is Flat” karangan Thomas L. Friedmann, ” while other nations uploading the future, the Muslims still downloading the past”. Justeru umat Islam dari satu aspek masih terus terikat dan merasakan bahawa masa lampau itu dekat, kerana itu kita masih meneroka masa lalu. Meneroka masa lalu tidak ada masalahnya, cuma kaedah apa, khazanah mana, tradisi apa yang kita pilih akan terokai dan selami .
Wacana terhadap buku ini, cuba menyelami satu karya yang pada masa lalu cukup memberikan pengaruh bagi dunia intelektual Islam khususnya dan bagi khazanah intelektual dunia umumnya.
Sebelum saya lebih lanjut berbincang tentang buku ini, molek kiranya untuk kita menyusuri latar Ibnu Rusyd dan mengapa beliau menulis buku seperti ini. Ibnu Rusyd adalah seorang Muslim yang dilahirkan di Sepanyol. Sepanyol suatu ketika dahulu, pernah dikuasai kerajaan Islam mulai abad ke-8 masehi sampai akhir abad ke-15.
Kita sering keliru atau ramai yang kurang teliti, menganggap bahawa Ibnu Rusyd adalah salah satu produk Zaman Kegemilangan Islam di Sepanyol: ini tidak benar. Ibnu Rusyd adalah produk dari masa perubahan antara dua Zaman Kegemilangan Islam di Sepanyol . Kalau kita melihat sejarah Islam di Sepanyol itu ada empat dinasti yang berkuasa. Islam masuk ke Sepanyol pada tahun 711 dan berjaya ditakluki oleh Musa bin Nusail dan salah satu pasukannya adalah Thariq bin Ziyad yang membimbing pasukannya dengan satu lagenda membakar kapal perang bagi mengelakkan tentera lari pulang.
Muslim di Sepanyol. Semenjak hari itu sehingga 40 tahun kemudian, dengan masuknya Abdurrahman Ad-Dakhil (Abdul Rahman I), bermulalah Dinasti Umayyah. Dinasti Umayyah berkuasa dari abad ke-8 sampai awal abad ke-11. Inilah yang disebut Zaman Kegemilangan Islam Sepanyol . Oleh itu zaman keemasan Sepanyol adalah pada masa kerajaan Dinasti Umayyah. Ketika itu Ibnu Rusyd belum lahir. Setelah berperang berkali-kali dengan tentera Kristian, Dinasti Umayyah akhirnya kalah. Kemudian muncul dinasti-dinasti kecil atau dalam sastera sejarah Islam disebut “Thaifah” atau kelompok- seorang warlord panglima perang yang menguasai kota dari beberapa kota hingga kemudian Andalusia dikuasai oleh Al-Murabithun (dikenali sebagai Almoravids dalam bahasa Inggeris). Dinasti ini berkuasa sejak awal abad ke-11 sehingga abad ke-12; mereka hanya berkuasa selama satu abad sahaja. Dinasti Al-Murabithun berpusat di Fez, Maghribi tetapi mempunyai kekuasaan sampai ke Andalusia. Setelah zaman Al-Murabithun, pada abad ke-12 dan ke-13 itu muncul pula Dinasti Al-Muwahhidun. Ibnu Rusyd itu lahir pada zaman al-Murabithun dan wafat pada zaman Al-Muwahhidun. Jadi beliau lahir pada masa perubahan yang sangat bergelojak. Hal ini menarik diperhatikan; banyak tokoh-tokoh besar Andalusia lahir bukan pada Zaman Kegemilangan tetapi pada waktu transisi. Zaman Al-Murabithun dan al-Muwahhidun itu adalah zaman transisi, yang mana tamadun Islam sedang menurun . Dan setelah abad ke-13 kerajaan Islam telah terhapus dari Sepanyol tengah; Cordova telah ditakluki oleh Kristian. Akhirnya kerajaan Islam berpindah ke Granada. Granada terletak berdekatan dengan sempadan Maghribi.
Disanalah berlaku apa yang disebut Zaman Kegemilangan Islam Kedua di Sepanyol . In kerana Islam berkembang di Granada agak lama; sekitar dua abad atau tiga abad. Tetapi seperti yang saya bincangkan, agak menarik kerana tokoh-tokoh Islam seperti Ibnu Tufail, Ibnu Rusyd itu lahir pada masa transisi; pada masa kerajaan Islam itu sedang bergelojak.
