Buku dan Tehran

oleh
14 Jun, 2007 | kategori Esei | komen [0] | Cetak

Oleh: Azadeh Moaveni

Apabila saya berpindah ke Iran pada tahun 2000 untuk bekerja sebagai wartawan, saya mahu duduk dalam lingkungan kesusasteraan seperti Azar Nafisi dalam Reading Lolita in Tehran , yang mendapat ketenangan dalam dunia imaginasi novel-novel. Kedai-kedai buku seumpama itu tidak wujud – yang ada hanya kedai buku/alat tulis, atau kedai buku/permainan. Rancangan pertama saya mungkin tidak akan berjaya. Saya terlihat sebuah kedai buku paling popular di Tehran yang pada mulanya saya sangkakan sebuah kedai barangan antik. Di dalamnya, ruang yang diperuntukkan buat buku-buku hanya suku daripada yang dijadikan tempat untuk permaidani, kaktus dan set Lego. “Saya berasa malu untuk menggelar diri saya penjual buku,” kata seorang pemilik kedai, sambil merenung dinding kedainya yang dipenuhi aksesori Hello Kitty. Dalam tempoh sejam kami berbual-bual, para pelanggan datang membeli bateri jam, kad takziah, kertas pembalut dan kompas. Tidak ada seorang pun yang membeli buku.

Apabila saya gagal berjumpa dengan seorang wanita untuk membentuk kelab buku (mereka berpendapat ia tidak praktikal dengan lalu lintas di Tehran), saya mula tertanya-tanya mengapa buku tidak menjadi penting dalam kehidupan rakan-rakan yang nampak mempunyai kesedaran intelektual. Bagaimanapun, dalam satu tengah hari yang panjang saya habiskan di gerai-gerai dekat pusat-pusat penerbitan di Jalan Karim Khan-e Zand, saya mula memahami keengganan mereka. Secara umumnya, buku-buku yang dibaca warga Iran tidak layak untuk dijadikan perbincangan kecuali dengan ahli terapi.

Buku-buku motivasi dan yang seumpanya, berkaitan dengan kerohanian India dan feng shui, merupakan yang paling popular di kedai-kedai buku. Kemunculan genre buku ini, yang tidak wujud sebelum Revolusi Islam 1979, menunjukkan sebuah budaya yang cuba untuk berhadapan dengan penghapusan peranan gender tradisional atau dengan peningkatan kadar perceraian dan seks luar nikah.

Bagaimanapun, intelektual Iran dengan cepat menyalahkan ‘tekanan budaya dan krisis kerohanian’, seperti yang dikatakan seorang pengarang majalah dan seorang rakan yang memiliki kedai buku, orang Iran telah ‘hilang akal’. Kejayaan buku-buku terjemahan seperti Men Are From Mars, Women Are From Venus , telah membawa kepada penulisan karya-karya tempatan yang selaras dengan kebudayaan tempatan. Salah sebuah buku yang laris dijual, oleh Mahmoud Namany, dengan tajuk Jangan Jadi Kambing Biri-biri , dipinjam dari kata-kata Ali Shariati, ahli sosiologi Islam yang memberikan inspirasi kepada Revolusi. Ia mengandungi bab-bab yang bertajuk Terapi Kesedihan dan Bagaimana Memilih Kawan , dan selaras dengan gaya hidup tempatan. “Adakah anda mahu menjadi manusia yang berjaya, seekor haiwan yang memuntahkan kunyahannya, kotoran atau bidadari?” tanya Namany dalam bukunya.

Apabila warga Iran tidak membaca tentang kesedihan atau cara-cara menyusun perabut di rumah, mereka lebih berminat dengan novel tentang kehidupan keluarga atau cinta. Selepas Revolusi, yang mencipta satu kelas wanita terpelajar yang telah kehilangan kelab sosial atau pusat-pusat kebudayaan untuk dikunjungi, pasaran untuk fiksyen wanita terbuka luas. Permintaan paling tinggi adalah untuk terjemahan kara-karya Danielle Steel (dengan adegan-adegan romantik dibuang). Terdapat juga penulis Iran dengan penulisan yang sama, Fahimeh Rahimi dan M. Moaddabpour, yang kedua-duanya tidak pernah dilihat di televisyen (digunakan di Iran untuk mempromosikan ideologi kebangsaan, sabun dan beras). Novel paling popular sejak dua dekad lalu oleh Fattaneh Haj Seyyed Javadi, Pagi Yang Membosankan , tentang sebuah keluarga aristokrat abad ke-19 semasa eara monarki Qajar. Buku ini telah terjual 185,000 naskhah sejak 1998.

Apabila saya datang tujuh tahun lalu, para penulis dan penerbit membuat ramalam tentang berakhirnya amalan membaca. Di negara yang mempunyai penduduk seramai 70 juta dan kadar celik huruf 80 peratus, ditambah dengan tradisi kesusasteraan yang berabad lamanya, jelas mereka, jualan sebanyak 40,000 naskhah untuk buku popular dan 2,000 hingga 5,000 untuk novel dan bukan fiksyen, sangat mengecewakan. Menurut Mohammad-Reza Neymatpour dari syarikat penerbitan Nashr-e Nay, jualan semakin merosot sejak 1979. Walaupun harga buku-buku sangat murah – tidak lebih daripada harga dua sandwic – persekitaran yang ada tidak menggalakkan pembacaan. Terlalu sedikit perpustakaan, tidak ada pertandingan membaca dan promosi buku langsung tidak wujud kecuali untuk satu buku. Papan-papan iklan memberitahu warga Iran sekiranya mereka boleh menghafal al-Quran, mereka akan dianugerahkan ijazah universiti. Malah, kerajaan juga semakin bimbang. Sebelum Pesta Buku Tehran yang diadakan baru-baru ini, akhbar milik kerajaan memaparkan sebuah tulisan bertajuk Mari Kita Belajar Membaca . Pada bulan April, seorang penyampai radio melahirkan rasa sedih kerana secara puratanya setiap warga Iran hanya memperuntukkan masa 16 saat sehari untuk membaca.

