Syahid atau Pengkhianat
oleh admin
14 Julai, 2007 | kategori Esei | komen [0] | CetakDunia Arab memang telah lama dipenuhi persengketaan dan permusuhan. Bagaimanapun, jika ada perkara yang dipersetujui oleh mereka untuk tempoh lebih setengah abad adalah keadilan untuk perjuangan orang Palestin. Walaupun ada yang menunjukkan rasa tidak senang hati dalam diam, kesemua pemimpin Arab menunjukkan hormat secara terbuka kepada Yasser Arafat, pejuang kebebasan (dan juga pengganas), yang sebagai pemimpin pergerakan Fatah, menjadi simbol perjuangan warga Palestin sejak 1960-an sehingga kematiannya tiga tahun lalu.
Atas sebab inilah mengapa kejadian di Gaza mengejutkan ramai warga Arab termasuk yang berada di luar Palestin. Potret Arafat dikoyakkan dari dinding pejabat dan dipijak-pijak oleh pejuang Islam Hamas. Bendera Palestin diturunkan sementara panji hijau Islam menggantikan tempatnya. Dalam tempoh satu minggu yang penuh kekejaman, kemusnahan yang disebabkan Hamas terhadap pergerakan Fatah di Gaza merumuskan segala perubahan yang sedang melanda di seluruh Timur Tengah. Nasionalisme sekular yang didukung Fatah nampak lemah sementara Islam radikal kelihatan lebih kuat. Apa yang lebih teruk adalah, dasar Barat kelihatan seperti mahu menguatkan pihak yang salah dengan menunjukkan Islamis sebagai syahid sementara sekularis nampak seperti pengkhianat.
Di Washington, baru-baru ini, George Bush telah bertemu dengan Ehud Olmert, perdana Menteri Israel, untuk merancang apa yang akan dilakukan selepas Hamas merampas kuasa. Rancangan mereka mungkin akan dilaksanakan bekas perdana menteri Britain, Tony Blair, iaitu memastikan Hamas terkepung di Gaza sementara presiden Palestin, Mahmoud Abbas dengan pasukan keselamatan yang dikuasai Fatah, yang masih mengawal Tebing Barat diberikan senjata dan wang.
Bolehkah rancangan seperti itu berjaya? Ada sebabnya mengapa ia tidak akan berjaya. Mana-mana pemimpin Arab yang memakai label moderate dan dilimpahi dengan wang kerana rasa sayang Amerika akan dipanggil pengkhianat.
Presiden Mesir, Anwar Sadat, dipanggil pengkhianat kerana berdamai dengan Israel pada tahun 1979 (dan dibunuh dua tahun kemudian). Arafat dipanggil pengkhianat selepas bersalaman dengan perdana menteri Israel di halaman Rumah Putih. Di Lubnan kini, Hezbollah menggelar kerajaan Fouad Siniora sebagai pengkhianat kerana didukung oleh Perancis dan Amerika. Perdana menteri Iraq, Nuri al-Maliki perlu menjarakkan diri daripada Amerika untuk mengelak tuduhan sebagai seorang boneka penjajah. Dan sudah tentu, andaian kebanyakan umat Islam bahawa pemimpin pro-Amerika semestinya seorang pengkhianat bukan terhad di dunia Arab. Di Pakistan dan Afghanistan, Musharraf dan Karzai terpaksa berdepan dengan tohmahan bahawa dengan berganding kuasa bersama-sama kuasa besar, mereka telah menjual negara mereka, atau lebih teruk lagi, agama mereka.
Sekutu-sekutu Amerika tidak boleh menghentikan tuduhan pengkhianat. Amerika telah menjadikannya kurang popular di dunia Islam dengan menceroboh Iraq dan menyokong Israel. Keadaan ini menyebabkan mana-mana pemimpin Islam yang kelihatan disokong kuasa ketenteraan dan ekonomi Amerika akan tercemar namanya.
Apabila Arafat kembali ke Palestin selepas hidup dalam buangan, bulan madunya sangat pendek. Wira yang kembali itu mencipta sebuah rejim yang nampak seragam di dunia Arab. Ia dicemari rasuah dan dikawal oleh Mukhabarat – rangkaian polis rahsia yang memantau warganya di kebanyakan negara Arab. Berbeza dengan Hamas di Palestin, Hezbollah di Lubnan dan Ikhwan di Mesir dan Jordan, mereka mendapat sokongan kerana reputasi kejujuran dan kecekapan. Mereka selalunya memberikan golongan miskin perkhidmatan kesihatan dan sosial yang gagal diberikan kerajaan mereka. Lebih malang lagi, Bush telah menghentikan usahanya untuk memaksa sekutu-sekutu Arabnya supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati hak asasi manusia.
Para pejuang Islam kini juga mempunyai satu lagi kata-kata untuk dijual. Mereka masih ‘menentang’. Semasa perang di Lubnan musim panas lalu, Hezbollah menerima ramai penyokong kerana menghancurkan mitos kekebalan Israel. Hamas pula menuntut pujian kerana memaksa Israel mengeluarkan pendatangnya dan tentera daripada Semenanjung Gaza dua tahun lalu. Salam Fayyad, perdana menteri Palestin yang baru dilantik Abbas, ialah seorang yang baik. Bagaimanapun beliau juga merupakan bekas kakitangan Bank Dunia, yang memakai suit. Pejuang Hamas yang memakai bandana dan membawa senjata nampak lebih baik untuk menjadi pemimpin.
Selepas kejadian di Gaza, Bush dan Olmert melihat satu peluang untuk membuktikan melalui kerajaan yang bebas daripada Hamas di Tebing Barat, bahawa kesederhanaan membawa faedah. Bagaimanapun, ia tidak cukup buat Israel dan Amerika untuk melepaskan bantuan ekonomi yang telah disekat semasa Hamas berkuasa secara rasmi. Namun kemarahan warga Palestin bukanlah berpunca daripada ekonomi. Apa yang mereka mahukan adalah supaya pendudukan Israel di Tebing Barat dan Gaza berakhir supaya mereka dapat menikmati kemerdekaan dan kebebasan di kedua-dua tempat. Dalam hal ini, Tebing Barat lebih bermasalah berbanding Gaza kerana ia masih mempunyai penempatan penduduk Israel dan penuh dengan tempat pemeriksaan.
Apa yang perlu dibuktikan Amerika adalah sekutu Arabnya yang sederhana bukannya pengkhianat tetapi boleh membuat kerja. Dalam kes Palestin, Abbas dan perdana menteri barunya bukan sahaja perlu menunjukkan mereka boleh mentadbir dengan bersih tetapi juga dapat menggesa Israel supaya menutup kemudahan tenteranya dan meninggalkan Tebing Barat. Perkara ini, bukanlah sesuatu yang para syahid boleh lakukan – roket Hamas hanya menyebabkan Israel enggan mengambil risiko. Bagaimanapun, untuk menawarkan golongan sederhana wang tanpa sebarang kemajuan bagi penubuhan negara merdeka adalah satu penghinaan.
Kiriman Berkaitan
- Musuh yang Biasa Dikenal Joharah Baker
- Dari Auschwitz ke Palestina admin
- Menjawab Fitnah terhadap Israel admin
- Wawancara Sadiq Jalal al-Azm: Bahagian 1 admin
- Loloq ~ Lirik atau Puisi, Tuhan atau Manusia? Buddhi Hekayat
- Jihad yang Hilang: Cinta dalam Islam admin