Kumpulan Kiri Dijangkiti Sakit Anti-Kebebasan

oleh
14 Jun, 2007 | kategori Esei | komen [0] | Cetak

Oleh: Brendan O’Neil
“Bertanyakan apa pentingnya kebebasan akademik adalah seperti bertanya mengapa cinta itu penting atau mengapa perlu kita makan semasa lapar.” Wendy Kaminer nampak kehairanan. Bagi beliau, keperluan untuk berfikir secara bebas di universiti, sama ada dalam kampus atau kelas, sangat jelas. “Tetapi saya berasa sukar untuk berhujah mempertahankannya!”

Pengkritik sosial dan bekas anggota Lembaga Kebangsaan, Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU), yang juga penulis buku Free for All: Defending Liberty in America Today itu berkata, setiap orang yang pernah memasuki universiti perlu sedar bahawa kebebasan sangat perlu di situ. Bagaimanapun, hari ini, di sesetengah universiti, kebebasan akademik berhadapan dengan ancaman dari dalam – oleh kakitangan akademik dan pentadbir yang tidak boleh menerima rakan sejawat yang berpegang kepada pandangan yang kurang popular dan para pelajar yang sering menggesa pengharaman perkara-perkara yang dianggap menyinggung, sama ada tabloid berhaluan kanan, Eminem atau Kit-Kat.

“Jadi, mengapa kebebasan akademik sangat penting? Kerana untuk berfikir, untuk menikmati kebebasan, anda perlu berpendidikan – dan untuk menjadi seorang yang terpelajar, mereka perlu memiliki kebebasan untuk menimbangkan pelbagai idea, untuk mempunyai persoalan sendiri,” kata Kaminer. “Mereka perlu belajar untuk menerima idea yang tidak mereka gemari. Mereka perlu dapat membezakan antara idea dengan tindakan. Mereka perlu belajar bahawa manusia boleh memiliki pelbagai idea dan mereka boleh mendebatkannya dengan tenang.”

Kaminer percaya kepada keperluan untuk bersikap tenang di universiti, dengan semua orang digalakkan bukan sahaja untuk memberi fakta dan angka tetapi juga untuk bersikap terbuka, tegas – yang selaras dengan tugas tradisional universiti; mendidik dan memberikan ilmu pengetahuan.

“Didedahkan kepada pelbagai idea, dicabar, dipaksa memeriksa kepercayaan sendiri, sangat penting untuk para pelajar dan mungkin lebih penting daripada mempelajari asas-asas subjek mereka. Apa gunanya mempelajari fakta jika anda tidak belajar cara mempertahankan idea? John Stuart Mill bercakap tentang perkara ini. Apabila beliau bercakap tentang kebebasan bersuara dan kebebasan berfikir, beliau bercakap tentang kepentingan untuk idea diuji dan belajar untuk mempertahankannya. Jika anda tidak tahu mempertahankan idea, ia menjadi tidak bermakna.”

Kaminer juga digelar ‘Fundamentalis Pindaan Pertama’, merujuk kepada usahanya mempertahankan Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika, yang mempertahankan kebebasan bersuara, akhbar dan hak untuk berhimpun. Beliau mendapat pengalamannya di ACLU dan menjadi anggota lembaga kebangsaan sehingga Jun 2006, tetapi enggan bertanding mempertahankan jawatannya sebagai protes kepada cadangan oleh ACLU yang mahu mengawal kritikan umum oleh anggota lembaga terhadap kakitangannya. Kaminer berpandangan usaha itu bertentangan dengan semangat ACLU. Beliau kemudiannya bertikam lidah secara terbuka dengan pengarah eksekutif ACLU, Anthony Romero dan presiden, Nadine Strossen.

Kaminer juga pernah berkhidmat sebagai peguam, di Persatuan Bantuan Guaman New York dan pejabat Datuk Bandar New York, serta banyak menulis tentang undang-undang, kebebasan, feminisme, agama dan budaya popular.

Idea Kaminer tentang universiti bebas, dengan idea yang saling mencabar dan konfrontasi dibincangkan oleh para pengajar dan pelajar, memang menarik, tetapi realitinya berbeza. Katanya: “Banyak institusi pendidikan dan pengajar yang sangat baik dan mereka cuba untuk mendedahkan pelbagai idea yang berbeza kepada para pelajar.” Bagaimanapun, di sesetengah universiti, terdapat bibit-bibit konformisme; idea yang berlainan perlu dikelamkan – selalunya oleh jawatan kuasa etika yang dilantik universiti atau kesatuan pelajar.

