Agama, Nyawa dan 150 sel
oleh admin
14 Jun, 2007 | kategori Esei | komen [0] | CetakOleh: Adib Zalkapli
Selaras dengan tujuan utama buku ini, sebagai “senjata untuk para sekularis dalam masyarakat, yang percaya agama perlu diasingkan daripada dasar awam,” Sam Harris menghasilkan apa yang kelihatan seperti ringkasan kepada idea-ideanya yang dilontarkan dalam buku pertamanya, The End of Faith .
Harris dalam Letter to a Christian Nation menjelaskan bahawa surat panjang ini juga satu jawapan kepada banyak maklum balas yang diterimanya, terutamanya daripada penganut Kristian yang mengkritiknya kerana tidak percayakan Tuhan. Untuk atheis yang tegar, tidak ada apa yang baru dalam buku ini, bagaimanapun ada beberapa perkara yang diulas oleh Harris yang masih boleh dibincangkan lagi.
Seperti juga Richard Dawkins, Harris mengkritik kuat golongan yang sederhana dalam beragama. Bagi Harris, tindakan berdiam diri, atau menunjukkan hormat pada penganut agama atau tafsiran lain, hanya mewujudkan satu keadaan yang memberikan ruang untuk lahirnya ekstremisme. Toleransi agama bagi Harris hanya mendatangkan masalah.
Dengan toleransi, jelas Harris, kita mendiamkan diri terhadap pelbagai idea yang mengarut, membiarkan kanak-kanak dibesarkan menurut ajaran ibu bapa mereka dan akhirnya, agama itu sendiri dibenarkan untuk membentuk dasar-dasar awam.
Sukar sekali untuk menolak hujah Harris apabila melihat perkembangan semasa. Terbaru, Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, seorang Kristian yang taat, telah menjadikan agama anutannya sebagai penentu kepada keputusannya untuk menggunakan kuasa veto bagi menolak rang undang-undang yang membolehkan kerajaan persekutuan membiayai penyelidikan sel stem embrio.
Kata Bush dalam taklimatnya: “Jika rang undang-undang ini diterima, ia akan memaksa pembayar cukai Amerika buat pertama kali dalam sejarah menyokong pemusnahan embrio manusia. Saya sudah tegaskan kepada Kongres dan rakyat Amerika bahawa saya tidak akan membenarkan negara ini melintasi sempadan moral ini.
“Memusnahkan kehidupan manusia dengan harapan menyelamatkan nyawa adalah tidak beretika. Dan ini bukan satu-satunya pilihan kita.”
Menariknya, Bush semasa menjadi Gabenor Texas selama enam tahun, mungkin terlupa mengenai nilai nyawa manusia apabila sepanjang tempoh tersebut seramai 152 orang dihukum mati, satu jumlah yang tidak pernah dapat dicapai oleh mana-mana Gabenor di seluruh negara itu.
Pandangan seperti Bush yang melihat embrio sebagai manusia bernyawa – selaras dengan kepercayaan bahawa kehidupan bermula semasa persenyawaan – ini juga diulas dengan panjang lebar oleh Harris.
Embrio manusia yang berusia tiga hari, hanya mengandungi 150 sel dengan 30 sel stem, yang berpotensi untuk menjadi pelbagai jenis sel, membuatkannya sangat berguna dalam kajian perubatan dan berpotensi dalam rawatan seperti penyakit Alzheimer, jantung, kanser dan kencing manis. Kebimbangan Bush bagaimanapun, bukanlah terhadap potensi rawatan atau derita pesakit, tetapi nasib 150 sel itu (hampir menyamai jumlah manusia sebenar yang dihukum mati di Texas semasa beliau menjadi Gabenor), yang beliau percaya bernyawa, selaras dengan kepercayaan agamanya.
Memang benar ada sumber-sumber lain untuk sel stem, dan ada kaedah yang tidak memerlukan pemusnahan embrio, bagaimanapun, satu ruang dalam penyelidikan saintifik ini telah cuba ditutup oleh Bush dengan menyekat pembiayaan kerajaan persekutuan. Julai tahun lalu, Bush membatalkan rang undang-undang yang sama. Pada tahun 2001, beliau mengenakan sekatan terhadap kajian sel stem embrio.