Semasa perang antara Murabithun dengan Muwahhidun ini juga telah terjadi pengusiran terhadap orang Yahudi secara besar-besaran. Menurut catatan sejarah dipercayai pembantaian oleh orang-orang Islam terhadap orang-orang Yahudi pada masa itu adalah yang terbesar setelah pembantaian Bani Quraizah di Madinah. Oleh itu, boleh dianggap zaman tersebut sebagai, masa-masa yang gelap buat umat Islam di Sepanyol. Oleh itu ada masa yang disebut masa yang sangat harmoni antara Islam dengan agama-agama lain dan ada juga masa-masa gelap umat Islam. Hal ini yang menjelaskan kenapa Musa Ibnu Maimun atau Maimonides yang lahir lapan atau tujuh tahun selepas Ibnu Rusyd terus berpindah ke Mesir setelah pembantaian 4000 keluarga Yahudi dalam satu hari di Seville. Dan banyak orang-orang Yahudi yang lari ke Mesir dan negara-negara Islam yang lain.
Hal yang menarik juga ialah al-Murabithun dan al-Muwahhidun itu kedua-duanya asalnya sebuah pergerakan Islam. Murabithun itu dari kata akar “Ribhat” dan “Ribhat” itu kelompok sufi sebenarnya. Jadi mereka berakar-umbikan gerakan sufi. Ini juga fenonemena yang menarik kerana banyak penyokong sufi mengatakan bahawa didalam ajaran sufi tidak ada kekerasan. Tetapi perlu digarisbawahi bahawa didalam Tasawwuf itu ada beberapa pandangan-pandangan yang konservatif dan ketika dicampurkan dengan ideologi politik, ia menjadi amat berbahaya. Nah, al-Murabithun dan al-Muwahhidun kedua-duanya berasal dari gerakan sufisme tetapi kemudian menjadi gerakan politik yang sangat puritan. Apa yang dikatakan sebagai Zaman Kegelapan Sepanyol itu ada pada kedua-dua dinasti ini.
Tetapi tidak semua penguasa semasa al-Murabithun dan al-Muwahhidun itu bersifat puritan. Pembakaran buku, pembunuhan atau penangkapan terhadap ulama’ itu berlaku pada kedua-dua masa al-Muwahhidun dan al-Murabithun. Tetapi ada seorang sultan yang berkuasa cukup lama yang cukup liberal, dalam satu segi cukup progresif; dalam bahasa kita yang moden sangat terbuka kepada ulama’-ulama’ dan buku-buku falsafah serta buku-buku yang membawa pemikiran yang berbeza dari pandangan ortodoks. Penguasa tersebut diberi nama Ya’qub al-Mansur. Nah, Ibnu Tufail lahir lebih dahulu daripada Ibnu Rusyd dan beliaulah yang memperkenalkan Ibnu Rusyd kepada Ya’qub Ibnu Mansur. Dia berkuasa dari 1144 hingga 1199 atau satu tahun setelah Ibnu Rusyd meninggal dunia. Ibnu Rusyd telah diangkat menjadi Qadhi, dan kemudian menjadi Qadhi Qudhah (Ketua Hakim bagi seluruh Andalusia) dibawah kekuasaan Ya’qub al-Mansur ini. Tetapi pihak pemerintah dimana-mana pun tetap memiliki perkongsian perangai. Pada masa-masa terakhir akhir pemerintahannya, kerana kuat tekanan golongan puritan, dan kerajaan menginginkan dukungan dari massa maka yang didekati ialah masjid-masjid, madrasah-madrasah dan pusat-pusat pengajian Islam. Juga pemimpin-pemimpin di masjid. Jelas, bukan golongan filasuf yang didekati pemerintah kerana golongan filasuf tidak mendapat dukungan massa. Saat itu di penghujung pemerintahan Ya’qub, oleh kerana tekanan yang sangat mendesak dari rakyat, dia tidak berupaya menghalang pembakaran buku-buku secara besar-besaran termasuklah buku-buku hasil karya Ibnu Rusyd. Jadi, inilah yang melatari pergolakan zaman itu. Ibnu Rusyd muncul pada saat yang sangat tidak menentu; beliau bukan lahir pada sebuah masa keemasan. Ini suatu catatan yang menarik. Dan di Andalusia, banyak tokoh-tokoh besar muncul pada saat-saat seperti ini. Pada masa keemasan hanya Ibnu Hazm seorang sahaja yang muncul. Ibnu Hazm lahir pada abad ke-3 atau 4 hijriah jadi masih dibawah Dinasti Umayyah.
* Tulisan ini, diubah suai dari pembentangan Dr Lutfi Assyaukanie di diskusi buku IKD-KAF, April 2007, bertempat di Hotel Armada, Petaling Jaya, Selangor.
Kiriman Berkaitan
- Ibn Rusyd & Fasl Maqal [Bahagian 2] admin
- Ibn Rushd, Kant, dan Projek Pencerahan Islam Luthfi Assyaukanie
- Cita Murni Kepimpinan Hasmi bin Hashim
- Bakar Hasmi bin Hashim
- Misteri Kucing Schroedinger (3) Clarissa Lee
- Solidariti Buat Aziz Bari Hasmi bin Hashim