Daripada 1999 hingga 2002, semasa di bawah pemerintahan Presiden Mohammad Khatami (seorang bekas ketua perpustakaan kebangsaan Iran), negara itu kelihatan seperti mahu mengadakan pemulihan kesusasteraan. Syarikat penerbitan melaburkan banyak wang untuk mengubahsuai kedai-kedai dengan pencahayaan yang menarik serta kafe. Saya akan bertemu rakan-rakan untuk minum kopi, membaca majalah dan membawa pulang buku-buku yang tiba-tiba mempunyai kulit yang cantik.

Bagaimanapun, seperti pada era Khatami, dunia kesusasteraan Iran nampaknya semakin lesu. Wartawan bebas ada juga menerbitkan buku-buku yang berani, seperti Akbar Ganji,   yang tulisannya membabitkan pegawai-pegawai kanan kerajaan dalam pembunuhan intelektual pada penghujung 1990-an. Bagaimanapun, apabila kumpulan fundamentalis mengambil tindakan, ramai penulis dan wartawan ditahan dan kafe-kafe di kedai buku ditutup dengan pelbagai alasan. Kementerian Kebudayaan dan Panduan Islamik, dikecam kerana melonggarkan sekatan dan kembali mengetatkan proses kelulusan buku.

Kementerian tersebut memeriksa manuskrip untuk mengelakkan penerbitan tulisan erotik dan yang bercanggah dengan agama. Hari ini, jika sebuah novel diluluskan, kebanyakan warga Iran akan berpendapat ia telah diubah suai, dan lebih baik untuk mencari edisi era Shah atau versi filem secara haram. Malah dalam fiksyen, semua hubungan perlu selaras dengan ajaran Islam. Terbaru, dalam edisi Madama Bovary yang telah diedit, penzinaan Emma telah dibuang terus. Watak-watak dalam novel Barat yang minum Champagne atau wiski digantikan dengan doogh , sejenis yogurt soda yang tidak pernah memabukkan.

Sekali-sekala, terdapat juga fiksyen tempatan yang dapat diterima menurut piawai Islam. Satu contoh terbaik adalah novel Kimia Khatoun oleh Saideh Ghods, tentang kehidupan seorang sufi, Shams-e Tabrizi daripada perspektif isterinya. Diterbitkan pada tahun 2004, ia menimbulkan kontroversi kerana feminisme yang ditonjolkan dan andaian bahawa wanita di belakang nama besar kesusasteraan Parsi itu lebih rela berada di tempat lain. Bagaimanapun, bagi setiap novel yang berjaya, ada sepuluh lagi yang tidak diluluskan atau hanya kekal di meja penulisnya. Kesannya, para penerbit enggan meminta karya baru daripada penulis dan manuskrip-manuskrip biasanya tidak akan terusik selama bertahun-tahun. Sesetengah penerbit langsung mengenepikan kesusasteraan kontemporari. Minat Barat terhadap Rumi sebagai contoh, telah meningkatkan popularitinya di Iran dan para penerbit kini mengeluarkan terjemahan baru berserta kritikan. “Karya klasik Parsi tidak menimbulkan masalah,” kata Mohammad-Reza Zolfaghari, editor di syarikat penerbitan Chaveh.

Bagi sesetengah pihak, kewartawanan sasterawi memberikan jalan keluar. Walaupun mereka tetap mengamalkan suntingan sendiri, berpuluh-puluh majalah kecil yang membanjiri Iran mendapati mereka agak bebas. Dengan jualan sekitar 2,000 hingga 5,000 naskhah, mereka menawarkan campuran kritikan, esei dan tulisan oleh penulis terkenal, yang dalam keadaan berbeza, mungkin akan menulis buku. “Memandangkan orang ramai sudah tidak membaca buku, jurnal-jurnal memastikan kesusasteraan terus wujud,” kata Reza Seyyed Hosseini, penterjemah karya-karya sastera Perancis. Ia juga mendedahkan warga Iran kepada penulis-penulis antarabangsa. Di sebuah bekas berek tentera yang dihadiahkan Khatami kepada ‘seni’, majalah Bukhara mengadakan siri kesusasteraan popular untuk penulis-penulis seperti Umberto Eco dan Orhan Pamuk – kali pertama sejak sekian lama acara kesusasteraan menjadi penting dalam kalendar kebudayaan Tehran. Bagaimanapun, warga Iran masih berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan karya-karya penulis tersebut. Selalunya pencarian seperti itu membawa kepada gerai-gerai menjual buku di sekitar Universiti Tehran, yang turut menjual buku-buku haram. Seperti penjual buku di tempat-tempat lain, mereka turut memberikan cadangan kepada pembeli. Semasa saya membeli novel Virginia Woolf tidak lama dahulu, salah seorang daripada mereka memberitahu saya, “Jika anda berikan saya seminggu, saya boleh mendapatkan buku Joyce Carol Oates.”

Azadeh Moaveni ialah penulis buku “Lipstick Jihad: A Memoir of Growing Up Iranian in America and American in Iran”.


Kiriman Berkaitan

 
 

Tinggalkan Komen