Selain itu, pentadbir universiti juga menyekat apa yang boleh dibincangkan oleh ahli akademik. Selepas 9/11, sesetengah pensyarah dikecam kerana mengkritik pencerobohan Amerika di Afghanistan. Tindakan telah diambil oleh para pentadbir di Universiti Bandaraya New York, Universiti Texas, Austin, MIT, Universiti Carolina Utara, Chapel Hill dan Universiti Massachusetts, Amherst. Di universiti-universiti Amerika dan juga Britain, penubuhan jawatan kuasa etika semakin meluas; mereka memutuskan kajian apa yang patut dilakukan oleh ahli akademik dan turut menasihatkan para pengajar cara untuk berkomunikasi dengan pelajar. Universiti Durham di England baru-baru ini mengarahkan para pensyarah supaya mendapatkan kebenaran daripada jawatan kuasa etika sekiranya mereka mahu mengajar perkara yang mungkin akan menimbulkan perdebatan hangat seperti pengguguran atau eutanasia. Sesetengah universiti juga mengeluarkan garis panduan tentang bahasa yang boleh digunakan. Universiti Derby, juga di England, mempunyai Kod Amalan Penggunaan Bahasa yang mahu para pengajar menggunakan bahasa yang mencerminkan misi universiti. Perkara itu disifatkan sebagai kesan budaya akademik yang bersedia untuk menyunting dirinya sendiri dan pihak lain.

Kemudian ada juga pelajar yang satu ketika dahulu dilihat sebagai paling progresif atau berfikiran terbuka. Hari ini mereka tidak lagi berhadapan dengan kontroversi dengan berhujah, tetapi menuntut pengharaman dan mengekang kebebasan bersuara, terhadap yang mereka sangka boleh menggegar ahli-ahli badan pelajar. Di Universiti Brown, Rhode Island, sekumpulan pelajar menyerbu pejabat akhbar pelajar, Brown Daily Herald dan merampas semua naskhah kerana ia menyiarkan iklan berbayar seorang ahli politik berhaluan kanan yang menolak ganti rugi perhambaan.

Sikap keras sebegitu juga sangat ketara di kalangan pelajar Britain. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kesatuan Pelajar Universiti Sussex telah mengharamkan tabloid haluan kanan, Daily Mail , sehingga seorang pelajar Sussex merungut kesatuan itu telah melayan pelajar seperti bayi dan ia sangat menghinakan. Selain itu, kesatuan pelajar di Universiti Sheffield mengharamkan lagu Eminem daripada dimainkan di majlis keraian pelajar kerana penggunaan perkataan yang tidak sesuai dalam lagunya yang bertentangan dengan semangat anti homofobia kesatuan itu. Di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika, London, kesatuan pelajarnya mengharamkan wakil Kedutaan Israel daripada bercakap kerana dasar kesatuan itu yang menganggap Zionisme sebagai rasisme dan mereka yang rasis tidak wajar diberikan platform untuk berucap. Kesatuan-kesatuan pelajar lain mengharamkan jualan Coca-Cola dan Kit-Kat sebagai protes kepada amalan syarikat induk produk-produk tersebut.

Jauh daripada menjadi tapak pertukaran idea, universiti kini kelihatan seperti makmal untuk pengharaman bentuk baru dan konformisme. “Para pemuda memasuki kolej, dan untuk beberapa minggu pertama mereka menyertai kursus sensitiviti, untuk diberitahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan,” kata Kaminer. “Mereka diwajibkan menyertai program kawalan pemikiran sebaik sahaja mereka sampai. Ini satu permulaan yang teruk.”

Bagi Kaminer, kekangan terhadap kebebasan bersuara ini satu berita buruk. Pertamanya kerana ia mengubah cara berfikir sesetengah pelajar dan pensyarah, lantas menjadikan mereka berfikiran tertutup dan bimbang dengan hujah yang mencabar. Kedua, ia menyebabkan kemerosotan kualiti dan tahap perdebatan umum keseluruhannya. Konflik idea ternyata tidak diselesaikan atau idea tertentu diletakkan di kedudukan lebih tinggi bukan melalui perbincangan umum dan perdebatan tetapi dipilih oleh sekumpulan kecil pertubuhan pelajar atau jawatan kuasa etika. Pengharaman hanya menggalakkan kejahilan dan konformiti – satu tundukan kepada kekuasaan dan bukannya budaya kritikal, dengan idea diketengahkan, didebatkan dan dibaiki.

“Mill juga bercakap tentang itu,” kata Kaminer. “Beliau bertanya: Bagaimana anda boleh tahu lebih awal satu ucapan itu bernilai atau tidak? Bagaimana anda menguji idea? Beliau secara asasnya bercakap tentang pasaran idea, tempat nilai sebenar boleh ditentukan dengan cara yang bermakna.”

