Menjawab Mitos tentang Kemiskinan

oleh
5 Disember, 2006 | kategori Esei | komen [0] | Cetak

Oleh: Adib Zalkapli

The End of Poverty ini yang mula-mula diterbitkan pada tahun 2004, ditulis oleh Pengarah, Earth Institute di Columbia University, Jeffrey Sachs. Sachs, baru-baru ini juga dilantik untuk menduduki Kursi Ungku Aziz untuk Kajian Kemiskinan di Universiti Malaya. Dengan Malaysia yang menyasarkan untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun 2010 yang dua tahun lalu membentuk 1.4 peratus daripada jumlah penduduk, pelantikan ini sangat kena pada masanya.

Buku ini, seperti yang dicadangkan tajuknya, menawarkan penyelesaian untuk menghapuskan kemiskinan tegar di seluruh dunia. Dengan Matlamat Pembangunan Millenium – untuk mengurangkan sebanyak separuh kemiskinan tegar dan kebuluran menjelang tahun 2015 – Sachs menjadikannya sandaran untuk menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2025.

Cadangan-cadangan yang dibawakan Sachs adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya di negara-negara yang mengeluarkan diri daripada kancah kemiskinan – dari Poland yang melakukan reformasi ekonomi selepas Autumn of Nations 1989, hingga ke India, yang sedang mendaki tangga pembangunan dengan pantas, serta pedalaman Afrika yang sesetengah penduduknya berusaha dari hari ke hari untuk terus hidup. Beliau percaya kebanyakan tragedi di negara-negara miskin boleh dielakkan.

Idea Sachs, tentang penghapusan kemiskinan pada tahun 2025, bergantung kuat pada pembangunan sains dan teknologi, bagaimanapun, pada masa yang sama, beliau tidak mengenepikan kepentingan integriti dan ketelusan kerajaan-kerajaan di Dunia Ketiga. Sachs juga menolak idea ‘rasuah membawa kepada kemiskinan’ yang sering digunakan apabila membincangkan tentang kemiskinan di Afrika.

Sachs percaya, bahawa bantuan asing, yang sama bentuknya dengan Rancangan Marshall – inisiatif Amerika untuk membina semula Eropah selepas Perang Dunia Kedua, masih relevan dalam membebaskan negara-negara yang sebelum ini berada dalam ekonomi tertutup, untuk memulihkan diri dalam era pasca-Komunisme.

Catatan-catatan Sachs tentang usaha panjangnya menghapuskan kemiskinan, tidaklah penuh dengan kejayaan, seperti yang dapat disaksikan dalam pengalamannya dengan Rusia.

Usahanya gagal di Rusia, akibat faktor luaran seperti masa. Memandangkan ia tahun pilihan raya presiden (1992), dengan pentadbiran Bush ketika itu dituduh sebagai ‘pentadbiran dasar luar’, Rusia gagal mendapatkan sumbangan yang sangat diharapkannya bagi menstabilkan mata wangnya. Selain itu, jelas Sachs, Rusia dilihat oleh Amerika sebagai ancaman bukan sekutu.

Cadangan Sachs untuk menghapuskan kemiskinan tegar di dunia hari ini boleh dirumuskan dengan dua pendekatan yang dibincangkan secara terperinci dalam bukunya: satu reformasi ekonomi yang radikal seperti yang dilakukan di Poland dan bantuan asing yang konsisten dan berterusan untuk satu tempoh bagi menjamin rancangan penghapusan kemiskinan dapat dijalankan, seperti di Afrika.

Bagi Sachs, pentadbiran teruk tidak semestinya membawa kepada kemiskinan. Hujah ini, walaupun mengandungi kebenaran, sering kali dibesar-besarkan. Bagi beliau, kedua-dua isu, rasuah dan kemiskinan perlu ditangani pada masa yang sama.

Dalam menghapuskan kemiskinan, sebuah masyarakat berpindidikan dapat dibentuk yang dapat memantau kerajaan, supaya amalan rasuah dapat dibanteras. Kebolehan anggota masyarakat untuk melaksanakan tugas ini, jelas Sachs, kemudiannya disokong oleh kewujudan teknologi komunikasi dan media, yang mungkin tidak wujud di negara-negara miskin.

Tentang pandangan bahawa kes-kes AIDS di Afrika berpunca daripada kelakuan seksual yang tidak bertanggungjawab warga Afrika, Sachs menunjukkan kajian yang mengatakan gelagat seksual warga Afrika, tiada bezanya dengan orang lain. Beliau juga mengatakan mungkin masalah AIDS di Afrika berkait rapat dengan bilangan lelaki yang berpindah dan berjauhan daripada keluarga untuk tempoh yang lama.