Bagi Harris, penolakan terhadap kajian sel stem embrio untuk tujuan perubatan sama seperti mengakui bumi ini mendatar. “Hanya dalam aspek dasar awam ini, ruang yang kita berikan kepada kepercayaan agama telah menambahkan kesengsaraan kepada umat manusia untuk tempoh yang panjang,” tulisnya dalam The End of Faith .
Bagaimanapun, Harris tidak pula membincangkan tentang sumber alternatif sel stem ini. Dengan berbuat demikian, beliau telah bersikap tidak adil kepada mereka yang hanya menolak penyelidikan sel stem daripada embrio dan memberikan gambaran seolah-olah ruang untuk penyelidikan sel stem tertutup dengan kekangan terhadap pemusnahan embrio.
Gagalnya dialog?
Satu perkara yang diketengahkan oleh Harris yang mungkin tidak dapat diterima ramai pihak adalah penolakannya terhadap dialog antara agama – yang sememangnya dilihat oleh golongan progresif dan sederhana sebagai satu kaedah baik untuk menyelesaikan konflik antara agama.
“Sangat mudah untuk wakil-wakil agama sedunia bertemu dan bersetuju bahawa perlunya keamanan di dunia, atau sifat penyayang merupakan sesuatu yang wujud dalam setiap kepercayaan. Bagaimanapun, apa yang jelas adalah, kepercayaan seseorang itu menentukan mengapa perlunya keamanan dan apa yang dimaksudkan dengan ‘sifat penyayang’,” jelas Harris “Bagaimana dialog antara agama, walaupun pada peringkat tertinggi dapat menyatukan pandangan-pandangan yang tidak sepadan dan secara prinsipnya boleh dirombak?”
Harris juga tidak memilih perkataan yang baik-baik apabila bercakap tentang Islam, memperlihatkan lagi penolakannya terhadap dialog antara agama. “Idea bahawa Islam adalah ‘agama keamanan yang dirampas para ekstremis’ merupakan satu khayalan dan ia lebih berbahaya lagi untuk diterima oleh orang Islam. Masih tidak jelas bagaimana untuk kita berdialog dengan dunia Islam, tetapi untuk menipu diri sendiri dengan eufemisme bukanlah jawapannya,” tulis Harris.
Bagi beliau, orang Islam sangat cenderung melihat permasalahan dasar awam dan konflik global menurut perspektif kepercayaan mereka – dan mereka yang tidak berbuat demikian berhadapan dengan risiko dilabel sebagai murtad. Jelasnya, alasan menyembah Tuhan yang sama tidak cukup untuk memungkinkan satu dialog, seperti terbukti dengan pertumpahan darah yang terus berlaku.
Harris mengimpikan satu dunia tanpa agama, yang pada pandangannya menjadi kekangan kepada pemikiran kritikal dan kejujuran intelektual. Namun dia juga percaya, tidak mungkin agama akan berakhir dalam jangka hayatnya, tetapi pandangan beliau ini cuba disamakan dengan cita-cita untuk menghapuskan perhambaan lebih dua abad lalu.
Analisis Harris mungkin terlalu simplistik, menganggap agama (semata-mata) sebagai punca masalah. Bahasanya mungkin tidak membantu dalam meningkatkan pemahaman terhadap kumpulan yang berbeza kepercayaan. Namun, idea bahawa kesederhanaan dan sikap berdiam diri membawa kepada perkembangan ekstremisme sukar untuk ditolak.
Kiriman Berkaitan
- Ateisme, Tuhan, dan Agama Aqil Fithri
- Seni, Bahasa Universal Agama admin
- Agama Juga Berkembang Melalui Pasaran Bebas Gary S. Becker
- Dari Auschwitz ke Palestina admin
- Dunia tanpa Agama? admin
- Index Librorum Prohibitorum Malaysia admin