Kebenaran, sama ada menyebabkan anda betul atau salah hanya boleh ditegakkan dengan perdebatan umum. Dan mereka yang mahu menghalang perdebatan umum kerana menganggap mereka benar dan penentang mereka salah, telah merosakkan kebenaran dengan mengubahnya kepada sesuatu yang perlu wujud secara terasing daripada pasaran idea.

Bagaimana para pelajar boleh bertukar menjadi ‘autoritarian muda’? Bagi Kaminer, ia sebahagiannya berpunca daripada cara mereka dibesarkan dalam budaya yang tidak toleran. Beliau menegaskan, kekangan terhadap kebebasan bersuara dilakukan bukan sahaja oleh golongan berhaluan kanan yang mahu menentang golongan kiri atau liberal, tetapi juga oleh kumpulan liberal, yang telah menerima idea ‘ucapan menghasut’ dan ‘ucapan berbahaya’.

“Satu trend yang sangat menyedihkan di kalangan mereka yang menganggap diri mereka liberal atau progresif sejak sepuluh hingga 15 tahun dahulu adalah berleluasanya penolakan terhadap kebebasan bersuara. Ia seperti satu penyakit, satu jangkitan yang menular di kalangan golongan kiri. Ia satu keadaan yang memundurkan.”

Kaminer menyorot perkembangan ini daripada pergerakan anti pornografi golongan feminis Amerika pada tahun 1980-an, dengan penulis-penulis seperti Catherine MacKinnon dan Andrea Dworkin. Mereka dan juga yang lain, merupakan antara yang terawal, kata Kaminer, yang mengenengahkan idea bahawa setiap orang mempunyai hak untuk tidak disinggung, walaupun secara metafora oleh ucapan seseorang. Malah, jelas Kaminer, sesetengah feminis ini tidak membezakan antara kata-kata dengan tindakan: mereka berhujah menonton pornografi adalah sama dengan tindakan ganas dan menonton porno menggalakkan lelaki untuk melakukan tindakan jenayah. Jelas Kaminer, idea ini tersebar luas, sehingga bentuk-bentuk ucapan lain, daripada yang bersifat perkauman kepada yang berbentuk anti-Semitik, kini dilihat sebagai berbahaya dan dikatakan menggalakkan pendengar untuk membenci dan bertindak ganas.

Justifikasi yang sama digunakan untuk menahan kumpulan radikal Islam dan fasis di Britain. Alasannya, jika kumpulan Islamis dibenarkan menyebarkan idea mereka kepada kumpulan muda Muslim, mereka akan turut serta meletupkan diri dan jika pengharaman tidak dibuat terhadap ucapan pertubuhan fasis seperti Parti Kebangsaan Britain (BNP), golongan berkulit putih akan melakukan pembunuhan massa ke atas pendatang asing.

Kaminer berkata, hujah-hujah ini mempunyai banyak masalah. Terdapat perbezaan yang nyata antara kata-kata dan tindakan dan kita, para pendengar yang akan menentukan sama ada untuk mengubah ayat-ayat itu.

“Tulisan mempunyai kuasa, sudah tentu. Jika tidak, mengapa menjadi penulis? Mengapa menjadi aktivis? Bagaimanapun, kata-kata tidak boleh memukau orang ramai. Ia mengenepikan hakikat bahawa ucapan adalah pertukaran dua hala. Cara menentang ucapan jahat adalah dengan ucapan baik. Jangan haramkannya. Ia tidak akan berjaya dan memperkecil-kecilkan peranan debat.”

Bagi Kaminer, ada perkara yang lebih penting daripada kata-kata dan imej. Kebebasan bersuara sangat perlu untuk kemajuan, untuk membaiki kehidupan manusia. “Melihat kepada sejarah Amerika, sukar untuk membayangkan bagaimana pergerakan progresif kita dapat berkembang maju jika orang ramai tidak dibenarkan berkumpul dan bercakap dengan cara yang akan menyinggung perasaan! Seratus lima puluh tahun dahulu, orang ramai berpandangan wanita tidak boleh bercakap di tempat umum kerana ia bertentangan dengan undang-undang Tuhan. Hanya dengan menentang undang-undang Tuhan, dan dalam proses itu menyinggung ramai pihak, hak wanita dapat diperjuangkan. Hanya dengan bersikap ofensif, masyarakat dapat maju ke hadapan.”

Tulisan ini diterjemah dan diubahsuai daripada esei oleh Brendan O’Neil dalam laman web Spiked, dengan tajuk asal, ‘The Left Has Been Infected by the Disease of Intolerance’.


Kiriman Berkaitan

 
 

Tinggalkan Komen