Satu lagi salah faham yang dibetulkan oleh Sachs ialah, menyelamatkan nyawa kanak-kanak Afrika hanya mewujudkan lebih ramai orang dewasa miskin. Padanya, kadar kesuburan yang tinggi di Afrika, berpunca daripada kemiskinan yang menyebabkan ketiadaan kontraseptif dan sering kali akibat kadar kematian bayi yang tinggi.

Kematian bayi, jelas Sachs, memaksa ibu bapa untuk mempunyai lebih ramai anak bagi mengurangkan risiko kehilangan semua zuriat mereka. Beliau percya, penurunan kadar kematian bayi di negara-negara miskin Afrika akan membawa kepada kadar pertumbuhan penduduk yang boleh diterima sebagai mana yang dilihat di negara-negara membangun. Punca masalah di Afrika pada Sachs adalah penyakit dan kekurangan rancangan penjagaan kesihatan yang boleh dibetulkan dengan pendekatan yang betul dan dana yang mencukupi daripada negara-negara maju.

Malaria, salah satu contoh yang diberikan Sachs, adalah sebuah penyakit yang boleh diubati dan dapat dielakkan, tetapi ia merupakan satu masalah serius yang dihadapi oleh negara-negara miskin Afrika. Daripada tiga juta kematian yang di seluruh dunia, 90 peratus daripadanya berlaku di Afrika, biasanya menjejaskan kanak-kanak. Apa yang membingungkan Sachs tentang kematian ini adalah kewujudan rawatan berkos rendah yang tidak dapat dinikmati oleh golongan miskin.

Kajiannya menunjukkan semua negara miskin (dengan pendapatan per kapita kurang daripada AS$764 pada tahun 2004), berhadapan dengan risiko malaria. Pada tahun 1946, 1965 dan 1994, sesetengah negara membangun berjaya menyelesaikan masalah mereka. Di negara-negara lain, bahaya malaria masih wujud.

Bagi Sachs, ini menunjukkan kemiskinan, menyukarkan pencegahan malaria, yang boleh dilakukan dengan menyembur racun serangga atau memasang kelambu. Pada masa yang sama, penyakit membawa kepada kemiskinan, akibat ketidakhadiran di tempat kerja dan juga sekolah. Jelas sekali, hubungan dua hala yang wujud antara malaria dan kemiskinan.

Masalah yang dihadapi oleh negara-negara miskin Afrika dalam menentang malaria adalah kekurangan sumbangan antarabangsa. Menurut Sachs, jumlah sumbangan hanyalah puluhan dolar setahun, tetapi negara-negara Afrika memerlukan kira-kira AS$2 hingga AS$3 billion untuk mencegah malaria.

Satu lagi ancaman kesihatan yang boleh ditangani dengan cara yang serupa adalah AIDS. Terapi antiretroviral, yang telah mengubah cara kita melihat penyakit AIDS, tidak boleh didapati di negara-negara miskin Afrika. Puncanya, sekali lagi, adalah kekurangan sumbangan antarabangsa, kata Sachs. Lebih menyedihkan Bank Dunia, antara tahun 1995 hingga 2000 tidak memberikan sebarang pinjaman atau geran untuk mengawal penyebaran AIDS di Afrika.

Sachs turut berjaya dalam mengadakan dana global bagi membanteras AIDS semasa Persidangan AIDS Antarabangsa yang diadakan di Durban pada Julai 2000, yang turut menerima sokongan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan. Bagaimanapun, jelas Sachs, sumbangan untuk ubat anti-AIDS masih dilihat sebagai terlalu mahal dan tidak praktikal oleh negara penyumbang dan mereka juga menegaskan pesakit di negara miskin buta huruf dan tidak akan dapat memantau pengambilan ubat.

Pokok rancangan Sachs dalam menyelesaikan masalah kemiskinan di seluruh dunia adalah sumbangan sebanyak AS$27 bilion setahun menjelang tahun 2007, iaitu satu bahagian yang kecil daripada jumlah pendapatan negara-negara kaya pada tahun 2001 – AS$25 trilion. Hanya jumlah kecil itu yang diperlukan untuk menghalang lapan juta kematian setiap tahun.

Dengan sumbangan antarabangsa, teknologi yang praktikal juga dapat dibangunkan di Afrika dan Sachs percaya benua miskin ini satu hari nanti akan mempunyai Revolusi Hijaunya sendiri.

Ada kalanya, Sachs terlalu optimistik dalam menyelesaikan masalah kemiskinan tegar dan kematian yang boleh dielakkan. Bagaimanapun, sebagai seorang yang berada di barisan hadapan dalam memastikan kejayaan Matlamat Pembangunan Milenium, suara optimis seperti Sachs sangat diperlukan dalam mengakhiri kemiskinan.


Kiriman Berkaitan

 
 

Tinggalkan Komen